Sabtu, 5 Disember 2009

Lintang


Baru-baru ini , ketika cuti bermula saya dan keluarga berehat di Bukit Merah. Hebat, suasana sunyi, damai, tenteram dan boleh betul-betul berehat. Inilah rehat yang berkualiti. Sempatlah saya membaca sebuah novel oleh Anrea Hirata iaitu Laskar Pelangi. Buku yang cukup menarik dan jalan cerita tentang pelajar-pelajar kampung yang serba serbi kekurangan. Jalan cerita diolah agar kita yang membaca tak boleh letak buku selagi belum habis cerita.

Antara banyak watak yang di persembahkan, ada satu watak yang saya kira sedikit tersentuh ialah watak Lintang. Lintang digambarkan sebagai seorang "super-genius" , mungkin sehebat ADi Putra dalam matematik. Lintang bukan sahaja pandai matematik tetapi dalam semua subjek. Itulah "super-genius" yang dipersembahkan oleh Andrea Hirata. Walaupun " super-genius" , akibat kesempitan hidup setelah bapanya mati, Lintang berhenti sekolah dan akhirnya bekerja sebagai pemandu lori. Bila ditanya tentang hidupnya, Lintang hanya berkata:

" Aku sudah memenuhi cita-cita bapaku agar TIDAK menjadi nelayan".

Itulah lintang, "super-genius' yang bernasib malang. Membaca cerita ini , saya teringat cerita sepupu isteri saya di Jeram Selangor. Dia bukanlah "super-genius" tetapi dalam tahun 60-an, ketika orang Melayu belum lagi kenal sekolah Inggeris, dia sudah dapat sijil Senior Cambrige dengan pencapaian yang cukup baik. Dia bukan seperti Lintang sebab bapanya kaya dan mampu memiliki kereta pada zaman 50-an. Hebat keluarganya.

Selepas memiliki sijil SC dengan pencapaian yang cukup baik, beliau ditawarkan biasiswa dalam bidang kedoktoran di England. Dalam proses pengambilan visa dan sebagainya, bapanya terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia. Beliau terpaksa membatalkan hasratnya sebab dia merupakan anak sulung daripada 11 adik beradik. Dia terpaksa mengambil alih perniagaan bapanya dan memelihara adik-beradiknya yang lain. Ibunya pula kahwin lain dan meninggalkan keluarga. Tanpa diketahuinya , ibunya telah menjualkan kedai tersebut kepada orang lain. Dia tinggal dalam keadaan cukup terharu. Bapa mati, tolak tawaran luar negeri, emak lari, kedai di jual dan terpaksa pula menanggung keluarga yang ramai. Bayangkan kita dalam umur 20-an sudah dibebani dengan tanggungjawab yang begitu besar. Belum kita kita mampu memikulnya.

Disebabkan kesempitan hidup dia mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai seorang buruh kontrak. Setiap bulan dia menghantar sejumlah wang untuk keluarga dikampung. Nasibnya bertambah malang apabila dia terjatuh daripada bangunan dan lumpuh selama hampir setahun. Nasib baiklah ketika itu ibunya telah menjadi janda dan mengambil alih urusan menjaga keluarga. Dia diperlihara oleh satu keluarga India yang kini menjadi sebahagian keluarganya kerana dia mengahwini anak keluarga India tersebut.

Dia berbeza daripada Lintang kerana dia mempunyai semangat juang yang kental. Dari kesusahan, dari kesempitan, dia berusaha, tanpa mengenal penat lelah, kini dia telah berjaya menjadi kontraktor besar dengan tender jutaan ringgit. Kalau kita melawat rumahnya sekarang, dibelakang rumahnya berbaris puluhan "caterpillar" untuk meratakan tanah. Satu yang saya cukup kagum tentng dirinya ialah dia masih memakai kereta yang cukup sederhana walaupun sudah bergelar jutawan. Pengajarannya ialah , walaupun kita semalang Lintang, kita boleh bangun berjuang, kita boleh bangun menongkah arus dan InsyaAllah kita akan dapat mengecapi nikmat hidup yang lebih sempurna.

Lintang tidak hebat kerana semangat juangnya tidak kuat.

LINTANG PUKANG.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan