Selasa, 17 November 2009

Denda.


I must not shout in class.
I must not shout in class.
I must not shout in class.
.......... x 300.

Inilah contoh denda yang dikenakan oleh guru dulu-dulu kepada para pelajar yang kuat bising macam kawan saya. Maklumlah , dulu BM High School, semuanya pelajar lelaki. Masing-masing bertempek bila ada kesempatan. Saya pun kekadang " release tension" juga tetapi taklah kuat sangat sampai cikgu marah. Bayangkan kena tulis perkataan tersebut sampai 300 baris. 6 x 300 = 1800 perkataan yang kena tulis. Kalau buat esei, 1800 perkataan macam-macam boleh cerita. Kalau buat cerita tentang anak muda, boleh cerita dari zaman kanak-kanak sampailah ke zaman beranak pinak. Inilah contoh denda yang tak sesuai lagi zaman sekarang. Sebenarnya pada zaman dulu pun tak sesuai, membazir masa dan tenaga tanpa apa-apa pulangan yang ketara. Itu cerita zaman dulu-dulu.

Adakah cikgu yang buat macam ini sekarang? Ada lagi. Baru-baru ini anak cikgu SMKI pun kena. Cikgu Bahasa Inggeris sekolah rendah suruh anaknya tulis:
I must not get a C in English x 300 lines. Banyak ooi. 8 x 300 = 2400 perkataan. Yang tu kalau buat esei lagilah panjang. Kira dah boleh buat cerpen. Ada juga yang masih ketinggalan zaman. Mendenda secara tidak membina. Anak kawan saya pun buatlah, tapi dia pakai komputer. Taip sebaris, kemudian pakai copy and paste. Cepat sajalah siap. Zaman dah berubah, walaupun cara denda nampaknya belum berubah. Bagi kepada cikgu, makin bertambah berapi cikgu tadi. Dia bagi semula dan suruh tulis tangan. Lagi tambah, enam ratus baris. Banyak buku latihan kena dibeli baru khas untuk tulis benda "mengarut " tu. Masa habis, duit habis, tenaga habis, hasilnya pelajar ini mungkin dapat D pula, dan kena denda lagi sebab dia dapat D. Nampaknya pelajar ini tak ada kerja lain melainkan dok tulis denda. Mungkin itulah natijah bila kita mendenda secara tidak konstruktif.

Alangkah baiknya jika guru tersebut meminta pelajar yang didenda membuat 300 ayat yang menggunakan perkataan-perkataan tertentu. Ataupun pelajar tersebut dikehendaki mencari perkataan yang sama maksud bagi 300 perkataan. Hasilnya "vocabulary" pelajar tersebut semakin bertambah. Pelajar ini mungkin tak dapat C lagi tetapi mungkin mencecah B atu A. Kan ke baik kalau macam tu? Masa digunakan tidak dibazirkan begitu saja. Denda mestilah konstruktif.

Dari segi fizikal pula, kita dapati ada juga denda yang membahayakan. Contohnya denda pelajar ketuk ketampi dan jalan itik. Manusia pula disuruh berjalan seperti itik, tentulah tak baik. Bukan itu saja, ketuk ketampi dan jalan itik sebenarnya diharamkan daripada kategori denda fizikal. Ini kerana kedua-dua denda tersebut boleh merosakkan buah pinggang. Adalah amat tidak adil jika hanya kerana pelajar itu nakal, maka kita denda sehingga buah pinggangnya rosak. Masa depannya terancam kerana sedikit kesalahan yang dilakukan. Dalam pengalaman saya, ada seorang guru perempuan yang mendenda pelajar perempuan ketuk ketampi baratus-ratus pada bulan puasa. Pelajar itu muntah dan hampir pengsan. Pucat muka guru tersebut. Jadi sebelum mendenda fikirkan; Kalaulah orang buat perkara yang sama kepada anak kita, adakah kita suka?. Dengan berfikiran begitu kita akan menjadi lebih penyabar.

Macam-macam denda lagi yang dibuat yang kekadang pelik lagi melucukan tetapi tidak baik. Contohnya menyuruh pelajar membuang baju dan pakai kain pelikat jika datang lewat. Pelajar lelaki terutama yang tingkatan 4 atau 5, bila dibuang baju nampak agak tidak elok jika dipandang oleh pelajar perempuan. Kta takuti, tujuan kita nak bagi pelajar malu dan jadi baik, tetapi pelajar perempuan tengok seronok pula. Bahaya tu. Ada seorang kaunselor disebuah sekolah suruh pelajar yang nakal menjunjung bangku dan berdiri ditepi kaki lima di tingkat 3. Saya pucat muka melihatnya dan segera menghentikan perbuatan tersebut. Kalaulah pelajar itu pening dan terjatuh dari tingkat tiga, panjang surat nak kena karang, tak cukup ayat nak kena jawab. Tidur malam belum tentu lena. Oleh itu para guru, carilah denda yang konstruktif misalnya suruh baiki bangku, mengutip sampah ataupun berkebun dimasa yang terluang. Sekurang-kurangnya kita mengajar pelajar ini untuk bekerja. Elakkan sekali mendenda ketika kita marah kerana manusia yang marah akan cepat hilang pertimbangan dan denda yang dikenakan kekadang tidak rasional dan tidak setimpal dengan kesalahan.

Bersabarlah banyak-banyak wahai guru. Kan ke sabar itu separuh daripada iman? Dan Rasulullah pernah bersabda " Manusia yang kuat itu ialah yang kuat menahn marahnya". Anggaplah pelajar-pelajar ini seperti anak-anak kita. Denda boleh, tapi biarlah konstruktif dan tidak membahayakan serta boleh memandu mereka ke arah kebaikan.

DENDA KONSTRUKTIF PELAJAR KREATIF.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan