Isnin, 24 Ogos 2009
Google map
Hari ini anak saya yang kedua ada temuduga untuk satu jawatan di sebuah syarikat di Butterworth. Maklumlah sekarang ini kerja payah nak dapat, maka apa-apa saja yang panggil temuduga kenalah juga pergi. Berbeza dengan zaman saya dulu, keluar saja universiti kerja sudah menanti. Tak perlu temuduga, tak perlu isi borang apa-apa. Tak payah buat resume nak memuji-muji diri. Malah ada kawan saya dari Brunei, dia kata dia keluar saja universiti, pejabat untuk dia dah ada, siap dengan nama dan jawatan telah diletakkan dipintu pejabatnya. Itu dulu. Lain dulu lain sekarang. Golden age has gone. Sekarang nak cari kerja payah sekali. Tambahan pula kalau dapat ijazah kelas ketiga. Nasib baik anak saya dapat ijazah kelas kedua atas. Tu pun payah juga nak dapat kerja. Tapi itu semua berbalik pada Allah. Kalau ada rezeki, adalah kerja. InsyaAllah.
Anak saya ajak saya menemani dia sebab dia tak tau jalan kepejabat tersebut yang terletak berhampiran terminal bas Butterworth, di jalan Bagan Luar. Saya tak dapat pergi sebab kena bereskan kerja sekolah. Maka saya buat satu peta untuk dia dari Google Map. Dalam peta tersebut siap dia tunjuk jalan mana nak ambil, dari Sungai Petani ke tempat tersebut. Bukan takat dia tunjuk jalan, dia bagi tau pula berapa lama masa diambil untuk sampai ketempat itu. Hebat Google Map yang berpengkalan diluar negara tapi boleh tunjuk jalan dari Sungai Petani ke Butterworth. Tokey Google pun rasanya belum pernah sampai ke Sungai Petani, tapi dia boleh tunjuk jalan dengan begitu tepat. Maknanya kita nak berjalan dalam Malaysia pun, kena minta tolong orang dari luar negara tunjukkan jalan. Pelik kan?
Dulu saya melayari Google Earth. Lagi hebat sebab dia tunjukkan sekali topografi tempat yang kita kehendaki. Saya pun melayari Google Earth nak tengok kampung saya. Maklumlah, setelah ibu dan ayah meninggal, jarang sekali saya balik kampung. Kalau dulu tak balik mak selalu telefon suruh ambil durian, rambutan dan macam-macam lagi. Kalau tak dak buah-buahn tu, kelapa pun dia suruh ambil. Dan memang kita kena balik menziarahi ibu bapa sebagai satu tanda kita menghormati mereka. Sekarang mereka sudah tiada, maka jaranglah saya balik kekampung. Dari Google Earth tu lah baru saya tahu sekeping tanah saya telah dikelilingi oleh puluhan kilang. Malah ditepi tanah tu siap dengan jalan raya yang begitu baik. Patutlah ada orang nak beli dengan harga yang cukup tinggi. Tapi itu tanah pusaka, tak baik untuk dijual setelah penat lelah warga tua untuk mendapatkannya. Itulah hebatnya Google Earth.
Saya teringat satu kisah tentang kemajuan satelit ini. Dulu Presiden Amerika pernah menelefon Perdana Menteri Thailand untuk memberitahu bahawa hutan jatinya telah berkurangan sebab pokok jati telah dicuri orang. Perdana Menteri Thailand pun tak tau tapi Presiden Amerika yang beribu batu jauhnya tau tentang keadaan hutan di Thailand. Itulah kehebatan satelit.
Di Malaysia pun kita dah ada banyak satelit, tapi banyak untuk hiburan saja. Mungkin lepas ini kita juga akan menggunakan satelit kita untuk perkara-perkara yang berfaedah ini. Tak payahlah kita dok guna peralatan orang lain untuk cari jalan dalam negara kita sendiri. Itulah kemajuan yang kita semua perlu hadapi, perlu adaptasi untuk menerima sebaik mungkin kemudahan dan kemajuan yang ada. Gunakan untuk yang positif supaya kemajuan tidak merosakkan kita. Tapi ramai juga yang gunakan kemajuan secara negatif. Itu terpulanglah kepada didikan yang diterima di sekolah dan yang amat penting daripada ibu bapa di rumah. Bapa borek anak rintik. Kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Kesimpulanlannya jadilah guru dan bapa yang baik. Wallahuaklam.
INFORMASI DIHUJUNG JARI.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan