Baru-baru ini datanglah seorang jurujual berjumpa saya . Dia ingin menjual makanan untuk minda. Dia pun terangkan yang makanan mindanya telah pun terjual diserata Malaysia. Saya pun mendengarnya dengan penuh minat maklumlah nak bagi anak pandai, sapa tak mau. Kemudian dia minta kebenaran untuk pergi kebilik guru untuk memperkenalkan jualannya kepada guru-guru. Lalu dengan penuh sopan dan tertib, saya tidak membenarkannya dan mengatakan itu adalah polisi sekolah untuk tidak membenarkan sebarang pelawat kebilik guru sama ada untuk menjual barangan atau pun untuk meminta derma. Maka dia pun faham dan dia pun balik dengan senyum tanda setuju.
Kemudian datang pula seorang wanita dengan tujuan yang sama. Kali ini dia nak mempromosikan kelas aerrobiknya. Dia pun nak jumpa guru. Saya tetap melarang dengan mengatakan itu polisi sekolah. Dia nak jumpa Pengetua, maka saya minta dia datang pada masa yang lain untuk minta kebenaran daripada Pengetua.
Selang beberapa hari datang lagi seorang jurujual untuk menjual peralatan dapur. Tentulah dia minta nak jumpa guru perempuan sebab di SMK Ibrahim, ramai sekali guru perempuan. Macam biasa saya tak benarkan dengan mengatakan itu adalah polisi sekolah. Tapi penjual ini lain sikit, dia naik angin dan berdialog pula dengan saya.
Dia kata " Sekolah lain boleh saya masuk jumpa guru tapi kenapa sekolah ini tak boleh ? "
Lalu saya terangkan lagi sekali mengatakan itu polisi sekolah yang semua anggota sekolah telah faham.
Dia merungut pagi " Sekolah ini peliklah, mana ada undang-undang melarang jurujual berjumpa guru ? "
Wah, dia main undang-undang pula. Lalu saya mengatakan yang memang tiada undang-undang, tapi memang sekolah bukan tempat untuk meminta derma ataupun untuk menjual barangan. Sekolah untuk belajar dan kalau guru sibuk dengar penerangan tentang barangan yang hendak dibeli, maka tugas guru sudah berubah daripada menjadi guru kepada pembeli. Maka sebab tu sekolah tak benarkan sebarang jurujual ke bilik guru untuk menjual.
Dia bertegas lagi, " Kenapa pelik sangat sekolah ini, sekolah lain saya masuk banyak dah ?"
" Maaf encik, saya rasa bukan sekolah kami yang pelik, sekolah lainlah yang pelik sebab depa benarkan jurujual menjual disekolah sedangkan fungsi sekolah bukan tempat untuk menjual barangan " jawab saya.
Dia nak merungut lagi tapi saya katakan bahawa saya sibuk dan minta diri dulu. Dia pun balik dengan muka sedikit masam.
Lalu saya terfikir, inilah kekadang kita pelik dengan orang yang berperangai pelik. Sepatutnya kalau tak dibenarkan, tak payahlah dok paksa-paksa tapi mungkin itulah sifat jurujual. Mereka kalau boleh nak menjual juga barangan mereka walaupun kekadang dimarahi. Patutlah barangan mereka laku sebab mereka ini memang "hemoi".
Dan terfikir pula saya kekadang bila kita nak buat perkara yang betul, kita di anggap pelik. Sepatutnya yang buat tak betul itulah yang pelik. Contohnya dulu bila ramai perempuan yang tak menutup aurat, maka yang tutup aurat dianggap pelik. Malahan bila perempuan pakai tudung orang gelar mereka "perempuan dakwah ". Amboi senangnya nak jadi pendakwah. Ini berlaku sekitar 70 an. Tapi sekarang yang tak pakai tudung pula yang pelik.
Teringat saya ketika saya di universiti dahulu. Dalam ratusan pelajar perempuan adalah tiga orang yang memakai tudung. Walaupun mereka belum menutup aurat ( sebab pakai tudung bukan mesti tutup aurat ), tapi mereka disisihkan oleh para pelajar lain. Jadilah mereka bertiga kemana-mana sahaja. Malah ada seorang pensyarah yang memanggil mereka dan memarahi mereka kerana pakai tudung. Ada seorang daripadanya menangis dan bertanya kepada saya,
"Apa salah kami ?" kata mereka.
" Mungkin sebab kamu tidak mengembek bila masuk kandang kambing, " jawab saya.
Satu lagi peribahasa yang saya rasa tak berapa betul. Takkanlah kalau kita masuk tempat orang minum arak, maka kita kena minum arak juga? Tentu tak betul.
Jadi biarlah kita tidak mengikut sesuatu kelaziman jika kelaziman itu menyanggah peraturan yang benar. Yang benar tetap benar walaupun sedikit. Jangan ikut majoriti jika yang majoriti itu ternyata salah.
MAJORITI BUKAN MESTI BETUL.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan