Isnin, 7 Disember 2009
Asrama.
Asrama. Itulah perkataan yang semua pelajar tau. Daripada sekolah rendah sampailah ke universiti, ada saja para pelajar yang duduk di asrama. Kekadang sampai nak mati pun masih lagi ada yang duduk di asrama. Asrama orang-orang tua bila anak-anak tak mau bela. Berdoalah agar itu jangan menimpa diri kita. Nauzubillah.
Ketika disekolah rendah saya amat teringin untuk duduk di asrama. Maklumlah asrama ada kipas angin, ada lampu letrik, ada air paip, ada katil yang bertilam, ada meja untuk belajar dan ada daging seminggu sekali. Berbeza dengan di rumah yang pakai lampu minyak tanah, air telaga, daging hanya waktu raya dan belajar sambil meniarap sebab tiada meja. Maka asrama dirasakan seperti sebuah istana bagi saya ketika itu. Peritnya hidup tapi tetap bersyukur kerana ada orang lain yang nasibnya lebih teruk daripada saya. Alhamdulillah.
Pengalaman berasrama kali pertama saya alami ialah setelah saya "singgah" sekejap di MCKK. Sekolah yang berprestij yang semuanya lelaki. Saya singgah sekejap untuk Tingkatan Enam selama sebulan sebelum terus memasuki UPM. Selepas daripada itu, asrama merupakan tempat yang kita habiskan lebih banyak masa daripada rumah sendiri sehinggalah kita kerja. Barulah merasai suasana rumah kembali. Maknanya kita menghabiskan masa kira-kira sepuluh tahun untuk berada di asrama. Semua yang masuk universiti mesti merasai alam asrama paling kurang empat tahun. Itulah asrama.
SMK Ibrahim ada 4 blok asrama yang mampu menempatkan 250 orang pelajar. Kebanyakannya para pelajar yang tinggal jauh daripada bandar Sungai Petani. Pelajar-pelajar ini kami didik sebaik mungkin agar mereka mendapat kemudahan yang secukupnya untuk memastikan pencapaian mereka setanding dengan para pelajar SMK Ibrahim yang lain. Kami memberikan banyak peruntukan untuk menaikkan taraf kehidupan dan mutu pembelajaran kepada mereka. Mereka bernasib baik.
Bercakap tentang asrama, ada pro dan kontranya. Ada sesetengah pelajar tak sesuai untuk berada di asrama. Antaranya pelajar yang kurang berdisiplin. Bagi yang berperangai seperti ini, asrama umpama penjara yang mengongkong mereka. Ada juga yang membuat kerja sampingan untuk menyara keluarga. Bagi pelajar seperti ini, asrama juga tidak sesuai untuk mereka. Ada ibu bapa yang tak mau berjauhan dengan anak-anak sebab terlalu manja. Ini lagi satu kategori yang kalau anak dihantar ke asrama, emak dan anak menangis berhari-hari. Dulu asrama ada "ragging" tetapi sekarang tiada lagi. Waktu di MCKK , kawan saya dari Perak (dah jadi akauntan ) menangis teresak-esak , memecah kesunyian malam kerana dia disuruh tidur di atas seketul bata. Padan dengan dia pun, pergi asrama tak bawa bantal. Lepas seminggu dia keluar dan masuk ITM.
Ketika saya di SMK Yan, saya kerap juga melawat pelajar-pelajar yang tak hadir kesekolah. Saya pernah pergi kesebuah rumah yang cukup daif dan anaknya ponteng sekolah. Setelah diselidiki, anaknya tak kesekolah sebab tiada duit untuk tambang bas. Maka saya pun memasukkan pelajar tersebut ke asrama dalam kategori palajar miskin. Bayarannya hanyalah seringgit sebulan. Itu pun saya bayarkan Maknanya pelajar ini duduk di asrama " fully free of charge". Malangnya tak lama kemudian pelajar ini lari dari asrama sebab asrama banyak peraturan yang tiada dirumahnya. Tinggal diasrama tak boleh cari ketam yang merupakan sumber pendapatan baginya. Dia keluar daripada asrama dan sebulan kemudian terus berhenti dari sekolah. Nasibnya tidak berubah. Dia mewarisi kemiskinan keluarga berdekad lamanya.
Bagi anak orang-orang berada, asrama memang tidak sesuai kerana kurang kemudahan jika dibandingkan dengan rumahnya. Lagi satu masalah ialah bila berada di asrama, mereka kurang kemudahan untuk kelas tuisyen. Bagi para pelajar SMK Ibrahim, tuisyen dah jadi wajib. Kalau tak tuisyen rasa tergugat, rasa tak selamat. Maka ramai di antara para pelajar begini yang rela tinggal menyewa di luar daripada berada di asrama.
PRASARANA LENGKAP ASRAMA MANTAP.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan