Sabtu, 22 Ogos 2009
Jualan murah.
Hari ini saya nak membicarakan tentang jualan murah, malah teramat murah dan tawaran yang amat lumayan. Murah dan teramat murah. Kalaulah ada syarikat seperti Pasaraya Tesco jual televisyen LCD 42 inci yang kebiasaannya RM3000 pada harga 3 ringgit, rasanya pecah Tesco sebab dikerumuni orang ramai. Begitulah orang kita dengan jualan murah. Kalau bagi percuma lagilah bagus. Dulu saya masih ingat lagi, iaitu ketika Court Mammoth nak dibuka, maka mereka bagi percuma beberapa alat perakam . Itu pun orang beratur MasyaAllah, punyalah panjang barisan. Itu baru bagi perakam suara yang tak sampai seratus harganya. Pukul 7 orang dah beratur sedangkan Court Mammoth dibuka pulkul 10 pagi. Itulah tarikan barangan percuma atau barang murah.
Ada sekali dulu The Store buat jualan murah. Milo dimurahkan 30%. Itu pun orang terpa jurujual yang bawa Milo tu sampai dia sendiri lari. Takut terhimpit ditengah-tengah orang ramai. Itu saya lihat sendiri. Pasaraya PTK ( sudah bankrap ) di Taman Petani Jaya pernah menjual gula 10 sen sekilo. Maka ramailah yang beratur termasuk seorang doktor pakar perbidanan. Doktor yang pendapatannya 40 ribu sebulan pun tertarik dengan gula sekilo sekupang. Saya pun pergi juga tapi balik melihatkan ramainya yang beratur. Untuk apa cerita semua ni? Nak terangkan betapa orang kita suka barang murah walaupun sedikit.
Kini Allah pula tawarkan pahala yang cukup murah. Kalau bukan di bulan Ramadhan, pahalanya kurang tetapi dibulan Ramadhan , pahalanya berganda-ganda untuk amalan yang sedikit. Buat amalan sunat dapat pahala amalan wajib, buat amalan wajib digandakan 700 kali ganda. Murah sungguh harga pahala yang Allah berikan untuk kita dibulan Ramadhan. Itu belum kira malam Lailatulqadar yang ganjaranya melebihi 1000 bulan. Beribadat semalam macam beribadat 1000 bulan yang melebihi 83 tahun. Banyak sungguh pahala yang Allah berikan. Malam tu pula cuma sepuluh malam terakhir di bulan yang mulia ini. Kejarlah dia. Malah ada kawan saya yang ambil cuti untuk meraikan 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Subhanallah.
Bulan Ramadhan ternyata bulan yang paling mulia bagi Islam kerana satu-satunya bulan yang disebut Allah di dalam AlQuran ialah bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan juga bulan turunnya AlQuran. Malah semua peperangan di bulan Ramadhan dimenangi oleh orang Islam. Sepatutnya kita rai kedatangan bulan Ramadhan ini melebih segala yang lain. Ini tak, kita raikan tahun baru lebih daripada kita raikan bulan Ramadhan. Sepatutnya kita hantar kad menyambut Ramadhan bukannya kad menyambut Syawal seperti yang kita dok buat selalu. Seandainya kita tahu kebaikan bulan Ramadhan, nescaya kita menghendaki Ramdhan sepanjang tahun. Itulah sabda Rasulullah. Bulan yang ditutup pintu neraka, dibuka pintu syurga dan iblis dibelengggu. Tapi kenapa ramai juga yang tak puasa. Itu bukan kerana iblis, tetapi kerana perangai dia dah serupa iblis. Nauzubillah.
Bulan Ramadhan juga merupakan satu sekolah yang menganjurkan kursus khas untuk menguji kesabaran, ketulusan hati, amanah dan sifat-sifat lain yang mulia. Kalau orang tak sabar mana boleh puasa. Bukan takat tak makan, merokok pun tak boleh. Kalau orang tak amanah, dia minum dibilik air siapa tahu. Tapi Allah tahu. Itu yang menguji amanah seseorang. Kalau orang yang terdidik dari sekolah Ramadhan ini mengamalkannya hingga selepas Ramadhan, maka dia menjadi seorang yang baik. Tak timbul lagi kes rasuah, kes pecah amanah, kes salah laku dan sebagainya. Sebulan kita berkursus, takkan perangai tak boleh berubah lagi. Dan kursus ini diulang setiap tahun supaya manusia menjadi lebih baik.
Kita mestilah ingatkan diri kita bahawa Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir buat kita. Inilah kali terakhir kita boleh menikmati tawaran istimewa dari Allah. Kalau dah ini yang terakhir, tentulah kita akan buat sebaik mungkin agar Allah redha dengan amalan kita. Dengan niat yang begitu, kita akan jadi lebih bertenaga. Bagi yang dah senja seperti saya, memang ini rasanya yang teakhir. Ramai dah kawan saya yang dah pergi. Saya masih disini, masih diberi kesempatan menikmati tawaran yang amat berharga dari Allah. Syukur padamu Allah kerana membiarkan hamba yang kerdil ini menikmati tawaran darimu. Alhamdulillah.
RAMADHAN TERMULIA.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan