Ahad, 22 November 2009

Tujuh bencana....bhg 2


Kelima: MATI YANG MENYEDIAKAN BALASAN. Inilah yang kita sentiasa ingati bahawa apa juga yang kita buat di atas dunia ini tak selesai apabila kita mati. Ungkapan " Bila mati habis cerita" tak betul. Mati sebenarnya bukan habis cerita tapi baru mula nak cerita. Pendekata mati adalah permulaan kehidupan akhirat. Kalau mati habis cerita itu menandakan Allah tidak adil dan itu berlawanan dengan sifat Allah yang maha adil. Ramai orang akan berfikir alangkah baiknya kalau kita mati seperti matinya seekor burung yang tak disoal apa-apa, yang tak dimasukkan keneraka dan yang tiada apa-apa tanggungjawab yang perlu dipikul. Ini ialah pemikiran orang normal macam saya, orang yang banyak dosa dengan Allah. Nauzubillah. Bagi orang yang banyak pahala, banyak membuat kebajikan sewaktu didunia, dapat menahan godaan nafsu shahwat, mereka tentulah memilih kematian yang memulakan satu kehidupan yang penuh nikmat. Mereka melintas titian sirat seperti kilat, mereka dapat mencium bauan syurga hatta mereka dapat kenikmatan semasa dalam kubur lagi. Merekalah golongan yang terkaya dihari itu. Di hari yang tiada berguna harta benda, tiada berguna pangkat dan darjat dan tiada pertolongan dari kaum dan sahabat. Oleh itu kita sentiasa diberi peringatan supaya menjauhi maksiat dan mendekati syafaat agar kita mendapat keselamatan di dunia dan yang penting keselamatan di akhirat.

Keenam : DAJJAL YANG MENYESATKAN. Ini satu lagi malapetakan yang hebat. Dajjal datang ketika hampir kiamat . Sebenarnya sekarang pun dah banyak bunga-bunga dajjal yang datang untuk menyesatkan manusia termasuklah saya. Bapa Dajjal akan datang ketika di hari kiamat. Ketika itu Dajjal datang dengan membawa "rahmat" tetapi dengan syarat manusia meninggalkan syafaat. Manusia diminta memilih antara Dajjal dengan Allah. Pilih Dajjal, nerakalah tempatnya. Nauzubillah. Ketika hampir kiamat manusia dalam keadaan hiruk pikuk, dalam keadaan berkecamuk serta tiada ketentuan. Ketika itulah Dajjal datang dengan satu tawaran yang hebat. Bagi orang yang sangat dahaga, Dajjal datang dengan minuman yang amat sedap. Kalaulah kita ada pada waktu itu, rasanya kita pun akan mengikut Dajjal. Nauzubillah. Sebab itulah Rasulullah pernah bersabda bahawa manusia yang berada diambang kiamat adalah manusia yang paling malang. Mengingatkan kenyataan ini, rasanya biarlah kita mati sebelum detik-detik akhir kemusnahan alam. Biarlah kita mati dalam keadaan yang tenang daripada mati ketika datangnya Dajjal. Dajjal Laknatullah.

Ketujuh: KIAMAT YANG DAHSYAT. Saya teringat kata-kata kawan saya di Kota Kuala Muda yang merasai tamparan tsunami.

Dia kata " Aku rasa macam nak kiamat ".

Itulah katanya yang merasai sendiri sengsara tsunami. Ada seorang lagi kawan saya yang isterinya mati di Terowong Muassim. Dia kata dia terperangkap dalam terowong. Tak boleh bergerak. Ada orang yang berjalan dengan memijak kepala orang lain. Ketika itu aurat tak difikirkan lagi. Ramai yang bajunya koyak rabak dan menampakkan yang tak harus nampak. Itu baru terperangkap dalam Terowong Muassim .

Kata kawan saya lagi, " Aku rasa padang Mashsyar macam tu lah kot "

Itulah telahannya tetapi yang pasti kiamat tentulah lebih dahsyat lagi. Saidatina Aisyah pernah bersabda kepada rasulullah'

" Ya Rasulullah, malunya aku dihari kiamat kerana manusia dibangkitkan dalam keadaan telanjang "

"Di hari itu tiada manusia akan berfikir tentang malu dan mereka tiada masa untuk melihat kemaluan orang lain kerana mereka lebih banyak berfikir tentang azab yang akan diterima " Sabda Rasulullah.

Oleh itu, saya menyeru diri sendiri dan mangajak kawan-kawan untuk kita sama-sama fikirkan.

BERSEDIAKAH KITA MENEMPUH KIAMAT?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan