Rabu, 25 November 2009

Syurga yang disegerakan.


Syurga mana ada yang segera? Nak dapat syurga mestilah kena beramal soleh didunia dahulu, kena banyak sabar, kena jauhkan diri daripada maksiat dan dosa walaupun yang kecil. Itu pun belum tentu dapat syurga kerana syurga itu milik Allah dan semua manusia perlu dapat rahmatNya. Apa yang saya nak bincangkan disini ialah syurga dunia. Ada orang kata pula syurga dunia tu bila ambil dadah, minum arak, pergi disko dan macam-macam lagi. Itu pendapat yang amat silap kerana selalunya semua perkara itu dilarang Allah dan bukan dapat syurga tetapi dapat neraka. Itu bukan syurga dunia tapi neraka dunia. Nauzubillah.

Syurga yang disegerakan ialah ungkapan untuk menerangkan ketenangan yang kita dapati apabila kita berserah kepada Allah. Ketenangan bukan boleh dapat melalui wang ringgit atau harta benda. Ramai orang yang kaya raya tapi hidupnya tak tenang. Dia mungkin seronok tapi belum tentu tenang. Tak semua orang yang seronok itu tenang tapi orang yang tenang tentu seronok. Banyak juga orang yang kaya yang membunuh diri. Contohnya ada bekas hakim yang menembak dirinya setelah isteri dan anjingnya mati. Takkanlah dia boleh tembak diri sendiri kalau dia tenang. Michael Jackson, seorang lagi yang amat kaya tapi tak tenang. Mereka tak dapat syurga yang disegerakan. Banyak lagilah contoh orang-orang yang kaya yang jiwanya tidak tenang.

Sebaliknya ramai yang miskin, yang kekurangan harta benda tetapi hidup mereka penuh ketenangan. Walaupun mereka miskin tetapi kemiskinan itu tidak menjadikan mereka keluh kesah. Mereka tiada hutang yang perlu dilangsaikan, anak-anak semuanya yang tidak menimbulkan masalah, rakan-rakan yang baik dan mereka dekat dengan Allah kerana banyak ibadatnya. Ramai juga contoh yang kita boleh ambil terutama di zaman Rasulullah. Ada seorang sahabat yang mendermakan semua kebun kurmanya hanya kerana dia tidak dapat berjemaah satu waktu sahaja. Kebun kurmanya menjadikannya tidak tenang. Dia kaya tapi tidak tenang sebab nak jaga kebun kurma. Bila dia dermakan semua kebun kurmanya, dia tenang kerana boleh berjemaah setiap waktu bersama-sama Rasulullah. Kesimpulannya ketenangan bukan kerana harta. Malah kekadang harta, pangkat, kuasa itulah yang menjadi punca kepada keadaan yang tidak tenang.

Bagaimanakah nak memperolehi syurga yang disegerakan ini? Inilah persoalan yang kita kena halusi. Bagi saya kita memperolehi ketenangan bila kita berserah seluruh jiwa raga kita kepada Allah. Kita tidak keluh kesah walau apa pun terjadi kerana kita yakin itu adalah ujian daripada Allah. Kalau kita yakin semua yang terjadi adalah ketentuan Ilahi, maka kita mendapat ketenangan yang sejati. Mampukah kita menolak ketentuan Ilahi? Inilah yang sepatutnya kita fikirkan setiap masa. Jika kita ditimpa bala, kita kena yakin itu bukan bala tapi ujian dari Allah. Kenapa Allah uji kita? Kerana Allah nak menguji iman kita. Allah pernah berfirman " Adakah kamu fikir kamu boleh masuk syurga sedangkan kamu belum pernah diuji? ". Fikirkan selalu.

Berserah kepada Allah bukan bermakna tiada usaha. Kalau kita sakit , kita berusaha untuk mengubati tetapi kita juga kena ingat bahawa ubat bukan penyembuh penyakit. Ubat hanyalah usaha kita yang dituntut sedangkan penyembuh penyakit ialah Allah. Maka kalau kita sakit tak sembuh kita tak akan keluh kesah kalau kita sudah berserah kepada Allah. Dari sinilah datangnya sifat yang positif. Sifat yang positif inilah juga satu lagi punca kita mendapat syurga yang disegerakan.Orang yang bersikap positif sentiasa tenang dalam apa juga kerja yang dilakukan.

Seorang kawan saya dikampung adalah miskin. Dia tiada banyak harta tetapi kalau kita bercakap dengannya kita dapati dia cukup tenang. Mukanya menampakkan ketenangan. Sebenarnya kita tengok muka pun dah tau samada seseorang itu tenang atau pun tidak. Orang yan tenang mukanya jernih, menampakkan cahaya iman yang terpancar. Mereka bukan kaya, mereka tidak ada banyak harta, mereka bukan berpangkat besar tetapi mereka mendapat SYURGA...

YANG DISEGERAKAN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan