Selasa, 24 November 2009

Remeh yang sunat.


Remeh ialah sesuatu perkara yang boleh disifatkan terlalu kecil untuk dibicarakan, terlalu rendah untuk diceritakan dan terlalu kabur untuk dipandang. Itulah remeh. Banyak benda yang dianggap remeh oleh sesetengah orang tetapi besar bagi sesetengah orang. Contohnya hilang pisau. Bagi saya ianya remeh sebab pisau bukan mahal sangat kalau nak beli lain tetapi bagi ibu mertua saya kalau hilang pisau dia sanggup tak tidur untuk mencarinya. Bagi saya remeh tetapi baginya amat penting. Samalah macam sijil penyertaan. Bagi sesetengah palajar yang akademiknya lemah, sijil penyertaannya remeh sebab dia tau sijil itu tak membawa apa-apa makna tetapi bagi yang tinggi akademiknya , sijil penyertaan penting untuk melengkapkan imej diri dan pencapaiannya secara menyeluruh. Itulah remeh yang relatif mengikut individu.

Banyak juga yang kita buat dianggap remeh. Potong kuku adalah satu perkara yang remeh.Tu sebabnya kita jumpa ada orang yang tak potong kuku tapi kukunya tetap bersih. Potong kuku hari Jumaat lagilah remeh. Potong kuku hari apa pun sama saja, tujuannya nak potong kuku bagi kuku pendek. Tetapi bagi orang Islam potong kuku hari Jumaat bukan remeh sebab dapat pahala. Potong kuku hari lain tak dapat pahala dan tak sunat. Berbeza antara sunat dengan tak sunat. Berbeza antara dapat pahala dengan tak dapat. Begitulah juga dengan lain-lain perkara sunat yang dianggap remeh termasuklah menggunakan kaki kiri bila masuk tandas.

Perkara sunat yang remeh inilah yang sepatutnya kita pentingkan. Kalau nak harap pahala daripada perkara wajib saja mungkin payah. Sembahyang itu wajib dan pahalanya besar tapi berapa banyak pahala yang kita dapat. Kekadang waktu ambil wuduk pun dah tak betul. Kalau wuduk tak betul tentulah sembahyang tak sah. Sembahyang tak sah bukan saja tak dapat pahala, tapi dapat dosa pula. Maka kita kenalah berlumba-lumba membuat perkara sunat. Pakai baju putih sunat. Pakai jubah sunat. Pakai wangi-wangian bagi lelaki sunat. Susah sangatke nak buat semua tu?

Kita kena tanamkan sifat mementingkan yang sunat kerana yang wajib belum tentu kita dapat. Sedangkan yang sunat mudah kita dapat pahalanya. Kita juga mesti ingat walaupun pahalanya mungkin sedikit tapi pahala itu Allah yang berikan. Tentulah besar ertinya. Contohnya kita dihadiahkan pen oleh Presiden Amerika tentulah lebih hebat daripada hadiah yang diberikan oleh ketua kampung. Apatah lagi kalau hadiah tu Allah yang berikan. MasyaAllah. Perkara sunat ini banyak dan kalau kita kumpulkan pahalanya mungkin sama banyak dengan yang wajib. Oleh itu mulai hari ini marilah kita sama-sama senaraikan perkara-perkara yang sunat dan kemudian kita sama-sama amalkan. Pentingkan yang sunat dan tingkatkan yang wajib. InsyaAllah, didunia kita dapat nikmat, diakhirat kita dapat rahmat.

SUNAT ITU RAHMAT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan