Jumaat, 13 November 2009

No magic wand


Pada Ahad lepas 8 Nov 2009, Ibrahim dilawati oleh lebih 50 orang cendiakiawan dari JPN Johor termasuk seorang Ketua Sektor Pengurusan Akademik JPN Johor serta Ketua Unit Kemasyarakatan serta beberapa pentadbir serta guru-guru cemerlang Sejarah. Kami di Ibrahim ini biasalah dengan lawatan yang bertali arus dari pelbagai institusi. Tahun ini saja entah berapa lawatan pun saya tak ingat. Lawatan dari nadzir entah berapa kali, lawatan dari JPN Kedah, lawatan dari pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia malah ada satu lawatan dari Jabatan Bahasa Melayu Tentera Australia. Terbang terus dari Australia ke SMK Ibrahim. Pengetua pula pada hari tersebut ada di KL, maka terpaksalah saya memberi penerangan kepada pegawai-pegawai dari JPN ini. Pembentangan berjalan lancar sebab entah berapa kali saya dengar dan buat benda yang sama dengan sedikit modifikasi. Yang di ubahsuai hanyalah muka depan persembahan "power point tersebut. Yang kurang sedap sikit ialah soalan yang banyak yang kekadang saya kurang bersedia. Maklumlah soalan tentang sejarah yang saya kurang mendalami. Nasib baik ada GKM Kemanusiaan, En Yazi yang dapat memberi jawapan yang memuaskan hati mereka. Alhamdulillah.

Ada satu perkara yang amat menyukakan hati para pelawat dari JPN Johor ini ialah peratus kelulusan Sejarah untuk SPM ialah 100% dengan 52% mencapai gred AI dan A2. Maknanya lebih daripada separuh yang mendapat A dalam Sejarah. Hebat kata mereka. Sebenarnya bagi SMK Ibrahim pencapaian Sejarah taklah sehebat pencapaiAn lain-lain subjek terutama Matematik yang peratus mendapat A melebihi 70%. Itulah kenyataan di Ibrahim. Syukur kepadamu Allah.

Bila mereka dah seronok maka antara soalan yang ditanya ialah ;

" Apakah program-program khas yang Ibrahim jalankan untuk mendapatkan prestasi yang begitu tinggi ? "

Soalan cepu emas yang kami memang tiada jawapan. Ini kerana kami memang tidak mempunyai program yang amat hebat untuk melonjakkan kecemerlangan pelajar. Program-program yang kami buat samalah macam sekolah lain buat. Apa depa buat kami pun buat, dan apa kami buat sekolah lain pun buat. Ibrahim has no magic wand. Keputusan yang amat baik ini berturutan dan meningkat dari tahun 2006 hinggalah tahun 2008. Malah kalau kita lihat keputusan, nampak peningkatan yang begitu jelas dari segi kualiti dan kuantiti pencapaian pelajar-pelajar SMK Ibrahim. Syabas Ibrahim. Malah kalau dibandingkan dengan sesetengah pencapaian sekolah berasrama penuh nampak jelas SMK Ibrahim dah "teng" mereka. Mengikut piawaian JPN Kedah, sekolah rancangan khas perlulah mendapai 40% semua A dalam PMR tetapi SMK Ibrahim mencapai 56% semua A. Maknanya Ibrahim melepasi piawaian JPN Kedah dengan banyaknya.

Kalau tak ada "magic wand" dan program yang terhebat, apakah yang menyebabkan keputusan begitu baik ?Inilah yang saya akan jawab berdasarkan pengalaman saya yang singkat di SMK Ibrahim.

Pertama pengurusan masa. Di SMK Ibrahim, tiada gangguan-gangguan yang menyebabkan masa untuk pembelajaran terbuang. Tiada guru kejar pelajar, tiada pelajar bertumbuk malah kurang sekali pelajar di"jerkah". Tiada loceng yang menyebabkan kebingitan, tiada pengumuman-pemgumuman dari pembesar suara yang menambahkan lagi haru-biru sekolah. Sekolah tenang, pelajar bergerak mengikut masa yang ditentukan, guru masuk kelas tanpa lewat dan keluar kelas mengikut jadual. Malah Ketua Unit Kemasyarakatan JPN Johor menerangkan yang sebaik sahaja beliau masuk ke perkarangan SMK Ibrahim, beliau merasakan amat tenang, tak seperti sekolah-sekolah lain. Itulah yang depa kata. Mau tak tenangnya sebab pada hari itu ada peperiksaan akhir tahun. Ramai yang khusyuk jawab soalan dan kurang sekalilah pergerakan di luar kelas.

Kedua komitmen guru. Ada orang kata mengajar di SMK Ibrahim senang. Pelajar pandai setaraf asrama penuh, kemudahan banyak, kawasan luas, bilik banyak dan macam-macam lagi kemudahan yang tiada disekolah lain. Betul , tapi semua kemudahan ini tidak menjadikan guru-guru SMK Ibrahim leka dan lalai. Malah komitmen mereka amat tinggi. Suruhlah apa saja, semuanya akan dilakukan dengan rela tanpa banyak celoteh dan alasan. Setiap hari guru-guru SMK Ibrahim balik lebih lewat daripada kebanyakan sekolah lain. Kalau ada mesyuarat lagi lewat sebab semua mesyuarat diadakan lepas waktu sekolah. Waktu belajar tak dibazirkan sama sekali. Ada guru yang datang malam untuk menunjuk ajar kepada pelajar-pelajar asrama. Begitulah hebatnya komitmen mereka. Teruskan guru-guruku.

Ketiga faktor pentadbir. Pentadbir SMK Ibrahim merupakan satu pasukan yang mantap, yang membuat kerja sebagai satu pasukan. A kata Pengetua, A lah kata semua pentadbir. Semua akan bekerja mengikut hasrat dan visi yang telah digariskan oleh Pengetua. Tiada bangkangan, tiada keingkaran. Pendekata program yang dicadangkan Pengetua berjalan " as smooth as silk". Semua pentadbir pula tidak mempunyai masalah dengan para guru. Tiada "klik" atau gerombolan dikalangan para guru dan pentadbir. Pengetua pula tidak pernah memarahi para guru dalam semua mesyuarat. Kalau ada masalah, Tuan Pengetua akan memanggil guru tersebut dan menegur secara terus tanpa perlu "memperli" dalam mesyuarat. Hasilnya guru tersebut dimaklumi kesalahannya secara terus tanpa pengetahuan orang lain. Itulah hebatnya Tuan Pengetua SMK Ibrahim.

Keempat ialah "vision" yang tinggi. Visi SMK Ibrahim ialah " Menjadi Sekolah Nombor Satu di Kedah Menjelang 2010 ". Tinggi visi tersebut. Nak jadi yang terbaik di Kedah. Dengan visi dan target yang begitu tinggi, maka semua pelajar dan guru telah ditanamkan dengan "expectation" yang amat hebat. Bila harapan tinggi daripada semua warga sekolah, maka usaha akan mereka lipatkan berkali-kali ganda untuk mencapai visi tersebut. Belum pun tahun 2010, tapi SMK Ibrahim telah mencapai posisi nombor satu di Kedah dalam pelbagai aspek samada dari segi kurikulum dan kokurikulum serta sahsiah pelajar.

Itulah empat faktor yang penting yang melonjakkan kecemerlangan SMK Ibrahim. Ada banyak lagi faktor lain yang tak mampu saya coretkan dalam ruang yang terbatas ini. Kalau nak tanya lebih silalah emailkan kepada halim3377@gmail.com. InsyaAllah saya akan memberikan jawapan yang lebih jelas.

IBRAHIM. NO MAGIC WAND.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan