Isnin, 17 Ogos 2009

DUIT


Duit, perkara yang kita selalu cari. Kita dok kerja jadi cikgu ni pun tentulah kerana nak cari duit. Salah ke kita berniat begitu? Tak salah, memang kita perlu duit tapi kalau mengajar kita hanya niat nakkan duit maka yang kita dapat hanyalah duit. Tapi kalau kita niat mengajar kerana nak memberi bakti kepada para pelajar dan dengan ikhlas kerana Allah, kita dapat duit dan dapat pahala.

Itulah pentingnya niat.
Tapi pada malam ini bukan saya nak bincang tentang duit yang kita dok cari hari-hari tapi pasal para pelajar yang amat perlukan DUIT untuk menghadapi peperiksaan. Pulak dah, memanglah nak periksa kena duit walaupun yuran peperiksaan telah dimansuhkan. Kalau pasal duit tu tak payah ceritalah, buang masa saja.

Ini cerita tentang DUIT. Iaitu Doa, Usaha, Istiqamah dan Tawakal. Itulah DUIT yang saya maksudkan. Nak cari duit pun kena guna DUIT juga. Itulah formula kejayaan dalam apa juga pekerjaan. Tanpa DUIT kita mungkin berjaya, tetapi kejayaan hanyalah sementara. Apa yang kita hendakkkan ialah kejayaan dunia akhirat. Itulah kejayaan yang sebenar-benarnya.


Pertama kita bincangkan tentang DOA. Doa itu senjata bagi orang Islam. Memang dalam setiap pekerjaan kita mesti mulakan dengan doa. Nak makan baca doa, nak berjalan baca doa malah nak ketandas ada doanya. Kalau nak ambil peperiksaan lagilah panjang kena doanya. Ketika saya kecil dahulu, waktu nak ambil LCE arwah emak saya bawakan saya berjumpa arwah Hj Yaziz di Pendang. Ramai sungguh yang datang. Pergi pagi, petang baru boleh jumpa dengan arwah Hj Yaziz. Doanya sikit sahaja tetapi mustajab. Saya masuk ke dewan peperiksaan tanpa rasa gementar, tak terasa macam LCE tapi rasa macam periksa biasa. Dapat buat dengan tenang dan selesa. Memang mustajab doanya. Alhamdulillah.


Kedua USAHA. Lepas baca doa, kena pula usaha. Harap baca doa saja tak baca buku, tak boleh juga. Buku tetap kena baca, usaha mestilah ada. Arwah Hj Yaziz pun kata, " Lepas doa buku jangan pula tak baca ". Usaha bagi para pelajar SMKI ini saya rasa memang hebat. Depa usaha kuat sungguh. Pagi pergi sekolah, waktu balik sementara tunggu keluarga pun depa baca, petang pergi tuisyen, malam pun kekadang tuisyen lagi. Usaha yang sebegini digemblengkan pula dengan otak yang cerdas, maka kalau masih belum berjaya, saya tak tau nak kata apa.

Ketiga ISTIQAMAH. Ini pun penting. Istiqamah maknanya tekun. Usaha yang dibuat bukan "hangat-hangat taik ayam" tetapi berterusan. Maknanya kalau sehari baca buku 3 jam, maka setiap hari akan dibuat 3 jam. Bukan sekejap 6 jam, sekejap 2 jam dan kekadang tak langsung. Itu bukan nama Istiqamah. Amalan yang sedikit tapi Istiqamah amat disukai Allah. Tapi kalau belajar janganlah sedikit tapi Istiqamah amat penting.


Keempat TAWAKKAL. Selepas kita berdoa, berusaha serta beristiqamah, maka kita tawakkallah saja kepada Allah. Tawakkal maknanya kita berserah kepada ketentuan Allah. Tiada satu perkara pun yang akan berlaku tanpa izin Allah. Kalau kita dapat keputusan yang baik itu adalah dari Allah. Kalau keputusan tak begitu baik, itu mungkin ujian Allah untuk kita berusaha lebih kuat lagi. Tawakkal ini penting supaya kita tidak kecewa yang boleh memudaratkan diri sendiri. Tawakkallah dalam apa juga jenis pekerjaan.

DUIT ADALAH SEGALANYA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan