Rabu, 11 November 2009

Sejadah sembahyang?


Beberapa minggu yang lepas tersebar berita yang sejadah berdiri. Bila keluar satu cerita di satu tempat, maka berita itu akan keluar pula ditempat lain, secara berturut-turut. Mula-mula satu sejadah sahaja berdiri, tetapi lama kelamaan makin banyak dan semakin unik. Lepas tu keluar pula cerita sejadah berdiri seperti bersembahyang jemaah lengkap dengan imamnya sekali. Tak siapa melihat sewaktu sejadah itu berdiri dan membentuk posisi seperti sembahyang berjemaah. Nak percaya pun boleh , tak mau percaya pun tak apa. Terpulang kepada pemikiran diri sendiri. Apa nak dihebohkan sangat?

Ada yang kata ini buatan manusia, sebab sejadah yang berdiri semua jenis yang baru, yang masih keras dan masih boleh didirikan. Mungkin betul sangkaan ini. Tak kurang pula yang kata ini ialah kuasa Allah untuk memberi amaran kepada manusia yang semakin kurang menunaikan solat terutama dimasjid dan surau. Ini juga mungkin betul sebab susah sangat ke Allah nak buat sejadah bagi berdiri? Sedangkan langit Allah boleh dirikan tanpa tiang, inikan pula sejadah. "Kun fa ya kun " Allah kata jadi, maka jadilah. Itulah hebatnya kuasa Allah. Jadi jangan dok bertengkarlah pasal sejadah berdiri ini. Nak percaya silakan, tak mau percaya pun tak apa.

Ada pula yang kata kalau percaya boleh lari akidah. Ini pendapat yang cukup dangkal. Macam mana boleh lari akidah? Kalau kita percaya itu Allah yang lakukan, adakah kita dah lari akidah? Malah kalau kita yakin itu perbuatan Allah, semakin mantap akidah kita kerana memang Allah lakukan semua perkara. Kalau sejadah itu manusia yang dirikan, adakah sejadah itu akan berdiri tanpa izin Allah? Memang Allah yang jadikan semua perkara boleh berlaku. Rasa saya, kalau kita percaya macam ini, tentulah akidah kita lebih mantap. Tak kiralah siapa yang buat, tetapi yang menjadikannya mestilah Allah, sebab Allah maha kuasa dan maha mengetahui.

Akidah kita mungkin lari kalau kita dok buat sejadah tu sebagai keramat dan dok minta ubat untuk sesuatu penyakit. Itu memang lari akidah sebab sejadah memang tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk memberikan apa-apa juga menfaat. Kalau kita percaya yang sejadah itu berdiri sebagai satu peringatan dari Allah, elok juga sebab ini akan menjadikan kita lebih insaf dan lebih takutkan Allah. Kalau kita takutkan Allah, kuranglah sikit kita membuat dosa. Kan ke bagus begitu? Macamlah ibu bapa kita dulu usik kita tentang waktu maghrib. Kata mereka waktu maghrib banyak hantu, maka tak boleh keluar. Kita pun percaya dan tak keluar waktu maghrib. Hasilnya kita boleh sembahyang maghrib. Kalau kita tak takut, nescaya ramai yang tak sembahyang maghrib. Kemudian barulah kita tau bahawa perkara itu tidak benar tetapi disebabkan kita dah biasa tak keluar waktu maghrib, maka kita pun teruskan rutin biasa dengan bersembahyang di waktu maghrib.

Seandainya perkara sejadah berdiri ini sememangnya ujian dari Allah, adakah itu kita anggap pelik? Apa nak pelik sedangkan kaum-kaum terdahulu daripada umat Rasulullah seperti kaum Nabi Lut, Kaum Samud telah dimusnahkan dengan sekelip mata oleh Allah tanpa banyak amaran yang diberikan. Cuma umat Rasulullah sajalah yang ditangguhkan pembalasan sehingga hari kiamat. Maka Allah turunkan amaran untuk kita buat peringatan. Sejadah berdiri memang tak pelik sebab banyak lagi perkara pelik yang berlaku dalam badan kita. Kalau kita kaji dari segi sains, terlalu banyak benda yang pelik. Tak pelik kah kita yang berasal dari hanya setitis sperma dan ovum membesar lengkap jadi manusia, lengkap dengan deria yang pelbagai, otak yang begitu kompleks? Adakah lebih pelik kejadian sejadah berdiri jika nak dibandingkan dengan otak kita yang mempunyai trillion neuron yang setiap satu begitu kompleks? Mana lebih senang, kalau difikirkan secara logik, nak buat sejadah berdiri atau nak buat otak yang begitu rumit?

Mungkin juga Allah nak tunjukkan kepada manusia bahawa sekarang di masjid lebih banyak sejadah daripada manusia terutama waktu sembahyang subuh. Sejadah ada 50, orang cuma ada lima. Dah orang tak mau sembahyang, bagi sejadah pula sembahyang. Dan jangan pelik , mungkin satu hari nanti tiang masjid pula beratur untuk sembahyang sebab sekarang pun bilangan tiang masjid lebih banyak daripada bilangan orang yang berjemaah waktu subuh. Jadi, jangan dok rasa pelik sangat. Yang pelik ialah kenapa bilangan sejadah lebih banyak daripada bilangan orang yang berjemaah? Itu yang patut kita pelikkan sebab yang nak masuk neraka bukan sejadah tapi manusia yang tak sembahyang. Fikir-fikirkan.

SEJADAH PUN TAKUTKAN ALLAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan