Pada 24 Disember 2009 merupakan hari yang bersejarah bagi sekolah saya, sekolah hebat kerana pencapaian yang diluar dugaan. Pencapaian 138 orang pelajar mendapat straight A's. Pencapaian ini tidak pernah tercapai sejak berdekad lamanya. Paling tinggi ialah pencapaian pada tahun 2007 iaitu sebanyak 117 orang yang mendapat semua A. Ramai yang memuji-muji, ramai yang memuja-memuja. Ada yang kata program kami berjaya sedangkan kami buat program biasa saja. ( baca artikel NO MAGIC WAND ) , program yang biasa orang lain buat tetapi satu perkara agak berbeza iaitu kami betul-betul tumpukan usaha di saat-saat terakhir sebelum peperiksaan PMR bermula. Apa kami buat? Kami sediakan kelas-kelas yang betul-betul intensif untuk memulihkan beberapa orang pelajar yang kami anggap sudah tersasar daripada landasan.
Pencapaian 138 adalah yang terbaik setakat ini dan tahun hadapan, secara peribadi saya yakin angka itu akan meningkat lagi. InsyaAllah. Saya pulangkan apa-apa sanjungan yang kami dapat kepada Allah kerana hanya Allah sahaja yang layak dipuji. Manusia tidak boleh mengambil sifat Allah iaitu Maha Terpuji. Apalah ada kepada kita kalau Allah tak kurniakan segala kejayaan?. Hebat kuasamu Allah. Kami bersyukur kerana kau berikan kami kejayaan yang luar biasa.
Ketika saya mengambil buku perancangan daripada kedai fotostat, ada juga guru yang menempelak kononnya dia kata:
"Ibrahim sepatutnya dapat 100% semua A".
Saya ambil itu sebagai cabaran dan tahun 2010, kalau pun tak dapat 100% semua A maka peratus yang mendapat semua A akan meningkat dengan lebih hebat. Itulah iltizam kami, itulah usaha kami dan itulah landasan kami menuju kejayaan .InsyaAllah. Betul , yang masuk ke SMK Ibrahim hampir semuanya 5A pada peringkat UPSR dan secara logik semuanya boleh mencapai semua A. Kita kena fikir, kita bukan berurusan dengan buah kelapa tapi berurusan dengan manusia. Kalau buah kelapa boleh kita kata kalau 100 kelapa diambil dari pokok kelapa pandan, semua airnya akan wangi, tapi ini manusia, dan untuk mendidik manusia tentulah sangat-sangat berbeza daripada menjaga pohon kelapa.
Pencapaian yang ditetapkan oleh JPN Kedah untuk sekolah-sekolah KRK mencapai semua A ialah 40% tetapi Ibrahim telah mencapai 56%, jauh lebih tinggi daripada apa yang ditetapkan.Tahun 2010 angka 56% akan berganjak naik mungkin 60% dan merupakan yang tertinggi di Kedah sesuai dengan visi SMK Ibrahim untuk : MENJADI NOMBOR SATU DALAM KEDAH PADA TAHUN 2010.InsyaAllah.
Untuk para guru SMK Ibrahim, saya menyeru agar kalian mempersiapkan diri, bersedia diuji, rela bekerja sehabis hati untuk mencapai visi yang terpuji. Kita berbakti bukan saja kepada manusia tetapi betulkan niat kita untuk Allah . Di dunia kita dapat kebaikan, diakhirat kita dapat kerahmatan. Didunia kita menang, di akhirat kita senang. InsyaAllah.
Kepada para pelajar saya hanya ingin nyatakan " you are on the right track to success. Never try to go out of that track because once you are out of the track, you will be left out". Work hard and work smart.