Isnin, 9 November 2009
Meroyan.
Inilah Nurhidayah yang didera ibu tirinya sehingga bahu kirinya bengkak dan amat kesakitan. Kesian, budak yang baru mengenal alam telah didera dan terpaksa menanggung sengsara akibat perbuatan seorang insan yang bergelar ibu walaupun ibu tiri. Hakikatnya ibu tetap ibu, samada tiri ataupun kandung. Dari segi Islam ibu tiri setaraf dengan ibu kandung. Apalah yang manusia kerdil ini tahu. Dia mungkin tertanya-tanya apakah kesalahan yang tersangat besar dilakukannya sehingga dia menerima siksaan sedemikian rupa. Apatah lagi dia semakin bingung kerana siksaan demikian datangnya dari seorang manusia yang dipanggilnya ibu. Jadi para pelajar yang mempunyai ibu yang baik, yang sentiasa menjaga kebajikan anak-anak semua, yang tidurnya kurang nyenyak dek memikirkan pelajaran anak-anak terutama pada musim peperiksaan yang akan datang ini, sayangilah ibu, ciumlah ibu setiap hari sebelum datang sekolah. Doakan sentiasa agar ibu menjadi sejahtera dan keluarga menjadi bahagia. Insya Allah. Dalam mencium ibu, jangan lupa mencium bapa yang juga amat berjasa kepada anda semua.
Kalau kita baca ceritanya, ibu tiri ini mula menjadi pembengis dan tak berperikemanusiaan semenjak melahirkan anak. Mungkin perempuan ini meroyan atau kekadang dikatakan juga gila meroyan. Tak taulah dia gila ke tidak, tapi yang pasti dia meroyan. Ini berlaku kepada sesetengah perempuan yang baru melahirkan anak. Jadi seeloknya suamiya hendaklah mencari penawar dan ubat kepada penyakit meroyan ini. Bukan ibu ini jahat, tetapi kerana hormonnya yang tidak seimbang selepas melahirkan anak, maka dia jadi meroyan. Itulah pentingnya keseimbangan hormon dalam tubuh. Kalau hormon tak seimbang akan berlakulah perkara-perkara yang tidak normal.
Hormon yang paling mudah kita terangkan ialah hormon insulin. Kalau kurang insulin maka berlakulah kencing manis. Parah penyakit kencing manis ini kerana boleh membawa maut. Kalau terlalu lebih hormon insulin pun bahaya juga, boleh kena strok. Strok pun parah juga. Oleh itu insulin perlulah seimbang, tak lebih dan tak boleh kurang. Begitulah bijaknya badan kita yang mempunyai mekanisma khas dalam mengawal keseimbangan hormon insulin. Kalau badan kita bijak, maka yang mencipta badan kita itu adalah maha bijak iaitu Allah. Oleh itu kalau kita lihat keajaiban atau kebijaksanaan, jangan kagum kepada individu tersebut tetapi kagumlah kepada Allah yang menciptanya.
Berbalik kepada cerita meroyan, ini pernah berlaku kepada kawan saya yang juga seorang guru. Isterinya menjadi bengis selepas melahirkan anak ketiga. Entah tak tahu apa sebabnya. Meroyannya dah dikira tahap kritikal sehinggakan dia sentiasa mengugut untuk membunuh suaminya. Maka kawan saya akan menyembunyikan semua peralatan terutama pisau dari isterinya. Bila pisau disembunyikan, maka hari-harilah dia makan nasi kandar. Hampir semua kedai nasi kandar dia ziarahi kerana isterinya meroyan berbulan-bulan. Berbulan-bulan jugalah dia risau dan tak nyenyak tidur takutkan isterinya mengambil pisau dan membunuhnya. Akibat bininya meroyan, berat badannya pun menyusut akibat kurang tidur dan susah hati. Semua yang dibuat tidak menjadi kerana kerisauan yang mencengkam hati. Habis bomoh dan dukun dilawati tetapi isterinya masih tidak sembuh. Akhirnya dia ambil keputusan untuk pergi haji dan berdoa di depan kaabah. Dengan tangisan dan rintihan, akhirnya permintaannya dimakbulkan. Balik sahaja dari menunaikan haji, isterinya menjadi normal. Tahun ini dia pergi sekali lagi ke mekah dan membawa bersama isterinya untuk menunaikan haji. Alhamdulillah.
Itulah serba sedikit cerita meroyan akibat daripada hormon yang tidak seimbang.
MEROYAN PERLUKAN PERHATIAN.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan