Sabtu, 9 Mei 2009

Kayanya kita.


Pada hari Khamis 7 Mei lepas, selepas balik dari mesyuarat tentang kemasukan ke Tingkatan 6 di SMK Bandar Sungai Petani, datanglah seorang ibu yang sudah berumur, yang pakaiannya tak terurus melambangkan dia rakyat marhaen yang serba serbi kekurangan. Bukan menghina tetapi untuk menginsafkan diri ini bahawa kita kebanyakannya cukup kaya walaupun kekadang duit tak ada. Kita masih ada pakaian yang elok, kita masih ada rumah untuk berteduh, kekadang bukan sebuah tapi dua tiga buah, kenderaan yang kekadang cukup berjenama untuk bergerak kesini sana, kita boleh makan apa saja yang kita nak makan dan kebanyakan kita mati kerana terlebih makan. Mewahnya kebanyakan kita tapi jangan lupa, nun dibawah sana masih ramai yang menderita, masih ramai yang memikirkan adakah makanan untuk hari ini?

Pernah saya melawat sebuah keluarga miskin di daerah Yan, ketika saya tiba dirumahnya ialah pukul 12.30 tengahari, saya tanya makan apa hari ini? Jawapannya amat menyedihkan.

"Tak taulah cikgu sebab bapanya yang pergi kelaut belum balik. Selalunya kalau dia balik dia bawaklah beras dan sedikit ikan yang ditangkapnya" .

Maknanya mereka tidak mempunyai apa-apa simpanan hatta simpanan se kilo beras. Pernah juga saya melawat seorang pelajar penerima biasiswa yang selalu ponteng sekolah, sesampai dirumahnya saya lihat satu pemandangan yang menyedihkan. Seorang tua yang uzur, lumpuh berada dalam sebuah rumah yang cukup usang. Disampingnya terletaklah beberapa keping roti dan teh O secawan. Rupanya anaknya yang menerima biasiswa ini tidak dapat kesekolah kerana menyuapkan bapanya makan setiap hari dan "mengheret" bapanya ke tandas bila diperlukan.

Lalu saya tanya " Kalau kamu pergi sekolah, siapa yang jaga bapa kamu? "
Dia jawab " Adik saya pula yang akan jaga bapa dan dia pun pontenglah juga".

Adakah penuntut SMK Ibrahim sedemikian rupa? Rasanya amat kurang sebab dari data yang didapati, duit KWAPM pun ramai yang tak mau. Ramai diantara penuntut disini kaya-kaya malah ramai yang mampu buat "braze gigi" yang harganya tak kurang dari RM3000. Saya pun tak mampu nak "membraze gigikan" anak-anak saya. Demikianlah kayanya kita. Malah kebanyakannya pergi kekelas-kelas tuisyen yang mahal-mahal, pakai pakaian yang kemas dan bergaya, duit makan untuk kekantin tak kurang RM5 seorang. Kalau beginilah kemewahan yang ditaburkan, dan masih lagi mendapat keputusan yang tak memberangsangkan, saya tak tau nak kata apa lagi. Kelu rasanya lidah ini untuk berbicara lanjut.

Sebab itulah bila anak saya bawa balik keputusan PMR dengan 8A, saya kata

" Ayah tak hairan, tapi yang ayah lebih hairan ialah bila kamu tak dapat 8A".

Oleh itu, para pelajar semua yang beruntung, tolonglah yang tidak beruntung. jangan hina mereka kalau mereka berpakaian tidak selicin pakaian kita. Jangan cerca mereka kalau buku mereka tidak berbalut sekemas buku kita. Jangan pandang rendah kepada mereka kalau bapa mereka datang dengan kenderaan yang tak sehebat kenderan bapa kita. Ingat, ini adalah hari mereka, mana tau satu hari nanti kita akan menjadi seperti mereka.

RODA-RODA KEHIDUPAN SENTIASA BERPUTAR.

2 ulasan:

  1. buat saya sedar betapa bertuahnya saya.

    BalasPadam
  2. Kita kena bersyukur apa yang kita peroleh pada hari ini. Banyak lagi orang yang susah dan diuji lagi lebat oleh Allah swt.

    BalasPadam