Jumaat, 8 Mei 2009

RIMUP dan cabarannya


Malam ni sambil sedang melayari internet, teringat bekas PM kita, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Bila teringat beliau, saya teringat hasrat murni beliau nak menyatupadukan rakyat Malaysia. Bukan rakyat Malaysia selama ni tak bersatu padu, tidak sekali. Rakyat Malaysia dah bersatu padu cuma yang perlu ialah tahap kesepaduan antara kaum itu perlu dipertingkat dan digarapkan dengan lebih baik. Pendek kata macam kita buat cucoq kodok. Mula-mula kita sediakan pisang (yang dilelong dari pasar ), tepung, garam, bubuh gula sikit kalau pisang tu jenis awak masam, bubuh bahan perangup (kalau nak lebih sedap) dan digaulkan serta digorengkan. Bila dah masak, kita namakan cucoq kodok, bukan cucoq pisang+tepung+garam+gula dan sebagainya. Kita tak boleh lagi dah nak ambil pisang keluar seperti yang asalnya. Kita pun tak boleh dah nak ambil garam dari cucoq tersebut. Macam tu lah kesatuan yang beliau kehendaki.

Kita di Malaysia selalu kita katakan bahawa ada tiga bangsa utama, iaitu Melayu , Cina dan India. Kita lupa yang di Sarawak dan Sabah ada lagi berpuluh bangsa dan etnik. Ada Iban, Bidayuh, Melanau, Dayak Laut, Murut dan macam-macam lagi. Kalau kita dok sebut Melayu, Cina dan India saja, kita nampaknya masih terlupa tentang ada bangsa lain di Malaysia. Inilah yang perlu diubah, perlu di ubah paradigma bahawa di Malaysia bukan tiga bangsa saja, tapi banyak lagi bangsa lain yang kita selalunya tak sebut dan terlepas pandang.

Atas dasar inilah Paklah bekas PM kita mencetuskan program RIMUP singkatan bagi Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan seawal tahun 1996 ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran Malaysia. Walaubagaimanapun RIMUP tidak dijalankan sepenuhnya sehinggalah Paklah jadi Perdana Menteri. RIMUP diterapkan kedalaM semua sekolah menengah dan rendah pada tahun 2006. Hebat idea Paklah untuk menyatupadukan rakyat Malaysia. Kita yang jadi rakyat ni , bagaimana pula sambutannya? Itu yang disedihkan. Kita belum menyambut sepenuhnya saranan beliau untuk program RIMUP ini.

KIta masih lagi terdengar suara-suara menghina bangsa yang tidak sama dengan kita. Dimakmal, pelajar duduk mengikut bangsa masing-masing, berbual dalam bahasa masing-masing dan bercerita tentang hal bangsa masing-masing. Di bilik mesyuarat masih ramai guru yang duduk mengikut kelompok mereka. Bila masuk persatuan, pun kekadang dipilih persatuan yang banyak bangsanya berada. Bila beratur, para pelajar lebih senang beratur mengikut bangsanya sendiri. Dalam kelas, tempat duduk juga mengikut bangsanya sendiri. Mereka lebih selesa dengan bangsanya sahaja. Mereka tak bergaduh dengan bangsa lain, tetapi mungkin kurang selesa. Berapa ramai di antara kita yang tahu apa permainan bangsa selain daripada permainan yang dimainkan oleh bangsa kita? Berapa ramai yang tahu adat resam bangsa lain? Berapa ramai pula yang tahu masakan bangsa lain. Biasa dengar permainan catur Cina, macam mana nak mainkanya? Biasa dengar tentang tarian Sumazau, bagaimana nak menarikannya? Pernah dengar tentang Kabadi dan peraturan permainannya? Tentu tak ramai yang tahu kan sebab permainan , adat resam tersebut bearada diluar amalan bangsanya. Inilah yang sedihnya. Kita masih di bawah tempurung bangsa masing-masing. Takut rasanya nak jenguk keluar mengikuti adat resam, makanan dan permainan bangsa yang lain. Ingatlah, kita mungkin Melayu, Cina, Iban, Kadazan, India tetapi kita masih bangsa Malaysia. 1Malaysia kata PM baru kita Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bukan sedikit duit yang dibelanjakan untuk program RIMUP. Setiap tahun kerajaan membelanjakan RM26 juta hanya untuk RIMUP. Setiap sekolah diberikan RM2000 untuk menjayakan program tersebut. Adakah wang itu dibelanjakan untuk perpaduan atau sekadar untuk menghabiskan peruntukan yang ada? Pentadbir sekolah perlulah mengubah konsep ini agar wang untuk RIMUP benar-benar menepati aspirasi kerajaan yang murni ini. Satu perubahan paradigma bukan saja dikalangan murid, tetapi perlulah menyeluruhan dari setinggi-tinggi pangkat hinggalah semua rakyat jelata.

Sama-samalah kita berdoa agar RIMUP mendapat kejayaan dan rakyat Malaysia hidup bersatu padu, aman bahagia dan sejahtera.

1MALAYSIA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan