Sabtu, 25 Julai 2009

Tak serius.


Pada hari Khamis 23 Julai 2009, SMK Ibrahim mengadakan hari Perjumpaan Waris-Guru. Bukan semua waris yang dipanggil tetapi hanya waris-waris yang anak mereka mendapat markah kurang dari 40 dalam mana-mana subjek. Di SMKI ini kalau markah kurang 40 dah amat menggerunkan bagi Tuan Pengetua dan warga sekolah. Di kantin depa "riuh sakan" kalau ada yang dapat kurang 40. Jemputannya ramai juga, kira-kira 200 orang tetapi yang hadir lebih kurang 50 orang. Mungkin sebab buat hari Khamis, depa tak cuti. Bila buat waktu cuti pula depa kata depa nak rehat pula. Macam-macam alasan. Betullah seperti kata pepatah, Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Bagi saya bukan seribu, mungkin 2 ribu dalih. Mungkin ini sudah jadi penyakit orang bandar yang sedikit kaya daripada orang miskin di kampung. Ketika saya di SMK Yan, mereka cukup prihatin tentang jemputan dari sekolah. Kalau jemput 500 , paling kurang 400 mesti datang. Kata pula kawan saya, dikampung depa tak ada kerja tetap, jadi kurang sibuklah. Lagi pun di kampung depa amat pentingkan sekolah sebab depa tak ada duit nak hantar anak ke kelas tuisyen. Mungkin betul juga alasan tersebut.

Tuan Pengetua macam biasalah, dia banyak idea dan banyak pengetahuan. Dia boleh bercakap dan bagi taklimat yang agak panjang. Dan semua yang hadir khusyuk mendengar. Diselang seli dengan lawak di mana yang perlu dan serius dikebanyakan bahagian taklimat menyebabkan taklimat menjadi begitu menarik. Memang Tuan Pengetua berbakat bagi ceramah. Bertuah SMKI yang mempunyai Pengetua yang berbakat dan banyak pengetahuan. Banyaklah aspek yang beliau sentuh, tapi saya nak ambil satu saja, iaitu bahagian betapa tak seriusnya pelajar-pelajar kita dengan pelajaran. Mungkin fenonema tak serius ini dah menjangkiti ramai orang di Malaysia ini. Bukan takat yang kurang cerdik, tapi yang terlebih cerdik pun kekadang buat kerja semberono tanpa kajian yang terperinci. Itu tak seriuslah namanya.

Saya selalu berkata kepada pelajar-pelajar ungkapan azimat saya iaitu :

" Suruh belajar kamu main, suruh main kamu main-main "

Main-main tu maknanya tak seriuslah. Banyak orang Malaysia buat kerja main-main. Contoh bila kita makan direstoran. Bila nak bayar depa tanya balik kita makan apa? Patutnya depa catitlah kita makan apa dan harganya sekali. Itu menunjukkan depa tak serius nak berniaga. Tu belum kira tukang masak yang dok buat kerja dibelakang. Penuh dengan gelak ketawa sambil buat kerja.

Lagi satu contoh ialah ketika saya membasuh kereta. Yang basuh kereta tu ialah pekerja-pekerja dari Bangladesh. Sambil basuh kereta boleh pula depa melawak? Pancut air kepada kawan-kawan yang lain sambil gelak ketawa. Saya pun panas hati tengok gelagat mereka. Nak main sambil bekerja , boleh ke? "Patutlah hangpa miskin," kata saya dalam hati.

Samalah dengan para pelajar yang main-main ni. Tengok rupa pun dah tau depa tak serius. Pakai tai macam artis, tai tertarik kebawah. Tak kemas. Baju bubuh diluar, kasut "berdanok " , seluar kaki kecil , rambut kusut masai, bau macam orang tak mandi. Itu semua menunjukkan mereka tak serius . Kalau badan sendiri pun depa tak serius nak jaga, macam mana pula mereka nak serius belajar?

Kalau tengok beg depa pula, mengalahkan beg professor. Sebab beg depa hanya ada dua tiga buku saja. Sia-sia kerajaan bagi buku teks percuma, tapi depa tak guna. Bila cikgu nak pakai buku teks, depa pi pinjam rata. Itulah sikap yang tidak serius. Malah ada pelajar yang tak tau bila nak periksa. Bagi depa periksa ke tak periksa sama saja. Tu yang ada jawab 5 minit terus tidur. Sakit hati kita yang lihat pelajar-pelajar begini. Tapi masalah seperti ini tak banyaklah di Ibrahim ni.

Yang buat kerja serius dan saya "salute" ialah di kedai fotostat Rincoh di Taman Petani Jaya. Pergilah tengok nak tau bagaimana mereka buat kerja. Memang depa serius sungguh. Jarang tengok depa dok bersembang, melawak jauh sekali. Semuanya serius dengan kerja masing-masing. Sebab itulah SMKI bagi kontrek fotostat terus kepada depa. Bukan nak iklankan syarikat depa, tapi nak cerita tentang betapa seriusnya mereka dalam pekerjaan.

Oleh itu semua pelajar SMKI khususnya dan semua pelajar amnya, kalau nak berjaya dalam hidup, buatlah kerja apa pun tapi mesti serius. Kalau tak serius buat kerja apa pun tak berjaya.

TAK SERIUS. PENYAKIT SERIUS.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan