Jumaat, 21 Ogos 2009

Ikut situasi


Hari ini saya sembahyang di Masjid Abu Bakar As Siddiq, Bakar Arang. Memang ramai orang hari ini sampai melempah keluar. Mungkin semua nak ambil berkat sempena datangnya bulan Ramadhan. Khatib pula hari ini ada semangat lebih sebab dia baca khutbah panjang sungguh. Banyak sungguh ilmu dia dan fasih sungguh pemahaman dia tentang Al Quran. Kupasannya mantap, bahasanya tepat dan yang dengar pun terasa puas. Cuma akibat dia baca khutbah panjang sangat, maka saya lihat ada beberapa orang yang meninggalkan khutbah, mungkin pergi sembahyang tempat lain ataupun tak sembahyang terus dan balik sembahyang zohor.

Ulama selalu mengingatkan, buat kerja ikut situasi. Samalah macam baca khutbah. Kalau masjid dekat jalan macam masjid Bakar Arang ini, eloklah khutbahnya dipendekkan sedikit sebab ramai pekerja kilang yang singgah untuk sembahyang jumaat. Selalunya kilang bagi rehat hanya sampai pukul 2.30. Kalau khutbah panjang sangat, sembahyang mungkin lebih daripada pukul 2.30. Khatib kena fikirlah, tak semua orang yang banyak masa lapang terutama pekerja kilang. Kalau masjid dalam kampung dimana semua kerja kampung, tak ada masalah. Lagi panjang lagi baguS, jangan sampai asar sudahlah. Nasib baik imam hari ini bertindak bijak, dia baca surah yang cukup pendek. Itu pun tamat pukul 2.25 petang. Jadi khatib mestilah ikut situasi.

Sebenarnya dalam apa-apa perkara pun kita kena ikut situasi. Ketika saya jadi JU untuk RIMUP, kalau audiennya para Pengetua dan Guru Besar, kita buat lawak kurang sikit, takut depa meluat. Maklumlah , depa Pengetua kita sapa? Jadi saya terangkan lebih banyak kepada fakta dan sedikit lawak jenaka. Serius sangat pun tak boleh juga, sedikit gelak ketawa perlu. Tapi kalau audiennya guru, maka saya lebihkan sedikit lawaknya dan bahasanya pun rendah sedikit. Sebab mereka setaraf saya. Jadi macam kita bersembang dengan kawan-kawanlah.

Begitu juga percakapan. Kita bercakap dengan orang tua, lebih tertib dan tentu tak sama dengan cara kita bercakap dengan kawan-kawan. Cakap dengan orang yang lebih rendah ekonominya dengan kita tak boleh sama dengan orang yang setaraf kita. Saya teringat seorang Pengetua
( pencen dah ) dulu,

Dia kata " Bawa duit sikit sangat, nak beli apa bila pi Macro".

Cikgu dia tanya, " Berapa yang cikgu bawa ? "


"Alah, seribu saja " Jawabnya selamba.

Terbeliak biji mata guru yang bertanya. Seribu sikit lagi. Kalau cikgu macam saya, seribu tak tau nak beli apa. Terlalu banyak duit. Dia pun sebenarnya bukan nak menunjuk, tapi dia memang kaya. Seribu bagi dia tak sama dengan seribu bagi saya. Jadi pada dia sedikit tapi bagi saya banyak. Dia mungkin terlupa dengan siapa dia bercakap.


Samalah dengan pak lawak di tv kita yang dok buat lawak ketika di bank. Ada ke patut dia masuk ke bank dan berkata " Ini rompakan " sambil menunjukkan isyarat seperti pistol. Nasib baik jaga bank kenal dia. Kalau jaga bank jenis yang latah dan tak kenal dia, dah sah kepala dia berkecai kena peluru. Kan bahaya tu.


Begitu jugalah dengan bahasa yang digunakan. Dulu ada seorang ustaz yang bercakap bahasa yang cukup tinggi. Banyak orang yang tak faham dan terhangguk-hangguk mengantuk. Yang faham sedikit sahaja. Maka lama kelamaan, kuliahnya makin kurang mendapat sambutan sebab bahasanya yang tak sesuai untuk golongan yang ditujui. Akhirnya kuliahnya terpaksa dibatalkan dimasjid tersebut. Ada banyak lagilah contoh-contoh yang kita kena ikut situasi dalam membuat sesuatu perkara.


SITUASI BIAR SERASI.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan