Isnin, 11 Mei 2009

Tetapkan visi mantapkan misi


Hari ini 11 Mei adalah hari yang bersejarah bagi semua sekolah yang ada aliran Tingkatan 6 tapi saya lebih suka panggil kelas Pra Universiti kerana mereka ini akan menjejakkan kaki ke universiti kira-kira dua tahun lagi. Insya Allah. Panggil kelas Tingkatan 6 kurang umphhh dan kurang menampakkan kematangan para pelajar. Sedangkan mereka telah mencecah alam dewasa dan beransur-ansur meninggalkan alam remaja yang penuh pancaroba. SMK Ibrahim menerima 166 pelajar daripada 415 yang diperuntukkan. Mana larinya lagi 200 lebih itu tak taulah pula. Mungkin mereka tunggu tawaran JPA untuk ke oversea ataupun mana-mana institusi lain yang banyak sekarang termasuk IPTS yang juga tak kurang hebatnya. Ada juga yang masih terikat dengan latihan PLKN dan belum lagi tamat kursus.

Daripada ramai yang mendaftar itu, ramai yang datang dari SMK Ibrahim, SMK Convent dan SMK Sungai Layar. Lain-lain ialah dari SMK Yan, SMK Dulang, SMK Guar Cempedak, SMK Taman Ria Jaya dan SMK Merbok. Bagi sekolah-sekolah yang di luar bandar yang datang ke Ibrahim, semuanya untuk aliran Sains. Itu yang nak cerita sikit kekadang lemahnya mentaliti pelajar-pelajar ini. Yang datang ini, ada setengahnya terus minta tukar aliran dengan alasan tak boleh buat aliran Sains, ada pula kerana jauh dari rumah. Mereka sanggup mengorbankan peluang yang ada hanya kerana tak mahu ( bukan tak mampu ) untuk mengharungi sedikit kesusahan , sedikit keperitan dan sedikit ketidakselesaan. Memanglah berada dalam kelas Sains pada tahan Pra U memang agak memeritkan. Tapi itulah cabaran. Setiap yang perit itu akan berakhir dengan kesenangan jika kita sanggup menyahutnya. Tukarkan cabaran kepada peluang. Ubat yang pahit itulah yang mengubati penyakit, dan gula yang manis selalunya berakhir dengan kesakitan.

Berlainan pula dengan sesetengah pelajar. Ada yang dah dapat matrikulasi malah ada yang dah dapat tawaran JPA untuk buat kedoktoran tapi mereka tolak sebab tak dapat jurusan yang dikehendaki. Dulu ada seorang anak kawan saya yang dapat 10 1A dan dapat tawaran biasiswa dari Telekom untuk buat engineering di Australia. Tawaran memang cukup lumayan tetapi beliau menolaknya kerana dia nak jadi doktor. Lalu dia kekal di Ibrahim dan dapat 5A di STPM dan sekarang sudah bergelar doktor. Itulah visi yang jelas yang dimantapkan dengan misi yang hebat. Susahkah pengajian dia? Memang susah, memang payah tetapi nak jadi doktor mana ada jalan mudah. Itulah contoh pelajar yang mempunyai semangat yang kental, kegigihan yang cukup tebal dan yang tak kenal erti penat lelah.

Oleh itu, kepada semua pelajar, cikgu berseru agar kamu menetapkan visi kamu yang jelas, kemudian menetapkan misi untuk mencapai visi tersebut. Banyak perkara yang sukar perlu diatasi dan semangat yang kuat perlu ada untuk mencapai visi tersebut. Macam Visi Ibrahim
" Menjadi Sekolah Terbaik di Kedah Pada Tahun 2010" . Visi itu dah hampir tercapai berkat kegigihan warga sekolah. Insya Allah, Ibrahim akan menjadi nombor satu di Kedah dalam masa yang terdekat ini.

Oleh itu , ingatlah para pelajar sekelian. Tetapkan Visi Mantapkan Misi.

SELAMAT BERUSAHA MENCAPAI VISI YANG MURNI.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan