Rabu, 25 November 2009

Syurga yang disegerakan.


Syurga mana ada yang segera? Nak dapat syurga mestilah kena beramal soleh didunia dahulu, kena banyak sabar, kena jauhkan diri daripada maksiat dan dosa walaupun yang kecil. Itu pun belum tentu dapat syurga kerana syurga itu milik Allah dan semua manusia perlu dapat rahmatNya. Apa yang saya nak bincangkan disini ialah syurga dunia. Ada orang kata pula syurga dunia tu bila ambil dadah, minum arak, pergi disko dan macam-macam lagi. Itu pendapat yang amat silap kerana selalunya semua perkara itu dilarang Allah dan bukan dapat syurga tetapi dapat neraka. Itu bukan syurga dunia tapi neraka dunia. Nauzubillah.

Syurga yang disegerakan ialah ungkapan untuk menerangkan ketenangan yang kita dapati apabila kita berserah kepada Allah. Ketenangan bukan boleh dapat melalui wang ringgit atau harta benda. Ramai orang yang kaya raya tapi hidupnya tak tenang. Dia mungkin seronok tapi belum tentu tenang. Tak semua orang yang seronok itu tenang tapi orang yang tenang tentu seronok. Banyak juga orang yang kaya yang membunuh diri. Contohnya ada bekas hakim yang menembak dirinya setelah isteri dan anjingnya mati. Takkanlah dia boleh tembak diri sendiri kalau dia tenang. Michael Jackson, seorang lagi yang amat kaya tapi tak tenang. Mereka tak dapat syurga yang disegerakan. Banyak lagilah contoh orang-orang yang kaya yang jiwanya tidak tenang.

Sebaliknya ramai yang miskin, yang kekurangan harta benda tetapi hidup mereka penuh ketenangan. Walaupun mereka miskin tetapi kemiskinan itu tidak menjadikan mereka keluh kesah. Mereka tiada hutang yang perlu dilangsaikan, anak-anak semuanya yang tidak menimbulkan masalah, rakan-rakan yang baik dan mereka dekat dengan Allah kerana banyak ibadatnya. Ramai juga contoh yang kita boleh ambil terutama di zaman Rasulullah. Ada seorang sahabat yang mendermakan semua kebun kurmanya hanya kerana dia tidak dapat berjemaah satu waktu sahaja. Kebun kurmanya menjadikannya tidak tenang. Dia kaya tapi tidak tenang sebab nak jaga kebun kurma. Bila dia dermakan semua kebun kurmanya, dia tenang kerana boleh berjemaah setiap waktu bersama-sama Rasulullah. Kesimpulannya ketenangan bukan kerana harta. Malah kekadang harta, pangkat, kuasa itulah yang menjadi punca kepada keadaan yang tidak tenang.

Bagaimanakah nak memperolehi syurga yang disegerakan ini? Inilah persoalan yang kita kena halusi. Bagi saya kita memperolehi ketenangan bila kita berserah seluruh jiwa raga kita kepada Allah. Kita tidak keluh kesah walau apa pun terjadi kerana kita yakin itu adalah ujian daripada Allah. Kalau kita yakin semua yang terjadi adalah ketentuan Ilahi, maka kita mendapat ketenangan yang sejati. Mampukah kita menolak ketentuan Ilahi? Inilah yang sepatutnya kita fikirkan setiap masa. Jika kita ditimpa bala, kita kena yakin itu bukan bala tapi ujian dari Allah. Kenapa Allah uji kita? Kerana Allah nak menguji iman kita. Allah pernah berfirman " Adakah kamu fikir kamu boleh masuk syurga sedangkan kamu belum pernah diuji? ". Fikirkan selalu.

Berserah kepada Allah bukan bermakna tiada usaha. Kalau kita sakit , kita berusaha untuk mengubati tetapi kita juga kena ingat bahawa ubat bukan penyembuh penyakit. Ubat hanyalah usaha kita yang dituntut sedangkan penyembuh penyakit ialah Allah. Maka kalau kita sakit tak sembuh kita tak akan keluh kesah kalau kita sudah berserah kepada Allah. Dari sinilah datangnya sifat yang positif. Sifat yang positif inilah juga satu lagi punca kita mendapat syurga yang disegerakan.Orang yang bersikap positif sentiasa tenang dalam apa juga kerja yang dilakukan.

Seorang kawan saya dikampung adalah miskin. Dia tiada banyak harta tetapi kalau kita bercakap dengannya kita dapati dia cukup tenang. Mukanya menampakkan ketenangan. Sebenarnya kita tengok muka pun dah tau samada seseorang itu tenang atau pun tidak. Orang yan tenang mukanya jernih, menampakkan cahaya iman yang terpancar. Mereka bukan kaya, mereka tidak ada banyak harta, mereka bukan berpangkat besar tetapi mereka mendapat SYURGA...

YANG DISEGERAKAN.

Selasa, 24 November 2009

Remeh yang sunat.


Remeh ialah sesuatu perkara yang boleh disifatkan terlalu kecil untuk dibicarakan, terlalu rendah untuk diceritakan dan terlalu kabur untuk dipandang. Itulah remeh. Banyak benda yang dianggap remeh oleh sesetengah orang tetapi besar bagi sesetengah orang. Contohnya hilang pisau. Bagi saya ianya remeh sebab pisau bukan mahal sangat kalau nak beli lain tetapi bagi ibu mertua saya kalau hilang pisau dia sanggup tak tidur untuk mencarinya. Bagi saya remeh tetapi baginya amat penting. Samalah macam sijil penyertaan. Bagi sesetengah palajar yang akademiknya lemah, sijil penyertaannya remeh sebab dia tau sijil itu tak membawa apa-apa makna tetapi bagi yang tinggi akademiknya , sijil penyertaan penting untuk melengkapkan imej diri dan pencapaiannya secara menyeluruh. Itulah remeh yang relatif mengikut individu.

Banyak juga yang kita buat dianggap remeh. Potong kuku adalah satu perkara yang remeh.Tu sebabnya kita jumpa ada orang yang tak potong kuku tapi kukunya tetap bersih. Potong kuku hari Jumaat lagilah remeh. Potong kuku hari apa pun sama saja, tujuannya nak potong kuku bagi kuku pendek. Tetapi bagi orang Islam potong kuku hari Jumaat bukan remeh sebab dapat pahala. Potong kuku hari lain tak dapat pahala dan tak sunat. Berbeza antara sunat dengan tak sunat. Berbeza antara dapat pahala dengan tak dapat. Begitulah juga dengan lain-lain perkara sunat yang dianggap remeh termasuklah menggunakan kaki kiri bila masuk tandas.

Perkara sunat yang remeh inilah yang sepatutnya kita pentingkan. Kalau nak harap pahala daripada perkara wajib saja mungkin payah. Sembahyang itu wajib dan pahalanya besar tapi berapa banyak pahala yang kita dapat. Kekadang waktu ambil wuduk pun dah tak betul. Kalau wuduk tak betul tentulah sembahyang tak sah. Sembahyang tak sah bukan saja tak dapat pahala, tapi dapat dosa pula. Maka kita kenalah berlumba-lumba membuat perkara sunat. Pakai baju putih sunat. Pakai jubah sunat. Pakai wangi-wangian bagi lelaki sunat. Susah sangatke nak buat semua tu?

Kita kena tanamkan sifat mementingkan yang sunat kerana yang wajib belum tentu kita dapat. Sedangkan yang sunat mudah kita dapat pahalanya. Kita juga mesti ingat walaupun pahalanya mungkin sedikit tapi pahala itu Allah yang berikan. Tentulah besar ertinya. Contohnya kita dihadiahkan pen oleh Presiden Amerika tentulah lebih hebat daripada hadiah yang diberikan oleh ketua kampung. Apatah lagi kalau hadiah tu Allah yang berikan. MasyaAllah. Perkara sunat ini banyak dan kalau kita kumpulkan pahalanya mungkin sama banyak dengan yang wajib. Oleh itu mulai hari ini marilah kita sama-sama senaraikan perkara-perkara yang sunat dan kemudian kita sama-sama amalkan. Pentingkan yang sunat dan tingkatkan yang wajib. InsyaAllah, didunia kita dapat nikmat, diakhirat kita dapat rahmat.

SUNAT ITU RAHMAT.

Isnin, 23 November 2009

False or real?


Hari ini malaih nak buat blog yang ada cerita. Banyak nak cerita tapi nak cuti sat.

hangpa tengoklah gambar-gambar ni. Boleh percaya ke nih?

Tak taulah pulak saya.

Selamat bercuti . jaga diri.


Ahad, 22 November 2009

Tujuh bencana....bhg 2


Kelima: MATI YANG MENYEDIAKAN BALASAN. Inilah yang kita sentiasa ingati bahawa apa juga yang kita buat di atas dunia ini tak selesai apabila kita mati. Ungkapan " Bila mati habis cerita" tak betul. Mati sebenarnya bukan habis cerita tapi baru mula nak cerita. Pendekata mati adalah permulaan kehidupan akhirat. Kalau mati habis cerita itu menandakan Allah tidak adil dan itu berlawanan dengan sifat Allah yang maha adil. Ramai orang akan berfikir alangkah baiknya kalau kita mati seperti matinya seekor burung yang tak disoal apa-apa, yang tak dimasukkan keneraka dan yang tiada apa-apa tanggungjawab yang perlu dipikul. Ini ialah pemikiran orang normal macam saya, orang yang banyak dosa dengan Allah. Nauzubillah. Bagi orang yang banyak pahala, banyak membuat kebajikan sewaktu didunia, dapat menahan godaan nafsu shahwat, mereka tentulah memilih kematian yang memulakan satu kehidupan yang penuh nikmat. Mereka melintas titian sirat seperti kilat, mereka dapat mencium bauan syurga hatta mereka dapat kenikmatan semasa dalam kubur lagi. Merekalah golongan yang terkaya dihari itu. Di hari yang tiada berguna harta benda, tiada berguna pangkat dan darjat dan tiada pertolongan dari kaum dan sahabat. Oleh itu kita sentiasa diberi peringatan supaya menjauhi maksiat dan mendekati syafaat agar kita mendapat keselamatan di dunia dan yang penting keselamatan di akhirat.

Keenam : DAJJAL YANG MENYESATKAN. Ini satu lagi malapetakan yang hebat. Dajjal datang ketika hampir kiamat . Sebenarnya sekarang pun dah banyak bunga-bunga dajjal yang datang untuk menyesatkan manusia termasuklah saya. Bapa Dajjal akan datang ketika di hari kiamat. Ketika itu Dajjal datang dengan membawa "rahmat" tetapi dengan syarat manusia meninggalkan syafaat. Manusia diminta memilih antara Dajjal dengan Allah. Pilih Dajjal, nerakalah tempatnya. Nauzubillah. Ketika hampir kiamat manusia dalam keadaan hiruk pikuk, dalam keadaan berkecamuk serta tiada ketentuan. Ketika itulah Dajjal datang dengan satu tawaran yang hebat. Bagi orang yang sangat dahaga, Dajjal datang dengan minuman yang amat sedap. Kalaulah kita ada pada waktu itu, rasanya kita pun akan mengikut Dajjal. Nauzubillah. Sebab itulah Rasulullah pernah bersabda bahawa manusia yang berada diambang kiamat adalah manusia yang paling malang. Mengingatkan kenyataan ini, rasanya biarlah kita mati sebelum detik-detik akhir kemusnahan alam. Biarlah kita mati dalam keadaan yang tenang daripada mati ketika datangnya Dajjal. Dajjal Laknatullah.

Ketujuh: KIAMAT YANG DAHSYAT. Saya teringat kata-kata kawan saya di Kota Kuala Muda yang merasai tamparan tsunami.

Dia kata " Aku rasa macam nak kiamat ".

Itulah katanya yang merasai sendiri sengsara tsunami. Ada seorang lagi kawan saya yang isterinya mati di Terowong Muassim. Dia kata dia terperangkap dalam terowong. Tak boleh bergerak. Ada orang yang berjalan dengan memijak kepala orang lain. Ketika itu aurat tak difikirkan lagi. Ramai yang bajunya koyak rabak dan menampakkan yang tak harus nampak. Itu baru terperangkap dalam Terowong Muassim .

Kata kawan saya lagi, " Aku rasa padang Mashsyar macam tu lah kot "

Itulah telahannya tetapi yang pasti kiamat tentulah lebih dahsyat lagi. Saidatina Aisyah pernah bersabda kepada rasulullah'

" Ya Rasulullah, malunya aku dihari kiamat kerana manusia dibangkitkan dalam keadaan telanjang "

"Di hari itu tiada manusia akan berfikir tentang malu dan mereka tiada masa untuk melihat kemaluan orang lain kerana mereka lebih banyak berfikir tentang azab yang akan diterima " Sabda Rasulullah.

Oleh itu, saya menyeru diri sendiri dan mangajak kawan-kawan untuk kita sama-sama fikirkan.

BERSEDIAKAH KITA MENEMPUH KIAMAT?

Sabtu, 21 November 2009

Tujuh bencana....bhg 1


Pagi ini ada ustaz baca kitab. Cerita ustaz ini ialah tentang bencana. Bukan bencana alam seperti banjir, tsunami, tanah runtuh atau gempa bumi tapi bencana yang lebih hebat daripada itu. Bencana atas dunia ini kalau mati habislah cerita tapi kalau bencana akhirat mana ada mati. Selama-lamanya terseksa. Nauzubillah.

Pertama : FAKIR YANG MELUPAKAN. Ini yang ditakuti kerana ada hadis yang berbunyi " Kefakiran itu membawa kekufuran ,. Inilah yang kita takuti. Miskin di dunia, miskin pula diakhirat. Inilah manusia yang serugi-ruginya. Tak pernah merasai kesenangan dari dunia sampai akhirat. Ada ramai fakir miskin yang seperti ini. Inilah yang dipanggil fakir yang didatangkan dalam pakej. Ramai si fakir yang memberikan alasan kononnya mereka lupakan Allah hanya kerana miskin, sedangkan dalam Islam hanya ibadat haji dan zakat sahaja yang perlukan agak banyak belanja. Ibadat lain terutama sembahyang mana perlu banyak belanja. Nak pergi masjid tak perlu berkereta, berjalan kaki pun boleh sebab masjid dan surau di Malaysia bertaburan merata-rata. Nak jawab depan Allah macam mana kalau disoal kenapa tak berjemaah? Itu tak berjemaah, tetapi ramai juga yang langsung tak sembahyang. Lagilah payah nak jawab.. Ya Allah, kau jauhilah diriku daripada menjadi manusia yang melupaimu.


Kedua : KAYA YANG MEROSAKKAN . Tadi yang miskin, yang ini yang kaya pula. Kalau terlalu kaya pun susah juga. Tak salah menjadi kaya tetapi biarlah kaya yang penuh tawaduk , bukan kaya yang merosakkan. Berapa ramai manusia yang kaya tetapi rosak. Yang makan rasuah sesetengahnya bukannya miskin tapi ramai yang kaya. Nak tau tengok statistik SPRM, berapa ramai orang yang makan rasuah kerana miskin? Yang minum arak lagilah tak ada orang miskin sebab arak mahal. Kalau tiada duit macam mana nak beli. Nak minum fresh orange yang halal pun payah, apatah lagi nak minum arak. Itulah baiknya jadi miskin. Oleh sebab itulah maka Rasulullah meminta untuk kekal miskin sedangkan kalau baginda nak kaya, satu dunia termasuk semua cakrawala baginda boleh miliki sebab baginda kekasih Allah. Ada banyak yang kaya dizaman Rasulullah seperti Abdul Rahman Al Auf, Saidina Abu Bakar, Saidina Othman , tetapi mereka kaya dan mereka mendermakan seluruh harta mereka ke jalan Allah. Ketika ditanya kepada Saidina Abu Bakar apakah yang dia ada selepas menderma semua hartanya ke jalan Allah, maka dia hanya menjawab " Aku ada Allah dan Muhammad". Begitulah hebatnya mereka.

Ketiga : SAKIT YANG MEMBINASAKAN . Ini pun satu masalah. Ketika kita sihat kita kurang beribadat ( saya tujukan kepada saya ). Ketika kita sakit, barulah pasang niat nak beribadat kalau sembuh. Ketika sudah sembuh, kita lupa pula nak beribadat. Ada sesetengah ibadat seperti sembahyang tak boleh ditinggalkan walaupun sakit tenat. Mana ada qadha sembahyang kerana sakit? Tak boleh berdiri, boleh duduk. Tak boleh duduk boleh baring. Takkan baring pun tak boleh untuk menunaikan sembahyang? Memanglah sewaktu kita sakit, kita sukar untuk beribadat. Contohnya kita ambil penyakit yang paling ringan, iaitu sakit gigi. Nak sembahyang ketika sakit gigi susah ooi, tapi kenalah sembahyang. Kita ambil contoh Nabi Ayob yang sakitnya amat teruk tapi masih tak tinggalkan ibadat. Jauh bezanya Nabi Ayob dengan kita yang kekadang tinggalkan solat hanya kerana urusan dunia. Apakah urusan itu lebih afdal daripada sembahyang? Ini saya tujukan kepada saya sendiri yang kekadang terlambat sembahyang kerana mesyuarat. Oleh itu kalau nak mesyuarat, sembahyang dulu.

Keempat : TUA YANG MELEMAHKAN. Memanglah orang tua lemah. Mana ada semakin tua semakin kuat. Bila tua semuanya jadi lemah. Tak larat kata orang Utara. Sedangkan ketika tualah kita mempunyai banyak masa untuk beribadat. Kita dah pencen, anak-anak dah besar, hutang dah habis bayar dan kereta pun kita dah tak minat nak tukar. Ketika tua jugalah kita kena lipat gandakan ibadat sebab tak berapa lama dah nak jumpa Allah. Keranda pun dah patut ditempah siap dengan batu nesan yang tak bertarikh. Ini fenomena biasa. Tua memang dikaitkan dengan lemah. Oleh itu tanamkan hasrat dalam jiwa kita supaya menjadi semakin kuat ketika tua. Bukan kuat tenaga untuk kerja, tetapi kuat tenaga untuk beribadat. Ada ke orang macam ni? Memang ada. Saya masih teringat ketika di masjid Guar Perahu ada seorang tua yang bongkok tiga, bersembahyang terawis sampai cukup 23 rakaat. ( 20 terawis + 3 witir ) sedangkan ramai yang muda, yang kuat cuma sembahyang lapan rakaat terawis. Witir depa kata buat dirumah. Orang tua ini baru saja meninggal. Alfatihah. Cukuplah dulu untuk kali ini.

TUA HEBAT IBADAT.

Cacat tetapi kuat.


Inilah dia si cacat yang kuat. Dia cacat tetapi azamnya kuat. Semangatnya kental, tak mudah mengalah walaupun dalam serba payah. Dalam kepayahan ke sekolah, dalam serba kekurangan dia masih boleh mencari ruang-ruang untuk meloloskan diri dari kegagalan. Inilah manusia hebat yang sepatutnya kita ambil iktibar. Inilah Siti Nurfarah Hanim Azman yang berjaya mendapat 5A walaupun cacat dan menghadapi pelbagai rintangan. Inilah yang akan saya tunjukkan kepada sesiapa saja yang sihat, yang ibubapanya mampu, yang berkereta besar tetapi gagal dalam pelajaran. Sayang seribu sayang, mereka gagal memanfaatkan segala peluang yang diberikan.

Jika anaknya hebat, ibunya Norhaida Harun tak juga kurang hebatnya. Dia mampu mengatasi segala kepayahan untuk menghantar anaknya setiap hari ke sekolah dan menjemputnya pula bila pulang. Inilah tangan-tangan yang menghayun buaian yang cekal, yang kental dan berhati waja. Syabas untuk Norhaida dan Siti Nurfarah Hanim. Tabik hormat kepada kalian.

Melihatkan kisah sebegini teringat saya akan kisah Helen Keller yang bisu, pekak dan buta tetapi mampu menjadi seorang ahli falsafah yang terkenal. Bayangkan kalau kita bisu, pekak dan buta. Apakah yang mampu kita buat? Helen Keller hebat dan cekal, tetapi yang lebih hebat tentulah gurunya yang mengajar Helen menulis dan membaca. Nak mengajar orang buta, bisu dan pekak menulis dan membaca adalah satu perkara yang hampir mustahil. Kalau pada zaman ini mungkin agak senang sebab ada pelbagai teknologi yang boleh digunakan tetapi ini zaman ratusan tahun yang lalu. Hebat Helen Keller, tapi hebat lagi gurunya.

Semangat sebegini sepatutnya ada pada semua guru. Anak-anak murid kita taklah secacat Helen Keller tapi ramai juga yang tak tau membaca walaupun setelah enam tahun berada di sekolah rendah. Saya selalu bertanya, apa cikgu buat selama enam tahun untuk menjadikan para pelajar sekurang-kurangnya boleh membaca? Cikgu tadika boleh mengajar kanak-kanak untuk membaca dalam setahun, tapi kenapa ada murid yang tak boleh membaca selepas enam tahun? Satu kemushkilan yang kalau tanya sapa pun mereka akan terbeliak biji mata. Tak percaya.

Lihat pula ketika kita buat Headcount sewaktu meletakkan ETR kepada para pelajar. Ada yang meletakkan ETR sebagai gagal. Kalau kita letakkan pelajar itu dalam kategori gagal, apa guna kita ajar dia lagi? ETR sepatutnya tidak boleh gagal walau seteruk manapun pelajar tersebut. Kita kenalah jadi sahebat guru Helen Keller. Kita lebih bernasib baik kerana murid-murid yang kita ajar semuanya boleh melihat, boleh bercakap dan boleh mendengar. Cuma otak mereka yang sedikit lemah. Doktor tak pernah meletakkan "ETR" pesakitnya sebagi gagal. Seteruk manapun pesakit yang datang, doktor masih memberikan harapan. Kalau ETR gagal, maknanya tak berperananlah guru untuk mengajarnya. Itulah persoalan yang terngiang-ngiang di benak saya. Kalaulah pelajar itu tahu yang kita letakkan ETRnya sebagai gagal, sedih hatinya, hilang semangatnya dan sayu ibubapanya. Oleh itu, ETR tak boleh gagal walau dalam apa keadaan pun. Kalau kita jangkakan pelajar kita akan gagal maka kita kenalah berusaha lebih untuk meluluskan anak murid tersebut. Itulah cabaran yang kita hadapi sebagai guru. Menjadikan yang gagal itu lulus dan menjadikan yang bebal itu bagus.

ETR MENCABAR.

Khamis, 19 November 2009

Pengawas.


Kelmarin 18 Nov telah bermula peperiksaan SPM dan STPM bagi tahun 2009. Bermula dalam keadaan yang kurang selesa sebab hujan turun mencurah-curah. Itulah mungkin hujan rahmat yang Allah turunkan untuk memberitahu para pelajar bahawa mereka dirahmati Allah. InsyaAllah. Ramai yang pakai topeng muka yang diedarkan mungkin kerana ramai yang demam atau selesema. Saya pun demam juga, tapi kenalah juga kesekolah kerana cuti dah habis dan kerja pula terlalu banyak. Banyak borang nak kena sain dan banyak buku rekod pengajaran guru nak kena tengok dan simpan. Itulah sebahagian daripada rutin kerja sebagai seorang pentadbir sekolah. Bukan nak mengadu cuma nak cerita.

Sedang saya sibuk dengan pelbagai tugas, datang pula guru dok mengadu tentang perihal pengawas dok bersembang. Memanglah salah kerana pengawas tugasnya untuk mengawas peperiksaan. Mereka kena pastikan peperiksaan berjalan lancar tanpa ada unsur-unsur penipuan, kena tolong para pelajar yang nak ke tandas, kena bantu pelajar dalam hal-hal tertentu dan mereka tidak boleh langsung berbincang tentang kertas soalan. Saya pun dengar cerita dari guru, entah betul entahkan tidak. Saya pun berfikiran positif dengan menganggapnya tidak benar dan pengawas SPM tidak melakukan perkara sedemikian.

Bercerita tentang pengawasan SPM, saya pernah jadi ketua pengawas SPM di SMK Ibrahim kira-kira sepuluh tahun yang lalu ketika saya masih lagi mengajar di SMK Che Tom. Dalam Dewan Syed Jan itulah saya mengawasi peperiksaan SPM. Teringat saya perihal seorang pengawas yang pelik. Pelik bukan kerana pelik, tetapi pelik kerana dia buat perkara pelik. Ada ke patut dia pengawas dan saya ketua pengawas, bila pelajar angkat tangan dia suruh saya pula pergi tengok dan bagi kertas kepada pelajar terbabit. Menyinga juga tapi takkan nak marah di depan para pelajar. Habis saja peperiksaan saya panggil dia dan beri sedikit nasihat dan peringatan tentang kerja-kerja pengawas dan ketua pengawas. Saya juga ingatkan dia siapa pengawas dan siapa ketua pengawas. Pengawasan selepas itu berjalan lancar. Begitulah, kekadang jadi ketua pengawas pun kena banyak sabar apatah lagi kalau jadi Pengetua. Lagilah kena banyak sabar.

Sebenarnya pengawas dan ketua pengawas mempunyai autoriti yang amat hebat sehingga melebihi daripada kuasa Pengetua sendiri. Kalau ketua pengawas tak benarkan Pengetua masuk, maka Pengetua tak boleh masuk. Pernah terjadi di satu sekolah ketua pengawas bertelagah dengan Pengetua kerana Pengetua meminta untuk melihat kertas soalan sedangkan peperiksaan untuk kertas tersebut belum lagi berakhir. Oleh itu sesiapa sahaja terutama ketua pengawas, pengawas dan warga sekolah tidak dibenarkan sama sekali melihat kertas soalan dan berbincang mengenainya sedangkan peperiksaan masih lagi berjalan. Ketua pengawas dan pengawas hanya boleh melihat apakah jenis kertas soalan, berapa muka surat dan hal-hal teknikal yang lain. Tentang isi soalan dilarang untuk berbincang sama sekali. Begitulah ketatnya dan telusnya peperiksaan di Malaysia.

Itu pun terdapat juga kebocoran kertas soalan. Kebocoran itu berlaku tentulah pada tempat yang lain dan tak mungkin berlaku apabila kertas soalan sudah masuk ke bilik kebal. Itulah telahan saya dan saya yakin benar.

PENGAWAS TULUS PEPERIKSAAN TELUS.

Selasa, 17 November 2009

Denda.


I must not shout in class.
I must not shout in class.
I must not shout in class.
.......... x 300.

Inilah contoh denda yang dikenakan oleh guru dulu-dulu kepada para pelajar yang kuat bising macam kawan saya. Maklumlah , dulu BM High School, semuanya pelajar lelaki. Masing-masing bertempek bila ada kesempatan. Saya pun kekadang " release tension" juga tetapi taklah kuat sangat sampai cikgu marah. Bayangkan kena tulis perkataan tersebut sampai 300 baris. 6 x 300 = 1800 perkataan yang kena tulis. Kalau buat esei, 1800 perkataan macam-macam boleh cerita. Kalau buat cerita tentang anak muda, boleh cerita dari zaman kanak-kanak sampailah ke zaman beranak pinak. Inilah contoh denda yang tak sesuai lagi zaman sekarang. Sebenarnya pada zaman dulu pun tak sesuai, membazir masa dan tenaga tanpa apa-apa pulangan yang ketara. Itu cerita zaman dulu-dulu.

Adakah cikgu yang buat macam ini sekarang? Ada lagi. Baru-baru ini anak cikgu SMKI pun kena. Cikgu Bahasa Inggeris sekolah rendah suruh anaknya tulis:
I must not get a C in English x 300 lines. Banyak ooi. 8 x 300 = 2400 perkataan. Yang tu kalau buat esei lagilah panjang. Kira dah boleh buat cerpen. Ada juga yang masih ketinggalan zaman. Mendenda secara tidak membina. Anak kawan saya pun buatlah, tapi dia pakai komputer. Taip sebaris, kemudian pakai copy and paste. Cepat sajalah siap. Zaman dah berubah, walaupun cara denda nampaknya belum berubah. Bagi kepada cikgu, makin bertambah berapi cikgu tadi. Dia bagi semula dan suruh tulis tangan. Lagi tambah, enam ratus baris. Banyak buku latihan kena dibeli baru khas untuk tulis benda "mengarut " tu. Masa habis, duit habis, tenaga habis, hasilnya pelajar ini mungkin dapat D pula, dan kena denda lagi sebab dia dapat D. Nampaknya pelajar ini tak ada kerja lain melainkan dok tulis denda. Mungkin itulah natijah bila kita mendenda secara tidak konstruktif.

Alangkah baiknya jika guru tersebut meminta pelajar yang didenda membuat 300 ayat yang menggunakan perkataan-perkataan tertentu. Ataupun pelajar tersebut dikehendaki mencari perkataan yang sama maksud bagi 300 perkataan. Hasilnya "vocabulary" pelajar tersebut semakin bertambah. Pelajar ini mungkin tak dapat C lagi tetapi mungkin mencecah B atu A. Kan ke baik kalau macam tu? Masa digunakan tidak dibazirkan begitu saja. Denda mestilah konstruktif.

Dari segi fizikal pula, kita dapati ada juga denda yang membahayakan. Contohnya denda pelajar ketuk ketampi dan jalan itik. Manusia pula disuruh berjalan seperti itik, tentulah tak baik. Bukan itu saja, ketuk ketampi dan jalan itik sebenarnya diharamkan daripada kategori denda fizikal. Ini kerana kedua-dua denda tersebut boleh merosakkan buah pinggang. Adalah amat tidak adil jika hanya kerana pelajar itu nakal, maka kita denda sehingga buah pinggangnya rosak. Masa depannya terancam kerana sedikit kesalahan yang dilakukan. Dalam pengalaman saya, ada seorang guru perempuan yang mendenda pelajar perempuan ketuk ketampi baratus-ratus pada bulan puasa. Pelajar itu muntah dan hampir pengsan. Pucat muka guru tersebut. Jadi sebelum mendenda fikirkan; Kalaulah orang buat perkara yang sama kepada anak kita, adakah kita suka?. Dengan berfikiran begitu kita akan menjadi lebih penyabar.

Macam-macam denda lagi yang dibuat yang kekadang pelik lagi melucukan tetapi tidak baik. Contohnya menyuruh pelajar membuang baju dan pakai kain pelikat jika datang lewat. Pelajar lelaki terutama yang tingkatan 4 atau 5, bila dibuang baju nampak agak tidak elok jika dipandang oleh pelajar perempuan. Kta takuti, tujuan kita nak bagi pelajar malu dan jadi baik, tetapi pelajar perempuan tengok seronok pula. Bahaya tu. Ada seorang kaunselor disebuah sekolah suruh pelajar yang nakal menjunjung bangku dan berdiri ditepi kaki lima di tingkat 3. Saya pucat muka melihatnya dan segera menghentikan perbuatan tersebut. Kalaulah pelajar itu pening dan terjatuh dari tingkat tiga, panjang surat nak kena karang, tak cukup ayat nak kena jawab. Tidur malam belum tentu lena. Oleh itu para guru, carilah denda yang konstruktif misalnya suruh baiki bangku, mengutip sampah ataupun berkebun dimasa yang terluang. Sekurang-kurangnya kita mengajar pelajar ini untuk bekerja. Elakkan sekali mendenda ketika kita marah kerana manusia yang marah akan cepat hilang pertimbangan dan denda yang dikenakan kekadang tidak rasional dan tidak setimpal dengan kesalahan.

Bersabarlah banyak-banyak wahai guru. Kan ke sabar itu separuh daripada iman? Dan Rasulullah pernah bersabda " Manusia yang kuat itu ialah yang kuat menahn marahnya". Anggaplah pelajar-pelajar ini seperti anak-anak kita. Denda boleh, tapi biarlah konstruktif dan tidak membahayakan serta boleh memandu mereka ke arah kebaikan.

DENDA KONSTRUKTIF PELAJAR KREATIF.

Isnin, 16 November 2009

Menara AS


Sabtu baru-baru ini iaitu pada 14 November 2009, anak saya Suhaiza mengambil ujian pra untuk memasuki Maktab Mahmud di Alor Setar. Ramai sekali yang ambil ujian, lebih 1600 orang. Sementara menunggu anak mengambil peperiksaan, saya round pekan Alor Setar, terus singgah di Menara Alor Setar. Menara yang ke 20 tertinggi didunia. Kira hebatlah juga.


Memang cantik menara Alor Setar ni. Kalau orang jauh bolehlah datang melawat menara ini bila bertandang ke Alor Setar. Lepas membeli belah di Pekan Rabu ( yang buka selalu ), bolehlah naik Menara Alor Setar untuk makan minum di atasnya. Bayarannya tentulah mahal sedikit tetapi apa salahnya sekali sekala berbelanja di atas menara.






Pemandangan taman disekelilingnya pun cantik. Menghijau dan segar. Sihat mata memandang.


Tapi jangan dok buat maksiat, takut nanti jam tangan kena jual sebab nak kena bayar denda. RM1000 bukan sikit duit ooi.


Kalau ditangkap berkhalwat lagilah teruk. RM2000 kena denda. Banyak, lima bulan gaji bagi seorang tukang kebun swasta di sekolah. Jangan dok buat kerja tak senonoh noooo....

Kalau nak jadi cerita, kena merengkok pula dalam penjara. Setahun makan nasi "free". kalau ada kerja habis kena buang. Rugi memang rugi. Seronok sekejap tapi menderita lama. Jadi jangan dok "mereka".




Mailah ke Kedah. Jangan lupa singgah di Menara Aloq Setaq nooo.




MENARA. MERCU TANDA.

Jumaat, 13 November 2009

No magic wand


Pada Ahad lepas 8 Nov 2009, Ibrahim dilawati oleh lebih 50 orang cendiakiawan dari JPN Johor termasuk seorang Ketua Sektor Pengurusan Akademik JPN Johor serta Ketua Unit Kemasyarakatan serta beberapa pentadbir serta guru-guru cemerlang Sejarah. Kami di Ibrahim ini biasalah dengan lawatan yang bertali arus dari pelbagai institusi. Tahun ini saja entah berapa lawatan pun saya tak ingat. Lawatan dari nadzir entah berapa kali, lawatan dari JPN Kedah, lawatan dari pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia malah ada satu lawatan dari Jabatan Bahasa Melayu Tentera Australia. Terbang terus dari Australia ke SMK Ibrahim. Pengetua pula pada hari tersebut ada di KL, maka terpaksalah saya memberi penerangan kepada pegawai-pegawai dari JPN ini. Pembentangan berjalan lancar sebab entah berapa kali saya dengar dan buat benda yang sama dengan sedikit modifikasi. Yang di ubahsuai hanyalah muka depan persembahan "power point tersebut. Yang kurang sedap sikit ialah soalan yang banyak yang kekadang saya kurang bersedia. Maklumlah soalan tentang sejarah yang saya kurang mendalami. Nasib baik ada GKM Kemanusiaan, En Yazi yang dapat memberi jawapan yang memuaskan hati mereka. Alhamdulillah.

Ada satu perkara yang amat menyukakan hati para pelawat dari JPN Johor ini ialah peratus kelulusan Sejarah untuk SPM ialah 100% dengan 52% mencapai gred AI dan A2. Maknanya lebih daripada separuh yang mendapat A dalam Sejarah. Hebat kata mereka. Sebenarnya bagi SMK Ibrahim pencapaian Sejarah taklah sehebat pencapaiAn lain-lain subjek terutama Matematik yang peratus mendapat A melebihi 70%. Itulah kenyataan di Ibrahim. Syukur kepadamu Allah.

Bila mereka dah seronok maka antara soalan yang ditanya ialah ;

" Apakah program-program khas yang Ibrahim jalankan untuk mendapatkan prestasi yang begitu tinggi ? "

Soalan cepu emas yang kami memang tiada jawapan. Ini kerana kami memang tidak mempunyai program yang amat hebat untuk melonjakkan kecemerlangan pelajar. Program-program yang kami buat samalah macam sekolah lain buat. Apa depa buat kami pun buat, dan apa kami buat sekolah lain pun buat. Ibrahim has no magic wand. Keputusan yang amat baik ini berturutan dan meningkat dari tahun 2006 hinggalah tahun 2008. Malah kalau kita lihat keputusan, nampak peningkatan yang begitu jelas dari segi kualiti dan kuantiti pencapaian pelajar-pelajar SMK Ibrahim. Syabas Ibrahim. Malah kalau dibandingkan dengan sesetengah pencapaian sekolah berasrama penuh nampak jelas SMK Ibrahim dah "teng" mereka. Mengikut piawaian JPN Kedah, sekolah rancangan khas perlulah mendapai 40% semua A dalam PMR tetapi SMK Ibrahim mencapai 56% semua A. Maknanya Ibrahim melepasi piawaian JPN Kedah dengan banyaknya.

Kalau tak ada "magic wand" dan program yang terhebat, apakah yang menyebabkan keputusan begitu baik ?Inilah yang saya akan jawab berdasarkan pengalaman saya yang singkat di SMK Ibrahim.

Pertama pengurusan masa. Di SMK Ibrahim, tiada gangguan-gangguan yang menyebabkan masa untuk pembelajaran terbuang. Tiada guru kejar pelajar, tiada pelajar bertumbuk malah kurang sekali pelajar di"jerkah". Tiada loceng yang menyebabkan kebingitan, tiada pengumuman-pemgumuman dari pembesar suara yang menambahkan lagi haru-biru sekolah. Sekolah tenang, pelajar bergerak mengikut masa yang ditentukan, guru masuk kelas tanpa lewat dan keluar kelas mengikut jadual. Malah Ketua Unit Kemasyarakatan JPN Johor menerangkan yang sebaik sahaja beliau masuk ke perkarangan SMK Ibrahim, beliau merasakan amat tenang, tak seperti sekolah-sekolah lain. Itulah yang depa kata. Mau tak tenangnya sebab pada hari itu ada peperiksaan akhir tahun. Ramai yang khusyuk jawab soalan dan kurang sekalilah pergerakan di luar kelas.

Kedua komitmen guru. Ada orang kata mengajar di SMK Ibrahim senang. Pelajar pandai setaraf asrama penuh, kemudahan banyak, kawasan luas, bilik banyak dan macam-macam lagi kemudahan yang tiada disekolah lain. Betul , tapi semua kemudahan ini tidak menjadikan guru-guru SMK Ibrahim leka dan lalai. Malah komitmen mereka amat tinggi. Suruhlah apa saja, semuanya akan dilakukan dengan rela tanpa banyak celoteh dan alasan. Setiap hari guru-guru SMK Ibrahim balik lebih lewat daripada kebanyakan sekolah lain. Kalau ada mesyuarat lagi lewat sebab semua mesyuarat diadakan lepas waktu sekolah. Waktu belajar tak dibazirkan sama sekali. Ada guru yang datang malam untuk menunjuk ajar kepada pelajar-pelajar asrama. Begitulah hebatnya komitmen mereka. Teruskan guru-guruku.

Ketiga faktor pentadbir. Pentadbir SMK Ibrahim merupakan satu pasukan yang mantap, yang membuat kerja sebagai satu pasukan. A kata Pengetua, A lah kata semua pentadbir. Semua akan bekerja mengikut hasrat dan visi yang telah digariskan oleh Pengetua. Tiada bangkangan, tiada keingkaran. Pendekata program yang dicadangkan Pengetua berjalan " as smooth as silk". Semua pentadbir pula tidak mempunyai masalah dengan para guru. Tiada "klik" atau gerombolan dikalangan para guru dan pentadbir. Pengetua pula tidak pernah memarahi para guru dalam semua mesyuarat. Kalau ada masalah, Tuan Pengetua akan memanggil guru tersebut dan menegur secara terus tanpa perlu "memperli" dalam mesyuarat. Hasilnya guru tersebut dimaklumi kesalahannya secara terus tanpa pengetahuan orang lain. Itulah hebatnya Tuan Pengetua SMK Ibrahim.

Keempat ialah "vision" yang tinggi. Visi SMK Ibrahim ialah " Menjadi Sekolah Nombor Satu di Kedah Menjelang 2010 ". Tinggi visi tersebut. Nak jadi yang terbaik di Kedah. Dengan visi dan target yang begitu tinggi, maka semua pelajar dan guru telah ditanamkan dengan "expectation" yang amat hebat. Bila harapan tinggi daripada semua warga sekolah, maka usaha akan mereka lipatkan berkali-kali ganda untuk mencapai visi tersebut. Belum pun tahun 2010, tapi SMK Ibrahim telah mencapai posisi nombor satu di Kedah dalam pelbagai aspek samada dari segi kurikulum dan kokurikulum serta sahsiah pelajar.

Itulah empat faktor yang penting yang melonjakkan kecemerlangan SMK Ibrahim. Ada banyak lagi faktor lain yang tak mampu saya coretkan dalam ruang yang terbatas ini. Kalau nak tanya lebih silalah emailkan kepada halim3377@gmail.com. InsyaAllah saya akan memberikan jawapan yang lebih jelas.

IBRAHIM. NO MAGIC WAND.

Rabu, 11 November 2009

Sejadah sembahyang?


Beberapa minggu yang lepas tersebar berita yang sejadah berdiri. Bila keluar satu cerita di satu tempat, maka berita itu akan keluar pula ditempat lain, secara berturut-turut. Mula-mula satu sejadah sahaja berdiri, tetapi lama kelamaan makin banyak dan semakin unik. Lepas tu keluar pula cerita sejadah berdiri seperti bersembahyang jemaah lengkap dengan imamnya sekali. Tak siapa melihat sewaktu sejadah itu berdiri dan membentuk posisi seperti sembahyang berjemaah. Nak percaya pun boleh , tak mau percaya pun tak apa. Terpulang kepada pemikiran diri sendiri. Apa nak dihebohkan sangat?

Ada yang kata ini buatan manusia, sebab sejadah yang berdiri semua jenis yang baru, yang masih keras dan masih boleh didirikan. Mungkin betul sangkaan ini. Tak kurang pula yang kata ini ialah kuasa Allah untuk memberi amaran kepada manusia yang semakin kurang menunaikan solat terutama dimasjid dan surau. Ini juga mungkin betul sebab susah sangat ke Allah nak buat sejadah bagi berdiri? Sedangkan langit Allah boleh dirikan tanpa tiang, inikan pula sejadah. "Kun fa ya kun " Allah kata jadi, maka jadilah. Itulah hebatnya kuasa Allah. Jadi jangan dok bertengkarlah pasal sejadah berdiri ini. Nak percaya silakan, tak mau percaya pun tak apa.

Ada pula yang kata kalau percaya boleh lari akidah. Ini pendapat yang cukup dangkal. Macam mana boleh lari akidah? Kalau kita percaya itu Allah yang lakukan, adakah kita dah lari akidah? Malah kalau kita yakin itu perbuatan Allah, semakin mantap akidah kita kerana memang Allah lakukan semua perkara. Kalau sejadah itu manusia yang dirikan, adakah sejadah itu akan berdiri tanpa izin Allah? Memang Allah yang jadikan semua perkara boleh berlaku. Rasa saya, kalau kita percaya macam ini, tentulah akidah kita lebih mantap. Tak kiralah siapa yang buat, tetapi yang menjadikannya mestilah Allah, sebab Allah maha kuasa dan maha mengetahui.

Akidah kita mungkin lari kalau kita dok buat sejadah tu sebagai keramat dan dok minta ubat untuk sesuatu penyakit. Itu memang lari akidah sebab sejadah memang tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk memberikan apa-apa juga menfaat. Kalau kita percaya yang sejadah itu berdiri sebagai satu peringatan dari Allah, elok juga sebab ini akan menjadikan kita lebih insaf dan lebih takutkan Allah. Kalau kita takutkan Allah, kuranglah sikit kita membuat dosa. Kan ke bagus begitu? Macamlah ibu bapa kita dulu usik kita tentang waktu maghrib. Kata mereka waktu maghrib banyak hantu, maka tak boleh keluar. Kita pun percaya dan tak keluar waktu maghrib. Hasilnya kita boleh sembahyang maghrib. Kalau kita tak takut, nescaya ramai yang tak sembahyang maghrib. Kemudian barulah kita tau bahawa perkara itu tidak benar tetapi disebabkan kita dah biasa tak keluar waktu maghrib, maka kita pun teruskan rutin biasa dengan bersembahyang di waktu maghrib.

Seandainya perkara sejadah berdiri ini sememangnya ujian dari Allah, adakah itu kita anggap pelik? Apa nak pelik sedangkan kaum-kaum terdahulu daripada umat Rasulullah seperti kaum Nabi Lut, Kaum Samud telah dimusnahkan dengan sekelip mata oleh Allah tanpa banyak amaran yang diberikan. Cuma umat Rasulullah sajalah yang ditangguhkan pembalasan sehingga hari kiamat. Maka Allah turunkan amaran untuk kita buat peringatan. Sejadah berdiri memang tak pelik sebab banyak lagi perkara pelik yang berlaku dalam badan kita. Kalau kita kaji dari segi sains, terlalu banyak benda yang pelik. Tak pelik kah kita yang berasal dari hanya setitis sperma dan ovum membesar lengkap jadi manusia, lengkap dengan deria yang pelbagai, otak yang begitu kompleks? Adakah lebih pelik kejadian sejadah berdiri jika nak dibandingkan dengan otak kita yang mempunyai trillion neuron yang setiap satu begitu kompleks? Mana lebih senang, kalau difikirkan secara logik, nak buat sejadah berdiri atau nak buat otak yang begitu rumit?

Mungkin juga Allah nak tunjukkan kepada manusia bahawa sekarang di masjid lebih banyak sejadah daripada manusia terutama waktu sembahyang subuh. Sejadah ada 50, orang cuma ada lima. Dah orang tak mau sembahyang, bagi sejadah pula sembahyang. Dan jangan pelik , mungkin satu hari nanti tiang masjid pula beratur untuk sembahyang sebab sekarang pun bilangan tiang masjid lebih banyak daripada bilangan orang yang berjemaah waktu subuh. Jadi, jangan dok rasa pelik sangat. Yang pelik ialah kenapa bilangan sejadah lebih banyak daripada bilangan orang yang berjemaah? Itu yang patut kita pelikkan sebab yang nak masuk neraka bukan sejadah tapi manusia yang tak sembahyang. Fikir-fikirkan.

SEJADAH PUN TAKUTKAN ALLAH.

Isnin, 9 November 2009

Meroyan.


Inilah Nurhidayah yang didera ibu tirinya sehingga bahu kirinya bengkak dan amat kesakitan. Kesian, budak yang baru mengenal alam telah didera dan terpaksa menanggung sengsara akibat perbuatan seorang insan yang bergelar ibu walaupun ibu tiri. Hakikatnya ibu tetap ibu, samada tiri ataupun kandung. Dari segi Islam ibu tiri setaraf dengan ibu kandung. Apalah yang manusia kerdil ini tahu. Dia mungkin tertanya-tanya apakah kesalahan yang tersangat besar dilakukannya sehingga dia menerima siksaan sedemikian rupa. Apatah lagi dia semakin bingung kerana siksaan demikian datangnya dari seorang manusia yang dipanggilnya ibu. Jadi para pelajar yang mempunyai ibu yang baik, yang sentiasa menjaga kebajikan anak-anak semua, yang tidurnya kurang nyenyak dek memikirkan pelajaran anak-anak terutama pada musim peperiksaan yang akan datang ini, sayangilah ibu, ciumlah ibu setiap hari sebelum datang sekolah. Doakan sentiasa agar ibu menjadi sejahtera dan keluarga menjadi bahagia. Insya Allah. Dalam mencium ibu, jangan lupa mencium bapa yang juga amat berjasa kepada anda semua.

Kalau kita baca ceritanya, ibu tiri ini mula menjadi pembengis dan tak berperikemanusiaan semenjak melahirkan anak. Mungkin perempuan ini meroyan atau kekadang dikatakan juga gila meroyan. Tak taulah dia gila ke tidak, tapi yang pasti dia meroyan. Ini berlaku kepada sesetengah perempuan yang baru melahirkan anak. Jadi seeloknya suamiya hendaklah mencari penawar dan ubat kepada penyakit meroyan ini. Bukan ibu ini jahat, tetapi kerana hormonnya yang tidak seimbang selepas melahirkan anak, maka dia jadi meroyan. Itulah pentingnya keseimbangan hormon dalam tubuh. Kalau hormon tak seimbang akan berlakulah perkara-perkara yang tidak normal.

Hormon yang paling mudah kita terangkan ialah hormon insulin. Kalau kurang insulin maka berlakulah kencing manis. Parah penyakit kencing manis ini kerana boleh membawa maut. Kalau terlalu lebih hormon insulin pun bahaya juga, boleh kena strok. Strok pun parah juga. Oleh itu insulin perlulah seimbang, tak lebih dan tak boleh kurang. Begitulah bijaknya badan kita yang mempunyai mekanisma khas dalam mengawal keseimbangan hormon insulin. Kalau badan kita bijak, maka yang mencipta badan kita itu adalah maha bijak iaitu Allah. Oleh itu kalau kita lihat keajaiban atau kebijaksanaan, jangan kagum kepada individu tersebut tetapi kagumlah kepada Allah yang menciptanya.

Berbalik kepada cerita meroyan, ini pernah berlaku kepada kawan saya yang juga seorang guru. Isterinya menjadi bengis selepas melahirkan anak ketiga. Entah tak tahu apa sebabnya. Meroyannya dah dikira tahap kritikal sehinggakan dia sentiasa mengugut untuk membunuh suaminya. Maka kawan saya akan menyembunyikan semua peralatan terutama pisau dari isterinya. Bila pisau disembunyikan, maka hari-harilah dia makan nasi kandar. Hampir semua kedai nasi kandar dia ziarahi kerana isterinya meroyan berbulan-bulan. Berbulan-bulan jugalah dia risau dan tak nyenyak tidur takutkan isterinya mengambil pisau dan membunuhnya. Akibat bininya meroyan, berat badannya pun menyusut akibat kurang tidur dan susah hati. Semua yang dibuat tidak menjadi kerana kerisauan yang mencengkam hati. Habis bomoh dan dukun dilawati tetapi isterinya masih tidak sembuh. Akhirnya dia ambil keputusan untuk pergi haji dan berdoa di depan kaabah. Dengan tangisan dan rintihan, akhirnya permintaannya dimakbulkan. Balik sahaja dari menunaikan haji, isterinya menjadi normal. Tahun ini dia pergi sekali lagi ke mekah dan membawa bersama isterinya untuk menunaikan haji. Alhamdulillah.

Itulah serba sedikit cerita meroyan akibat daripada hormon yang tidak seimbang.


MEROYAN PERLUKAN PERHATIAN.

Rabu, 4 November 2009

Jangan pegang stereng.


Jangan pegang stereng. Apa sebab pula? Kalau nak bawa kereta mestilah kena pegang stereng. Kalau tak pegang stereng mana boleh. Mesti kemalangan. Lainlah kalau bawa kapalterbang, boleh tekan "autopilot" dan kaplterbang melayang secara automatik. Itu pun kalau nak mendarat kena pilot juga. Tak boleh "auto" mendarat. Nahas nanti.

Stereng ini bukan stereng kereta tapi stereng sekolah. Maknanya pentadbiran sekolah serah kuasa sepenuhnya kepada Pengetua. Biar Pengetua jadi drebar. Biar Pengetua pegang stereng. Idea ini saya dapat ketika kursus Penolong Kanan di Hotel Sri Malaysia Kepala Batas baru-baru ini. Kata Ketua Sektor En Munajat,

" Penolong Kanan jangan dok pegang stereng kecualilah kalau Pengetua benarkan"

Maknanya di sekolah drebarnya ialah Pengetua. Tak boleh ada banyak drebar. Takut nanti berlaku perlanggaran. Kalau kereta berlanggar , seorang dua saja cedera, tapi kalau sekolah kelam kabut, ribuan pelajar jadi mangsa. Sebab itulah Pengetua cukup berperanan dalam hal ehwal pentadbiran sekolah dan hal ehwal yang paling utama iaitu akademik sekolah. Teringat saya kata-kata bekas Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Abas Awang. Dia berkata,

"Pengetua bukan tukang kebun, maka jangan dok kisah sangat tentang keceriaan sekolah. Pengetua juga bukan ahli komputer, jadi jangan dok kisah sangat tentang komputer. Tapi Pengetua adalah pentadbir yang paling utama, jadi uruskan hal-hal pentadbiran terutama pentadbiran dari segi akademik. Itulah core-business sekolah".

Saya sangat setuju dengan saranan beliau. Dia sambung lagi ,

" Kalau sekolah utamakan keceriaan, baik kita lantik tukang kebun jadi Pengetua"

Pedih telinga mendengarnya tetapi itu adalah kenyataan. Berbalik kepada Penolong Kanan, mereka perlulah sentiasa menyenangkan Pengetua. Pengetua mempunyai kuasa veto yang tidak boleh dipersoalkan oleh Penolong Kanan. Ini kerana kalau berlaku sesuatu, Pengetua yang dipertanggungjawabkan dan bukannya Penolong Kanan. Jadi semua Penolong Kanan termasuk diri saya agar tidak memegang stereng tanpa kebenaran Pengetua.

Teringat saya kata seorang pegawai JPN Kedah. Saya kurang setuju dengan saranan beliau. Katanya ,

"Kalau Pengetua suruh buat kolam ikan, maka Penolong Kanan tak perlu tanya berapa dalam kolam ikan yang hendak dibuat, berapa luas kolam tersebut, berapa pula panjangnya, dari mana nak cari modal dan dari mana nak ambil jentolak untuk korek kolam. "

Sebahagiannya betul sebab tak kan kita sebagai Penolong Kanan langsung tak tau apa, semua nak kena tanya Pengetua tetapi kalau Pengetua suruh buat sesuatu program, kita kena selalu "consult " Pengetua untuk persetujuannya. Ini untuk memastikan apa yang kita buat sentiasa dalam pengetahuan Pengetua. Jangan buat sesuatu tanpa pengetahuan Pengetua. Ingat, yang nak jawab Pengetua, bukannya kita sebagai Penolong Kanan. Kalau nak pegang stereng , tunggu sampai jadi Pengetua.

PENGETUA ITU KETUA.

Ahad, 1 November 2009

Cari menantu.


Pagi tadi selepas memeriksa perjalanan kelas-kelas sempatlah saya singgah sekejap di bilik guru untuk melihat kebajikan guru-guru. Guru-guru mengeluh sebab elektrik tak ada. Belum dibaiki lagi sebab ada barang yang kena ditempah dari jauh. Nampaknya terpaksalah cikgu-cikgu berpanas sehari dua lagi. Takpalah cikgu , berpanas sehari dua . Dah bertahun-tahun sejuk, baru sehari dua panas taklah teruk sangat. Itulah cikgu SMK Ibrahim. Panas ke, sejuk ke, pelajaran tak akan diabaikan. Syabas. Kalau macam ini, semua patut diberi APC tapi ada kuota. Nak buat macam mana.

Sempatlah juga bercerita dengan guru sekejap. Keluarlah cerita tentang pilih menantu. Cerita yang baru saja saya dengar sebab saya jarang berkesempatan ke bilik guru. Hari ini dapat cerita baru. Cerita pilih menantu. Ceritanya ada guru yang dah pilih menantu untuk dijodohkan dengan anak-anaknya. Maknanya guru tersebut akan memilih pelajar yang comel dan bijak dalam pelajaran untuk dijadikan menantu. Idea yang baik sebab tak payah lagilah anak dok cari jodoh sendiri. Awal-awal pak dah bagi. Bagus idea ini tapi anak saya yang lelaki baru berumur 11 tahun. Terlalu awal rasanya nak cari menantu.

Dengar cerita ini, saya teringat cerita yang tersohor dipedalaman India di mana kanak-kanak dijodohkan semasa dilahirkan lagi. Bagus juga kerana soal cari j0doh dah selesai tapi kalau terlalu awal pun ada juga banyak masalahnya. Kekadang kita pilih punya pilih, cinta bagai nak rak, tiba-tiba tak jadi. Apatah lagi bila yang comel tu masuk universiti. Di universiti ada yang hensem macam Shah Rukh Khan. Akhirnya menantu yang kita pilih orang lain pun nak pilih. Masa sekolah bercinta sakan, sampai di universiti lain cerita. Yang kita pilih orang dah pelari. Tinggallah anak kita dok gigit jari. Bukan nak mengata, saja nak cerita.

Teringat kawan saya di universiti dulu. Bercinta sakan, kemana-mana pun berdua-duan. Pendekata macam belangkas. Yang perempuan memang comel, orang Kulim. Yang lelaki kawan saya , orang Johor. Saya pun kurang ambil tau hal mereka sebab saya mana ada masa nak bercinta. Lagippun saya orang miskin, tak hensem pula, sapa yang mau?. Bagus juga orang tak mau, sebab kuranglah sikit masa untuk bercinta. ( Dah orang tak mau, nak kata apa lagi ? ).

Tau-tau saya dengar kawan saya dah kena tendang dari universiti. Sebabnya dia gagal dalam percintaan. Gagal dalam bercinta, dalam pelajaran pun gagal juga. Rupa-rupanya si comel lote buah hatinya dah dilarikan si hensem yang lebih bergaya. Dia termangu-mangu tak dak siapa nak pujuk. Kemudian dia pun jumpa kami di asrama. Dia ceritalah tentang kekecewaannya ditinggalkan kekasih hati. Dia dah "fed-up", tak mau sambung belajar lagi. Ramailah yang pujuk. Tapi saya kata,

" Eloklah hang berhenti, belajar pun tak guna sebab hang takdak semangat. Kerana perempuan pun hang sanggup abaikan pelajaran. Kalau jadi pembesar nanti, agaknya bila hang "frust", hang tinggalkan kerja pula. "

Dia tersengih-sengih dan terus pergi dan tak datang jumpa saya lagi. Saya pun taklah perlu menghabiskan masa untuk pujuk dia lagi. Begitulah cerita bila gagal bercinta. Saya harap para pelajar SMK Ibrahim khasnya, lupakan dulu hal-hal bercinta ini. Masa untuk bercinta masih panjang tetapi masa untuk belajar dah semakin kurang. Bukan apa, takut nanti bila gagal bercinta, jadi macam kawan saya, kena tendang dari universiti, peluang keemasan terlepas begitu sahaja. Tumpukan kepada pelajaran. Kalau ada jodoh takkan kemana. Sampai masa bertemulah dengan jodoh yang ditakdirkan. Insya Allah.

GAGAL BERCINTA MENDERITA.