Kelmarin 16 Ogos, saya ke UTP untuk meraikan konvo anak saya yang kedua yang menjadi graduan di sana. Alhamdulillah semua berjalan lancar. Bila selesai upacara, bila semua graduan dan ibu bapa mulai keluar, saya terserempak dengan cikgu Harun Dali ( bekas PK Koko SMKI ) menyatakan yang dia baru terima sms mengatakan cikgu Kaza ( Guru Pakar Kimia SM Teknik Lebuhraya ) telah meninggal dunia. Terkejut saya kerana yang saya tau cikgu Kaza tak sakit apa. Cikgu Kaza merupakan kenalan lama semasa sama-sama berkursus dan kami sama-sama dalam AJK PIBG SMT Lebuhraya. Dia lebih muda dari saya, dan dia telah dijemput Allah. Innalillahi wainnailaihirajiun. Engkau telah bertemu dengan kematian, sesuatu yang pasti.
Demikianlah putaran kehidupan. Dulu waktu kecil-kecil, kita semua dengar kawan-kawan bersunat. Mereka kata bersunat sakit. Kita pun takut tapi akhirnya kita bersunat juga. Kita rasa kesakitannya. Kemudian lawan-kawan mula kahwin, kita pun kahwin dan merasai alam berumahtangga. Kemudian kawan-kawan dapat anak, akhirnya kita pun bertanya khabar tentang anak sebab kita pun dapat anak juga. Kemudian masing-masing kawan-kawan bertanya khabar pula tentang cucu, mereka dah tau keadaan sayangnya kepada cucu. Tapi saya belum lagi bercucu walaupun dah ada satu menantu. Kemudian ketika umur menjelang senja, kawan-kawan mula mengkhabarkan tentang kematian. Satu misteri yang kita akan jumpa diakhir penghidupan. Sesungguhnya kematian itu adalah akhir penghidupan didunia tetapi permulaan penghidupan diakhirat.
Kematian adalah apabila peluang untuk kita beribadat telah tertutup rapat kecuali beberapa ibadat yang boleh sambung di akhirat. Antaranya ialah
1. Anak yang soleh. Itulah pentingnya mempunyai anak yang soleh yang masih boleh menyumbangkan pahala kepada ibu bapa di alam baqa. Jadi nasihat saya kepada semua pelajar SMKI khasnya, jadilah anak yang soleh agar ibu bapa mendapat rahmat.
2. Sedekah jariah iatu sedekah yang pahala berlanjutan hingga keakhirat. Kalau kita buat kenduri saja, pahalanya hanyalah ketika kita di dunia. Tapi kalau kita derma buat masjid, maka selagi maskjid tu ada, selagi itulah pahalanya datang berganda-ganda. Itulah sedekah jariah.
3. Ilmu yang bermenafaat. Ini penting untuk semua guru. Ajarlah murid kita ilmu yang boleh menjadikan mereka manusia yang soleh. Bukan setakat mengajar sains atau matematik, tapi kaitkan bagaimana matematik dan sains itu boleh memantapkan kepercayaan mereka kepada Allah. Kalau mereka selalu ingat Allah, maka mereka akan menjadi manusia yang soleh. Ilmu yang kita ajarkan ini akan memberikan menfaat kepada kita walaupun kita telah tiada.
Selain daripada yang di atas semuanya akan ditinggalkan. Harta yang banyak, banglo yang besar, isteri yang cantik, anak-anak yang berpangkat besar, kereta yang hebat semuanya tidak menemani kita. Yang menemani kita hanyalah bebebrapa keping kain putih yang murah. Itu pun sekejap sahaja sebelum dimamah tanah. Naizubillah.
Mengikut kitab, sehari semalam malaikat maut sentiasa datang menziarahi kita untuk melihat sama ada kita sudah sampai masa untuk dicabut nyawa. Nyawa akan dicabut tanpa menangguh sesaat jua. Oleh itu ingatlah sentiasa kepada kematian agar kita sentiasa terpandu kearah kebaikan. Orang yang mengingati mati akan sentiasa mengingati Allah. Orang yang sentiasa mengingati Allah tidak akan melakukan kejahatan. InsyaAllah.
KEMATIAN PASTI.
Salam cikgu...
BalasPadamkematian memang pasti akan datang - cuma kita seringkali menjadi pelupa atau buat2 lupa tentang kedatangannya.. kerana itu kita masih lalai dan leka (kakcik tujukan kata2 ini unuk diri kakcik...)