Selasa, 4 Ogos 2009

Muflis.


Muflis bermaksud bankrap. Bankrap maknanya dah tak ada duit. Tetapi kekadang istilah ini pun tak boleh digunakan kerana ramai juga orang diistiharkan bankrap tetapi masih kaya raya, masih bawa kereta besar, masih duduk dalam rumah seindah istana.

Orang yang gambarnya disebelah ini bukan bankrap. Dia memang miskin, dia tiada wang, jauh sekali berkereta dan dia tak banyak harta. Dia miskin dan dah masuk ke taraf papa kedana. Itulah dia, seorang rakyat Kemboja dikampung halamannya bergambar dihadapan "mahligainya" yang setaraf pondok penunggu durian di kampung kita. Adakah saya menghina? Tidak sekali. Bukan itu tujuannya saya berblog pada malam yang hening ini.

Tujuan saya ialah untuk mengingatkan kita betapa bertuahnya kita berada di Malaysia. Negeri yang kaya raya menyebabkan kita mampu mengumpul sedikit sebanyak harta. Kita mampu berkereta, menduduki rumah tersergam indah, mampu menikmati kehidupan dengan cukup selesa. Alhamdulillah kerana menjadi rakyat Malaysia.

Bandingkan kita dengan orang dalam gambar tersebut. Tentu kita kata kita amat bertuah berbanding dengannya. Tapi adakah betul begitu? Dia pula mungkin mengatakan dia lebih bertuah daripada kita dan dia punya hujah yang nyata. Hujahnya ialah , dia tiada harta, maka soalannya ketika di akhirat adalah lebih mudah. Umpama orang yang tak membawa sebarang barangan, maka tak banyak soalan daripada kastam, tetapi bagi yang kaya, yang banyak membeli barang, tentulah soalan daripada kastam lebih panjang. Lebih lambat kena berbaris dibandingkan dengan orang yang tiada barangan. Itu baru soalan di dunia, di akhirat tentulah lebih susah lagi soalannya. Takutnya untuk menghadapi saat itu. Nauzubillah.

Simiskin tiada diwajibkan zakat, tak perlu kerjakan haji. Dua rukun Islam dah gugur daripadanya. Amalannya nampak lebih mudah daripada kita. Itulah kelebihan simiskin berbanding kita yang sedikit kaya. Tetapi si kaya juga untung malah lebih baik dari si miskin kalau dia banyak berbuat kebajikan dari hartanya. Dia boleh menderma dengan banyaknya, tapi mestilah dengan ikhlas. Kalau menderma kerana hendakkan sesuatu ganjaran, maka dermanya menjadi sia-sia. Oleh itu, kalau banyak harta, dermalah dengan ikhlas tanpa mengharap apa-apa balasan.

Rasulullah pernah bersabda, " Tahukah kamu semua , siapakah yang muflis di akhirat ? "

Sahabat menjawab, " Tentulah orang yang datang tanpa sebarang amalan kebaikan ".

" Salah" jawab Rasulullah. " Orang yang muflis ialah orang yang banyak kebajikan, solatnya sempurna, zakatnya sempurna, hajinya sempurna tapi dia banyak menganiayai orang lain"

"Masa di akhirat, orang yang dianiayainya akan menuntut pahalanya sehingga habis dan setelah pahalanya habis, masih lagi ada tuntutan dari orang yang dianiayainya. Oleh itu dosa orang yang dianiayainya pula yang di pindahkan kepadanya , dan itulah orang yang muflis." sabda Rasulullah.

Ini hanyalah sebagai peringatan bagi kita di kalangan guru yang banyak terlibat dengan para pelajar. Oleh itu berhati-hatilah agar kita jangan menjadi orang yang suka menganiayai para pelajar kita. Bagaimanakah kita menganiayai para pelajar kita? Ada beberapa contoh yang boleh difikirkan.

a. Memberikan taraf kelakuan yang tidak menepati sahsiah pelajar.

b. Tidak memeriksa dan memberi markah yang tepat kepada pelajar terutama jika kita menjadi pemeriksa kertas.

c. Mendenda pelajar secara keterlaluan berbanding dengan kesalahan yang dilakukan.

d. "Branding" para pelajar dengan tanggapan yang tidak baik.

e. Pengagihan bantuan seperti biasiswa yang tidak dibuat dengan adil. Teringat kata Tuan PPD dulu, " biarlah tersalah memberi tapi jangan tersalah tidak memberi" . Jadi berhati-hatilah bila terlibat dengan bantuan ini.

dan banyak lagi. Oleh itu diharap semua tenaga pengajar SMKI dapat memanifestasikan sedikit peringatan ini agar kita tidak menjadi manusia yang muflis di akhirat nanti. Selamat bertugas cikgu.

MENGINSAFI DIRI .











Tiada ulasan:

Catat Ulasan