Selasa, 1 Disember 2009

Hypotenuse


The longest side of a right-angled triangle. That's hypotenuse. Sempadan yang paling panjang bagi sebuah segitiga tepat. Itulah hipotenus. Itulah definisi hipotenus bagi versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Apa kena mengena hipotenus dengan cerita yang akan saya nukilkan? Sabar, sesungguhnya sabar itu separuh daripada iman. Amin..

Kalau satu sempadan itu 4 cm dan satu lagi 3 cm, maka hipotenusnya mestilah 5, begitulah seterusnya dalam gandaan tersebut. Semua ini saya ingat cukup elok dan cukup baik. Kalau orang gerakkan saya daripada mimpi bertemu jerangkung sekalipun saya boleh jawab banyak soalan tentang hipotenus. Apa sebab pula ni? makin suspens. Sabar, sabar, jangan tak sabaq noooo...

Sebenarnya semua kisah ini datangnya daripada pengalaman zaman dahulu, ketika saya bersekolah di High School Bukit Mertajam. Ada seorang guru matematik yang tidaklah berkelulusan tinggi, tapi cara pengajarannya saya sanjungi hingga sekarang. Kalau dia beri latihan semua mesti diselesaikan tanpa satu pun boleh cacat celanya. Cara menjawab pula ada stail sendiri misalnya tanda sama juga ( = ) mestilah sama dari atas hingga kebawah. Kalau tanda tu tak sama , alamat kepala pun tak sama ( bengkak ) sebab kena ketuk dengan bucu pembaris setengah meter yang sentiasa berada ditangannya. Tapi masa itu tak banyak pula ibu bapa yang datang menyerbu guru. Tak ada seorang pun yang bawa kes ke mahkamah. Zaman dah berubah. Dulu "loyar" tak ramai. Cikgu yang saya maksudkan ini iala cikgu Cheah Seng Hee. Saya ingat namanya walaupun sudah 35 tahun berlalu. Nama guru yang hebat akan diingat sepanjang hayat.

Saya masih teringat hingga hari ini ketika dia bertanyakan kami seluruh kelas apakah maknanya hipotenus. Seluruh kelas tak tahu jawab. Dia semakin marah, takkan daripada 40 orang pelajar 4 Sains 2 tak tau makna hipotenus. Lalu dia ambil kayu yang digunakan untuk membuat garisan ( kayu 1 inci x 2 inci ) sepanjang satu meter dan mengungkapkan kata-kata hikmat ini. Hikmat sebab saya masih boleh ingat.

" I'll count until thirty. If nobody can give the answer that I ask, each of you will feel how hard this thing is. " sambil menggawang-gawangkan kayu itu.

Satu amaran dan ancaman yang cukup hebat. Tengok muka dia pun tau dah yang dia sedang marah yang amat sangat. Kata orang utara, dia tengah mendidih. Apa lagi, kami yang 40 orang tu pun cari buku, selak sana, selak sini, kerobek sana, kerobek sini sedangkan dia dok tengah buat " count down " . Sampai bilangan yang ke 21 ada seorang pelajar angkat tangan dan bagi jawapan yang cukup tepat.

"Hypotenuse is the longest side of a right-angled triangle, Sir"

Dia senyum dan saya rasa cukup lega. Mungkin selega orang yang dah lepas hutang daripada seorang along yang garang. "Relieve" sungguh kata orang putih. Itulah sebabnya saya sampai sekarang pun tak akan lupa hipotenus. Saya akan ingat sampai ke mati InsyaAllah.

Itulah kekadang kita perlu ada guru yang garang. Guru yang suaranya lantang, guru yang membuatkan para pelajar dirangsang. Kalau guru yang begitu romantik, para pelajar akan suka tetapi balik rumah depa tak ingat apa-apa dan depa tak buat apa-apa. Depa tau cikgu tak akan marah. Dan mereka akan marah bila markah jadi warna merah.

GARANG YANG MERANGSANG.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan