Sabtu, 21 November 2009

Cacat tetapi kuat.


Inilah dia si cacat yang kuat. Dia cacat tetapi azamnya kuat. Semangatnya kental, tak mudah mengalah walaupun dalam serba payah. Dalam kepayahan ke sekolah, dalam serba kekurangan dia masih boleh mencari ruang-ruang untuk meloloskan diri dari kegagalan. Inilah manusia hebat yang sepatutnya kita ambil iktibar. Inilah Siti Nurfarah Hanim Azman yang berjaya mendapat 5A walaupun cacat dan menghadapi pelbagai rintangan. Inilah yang akan saya tunjukkan kepada sesiapa saja yang sihat, yang ibubapanya mampu, yang berkereta besar tetapi gagal dalam pelajaran. Sayang seribu sayang, mereka gagal memanfaatkan segala peluang yang diberikan.

Jika anaknya hebat, ibunya Norhaida Harun tak juga kurang hebatnya. Dia mampu mengatasi segala kepayahan untuk menghantar anaknya setiap hari ke sekolah dan menjemputnya pula bila pulang. Inilah tangan-tangan yang menghayun buaian yang cekal, yang kental dan berhati waja. Syabas untuk Norhaida dan Siti Nurfarah Hanim. Tabik hormat kepada kalian.

Melihatkan kisah sebegini teringat saya akan kisah Helen Keller yang bisu, pekak dan buta tetapi mampu menjadi seorang ahli falsafah yang terkenal. Bayangkan kalau kita bisu, pekak dan buta. Apakah yang mampu kita buat? Helen Keller hebat dan cekal, tetapi yang lebih hebat tentulah gurunya yang mengajar Helen menulis dan membaca. Nak mengajar orang buta, bisu dan pekak menulis dan membaca adalah satu perkara yang hampir mustahil. Kalau pada zaman ini mungkin agak senang sebab ada pelbagai teknologi yang boleh digunakan tetapi ini zaman ratusan tahun yang lalu. Hebat Helen Keller, tapi hebat lagi gurunya.

Semangat sebegini sepatutnya ada pada semua guru. Anak-anak murid kita taklah secacat Helen Keller tapi ramai juga yang tak tau membaca walaupun setelah enam tahun berada di sekolah rendah. Saya selalu bertanya, apa cikgu buat selama enam tahun untuk menjadikan para pelajar sekurang-kurangnya boleh membaca? Cikgu tadika boleh mengajar kanak-kanak untuk membaca dalam setahun, tapi kenapa ada murid yang tak boleh membaca selepas enam tahun? Satu kemushkilan yang kalau tanya sapa pun mereka akan terbeliak biji mata. Tak percaya.

Lihat pula ketika kita buat Headcount sewaktu meletakkan ETR kepada para pelajar. Ada yang meletakkan ETR sebagai gagal. Kalau kita letakkan pelajar itu dalam kategori gagal, apa guna kita ajar dia lagi? ETR sepatutnya tidak boleh gagal walau seteruk manapun pelajar tersebut. Kita kenalah jadi sahebat guru Helen Keller. Kita lebih bernasib baik kerana murid-murid yang kita ajar semuanya boleh melihat, boleh bercakap dan boleh mendengar. Cuma otak mereka yang sedikit lemah. Doktor tak pernah meletakkan "ETR" pesakitnya sebagi gagal. Seteruk manapun pesakit yang datang, doktor masih memberikan harapan. Kalau ETR gagal, maknanya tak berperananlah guru untuk mengajarnya. Itulah persoalan yang terngiang-ngiang di benak saya. Kalaulah pelajar itu tahu yang kita letakkan ETRnya sebagai gagal, sedih hatinya, hilang semangatnya dan sayu ibubapanya. Oleh itu, ETR tak boleh gagal walau dalam apa keadaan pun. Kalau kita jangkakan pelajar kita akan gagal maka kita kenalah berusaha lebih untuk meluluskan anak murid tersebut. Itulah cabaran yang kita hadapi sebagai guru. Menjadikan yang gagal itu lulus dan menjadikan yang bebal itu bagus.

ETR MENCABAR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan