Rabu, 6 Mei 2009

Cataract oh katarak


Cataract tu bahasa Inggeris. Katarak pula bahasa Melayu. Dua-dua pun sama. Iaitu penyakit yang menyebabkan kanta mata menjadi kelabu. Ini disebabkan cecair dalam kanta mata tidak lagi jernih. Akibatnya cahaya tidak dapat menembusi kanta mata untuk ke retina. Akibatnya imej tidak dapat difokuskan ke retina. Maka, kalau sesiapa kena katarak seperti saya, maka orang yang kita lihat macam melihat melalui kabus tebal. Tahu benda yang dilihat tapi tak kenal. Kita tahu yang dilihat tu manusia, tapi tak boleh kenal siapa dia.

Mengikut doktor, katarak disebabkan oleh terlalu banyak pendedahan kepada cahaya uv terutama bagi negara-negara tropika yang cahaya mataharinya terlalu kuat. Tambahan pula sekarang lapisan ozon dah tersangat nipis. Malah disesetengah tempat dah berlubang pun. Ozon menipis sebab banyak sangat pembebasan gas CFC yang banyak digunakan dalam peti sejuk dan hawa dingin. Tapi sekarang dah banyak kenderaan yang tak pakai CFC. Masalahnya mahal pula. Serba tak kena jadinya.

Katarak tak dapat diubati dengan pakai kanta mata sebab katarak bukan rabun jauh ataupun rabun dekat. Tapi disebabkan kanta mata dah tak berfungsi. Jalan terbaik mengubati katarak ialah dengan menggantikan kanta mata dengan kanta tiruan. Nak ganti kanta mata itulah yang membuatkan saya berdebar-debar. nak ganti tayar kereta pun susah, inikan pula nak gantikan kanta mata.. Seriyau kata orang Kedah.

Maka bertahun-tahunlah saya dok bertagak nak buat pembedahan nak ganti kanta mata. Orang kata pembedahan tu kecil saja dan tak menyakitkan. Malah depa kata lagi, pembedahan katarak ni doktor boleh buat sambil minum kopi saja. Depa nak buat lawak pulak. Cakap senanglah, tapi bagi yang kena berat jugak nak buat.

Tapi katarak ni nak disimpan lama sangat pun tak elok jugak. Tukang kanta mata Shahrudin di SP kata boleh buta. Berderau darah saya. Tak buat mata kelabu dan mungkin buta, nak buat dok ingat pisau nak kerobek mata. Serba salah. Tapi akhirnya saya beranikan jugak buat pembedahan tu..

Doktor tanya nak bius keseluruhan ke atau nak bius di mata saja. Kalau ikutkan hati nak bius keseluruhan sebab tak akan terasa apa-apa bila dibedah. Tapi kalau bius keseluruhan banyak pula side effectnya. Maka saya beranikan diri untuk bius ditempat bedah saja.

Pendek cerita masuklah dewan bedah. Doktor sapu ubat bius di mata, terasa pedih. Maka kata doktor bila pedih tu dah hilang, maknanaya ubat bius dah berkesan dan boleh mulakan pembedahan. Sewaktu doktor mulakan pembedahan, langsung tak rasa sakit. Ditambah pulak dengan aircon yang sejuk, maka selimut tebal ditarik naik. Sedap sungguh rasanya. Hilang rasa takut, hilang gementar. Lebih kurang sejam selesai pembedahan. Dulu saya kena pakai cermin mata, sekarang tidak lagi. Alhamdulillah.

Jadi sesiapa yang kena katarak, jangan dok berlengah lagi. Ayuh buat pembedahan segera. Tak sakit pun. Semuanya selesai dalam masa yang amat singkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan