Sabtu, 21 November 2009

Tujuh bencana....bhg 1


Pagi ini ada ustaz baca kitab. Cerita ustaz ini ialah tentang bencana. Bukan bencana alam seperti banjir, tsunami, tanah runtuh atau gempa bumi tapi bencana yang lebih hebat daripada itu. Bencana atas dunia ini kalau mati habislah cerita tapi kalau bencana akhirat mana ada mati. Selama-lamanya terseksa. Nauzubillah.

Pertama : FAKIR YANG MELUPAKAN. Ini yang ditakuti kerana ada hadis yang berbunyi " Kefakiran itu membawa kekufuran ,. Inilah yang kita takuti. Miskin di dunia, miskin pula diakhirat. Inilah manusia yang serugi-ruginya. Tak pernah merasai kesenangan dari dunia sampai akhirat. Ada ramai fakir miskin yang seperti ini. Inilah yang dipanggil fakir yang didatangkan dalam pakej. Ramai si fakir yang memberikan alasan kononnya mereka lupakan Allah hanya kerana miskin, sedangkan dalam Islam hanya ibadat haji dan zakat sahaja yang perlukan agak banyak belanja. Ibadat lain terutama sembahyang mana perlu banyak belanja. Nak pergi masjid tak perlu berkereta, berjalan kaki pun boleh sebab masjid dan surau di Malaysia bertaburan merata-rata. Nak jawab depan Allah macam mana kalau disoal kenapa tak berjemaah? Itu tak berjemaah, tetapi ramai juga yang langsung tak sembahyang. Lagilah payah nak jawab.. Ya Allah, kau jauhilah diriku daripada menjadi manusia yang melupaimu.


Kedua : KAYA YANG MEROSAKKAN . Tadi yang miskin, yang ini yang kaya pula. Kalau terlalu kaya pun susah juga. Tak salah menjadi kaya tetapi biarlah kaya yang penuh tawaduk , bukan kaya yang merosakkan. Berapa ramai manusia yang kaya tetapi rosak. Yang makan rasuah sesetengahnya bukannya miskin tapi ramai yang kaya. Nak tau tengok statistik SPRM, berapa ramai orang yang makan rasuah kerana miskin? Yang minum arak lagilah tak ada orang miskin sebab arak mahal. Kalau tiada duit macam mana nak beli. Nak minum fresh orange yang halal pun payah, apatah lagi nak minum arak. Itulah baiknya jadi miskin. Oleh sebab itulah maka Rasulullah meminta untuk kekal miskin sedangkan kalau baginda nak kaya, satu dunia termasuk semua cakrawala baginda boleh miliki sebab baginda kekasih Allah. Ada banyak yang kaya dizaman Rasulullah seperti Abdul Rahman Al Auf, Saidina Abu Bakar, Saidina Othman , tetapi mereka kaya dan mereka mendermakan seluruh harta mereka ke jalan Allah. Ketika ditanya kepada Saidina Abu Bakar apakah yang dia ada selepas menderma semua hartanya ke jalan Allah, maka dia hanya menjawab " Aku ada Allah dan Muhammad". Begitulah hebatnya mereka.

Ketiga : SAKIT YANG MEMBINASAKAN . Ini pun satu masalah. Ketika kita sihat kita kurang beribadat ( saya tujukan kepada saya ). Ketika kita sakit, barulah pasang niat nak beribadat kalau sembuh. Ketika sudah sembuh, kita lupa pula nak beribadat. Ada sesetengah ibadat seperti sembahyang tak boleh ditinggalkan walaupun sakit tenat. Mana ada qadha sembahyang kerana sakit? Tak boleh berdiri, boleh duduk. Tak boleh duduk boleh baring. Takkan baring pun tak boleh untuk menunaikan sembahyang? Memanglah sewaktu kita sakit, kita sukar untuk beribadat. Contohnya kita ambil penyakit yang paling ringan, iaitu sakit gigi. Nak sembahyang ketika sakit gigi susah ooi, tapi kenalah sembahyang. Kita ambil contoh Nabi Ayob yang sakitnya amat teruk tapi masih tak tinggalkan ibadat. Jauh bezanya Nabi Ayob dengan kita yang kekadang tinggalkan solat hanya kerana urusan dunia. Apakah urusan itu lebih afdal daripada sembahyang? Ini saya tujukan kepada saya sendiri yang kekadang terlambat sembahyang kerana mesyuarat. Oleh itu kalau nak mesyuarat, sembahyang dulu.

Keempat : TUA YANG MELEMAHKAN. Memanglah orang tua lemah. Mana ada semakin tua semakin kuat. Bila tua semuanya jadi lemah. Tak larat kata orang Utara. Sedangkan ketika tualah kita mempunyai banyak masa untuk beribadat. Kita dah pencen, anak-anak dah besar, hutang dah habis bayar dan kereta pun kita dah tak minat nak tukar. Ketika tua jugalah kita kena lipat gandakan ibadat sebab tak berapa lama dah nak jumpa Allah. Keranda pun dah patut ditempah siap dengan batu nesan yang tak bertarikh. Ini fenomena biasa. Tua memang dikaitkan dengan lemah. Oleh itu tanamkan hasrat dalam jiwa kita supaya menjadi semakin kuat ketika tua. Bukan kuat tenaga untuk kerja, tetapi kuat tenaga untuk beribadat. Ada ke orang macam ni? Memang ada. Saya masih teringat ketika di masjid Guar Perahu ada seorang tua yang bongkok tiga, bersembahyang terawis sampai cukup 23 rakaat. ( 20 terawis + 3 witir ) sedangkan ramai yang muda, yang kuat cuma sembahyang lapan rakaat terawis. Witir depa kata buat dirumah. Orang tua ini baru saja meninggal. Alfatihah. Cukuplah dulu untuk kali ini.

TUA HEBAT IBADAT.

4 ulasan:

  1. Salam cikgu,
    semoga ingatan yang diberikan ini akan menjadi sempadan pada kita supaya menjadi insan yang sentiasa mahu berubah untuk menjadi yang lebih baik dari semalam...Insyaallah

    BalasPadam
  2. begitulah hendaknya.. biarlah kita tua-tua keladi.. makin tua makin menjadi untuk buat ibadat..

    BalasPadam
  3. Saya tumpang baca tazkirah cikgu ni , terima kasih untuk peringatan diri ini.Semoga kita sentiasa dalam keadaan berwaspada tentang bencana2 itu!

    BalasPadam
  4. ingat mengingati itu tuntutan agama..
    "hendaklah ada dikalangan kamu orang yang berpesan-pesan kepada kebaikan dan berpesan-pesan kepada kesabaran"

    BalasPadam