Selasa, 29 Disember 2009

138



Pada 24 Disember 2009 merupakan hari yang bersejarah bagi sekolah saya, sekolah hebat kerana pencapaian yang diluar dugaan. Pencapaian 138 orang pelajar mendapat straight A's. Pencapaian ini tidak pernah tercapai sejak berdekad lamanya. Paling tinggi ialah pencapaian pada tahun 2007 iaitu sebanyak 117 orang yang mendapat semua A. Ramai yang memuji-muji, ramai yang memuja-memuja. Ada yang kata program kami berjaya sedangkan kami buat program biasa saja. ( baca artikel NO MAGIC WAND ) , program yang biasa orang lain buat tetapi satu perkara agak berbeza iaitu kami betul-betul tumpukan usaha di saat-saat terakhir sebelum peperiksaan PMR bermula. Apa kami buat? Kami sediakan kelas-kelas yang betul-betul intensif untuk memulihkan beberapa orang pelajar yang kami anggap sudah tersasar daripada landasan.

Pencapaian 138 adalah yang terbaik setakat ini dan tahun hadapan, secara peribadi saya yakin angka itu akan meningkat lagi. InsyaAllah. Saya pulangkan apa-apa sanjungan yang kami dapat kepada Allah kerana hanya Allah sahaja yang layak dipuji. Manusia tidak boleh mengambil sifat Allah iaitu Maha Terpuji. Apalah ada kepada kita kalau Allah tak kurniakan segala kejayaan?. Hebat kuasamu Allah. Kami bersyukur kerana kau berikan kami kejayaan yang luar biasa.

Ketika saya mengambil buku perancangan daripada kedai fotostat, ada juga guru yang menempelak kononnya dia kata:

"Ibrahim sepatutnya dapat 100% semua A".

Saya ambil itu sebagai cabaran dan tahun 2010, kalau pun tak dapat 100% semua A maka peratus yang mendapat semua A akan meningkat dengan lebih hebat. Itulah iltizam kami, itulah usaha kami dan itulah landasan kami menuju kejayaan .InsyaAllah. Betul , yang masuk ke SMK Ibrahim hampir semuanya 5A pada peringkat UPSR dan secara logik semuanya boleh mencapai semua A. Kita kena fikir, kita bukan berurusan dengan buah kelapa tapi berurusan dengan manusia. Kalau buah kelapa boleh kita kata kalau 100 kelapa diambil dari pokok kelapa pandan, semua airnya akan wangi, tapi ini manusia, dan untuk mendidik manusia tentulah sangat-sangat berbeza daripada menjaga pohon kelapa.

Pencapaian yang ditetapkan oleh JPN Kedah untuk sekolah-sekolah KRK mencapai semua A ialah 40% tetapi Ibrahim telah mencapai 56%, jauh lebih tinggi daripada apa yang ditetapkan.Tahun 2010 angka 56% akan berganjak naik mungkin 60% dan merupakan yang tertinggi di Kedah sesuai dengan visi SMK Ibrahim untuk : MENJADI NOMBOR SATU DALAM KEDAH PADA TAHUN 2010.InsyaAllah.

Untuk para guru SMK Ibrahim, saya menyeru agar kalian mempersiapkan diri, bersedia diuji, rela bekerja sehabis hati untuk mencapai visi yang terpuji. Kita berbakti bukan saja kepada manusia tetapi betulkan niat kita untuk Allah . Di dunia kita dapat kebaikan, diakhirat kita dapat kerahmatan. Didunia kita menang, di akhirat kita senang. InsyaAllah.

Kepada para pelajar saya hanya ingin nyatakan " you are on the right track to success. Never try to go out of that track because once you are out of the track, you will be left out". Work hard and work smart.

TRULY NUMBER ONE.

Khamis, 24 Disember 2009

KLCC hilang!



Jika itulah tajuk akhbar hari ini, tentu kita tak percaya. Tentu kita kata surat khabar sudah gila. Kita kata pengarangnya tentu sudah auta. Pembohong belaka. Itulah yang akan kita kata kalau tajuk akhbar sedemikian rupa pada ketika ini.

Bayangkan seratus tahun dari sekarang. Tajuk KLCC hilang mungkin satu perkara biasa yang tak akan mendatangkan ghabra. Orang terasa macam biasa. Kan ke ada pepatah? Alah bisa tegal biasa. Perkara yang selalu berlaku maka sudah jadi biasa.

Kalau saeratus tahun yang lampau orang kata enjin kapalterbang hilang, tentu mereka rasa terpegun. Enjin kapalterbang sangat besar, sangat berat. "Gigantik" kata orang putih. Bagaimana orang nak curi enjin kapalterbang? Kalau curi durian atau kelapa bolehlah,ini enjin kapalterbang. Macam mana boleh hilang. Inilah yang sangat mengagumkan jika perkara ini terjadi seratus tahun yang lampau. Tapi perkara ini berlaku sekarang dan saya langsung tak hairan. Segala macam peralatan ada untuk memungkinkan hasrat sedemikian menjadi nyata.

Mungkin pada tahun 2110 manusia telah begitu maju. Sudah ada peralatan yang boleh menghilangkan KLCC. Mungkin pada waktu ini kita fikir itu idea gila, tetapi seratus tahun lagi itu mengkin sesuatu yang nyata. David Copperfield pernah menghilangkan KLCC seketika. Mungkin seratus tahun lagi KLCC akan hilang terus seperti istana Balkis yang diangkat untuk berada dinegeri Nabi Sulaiman. Istana Balkis diangkat oleh syaitan yang menjadi hamba kepada Nabi Sulaiman. Rupanya syaitan memang berkebolehan dalam mengangkat benda-benda berat.

Apakah persolannya disini? Kita mungkin terfikir bagaimana enjin yang begitu berat boleh hilang. Kalau basikal hilang, itu tak menghairankan. Adakah ketika enjin kapalterbang itu diangkat, jaga sedang tidur. Setahu saya nak membawa enjin kapalterbang memerlukan lori yang cukup besar.Lori yang besar akan mengeluarkan bunyi yang kuat. Kalau jaga tidur juga, maknanya jaga ini memang kaki tidur.Itu andaian pertama.

Andaian kedua mungkin enjin yang besar itu di "dismantle" kan kepada bahagian-bahagian kecil. Setiap hari bawa keluar satu skru yang kecil. Bahagian yang besar di potong kepada bahagian yang kecil sebelum disambung semula di luar. Timbul satu persoalan. Kalau semua bahagian yang terpisah-pisah tadi disambungkan semua di luar, boleh ke enjin itu digunakan semula.Saya bukan membincangkan tentang enjin kereta tapi enjin kapalterbang. Hairan sungguh hairan. Macam anak kerbau disambar haruan. Semua perkara boleh terjadi bila manusia sudah ........

HILANG INTEGRITI  .


Jumaat, 18 Disember 2009

Gol............


Gol.... gol..... gol.... itulah bahasa yang benar-benar antarabangsa melampaui batas negara, batas bahasa, batas loghat malah batas apa saja. Semua bangsa bila depa kata GOL kita tau maknanya bola sudah menerjah melepasi tiang gol. Bila sebut GOL maknanya penjaga gol sudah tertewas dan tidak dapat menangkap bola. Sebelum melalut lebih jauh, saya ucapkan berbanyak-banyak tahniah kepada pasukan Malaysia yang berjaya menjadi juara dan mendapat pingat emas dalam sukan bolasepak setelah 20 tahun menanti. Bayangkan kalau pelajar yang dah berusia 20 tahun. Kalau yang perempuan mungkin dah kahwin , begitulah lamanya masa 20 tahun. Tahniah sekali lagi.

Biarpun kemenangan tak berapa manis sebab bola dimasukkan ke gol sendiri oleh pemain Vietnam, tetapi " a goal is a goal no matter how". Satu gol tetap memihak kepada Malaysia. Teringat kata Dr M dahulu, " a vote is still a vote " dan kalau menang satu undi pun maka tetap dikatakan menang. Serupalah dengan gol. Cuma setelah habis kemenangan itu, kita baliklah ke kerja masing-masing. Jangan dok cerita pula berhari-hari dan berlarak bawa piala pula sampai keserata negeri. Tak payahlah nak seronok sangat sebab " perjuangan bagi agenda-agenda lain banyak yang belum selesai".

Teringat saya waktu Kedah menang Piala Malaysia, depa dok bawa piala keserata pelosok negeri. Punya seronok sampai cuti dua hari. Nasib baik Dr M batalkan sebab cuti panjang merugikan. Sabda Rasulullah, "Sebaik-baik perkara adalah yang sederhana". Jadi seronok pun biarlah sederhana.

Itulah uniknya permainan bola yang dapat menyatupadukan rakyat berbilang kaun, berbilang parti politik, berbilang etnik malah berbilang taraf ekonomi. Semua kalau menang rasa seronok dan pakat dok meloncat. Oleh itu eloklah kita pupuk perpaduan melalui bola sepak yang amat digemari di mana-mana saja. Bola sepak mengajar banyak disiplin terutama disiplin menahan marah. Kekadang mereka dikasari tetapi mereka tetap sabar dan menahan marah. Jarang kita lihat pemain bola sepak bergaduh atau bertumbuk. Kalau yang buat macam tu mungkin mereka kurang bertamadun walaupun mereka mungkin datang dari negara maju. Itulah bola sepak, alat perpaduan seluruh dunia.

GOAL, TRULY UNIVERSAL.

Isnin, 14 Disember 2009

Letak jawatan.


Letak jawatan. Itulah perkataan antara ribuan perkataan yang saya dengar pagi tadi apabila makan roti canai di Restoran Berkat. Ceritanya tentang seorang pengurus yang gajinya sudah cukup lumayan telah letak jawatan kerana berniaga jualan langsung menjual satu produk. Hebat , dan saya puji keberanian dia. Saya tak berani nak letak jawatan walaupun kalau dah berjaya dalam program jualan langsung. I dont have the gut to resign. Sorry for me.

Sebenarnya cerita letak jawatan ni memang banyak terutama bagi pegawai kerajaan yang telah berjaya dalam pelbagai bidang. Eloklah mereka letak jawatan dan beri peluang kepada orang lain pula naik pangkat. Kalau tak boleh tumpukan perhatian sepenuh masa terhadap tugas, eloklah letak jawatan. Letak jawatan secara berhemah lebih baik daripada bekerja secara tidak amanah.

Bermula ketika harga getah melambung naik sekitar tahun 50-an dulu ramai guru yang letak jaeatan dan jadi penoreh. Harga getah sekerap saja pun melambung cukup tinggi. Kutip getah sekerap seminggu dah lebih daripada gaji guru sebulan. Labih baik kutip getah sekerap. Itu baru kutip getah sekerap, belum menoreh lagi. Pendapatannya tentulah berlipat kali ganda. Lama kelamaan guru yang letak jawatan menyesal bila harga getah merundum turun dan gaji guru naik. Mereka menyesal.

Ketika harga kelapa sawit melambung tinggi , maka ramai pegawai FELDA letak jawatan dan jadi peneroka. Jadi pegawai FELDA gajinya tak seberapa jika dibandingkan dengan peneroka. Mereka irihati tengok peneroka pakai merc sedangkan mereka pakai toyota ke30. Depa pakat ramai-ramai letak jawatan. Kemudian sekali lagi kelapa sawit turun harga, mereka menyesal pula. Sesalan yang tak akan memberi apa-apa makna lagi.

Terbaru sekitar tahun 90-an , kawan saya semasa di u telah meletak jawatannya sebagai jurutera. Gajinya sudah lumayan, tetapi dia tertarik untuk menjadi jutawan. Dia letak jawatan dan bergabung dengan kawannya seorang "remisier" bursa saham. Memang pendapatannya lumayan sekali. Sehari pendapatannya melebihi gaji saya sebulan. Hinggakan dia kata dia rugi RM6ribu sebab dia sembahyang Jumaat. Begitulah sombongnya mereka ketika itu. Nak mengadap Allah pun berkira. Musim durian runtuh tidak panjang. Ketika saham merundum dan tak mau naik-naik hingga sekarang, saya pun tak dengar khabar darinya lagi. Saya doakan agar dia sihat sejahtera dan mendapat kerja yang baik.

Begitulah sekelumit nasib manusia yang bak kata pepatah " yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran". Oleh itu nasihat cikgu kepada para pelajar, jangan gopoh dalam mengejar kekayaan kerana orang yang gopoh selalunya membuat keputusan yang merugikan. Biar lambat ........

ASAL SELAMAT.

Jumaat, 11 Disember 2009

Ori


Cuba bandingkan di antara kereta di atas dengan yang di bawah. Kereta atas memang cantik, kalau dipandu kemana-mana memang selesa. Cuba bandingkan pula kereta di dawah. Ada ke siapa-siapa yang nak memandu kereta sebegini? Kalau ada pun yang teringin hanyalah mereka yang kurang siuman. Kalau di buat tak ramai yang akan beli. Sebab apa?

Jawapannya mudah. Sebabnya kereta di atas adalah yang "original" manakala yang di bawah tu adalah rekaan-rekaan yang menyimpang jauh daripada yang 0ri. Itulah sebabnya. Walaupun yang "baru" itu nampak pelik, kekadang nampak lebih sofistikated, lebih canggih tetapi selalunya tak tahan lama. Habis musim habislah kegunaannya. Ketika saya kecil dahulu, banyak orang yang "modify" basikal. Dijadikan tayarnya dihadapan jauh lebih kecil daripada yang dibelakang. Ketika itu kedai membaiki basikal cukup laku kerana ramai yang nak ubahsuai basikal. Ada yang terlalu ekstrim sampaikan tayar depan diambilnya roda kereta kanak-kanak. Memang tak cantik dan tak ori tapi itulah kegilaan muda-mudi zaman itu. Fenomena ini tak bertahan lama kerana tak ori maka lama-kelamaan fenomena itu mati dan basikal ditukar semula mengikut yang biasa kita gunakan.

Saya teringat seorang pelakon lawak kita yang suntik botox ke mukanya. Botox ini diambil daripada bakteria Botulinum yang mengeluarkan racun yang amat berbisa dan boleh membunuh. Belanja untuk mengubah mukanya bukan sedikit. Dari rupa orang lelaki, dah jadi macam perempuan. Muka putih, licin , gebu tu bukan muka lelaki. Muka lelaki mestilah ada sedikit menggerutu, sedikit kasar kulitnya. Baru ada "macho"nya. Dia menyesal sebab anak dia tak suka tengok, maka dia nak ubah pula balik ke muka ori. Lagi sekali kena keluarkan duit dan sakit pula. Bukan senang nak keluarkan cecair daripada kulit muka. Terpaksalah dia menangung sakit dan terpaksa pula menaggung belanja yang besar. Kalaulah dia tak suntik botox, mungkin dia dah boleh pergi haji dua kali. Membazir untuk kesakitan. Tentu tak cerdik kan?

Allah dah lebih tau macam mana muka yang elok. Allah dah jadikan antara muka perempuan dengan muka lelaki ada bezanya. Allah dah jadikan muka negro dengan muka orang putih berbeza. Ada sebabnya. Orang negro asalnya dari tempat panas yang perlukan lebih keratin, maka kulitnya boleh tahan panas. Kalau muka negro nak tukar ke muka orang putih, tentu tak sesuai. Macam orang Melayu yang pakai mata biru. Dah lah kulitnya hitam pekat, nak pakai mata biru tak sesuai. Jadi eloklah kita kekalkan apa yang Allah beri kerana sesungguhnya Allah lebih tau tentang kejadiannya. Maka eloklah para pelajar terutama para pelajar SMKI agar mengekalkan yang ori terutama rambut bagi lelaki. Jangan dok buat rambut batas ubi sebab yang itu hanya sesuai untuk artis yang terkenal suka meniru. Orang putih rambut batas ubi depa pun batas ubi juga. Orang putih suka bercerai, depa pun bercerai juga. Itulah hakikatnya.

ORI LAH YANG CANTIK.

Selasa, 8 Disember 2009

Tolong Melayu.


Ketika saya di pejabat pada hari Ahad lepas datanglah seorang yang pakai merc bersama-sama dengan suaminya. Selalunya dengan jurujual saya jarang berbincang, tetapi disebabkan sekarang bukan waktu persekolahan maka saya longgarkan sedikit peraturannya. Dia rupanya bukan jurujual sebab dia datang bukan nak menjual tapi cuma nak bagi penerangan. Hebat teknik dia. Kalau cakap nak jual barang, dan barang itu pula penapis air, saya langsung tak mau dengar sebab di rumah saya ada dua penapis air . Satu penapis jenis tinggi diluar rumah dan satu lagi penapis air untuk diminum. Malah penapis dalam rumah tu siap dengan pelbagai jenis air, air sejuk, suam atau pun panas. Pendekata kalau dari segi penapis, di rumah saya dah cukup lengkap.

Dia merupakan seorang jutawan yang sudah berjaya hasil daripada penglibatannnya dalam syarikat penapisan air tersebut. Penglibatannya dengan syarikat tersebut baru beberapa bulan. Malah dia berkata lagi yang ramai orang Melayu telah menjadi jutawan hasil berniaga dengan syarikat tersebut. Saya pun tergamam sebab saya pun nak jadi jutawan juga. Siapa tak mau senang? Siapa tak mau kaya?. Terfikir pula saya, apakah yang dia maksudkan dengan jutawan? Adakah jutawan itu bila ada aset sejuta? ataupun bila ada duit sejuta? Kalau begitu dah ramai orang kampung jutawan sebab tanah mereka melebihi nilai sejuta kerana sekarang tanah cukup mahal, bezanya mereka jutawan berbasikal buruk.

Dia terangkan lagi bahawa "marketing plan" yang dia buat bukan jual barang tapi lebih kepada "sponsoring" . Contoh bayar RM30,000 lepas sebulan dapat RM4600 dan dapatlah 15 penapis air yang boleh dijual pada harga RM2000 sebuah. Tapi kalau sponsor lagi 2 orang maka dapatlah lagi beberapa ribu. Kalau sponsor 4 orang dapat pula puluhan ribu. Kemudian dia pun tunjukkan orang-orang yang berjaya. Mereka terdiri daripada para doktor, para pengarah syarikat, para guru sampailah kepada pembantu makmal yang semuanya Melayu. Maknanya dengan plan yang mereka kemukakan semua boleh berjaya. Syabas. memang hebat.

Dia juga menyambung mengatakan tauke syarikat adalah seorang bukan Melayu tapi bercadang untuk melahirkan ramai jutawan Melayu. Saya terkejut kerana ramai sungguh syarikat-syarikat nak bantu Melayu. Dulu Pak Man Telo pun kata nak bantu Melayu, lepas tu syarikat Buluh Emas pun nak bantu Melayu malah semua syarikat skim cepat kaya nak bantu Melayu. Patutlah ramai sungguh Melayu yang dah kaya hinggakan ada yang jadi gila kerana terlalu kaya. Ada yang pergi ke petrol pam, bawa basikal nak isi minyak kerana "terlalu" kaya, hasil daripada syarikat yang nak "tolong Melayu".

Dia sambung lagi, dia kata saya banyak pengaruh dan kenal banyak orang. Saya boleh sponsor ramai dan bila sponsor ramai maka cepat saya jadi jutawan. Saya pun tertawan dan bagilah RM30 untuk pendaftaran. Kemudian saya pun fonlah kawan-klawan yang baru pencen. Mereka memang berduit sebab dapat duit graduiti paling kurang seratus ribu. Kalau setakat RM30 ribu, rasanya tak ada masalah. Dalam congakan saya nak dapat 4 orang cukup mudah apatah lagi dengan plan pemasaran yang begitu hebat. Orang yang tak ada duit pun sanggup berhutang, apatah lagi yang memang berduit. Saya dah berangan-angan nak pakai merc bermata kacang, nak pergi umrah percuma dan kalau dapat sponsor ramai dapat pencen pula. Inilah satu-satunya syarikat swasta yang bagi pencen. Syarikat EXXON yang nilai asset bertrillion dolar pun tak boleh bagi pencen. Hebat syarikat ini.

Kemudian selepas saya balik saya fikir kembali. Kalau saya sponsor 4 orang yang baru pencen ini, mereka kenalah pula cari 4 orang lain setiap orang. Maknanya mereka kena cari 16 orang lain. 16 orang lain yang mereka sponsor kena cari 64 orang lain. Dan kalau ada 96 orang dibawah saya, saya dapat pangkat DDM, pangkat yang paling tinggi. Saya congak balik, 96 x RM30,000, maknanya syarikat dapat RM2,880,000.00 Patut dia boleh bagi pencen yang boleh diwarisi. Saya nak pi bank dah nak ambil duit, nasib baik hari Ahad. Bank tutup. Saya bayangkan pula muka empat orang kawan saya yang saya akan sponsor. Kalaulah mereka tak dapat cari 4 orang lagi maka duit mereka akan hilang. Yang dapat hanyalah 15 penapis air yang mereka "terpaksa" jual yang belum tentu lakunya. Mereka mungkin menyalahkan saya kerana kehilangan wang mereka yang amat berharga. Wang daripada simpanan puluhan tahun. Akibatnya keakraban saya dengan mereka akan terjejas. Mereka mungkin hari-hari memaki hamun saya dalam doa mereka. Kalau makbul doa mereka merc saya nanti kena tarik dan saya boleh jadi gila. Sebelum jadi begitu, maka saya ambil keputusan untuk matikan niat nak jadi kaya, matikan niat nak pakai merc.

Kesimpulannya syarikat ini bukan nak tolong Melayu tapi dia samalah seperti orang lain yang nak menipu Melayu sebabnya orang Melayu suka benda-benda yang cepat nak jadi kaya. Dia "paksa" Melayu beli dan Melayu jual dan kerja dia cuma keluarkan penapis air dan mengaut keuntungan jutaan ringgit. Kita tak akan hairan kalau selepas ini kita lihat ramai yang murung kerana hutang menimbun dan balik rumah penapis air bertimbun. Insaflah wahai kawan-kawanku. Sampai bila kita nak di tipu? Memang ada yang kaya tetapi kaya kerana "tenggala" belakang orang lain. Forget about it.

Perhatian: Saya tidak berniat untuk meyinggung perasaan mana-mana bangsa, hanya mengemukakan fakta.

TOLONG MELAYU MERANA.

Isnin, 7 Disember 2009

Asrama.


Asrama. Itulah perkataan yang semua pelajar tau. Daripada sekolah rendah sampailah ke universiti, ada saja para pelajar yang duduk di asrama. Kekadang sampai nak mati pun masih lagi ada yang duduk di asrama. Asrama orang-orang tua bila anak-anak tak mau bela. Berdoalah agar itu jangan menimpa diri kita. Nauzubillah.

Ketika disekolah rendah saya amat teringin untuk duduk di asrama. Maklumlah asrama ada kipas angin, ada lampu letrik, ada air paip, ada katil yang bertilam, ada meja untuk belajar dan ada daging seminggu sekali. Berbeza dengan di rumah yang pakai lampu minyak tanah, air telaga, daging hanya waktu raya dan belajar sambil meniarap sebab tiada meja. Maka asrama dirasakan seperti sebuah istana bagi saya ketika itu. Peritnya hidup tapi tetap bersyukur kerana ada orang lain yang nasibnya lebih teruk daripada saya. Alhamdulillah.

Pengalaman berasrama kali pertama saya alami ialah setelah saya "singgah" sekejap di MCKK. Sekolah yang berprestij yang semuanya lelaki. Saya singgah sekejap untuk Tingkatan Enam selama sebulan sebelum terus memasuki UPM. Selepas daripada itu, asrama merupakan tempat yang kita habiskan lebih banyak masa daripada rumah sendiri sehinggalah kita kerja. Barulah merasai suasana rumah kembali. Maknanya kita menghabiskan masa kira-kira sepuluh tahun untuk berada di asrama. Semua yang masuk universiti mesti merasai alam asrama paling kurang empat tahun. Itulah asrama.

SMK Ibrahim ada 4 blok asrama yang mampu menempatkan 250 orang pelajar. Kebanyakannya para pelajar yang tinggal jauh daripada bandar Sungai Petani. Pelajar-pelajar ini kami didik sebaik mungkin agar mereka mendapat kemudahan yang secukupnya untuk memastikan pencapaian mereka setanding dengan para pelajar SMK Ibrahim yang lain. Kami memberikan banyak peruntukan untuk menaikkan taraf kehidupan dan mutu pembelajaran kepada mereka. Mereka bernasib baik.

Bercakap tentang asrama, ada pro dan kontranya. Ada sesetengah pelajar tak sesuai untuk berada di asrama. Antaranya pelajar yang kurang berdisiplin. Bagi yang berperangai seperti ini, asrama umpama penjara yang mengongkong mereka. Ada juga yang membuat kerja sampingan untuk menyara keluarga. Bagi pelajar seperti ini, asrama juga tidak sesuai untuk mereka. Ada ibu bapa yang tak mau berjauhan dengan anak-anak sebab terlalu manja. Ini lagi satu kategori yang kalau anak dihantar ke asrama, emak dan anak menangis berhari-hari. Dulu asrama ada "ragging" tetapi sekarang tiada lagi. Waktu di MCKK , kawan saya dari Perak (dah jadi akauntan ) menangis teresak-esak , memecah kesunyian malam kerana dia disuruh tidur di atas seketul bata. Padan dengan dia pun, pergi asrama tak bawa bantal. Lepas seminggu dia keluar dan masuk ITM.

Ketika saya di SMK Yan, saya kerap juga melawat pelajar-pelajar yang tak hadir kesekolah. Saya pernah pergi kesebuah rumah yang cukup daif dan anaknya ponteng sekolah. Setelah diselidiki, anaknya tak kesekolah sebab tiada duit untuk tambang bas. Maka saya pun memasukkan pelajar tersebut ke asrama dalam kategori palajar miskin. Bayarannya hanyalah seringgit sebulan. Itu pun saya bayarkan Maknanya pelajar ini duduk di asrama " fully free of charge". Malangnya tak lama kemudian pelajar ini lari dari asrama sebab asrama banyak peraturan yang tiada dirumahnya. Tinggal diasrama tak boleh cari ketam yang merupakan sumber pendapatan baginya. Dia keluar daripada asrama dan sebulan kemudian terus berhenti dari sekolah. Nasibnya tidak berubah. Dia mewarisi kemiskinan keluarga berdekad lamanya.

Bagi anak orang-orang berada, asrama memang tidak sesuai kerana kurang kemudahan jika dibandingkan dengan rumahnya. Lagi satu masalah ialah bila berada di asrama, mereka kurang kemudahan untuk kelas tuisyen. Bagi para pelajar SMK Ibrahim, tuisyen dah jadi wajib. Kalau tak tuisyen rasa tergugat, rasa tak selamat. Maka ramai di antara para pelajar begini yang rela tinggal menyewa di luar daripada berada di asrama.

PRASARANA LENGKAP ASRAMA MANTAP.

Sabtu, 5 Disember 2009

Lintang


Baru-baru ini , ketika cuti bermula saya dan keluarga berehat di Bukit Merah. Hebat, suasana sunyi, damai, tenteram dan boleh betul-betul berehat. Inilah rehat yang berkualiti. Sempatlah saya membaca sebuah novel oleh Anrea Hirata iaitu Laskar Pelangi. Buku yang cukup menarik dan jalan cerita tentang pelajar-pelajar kampung yang serba serbi kekurangan. Jalan cerita diolah agar kita yang membaca tak boleh letak buku selagi belum habis cerita.

Antara banyak watak yang di persembahkan, ada satu watak yang saya kira sedikit tersentuh ialah watak Lintang. Lintang digambarkan sebagai seorang "super-genius" , mungkin sehebat ADi Putra dalam matematik. Lintang bukan sahaja pandai matematik tetapi dalam semua subjek. Itulah "super-genius" yang dipersembahkan oleh Andrea Hirata. Walaupun " super-genius" , akibat kesempitan hidup setelah bapanya mati, Lintang berhenti sekolah dan akhirnya bekerja sebagai pemandu lori. Bila ditanya tentang hidupnya, Lintang hanya berkata:

" Aku sudah memenuhi cita-cita bapaku agar TIDAK menjadi nelayan".

Itulah lintang, "super-genius' yang bernasib malang. Membaca cerita ini , saya teringat cerita sepupu isteri saya di Jeram Selangor. Dia bukanlah "super-genius" tetapi dalam tahun 60-an, ketika orang Melayu belum lagi kenal sekolah Inggeris, dia sudah dapat sijil Senior Cambrige dengan pencapaian yang cukup baik. Dia bukan seperti Lintang sebab bapanya kaya dan mampu memiliki kereta pada zaman 50-an. Hebat keluarganya.

Selepas memiliki sijil SC dengan pencapaian yang cukup baik, beliau ditawarkan biasiswa dalam bidang kedoktoran di England. Dalam proses pengambilan visa dan sebagainya, bapanya terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia. Beliau terpaksa membatalkan hasratnya sebab dia merupakan anak sulung daripada 11 adik beradik. Dia terpaksa mengambil alih perniagaan bapanya dan memelihara adik-beradiknya yang lain. Ibunya pula kahwin lain dan meninggalkan keluarga. Tanpa diketahuinya , ibunya telah menjualkan kedai tersebut kepada orang lain. Dia tinggal dalam keadaan cukup terharu. Bapa mati, tolak tawaran luar negeri, emak lari, kedai di jual dan terpaksa pula menanggung keluarga yang ramai. Bayangkan kita dalam umur 20-an sudah dibebani dengan tanggungjawab yang begitu besar. Belum kita kita mampu memikulnya.

Disebabkan kesempitan hidup dia mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai seorang buruh kontrak. Setiap bulan dia menghantar sejumlah wang untuk keluarga dikampung. Nasibnya bertambah malang apabila dia terjatuh daripada bangunan dan lumpuh selama hampir setahun. Nasib baiklah ketika itu ibunya telah menjadi janda dan mengambil alih urusan menjaga keluarga. Dia diperlihara oleh satu keluarga India yang kini menjadi sebahagian keluarganya kerana dia mengahwini anak keluarga India tersebut.

Dia berbeza daripada Lintang kerana dia mempunyai semangat juang yang kental. Dari kesusahan, dari kesempitan, dia berusaha, tanpa mengenal penat lelah, kini dia telah berjaya menjadi kontraktor besar dengan tender jutaan ringgit. Kalau kita melawat rumahnya sekarang, dibelakang rumahnya berbaris puluhan "caterpillar" untuk meratakan tanah. Satu yang saya cukup kagum tentng dirinya ialah dia masih memakai kereta yang cukup sederhana walaupun sudah bergelar jutawan. Pengajarannya ialah , walaupun kita semalang Lintang, kita boleh bangun berjuang, kita boleh bangun menongkah arus dan InsyaAllah kita akan dapat mengecapi nikmat hidup yang lebih sempurna.

Lintang tidak hebat kerana semangat juangnya tidak kuat.

LINTANG PUKANG.

Jumaat, 4 Disember 2009

Poliharmoni



Ini adalah posting yang paling pendek dalam sejarah. Itu adik ipar saya yang mengamalkan poliharmoni. Bini dua tapi harmoni.

Tak mau komen lanjut takut nanti ramai yang muka berkerut.

Sebab apa harmoni?, tuan-tuan dan puan-puan fikir sendiri.

POLIHARMONI.

Chenge


Perempuan dalam gambar ni sangat "chenge" . Mukanya masam, matanya terbeliak, pandangannya tajam. Kalau ada cikgu macam ini alamat anak murid senyap dan khusyuk. Mungkin nak pergi ke tandas pun tak berani nak minta sebab takut. Itulah maksudnya "chenge". Bahasa orang utara yang bermaksud garang atau bengis.

Sepanjang saya menjadi PK HEM di SMK Yan selama setahun setengah ada pelbagai jenis ibu bapa yang saya jumpa. Selalunya saya panggil ibu bapa bila anak mereka bermasalah seperti ponteng kelas, merokok ataupun kekadang menconteng kereta guru. Ada satu insiden di mana kereta guru disiplin yang baru dibeli telah diconteng dengan teruk sekali. Sayang kereta baru beli. Jadi penduannya kalau nak jadi guru disiplin, jangan bawa kereta baru ke sekolah. Contoh macam Cikgu Gan di SMK Aman Jaya. Dia bawa kereta yang amat buruk dulunya sampai dia sanggup mencabar pelajar untuk menconteng keretanya.

Berbalik kepada cerita tadi, selepas kami tangkap penconteng tersebut , saya panggil bapanya yang juga seorang mekanik bersama anaknya sekali. Selepas rundingan bapanya bersetuju untuk membayar RM600 secara ansuran iaitu seratus sebulan. Selepas semua setuju, tiba giliran untuk menghukum anaknya pula. Belum sempat saya berkata apa-apa, bapanya yang tengah marah terus menumbuk anaknya dengan kuat sekali. Nasib baik anaknya sempat mengelak. Kalau tidak sah masuk hospital. Bila anaknya mengelak, penumbuk bapanya terkena kedinding . Nasib baik jugalah dindingnya dibuat daripada "plywood" yang memisahkan bilik PK HEM daripada bilik PK. Terkejut Cikgu Kamariah, PK ketika itu. Kalau dinding daripada batu, bapanya pula yang kena dihantar ke hospital. Itulah cerita bapa yang "chenge". Puas jugalah saya menyabarkan bapanya suruh mengucap dan sebagainya untuk dia "cool down ".

Ada lagi satu kes yang bapanya langsung tak "chenge". Anaknya kerap ponteng kelas dan panjat pagar. Setelah di panggil bapanya dan anaknya, maka berkatalah bapa kepada si anak.

" Tu lah Man, bapa dok kata dah, jangan langgar peraturan sekolah. Man sekolah lah baik, baik, cikgu pun tak marah " dengan nada yang cukup romantis . Selepas sessi tersebut, guru disiplin berbisik kepada saya,

" Patutlah anak melampau, bapa langsung tak chenge. Lain kali kita panggil bapa dan godam dia sebab dia tak reti jaga anak " Saya hanya mampu tersenyum.

Itulah kekadang kita kena "chenge" sedikit tetapi kalau terlalu "chenge" nanti anak lari pula dari rumah. Tak "chenge" anak lari dari rumah ikut kekasih "chenge" sangat pun anak lari dari rumah juga. Serba serbi tak kena. Jadi untuk para pelajar ingatlah jasa ibu bapa. Jangan buat sesuatu yang menyusahkan ibu bapa. Ibu terutamanya telah begitu menderita ketika mengandungkan kita, janganlah derita itu ditambah sehingga kita mencecah dewasa.

"CHENGE" MESTI SEIMBANG.

Rabu, 2 Disember 2009

A's


Tu dia, semua A. Hebat, hebat, bukan senang nak dapat semua A. Tapi sekarang itulah yang dikejar, itulah yang dicari sampaikan kekadang kalau ada satu B ada yang menangis seperti kehilangan anak . Ini berlaku ketika saya mengambil keputusan anak saya di SR Islah. Ada seorang ibu yang menangis teresak-esak sampaikan merah muka sebab anaknya dapat 4A 1B dalam UPSR. Anaknya nampak selamba sahaja tetapi emaknya pula yang lebih. Kekadang terfikir dalam hati, yang ambil periksa tu emaknya ke atau anaknya? Itulah hakikatnya sekarang. Kalau waktu keputusan dikeluarkan, yang berdebar bukannya anak tetapi emaknya. Zaman dah berubah.

Teringat saya ketika saya ambil keputusan MCE lama dulu. Ibu bapa saya tak tau pun yang keputusan dikeluarkan. Saya naik basikal pergi ambil sendiri. Dapat gred satu. Hebat ketika itu kalau MCE dapat Gred 1. Ketika saya bawa balik keputusan, emak baru balik dari menoreh. Saya buat kejutan mengatakan saya gagal. Dia sikit pun tak kecewa, muka dia selamba saja cuma dia kata;

" Kalau tak pas, pi lah ambil lain" maknanya dia suruh mengulang sekali lagi untuk ambil MCE sekali lagi.

Kemudian nama saya masuk akhbar sebab dulu nak dapat Gred Satu payah sekali terutama bagi pelajar kampung seperti saya. Bapa saya bangga sebab ada orang bagi tau dia yang nama saya ada dalam akhbar. Tu pun bukan besar, nama saya ada di antara ratusan orang lain. Bapa saya memang tak tau sebab mana ada duit nak beli surat khabar. Lebih baik beli ikan daripada beli akhbar.

Sekarang semua nakkan semua A. mereka tak fikir lagi berapa A tetapi yang penting semua A. Kedua-dua anak saya yang terdahulu memang dapat semua A sewaktu UPSR tetapi anak yang ketiga, Suhaiza dapat 4 A 1B untuk UPSR. Tapi kalau nak kira dari segi bilangan A, dia paling banyak sebab dia dapat 11 A 7 B sebab disekolahnya subjek ada 18. Kira dia hebatlah juga.

Kemudian tadi anak saya ambil ujian nak masuk ke SMKA. Ramainya anak kawan-kawan yang ambil periksa. Kebanyakannya semuanya 5A dan tak ramai yang dapat 4A 1B. Nak masuk ke SMK Ibrahim memang tak boleh sebab nak masuk SMK Ibrahim mesti semuanya 5 A. Dah tulis dalam borang tu pun. Ada member telefon depa nak minta tolong untuk masukkan anak ke SMK Ibrahim. Saya kata anak Pengetua pun tak boleh masuk ke SMK Ibrahim. Anak saya pun saya tak terfikir langsung nak masukkan ke SMK Ibrahim sebab dapat 4A 1B. Urusan pemilihan dijalankan oleh PPD bukannya pentadbir SMK Ibrahim. Kami cuma terima saja sebanyak mana yang diberikan oleh PPD. Anak cikgu SMK Ibrahim pun, kalau tak dapat 5A memang tak boleh masuk. Jadi jangan dok fikir bahawa anak cikgu Ibrahim senang nak masuk sekolah Ibrahim. memang tak boleh. Jadi jangan dok minta tolong lagi.

Saya sentiasa menyatakan kepada isteri saya, bahawa saya dulu pun satu A pun tak dapat tapi hidup taklah susah sangat. Ada kawan saya yang gagal waktu MCE tetapi sekarang dah jadi kontraktor besar dan boleh gajikan jurutera yang kelulusan tinggi-tinggi. Contohnya di Sungai Petani sendiri. Ada tauke yang tak lulus PMR tetapi dah jadi jutawan. Rezeki tu ada dimana-mana. Jadi kepada ibu bapa termasuk saya, saya sentiasa mengingatkan bahawa tak dapat semua A bukannya " the end of the world". Usah risau sangat, peluang banyak lagi selepas UPSR ini.

A JUST ALPHABET.

Selasa, 1 Disember 2009

Hypotenuse


The longest side of a right-angled triangle. That's hypotenuse. Sempadan yang paling panjang bagi sebuah segitiga tepat. Itulah hipotenus. Itulah definisi hipotenus bagi versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Apa kena mengena hipotenus dengan cerita yang akan saya nukilkan? Sabar, sesungguhnya sabar itu separuh daripada iman. Amin..

Kalau satu sempadan itu 4 cm dan satu lagi 3 cm, maka hipotenusnya mestilah 5, begitulah seterusnya dalam gandaan tersebut. Semua ini saya ingat cukup elok dan cukup baik. Kalau orang gerakkan saya daripada mimpi bertemu jerangkung sekalipun saya boleh jawab banyak soalan tentang hipotenus. Apa sebab pula ni? makin suspens. Sabar, sabar, jangan tak sabaq noooo...

Sebenarnya semua kisah ini datangnya daripada pengalaman zaman dahulu, ketika saya bersekolah di High School Bukit Mertajam. Ada seorang guru matematik yang tidaklah berkelulusan tinggi, tapi cara pengajarannya saya sanjungi hingga sekarang. Kalau dia beri latihan semua mesti diselesaikan tanpa satu pun boleh cacat celanya. Cara menjawab pula ada stail sendiri misalnya tanda sama juga ( = ) mestilah sama dari atas hingga kebawah. Kalau tanda tu tak sama , alamat kepala pun tak sama ( bengkak ) sebab kena ketuk dengan bucu pembaris setengah meter yang sentiasa berada ditangannya. Tapi masa itu tak banyak pula ibu bapa yang datang menyerbu guru. Tak ada seorang pun yang bawa kes ke mahkamah. Zaman dah berubah. Dulu "loyar" tak ramai. Cikgu yang saya maksudkan ini iala cikgu Cheah Seng Hee. Saya ingat namanya walaupun sudah 35 tahun berlalu. Nama guru yang hebat akan diingat sepanjang hayat.

Saya masih teringat hingga hari ini ketika dia bertanyakan kami seluruh kelas apakah maknanya hipotenus. Seluruh kelas tak tahu jawab. Dia semakin marah, takkan daripada 40 orang pelajar 4 Sains 2 tak tau makna hipotenus. Lalu dia ambil kayu yang digunakan untuk membuat garisan ( kayu 1 inci x 2 inci ) sepanjang satu meter dan mengungkapkan kata-kata hikmat ini. Hikmat sebab saya masih boleh ingat.

" I'll count until thirty. If nobody can give the answer that I ask, each of you will feel how hard this thing is. " sambil menggawang-gawangkan kayu itu.

Satu amaran dan ancaman yang cukup hebat. Tengok muka dia pun tau dah yang dia sedang marah yang amat sangat. Kata orang utara, dia tengah mendidih. Apa lagi, kami yang 40 orang tu pun cari buku, selak sana, selak sini, kerobek sana, kerobek sini sedangkan dia dok tengah buat " count down " . Sampai bilangan yang ke 21 ada seorang pelajar angkat tangan dan bagi jawapan yang cukup tepat.

"Hypotenuse is the longest side of a right-angled triangle, Sir"

Dia senyum dan saya rasa cukup lega. Mungkin selega orang yang dah lepas hutang daripada seorang along yang garang. "Relieve" sungguh kata orang putih. Itulah sebabnya saya sampai sekarang pun tak akan lupa hipotenus. Saya akan ingat sampai ke mati InsyaAllah.

Itulah kekadang kita perlu ada guru yang garang. Guru yang suaranya lantang, guru yang membuatkan para pelajar dirangsang. Kalau guru yang begitu romantik, para pelajar akan suka tetapi balik rumah depa tak ingat apa-apa dan depa tak buat apa-apa. Depa tau cikgu tak akan marah. Dan mereka akan marah bila markah jadi warna merah.

GARANG YANG MERANGSANG.