Ahad, 31 Mei 2009

Pelik tapi benar.


Hari ini masa agak terluang untuk mengimbau masa-masa lampau. Masa-masa kenangan manis yang tak mungkin boleh dilupakan. Apalah yang manis sangat tu? Tak lain dan tak bukan ialah kenangan manis ketika berada di Tanah Suci Mekah. Kira-kira 5 tahun yang lalu iaitu pada tahun 2005. Kenangan yang paling manis di Mekah ialah ketika mengerjakan ukuf di Arafah. Walaupun berada di Arafah hanya sehari semalam sahaja, tetapi itulah nikmat yang paling manis, yang tak dapat dilupakan yang Allah kurniakan kepada saya. Benarlah seperti firman Allah, Haji itu Arafah. Suasana kegembiraan tak dapat diungkapkan dengan kata-kata, tak boleh dilukiskan di kanvas , malah tak sampai untuk memikirkan kenapalah begitu seronok berada di Arafah? Dalam keadaan yang berhimpit-himpit, nak ketandas pun berbaris, nak makan kena beratur, nak pergi jauh sikit takut tersesat tapi Allah berikan satu kenikmatan yang tak terbayang oleh fikiran. Itulah bezanya antara haji dan umrah. Haji ada Arafah tetapi tak terdapat dalam ibadat umrah.

Tapi yang saya nak ceritakan hari ini bukanlah keseronokan dan kenikmatan Arafah tetapi perkara yang pelik, yang mencarik adat yang berlaku kepada saya sendiri ketika berada di Mekah. Ada dua perkara yang tak boleh diterangkan secara saintifik, tak sampai otak untuk berfikir. Tapi sebenarnya tiada yang aneh jika di Mekah. Banyak cerita yang kita anggap aneh, tapi di Mekah sebenarnya perkara biasa.

Perkara pertama berlaku ketika saya baru saja sampai di Mekah. Saya pergi tawaf bersama-sama isteri. Tetapi disebabkan orang ramai, maka saya dengan isteri terpisah. Nak buat macam mana? Handphone pula tak bawa? nak balik ke hotel belum lagi tahu jalan yang tepat, takut pula sesat. Kalau saya pun takut sesat, apatah lagi isteri. Itulah yang saya risaukan. Maka saya bersungguh-sungguh mengharapkan agar berjumpa dengan isteri saya. Satu harapan yang mustahil jika di Malaysia kerana jutaan manusia ketika keluar dari masjidil haram. Masakan kita boleh mencari manusia yang sedang bergerak dicelah-celah himpitan jutaan umat yang pakai serupa semuanya. Tapi itulah kuasa Allah. Selepas saya berdoa bersungguh-sungguh, sebaik saja saya palingkan muka, nah ternampak dengan jelas isteri saya dalam jutaan manusia. Bukan itu saja, malah dalam himpitan manusia itu saya dapat pergi dan mendapatkan isteri saya tanpa rasa diasak, tanpa rasa dihimpit. Malah begitu senang dan cepat sekali saya boleh mendapatkan isteri saya. Saya beristighfar berkali-kali. Hebat kuasamu Allah. Subhanallah.

Perkara kedua berlaku ketika saya di Mina. Waktu di Mina untuk melontar jamrah, saya tertinggal sebuku sabun di dalam bilik mandi. Sabun itu saya amat kenal kerana ia dibalut dengan sekeping plastik berwarna merah. Saya amat kesal kehilangan sabun tersebut kerana baru sekali dipakai. Malah dalam perjalanan balik ke hotel di Mekah pun saya asyik dok teringat sabun tersebut. Sebalik saja sampai di Mekah saya pun nak mandi dan bukalah sabun dari bekas yang baru. Masuk saja bilik air, saya hampir pitam kerana di depan saya terletak sabun dalam plastik merah. Saya amati sabun itu dan saya kenal itulah sabun yang saya gunakan di Mina. Saya tanya kawan-kawan samada mereka membawa balik sabun tersebut. Tapi mereka menafikan perkara tersebut. Lalu saya fikir kembali, kalaulah mereka bawa balik sabun tu pun , takkan mereka yang letak dalam bilik air kerana sayalah orang yang mula-mula masuk ke bilik air. Sekali lagi, hebat kuasamu Allah. Subhanallah.

Banyak lagilah cerita-cerita lain yang lebih hebat yang berlaku kepada banyak kawan-kawan saya. Cukuplah sekadar renungan.

KAABAH, LAMBAILAH DAKU.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan