Jumaat, 28 Ogos 2009

Puas(a)


Sedar tak sedar kita sudah puasa seminggu. Sudah tujuh hari puasa yang kita lakukan. Terimalah puasa kami ya Allah. Antara hikmah berpuasa ialah untuk mengajar kita dan merasai keperitan orang miskin dalam menghadapi keadaan tiada makanan. Mereka bukan berfikir apa yang hendak dimakan, tetapi akan berfikir " Adakah makanan hari ini ? " . Itulah keperitan orang miskin seperti yang diceritakan di zaman Saidina Umar tentang seorang ibu yang merebus ketul batu untuk melelapkan anak-anak yang kelaparan. Semiskin-miskin kita rasanya taklah sampai ketahap itu. Itulah salah satu hikmah puasa. Tapi adakah berlaku sedemikian? Ini yang menjadi persoalan.

Kelmarin saya berkunjung ke pasar Ramadhan. Hujan renyai-renyai tapi masih dibanjiri ribuan manusia. Harga makanan bukannya murah. Ikan terubuk bakar seekor 22 ringgit. Mahal bagi saya yang berpendapatan rendah ini. Kalau orang kaya itu lain kira. Kalau orang miskin, alamatnya tak merasailah keenakan terubuk bakar. Saya lihat setiap orang asyik membeli belah sehinggakan tak cukup tangan nak mengepit plastik makanan. Setiap seorang membelanjakan cukup banyak wang untuk membeli makanan untuk berbuka puasa. Saya pun serupa juga. Beli punya beli, ada makanan yang tak habis dimakan dan terpaksa dibuang begitu saja. Saya menyesal dan tak akan mengulangi lagi sedemikian rupa.

Saya lihat pula rancangan tv yang asyik dok cerita hotel-hotel menawarkan harga istimewa untuk berbuka puasa. Ada hotel yang tawarkan 90 ringgit seorang untuk berbuka. Paling murah pun sekitar 40 ringgit seorang. Saya cuma tengok sajalah. Tak mampu nak pergi hotel. Apa makanan yang dihidangkannya? Kalau setakat bubur kacang, ikan bakar, sayur campur, daging goreng rasanya taklah semahal itu. Tak taulah pula mungkin dihidangkannya sup badak sumbu yang dah hampir pupus tu. Kalau yang tu memanglah mahal. Kalau seorang 50 ringgit, satu keluarga mau menelan belanja 400 ringgit. Sekali makan sama dengan sebulan makanan bagi orang miskin. Begitulah jurang kemiskinan yang masih ada di sini. Masih terlalu jauh antara si kaya dengan simiskin.

Melihatkan kepada semua keadaan ini, terfikir saya. Adakah kita benar-benar menghayati ibadat puasa. Kalau berbelanja begitu banyak, rasanya ibadat puasa tidak mencapai matlamat. Orang yang kurus di bulan lain akan menjadi tembam di bulan puasa akibat makan yang banyak. Sepatutnya bulan puasa bulan untuk kurangkan makanan tetapi sebaliknya yang berlaku. Itu bukan bulan Puasa tapi bulan PUAS. Puas dapat makan macam-macam hidangan yang tak dapat dimakan pada bulan-bulan lain. Siapalah punya idea yang sebegini teruk? Adakah ini mengikut sunnah Rasulullah ataupun telah mengikut hawa nafsu. Sedangkan Rasulullah berbuka puasa dengan sebiji kurma sahaja, malah kekadang sebiji kurma di belah dua. Kalau dah perut terlampau kenyang, maka ibadat akan menjadi kurang. Rasa malas akan menguasai diri. Maka jadilah bulan puasa bulan PUAS. Puas makan, puas tidur dan puas berehat. Astaghfirlah.


Yang menjual makanan pula saya amati pukul 4 dah jual makanan. Mereka akan menjual sehinggalah waktu buka puasa sebab ada yang berbuka puasa digerai. Agaknya bila mereka sembahyang asar? Maka jadilah asar mereka jamak takyah. Kita membeli makanan kepada orang yang tak sembahyang asar. Berkat ke puasa kita? Wallahuaklam. Saya menulis ini bukan untuk menegur sesiapa sekadar menegur diri sendiri yang masih banyak dirasuk syaitan walaupun pada bulan ini syaitan dibelenggu. Sama-samalah kita muhasabah diri kerana bulan puasa hanya berbaki tiga minggu lagi. Tahun hadapan belum tentu kita jumpa lagi. Selamat berpuasa.

PUASA MENGAJAR ERTI DERITA.

Isnin, 24 Ogos 2009

Google map


Hari ini anak saya yang kedua ada temuduga untuk satu jawatan di sebuah syarikat di Butterworth. Maklumlah sekarang ini kerja payah nak dapat, maka apa-apa saja yang panggil temuduga kenalah juga pergi. Berbeza dengan zaman saya dulu, keluar saja universiti kerja sudah menanti. Tak perlu temuduga, tak perlu isi borang apa-apa. Tak payah buat resume nak memuji-muji diri. Malah ada kawan saya dari Brunei, dia kata dia keluar saja universiti, pejabat untuk dia dah ada, siap dengan nama dan jawatan telah diletakkan dipintu pejabatnya. Itu dulu. Lain dulu lain sekarang. Golden age has gone. Sekarang nak cari kerja payah sekali. Tambahan pula kalau dapat ijazah kelas ketiga. Nasib baik anak saya dapat ijazah kelas kedua atas. Tu pun payah juga nak dapat kerja. Tapi itu semua berbalik pada Allah. Kalau ada rezeki, adalah kerja. InsyaAllah.

Anak saya ajak saya menemani dia sebab dia tak tau jalan kepejabat tersebut yang terletak berhampiran terminal bas Butterworth, di jalan Bagan Luar. Saya tak dapat pergi sebab kena bereskan kerja sekolah. Maka saya buat satu peta untuk dia dari Google Map. Dalam peta tersebut siap dia tunjuk jalan mana nak ambil, dari Sungai Petani ke tempat tersebut. Bukan takat dia tunjuk jalan, dia bagi tau pula berapa lama masa diambil untuk sampai ketempat itu. Hebat Google Map yang berpengkalan diluar negara tapi boleh tunjuk jalan dari Sungai Petani ke Butterworth. Tokey Google pun rasanya belum pernah sampai ke Sungai Petani, tapi dia boleh tunjuk jalan dengan begitu tepat. Maknanya kita nak berjalan dalam Malaysia pun, kena minta tolong orang dari luar negara tunjukkan jalan. Pelik kan?

Dulu saya melayari Google Earth. Lagi hebat sebab dia tunjukkan sekali topografi tempat yang kita kehendaki. Saya pun melayari Google Earth nak tengok kampung saya. Maklumlah, setelah ibu dan ayah meninggal, jarang sekali saya balik kampung. Kalau dulu tak balik mak selalu telefon suruh ambil durian, rambutan dan macam-macam lagi. Kalau tak dak buah-buahn tu, kelapa pun dia suruh ambil. Dan memang kita kena balik menziarahi ibu bapa sebagai satu tanda kita menghormati mereka. Sekarang mereka sudah tiada, maka jaranglah saya balik kekampung. Dari Google Earth tu lah baru saya tahu sekeping tanah saya telah dikelilingi oleh puluhan kilang. Malah ditepi tanah tu siap dengan jalan raya yang begitu baik. Patutlah ada orang nak beli dengan harga yang cukup tinggi. Tapi itu tanah pusaka, tak baik untuk dijual setelah penat lelah warga tua untuk mendapatkannya. Itulah hebatnya Google Earth.


Saya teringat satu kisah tentang kemajuan satelit ini. Dulu Presiden Amerika pernah menelefon Perdana Menteri Thailand untuk memberitahu bahawa hutan jatinya telah berkurangan sebab pokok jati telah dicuri orang. Perdana Menteri Thailand pun tak tau tapi Presiden Amerika yang beribu batu jauhnya tau tentang keadaan hutan di Thailand. Itulah kehebatan satelit.

Di Malaysia pun kita dah ada banyak satelit, tapi banyak untuk hiburan saja. Mungkin lepas ini kita juga akan menggunakan satelit kita untuk perkara-perkara yang berfaedah ini. Tak payahlah kita dok guna peralatan orang lain untuk cari jalan dalam negara kita sendiri.
Itulah kemajuan yang kita semua perlu hadapi, perlu adaptasi untuk menerima sebaik mungkin kemudahan dan kemajuan yang ada. Gunakan untuk yang positif supaya kemajuan tidak merosakkan kita. Tapi ramai juga yang gunakan kemajuan secara negatif. Itu terpulanglah kepada didikan yang diterima di sekolah dan yang amat penting daripada ibu bapa di rumah. Bapa borek anak rintik. Kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Kesimpulanlannya jadilah guru dan bapa yang baik. Wallahuaklam.

INFORMASI DIHUJUNG JARI.

Sabtu, 22 Ogos 2009

Jualan murah.


Hari ini saya nak membicarakan tentang jualan murah, malah teramat murah dan tawaran yang amat lumayan. Murah dan teramat murah. Kalaulah ada syarikat seperti Pasaraya Tesco jual televisyen LCD 42 inci yang kebiasaannya RM3000 pada harga 3 ringgit, rasanya pecah Tesco sebab dikerumuni orang ramai. Begitulah orang kita dengan jualan murah. Kalau bagi percuma lagilah bagus. Dulu saya masih ingat lagi, iaitu ketika Court Mammoth nak dibuka, maka mereka bagi percuma beberapa alat perakam . Itu pun orang beratur MasyaAllah, punyalah panjang barisan. Itu baru bagi perakam suara yang tak sampai seratus harganya. Pukul 7 orang dah beratur sedangkan Court Mammoth dibuka pulkul 10 pagi. Itulah tarikan barangan percuma atau barang murah.

Ada sekali dulu The Store buat jualan murah. Milo dimurahkan 30%. Itu pun orang terpa jurujual yang bawa Milo tu sampai dia sendiri lari. Takut terhimpit ditengah-tengah orang ramai. Itu saya lihat sendiri. Pasaraya PTK ( sudah bankrap ) di Taman Petani Jaya pernah menjual gula 10 sen sekilo. Maka ramailah yang beratur termasuk seorang doktor pakar perbidanan. Doktor yang pendapatannya 40 ribu sebulan pun tertarik dengan gula sekilo sekupang. Saya pun pergi juga tapi balik melihatkan ramainya yang beratur. Untuk apa cerita semua ni? Nak terangkan betapa orang kita suka barang murah walaupun sedikit.


Kini Allah pula tawarkan pahala yang cukup murah. Kalau bukan di bulan Ramadhan, pahalanya kurang tetapi dibulan Ramadhan , pahalanya berganda-ganda untuk amalan yang sedikit. Buat amalan sunat dapat pahala amalan wajib, buat amalan wajib digandakan 700 kali ganda. Murah sungguh harga pahala yang Allah berikan untuk kita dibulan Ramadhan. Itu belum kira malam Lailatulqadar yang ganjaranya melebihi 1000 bulan. Beribadat semalam macam beribadat 1000 bulan yang melebihi 83 tahun. Banyak sungguh pahala yang Allah berikan. Malam tu pula cuma sepuluh malam terakhir di bulan yang mulia ini. Kejarlah dia. Malah ada kawan saya yang ambil cuti untuk meraikan 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Subhanallah.


Bulan Ramadhan ternyata bulan yang paling mulia bagi Islam kerana satu-satunya bulan yang disebut Allah di dalam AlQuran ialah bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan juga bulan turunnya AlQuran. Malah semua peperangan di bulan Ramadhan dimenangi oleh orang Islam. Sepatutnya kita rai kedatangan bulan Ramadhan ini melebih segala yang lain. Ini tak, kita raikan tahun baru lebih daripada kita raikan bulan Ramadhan. Sepatutnya kita hantar kad menyambut Ramadhan bukannya kad menyambut Syawal seperti yang kita dok buat selalu. Seandainya kita tahu kebaikan bulan Ramadhan, nescaya kita menghendaki Ramdhan sepanjang tahun. Itulah sabda Rasulullah. Bulan yang ditutup pintu neraka, dibuka pintu syurga dan iblis dibelengggu. Tapi kenapa ramai juga yang tak puasa. Itu bukan kerana iblis, tetapi kerana perangai dia dah serupa iblis. Nauzubillah.


Bulan Ramadhan juga merupakan satu sekolah yang menganjurkan kursus khas untuk menguji kesabaran, ketulusan hati, amanah dan sifat-sifat lain yang mulia. Kalau orang tak sabar mana boleh puasa. Bukan takat tak makan, merokok pun tak boleh. Kalau orang tak amanah, dia minum dibilik air siapa tahu. Tapi Allah tahu. Itu yang menguji amanah seseorang. Kalau orang yang terdidik dari sekolah Ramadhan ini mengamalkannya hingga selepas Ramadhan, maka dia menjadi seorang yang baik. Tak timbul lagi kes rasuah, kes pecah amanah, kes salah laku dan sebagainya. Sebulan kita berkursus, takkan perangai tak boleh berubah lagi. Dan kursus ini diulang setiap tahun supaya manusia menjadi lebih baik.

Kita mestilah ingatkan diri kita bahawa Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir buat kita. Inilah kali terakhir kita boleh menikmati tawaran istimewa dari Allah. Kalau dah ini yang terakhir, tentulah kita akan buat sebaik mungkin agar Allah redha dengan amalan kita. Dengan niat yang begitu, kita akan jadi lebih bertenaga. Bagi yang dah senja seperti saya, memang ini rasanya yang teakhir. Ramai dah kawan saya yang dah pergi. Saya masih disini, masih diberi kesempatan menikmati tawaran yang amat berharga dari Allah. Syukur padamu Allah kerana membiarkan hamba yang kerdil ini menikmati tawaran darimu. Alhamdulillah.


RAMADHAN TERMULIA.

Jumaat, 21 Ogos 2009

Ikut situasi


Hari ini saya sembahyang di Masjid Abu Bakar As Siddiq, Bakar Arang. Memang ramai orang hari ini sampai melempah keluar. Mungkin semua nak ambil berkat sempena datangnya bulan Ramadhan. Khatib pula hari ini ada semangat lebih sebab dia baca khutbah panjang sungguh. Banyak sungguh ilmu dia dan fasih sungguh pemahaman dia tentang Al Quran. Kupasannya mantap, bahasanya tepat dan yang dengar pun terasa puas. Cuma akibat dia baca khutbah panjang sangat, maka saya lihat ada beberapa orang yang meninggalkan khutbah, mungkin pergi sembahyang tempat lain ataupun tak sembahyang terus dan balik sembahyang zohor.

Ulama selalu mengingatkan, buat kerja ikut situasi. Samalah macam baca khutbah. Kalau masjid dekat jalan macam masjid Bakar Arang ini, eloklah khutbahnya dipendekkan sedikit sebab ramai pekerja kilang yang singgah untuk sembahyang jumaat. Selalunya kilang bagi rehat hanya sampai pukul 2.30. Kalau khutbah panjang sangat, sembahyang mungkin lebih daripada pukul 2.30. Khatib kena fikirlah, tak semua orang yang banyak masa lapang terutama pekerja kilang. Kalau masjid dalam kampung dimana semua kerja kampung, tak ada masalah. Lagi panjang lagi baguS, jangan sampai asar sudahlah. Nasib baik imam hari ini bertindak bijak, dia baca surah yang cukup pendek. Itu pun tamat pukul 2.25 petang. Jadi khatib mestilah ikut situasi.

Sebenarnya dalam apa-apa perkara pun kita kena ikut situasi. Ketika saya jadi JU untuk RIMUP, kalau audiennya para Pengetua dan Guru Besar, kita buat lawak kurang sikit, takut depa meluat. Maklumlah , depa Pengetua kita sapa? Jadi saya terangkan lebih banyak kepada fakta dan sedikit lawak jenaka. Serius sangat pun tak boleh juga, sedikit gelak ketawa perlu. Tapi kalau audiennya guru, maka saya lebihkan sedikit lawaknya dan bahasanya pun rendah sedikit. Sebab mereka setaraf saya. Jadi macam kita bersembang dengan kawan-kawanlah.

Begitu juga percakapan. Kita bercakap dengan orang tua, lebih tertib dan tentu tak sama dengan cara kita bercakap dengan kawan-kawan. Cakap dengan orang yang lebih rendah ekonominya dengan kita tak boleh sama dengan orang yang setaraf kita. Saya teringat seorang Pengetua
( pencen dah ) dulu,

Dia kata " Bawa duit sikit sangat, nak beli apa bila pi Macro".

Cikgu dia tanya, " Berapa yang cikgu bawa ? "


"Alah, seribu saja " Jawabnya selamba.

Terbeliak biji mata guru yang bertanya. Seribu sikit lagi. Kalau cikgu macam saya, seribu tak tau nak beli apa. Terlalu banyak duit. Dia pun sebenarnya bukan nak menunjuk, tapi dia memang kaya. Seribu bagi dia tak sama dengan seribu bagi saya. Jadi pada dia sedikit tapi bagi saya banyak. Dia mungkin terlupa dengan siapa dia bercakap.


Samalah dengan pak lawak di tv kita yang dok buat lawak ketika di bank. Ada ke patut dia masuk ke bank dan berkata " Ini rompakan " sambil menunjukkan isyarat seperti pistol. Nasib baik jaga bank kenal dia. Kalau jaga bank jenis yang latah dan tak kenal dia, dah sah kepala dia berkecai kena peluru. Kan bahaya tu.


Begitu jugalah dengan bahasa yang digunakan. Dulu ada seorang ustaz yang bercakap bahasa yang cukup tinggi. Banyak orang yang tak faham dan terhangguk-hangguk mengantuk. Yang faham sedikit sahaja. Maka lama kelamaan, kuliahnya makin kurang mendapat sambutan sebab bahasanya yang tak sesuai untuk golongan yang ditujui. Akhirnya kuliahnya terpaksa dibatalkan dimasjid tersebut. Ada banyak lagilah contoh-contoh yang kita kena ikut situasi dalam membuat sesuatu perkara.


SITUASI BIAR SERASI.

Nama


Zaman dulu sewaktu saya disekolah rendah, cikgu pernah bertanya,

"Apakah yang hak kita tetapi kita tak pernah gunakan ?"

Terkebil-kebil saya nak jawab sebab tak tau. Nama , kata cikgu memberi jawapan. Betul sangat tu, nama ialah hak kita tetapi digunakan oleh orang lain. Nama digunakan oleh orang lain ketika memanggil kita. Tetapi bila peringkat dewasa, saya baru faham sebenarnya nama adalah hak kita yang kita gunakan juga. Sewaktu isi borang mesti ada nama. Kita isilah nama kita.

Nama juga sebenarnya memainkan peranan yang cukup penting dalam kehidupan kita. Kalau orang kata, apalah ada pada nama, itu salah besar.
Nama sebenarnya cukup penting untuk kita. Ada pelajar saya dulu namanya Salahudin Al Ayubi. Nama hebat , nama pahlawan Islam terbilang, pahlawan yang berjaya mengalahkan tentera salib. Hebat namanya tapi perangainya amat berbeza. Salahudin yang ini bukan pahlawan Islam tetapi pahlawan rempit yang setiap malam merempit, menyusahkan orang yang lalu lalang dijalanraya. Ada nama yang lebih hebat iaitu Uwais Al Qarni. Ini lagi hebat, nama penghulu syurga. Bukan penghulu kampung, tapi penghulu syurga. Tapi Uwais ini cukup nakal. Kalau dia pergi kemana-mana sekolah, dua hari pertama tiada masalah. Hari ketiga dia buat masalah. Tak sampai seminggu sah dia akan dibuang sekolah. Akhirnya banyaklah sekolah yang dia pergi dan sampailah balik semula kesekolah asal. Lepas itu pusing semula sekolah-sekolah terdahulu. Macam tawaf pula jadinya. Bila dia keluar sekolah pun jahat lagi. Tapi saya sentiasa mendoakan agar dia menjadi baik. InsyaAllah.Tapi bukan semua, segelintir sahaja yang begitu. Yang lain nama sebaik orangnya terutama di SMK Ibrahim. Alhamdulillah.

Ada pula nama Abu Jahal. Bila ditanya kenapa nama Abu Jahal, bapanya kata nama Abu Jahal ada dalam Al Quran, maka tentulah baik. Satu tafsiran yang cukup silap. Nama dalam Al Quran bukan mesti baik. Ada nama yang tak baik seperti nama khinzir, yang bawak penyakit HINI sekarang ini. Ada nama Firaun, nama kaum Lut dan macam-macam nama yang lawan Allah. Itulah gunanya pengetahuan tentang terjemahan Al Quran supaya kita tau apa nama yang baik dan apa nama yang tidak baik. Ada yang menamakan anak dengan nama Nurzina, diterjemahkan dalam BM jadi Cahaya Zina, Majnun yang bermaksud gila dan sebagainya. Jadi eloklah diletakkan nama yang baik contohnya nama Abdul Halim yang bermaksud Hamba Allah yang penyantun ( nama saya lah tu, he he ). Tetapi sekarang ibu bapa tak mau lagi dah nama Zainab, Umi Kalthum, Yahya , Noh dan nama-nama yang tersohor dalam Islam. Tak glamer kata mereka. Mereka suka letakkan nama-nama panjang yang lebih glamer. Tak salah asalkan maksudnya baik. Ini kerana nama kita sentiasa disebut orang. Kalau selalu orang panggil cahaya zina ( Nurzina ) termasuklah ibunya sekali yang panggil begitu, maka itu adalah doa dan takut pula jadi kenyataan. Jadi bubuhlah nama yang baik supaya bila disebut menjadi satu doa yang baik.

Ada lagi satu kes yang pelik. Ini berlaku kepada kawan saya , seorang guru disekolah rendah. Nama pelajar ini tiada bin atau binti tapi Melayu. Ada nama sahaja. Kawan saya terkejut dan tanya ibu pelajar tersebut. Jawapannya menyebabkan kawan saya lebih terkejut.


Ibunya kata " Takkan cikgu tak tau, anak ni dilahirkan sebelum kami menikah " Selamba jawapannya macam tak berlaku sesuatu yang pelik.

Kawan saya terkejut tapi hanya senyum dan mengangguk. Yang salah bukan anaknya, tapi ibu bapanya yang salah sehingga melahirkan anak luar nikah. Nauzubillah.
Jadi jangan dok kata
" ada apa pada nama" sebab sebenarnya ada banyak perkara pada nama. Sebab itulah sekarang kerajaan telah mengharamkan nama orang-orang Islam yang bermaksud tak elok macam nama Nurzina, Majnun dan sebagainya. Bubuhlah nama yang elok sebab sebutan itu menjadi doa dan didiklah anak itu supaya menjadi manusia yang berguna, sesuai dengan namanya.


NAMA ADA MAKNA.

Isnin, 17 Ogos 2009

DUIT


Duit, perkara yang kita selalu cari. Kita dok kerja jadi cikgu ni pun tentulah kerana nak cari duit. Salah ke kita berniat begitu? Tak salah, memang kita perlu duit tapi kalau mengajar kita hanya niat nakkan duit maka yang kita dapat hanyalah duit. Tapi kalau kita niat mengajar kerana nak memberi bakti kepada para pelajar dan dengan ikhlas kerana Allah, kita dapat duit dan dapat pahala.

Itulah pentingnya niat.
Tapi pada malam ini bukan saya nak bincang tentang duit yang kita dok cari hari-hari tapi pasal para pelajar yang amat perlukan DUIT untuk menghadapi peperiksaan. Pulak dah, memanglah nak periksa kena duit walaupun yuran peperiksaan telah dimansuhkan. Kalau pasal duit tu tak payah ceritalah, buang masa saja.

Ini cerita tentang DUIT. Iaitu Doa, Usaha, Istiqamah dan Tawakal. Itulah DUIT yang saya maksudkan. Nak cari duit pun kena guna DUIT juga. Itulah formula kejayaan dalam apa juga pekerjaan. Tanpa DUIT kita mungkin berjaya, tetapi kejayaan hanyalah sementara. Apa yang kita hendakkkan ialah kejayaan dunia akhirat. Itulah kejayaan yang sebenar-benarnya.


Pertama kita bincangkan tentang DOA. Doa itu senjata bagi orang Islam. Memang dalam setiap pekerjaan kita mesti mulakan dengan doa. Nak makan baca doa, nak berjalan baca doa malah nak ketandas ada doanya. Kalau nak ambil peperiksaan lagilah panjang kena doanya. Ketika saya kecil dahulu, waktu nak ambil LCE arwah emak saya bawakan saya berjumpa arwah Hj Yaziz di Pendang. Ramai sungguh yang datang. Pergi pagi, petang baru boleh jumpa dengan arwah Hj Yaziz. Doanya sikit sahaja tetapi mustajab. Saya masuk ke dewan peperiksaan tanpa rasa gementar, tak terasa macam LCE tapi rasa macam periksa biasa. Dapat buat dengan tenang dan selesa. Memang mustajab doanya. Alhamdulillah.


Kedua USAHA. Lepas baca doa, kena pula usaha. Harap baca doa saja tak baca buku, tak boleh juga. Buku tetap kena baca, usaha mestilah ada. Arwah Hj Yaziz pun kata, " Lepas doa buku jangan pula tak baca ". Usaha bagi para pelajar SMKI ini saya rasa memang hebat. Depa usaha kuat sungguh. Pagi pergi sekolah, waktu balik sementara tunggu keluarga pun depa baca, petang pergi tuisyen, malam pun kekadang tuisyen lagi. Usaha yang sebegini digemblengkan pula dengan otak yang cerdas, maka kalau masih belum berjaya, saya tak tau nak kata apa.

Ketiga ISTIQAMAH. Ini pun penting. Istiqamah maknanya tekun. Usaha yang dibuat bukan "hangat-hangat taik ayam" tetapi berterusan. Maknanya kalau sehari baca buku 3 jam, maka setiap hari akan dibuat 3 jam. Bukan sekejap 6 jam, sekejap 2 jam dan kekadang tak langsung. Itu bukan nama Istiqamah. Amalan yang sedikit tapi Istiqamah amat disukai Allah. Tapi kalau belajar janganlah sedikit tapi Istiqamah amat penting.


Keempat TAWAKKAL. Selepas kita berdoa, berusaha serta beristiqamah, maka kita tawakkallah saja kepada Allah. Tawakkal maknanya kita berserah kepada ketentuan Allah. Tiada satu perkara pun yang akan berlaku tanpa izin Allah. Kalau kita dapat keputusan yang baik itu adalah dari Allah. Kalau keputusan tak begitu baik, itu mungkin ujian Allah untuk kita berusaha lebih kuat lagi. Tawakkal ini penting supaya kita tidak kecewa yang boleh memudaratkan diri sendiri. Tawakkallah dalam apa juga jenis pekerjaan.

DUIT ADALAH SEGALANYA.

Menanti mati


Kelmarin 16 Ogos, saya ke UTP untuk meraikan konvo anak saya yang kedua yang menjadi graduan di sana. Alhamdulillah semua berjalan lancar. Bila selesai upacara, bila semua graduan dan ibu bapa mulai keluar, saya terserempak dengan cikgu Harun Dali ( bekas PK Koko SMKI ) menyatakan yang dia baru terima sms mengatakan cikgu Kaza ( Guru Pakar Kimia SM Teknik Lebuhraya ) telah meninggal dunia. Terkejut saya kerana yang saya tau cikgu Kaza tak sakit apa. Cikgu Kaza merupakan kenalan lama semasa sama-sama berkursus dan kami sama-sama dalam AJK PIBG SMT Lebuhraya. Dia lebih muda dari saya, dan dia telah dijemput Allah. Innalillahi wainnailaihirajiun. Engkau telah bertemu dengan kematian, sesuatu yang pasti.

Demikianlah putaran kehidupan. Dulu waktu kecil-kecil, kita semua dengar kawan-kawan bersunat. Mereka kata bersunat sakit. Kita pun takut tapi akhirnya kita bersunat juga. Kita rasa kesakitannya. Kemudian lawan-kawan mula kahwin, kita pun kahwin dan merasai alam berumahtangga. Kemudian kawan-kawan dapat anak, akhirnya kita pun bertanya khabar tentang anak sebab kita pun dapat anak juga. Kemudian masing-masing kawan-kawan bertanya khabar pula tentang cucu, mereka dah tau keadaan sayangnya kepada cucu. Tapi saya belum lagi bercucu walaupun dah ada satu menantu. Kemudian ketika umur menjelang senja, kawan-kawan mula mengkhabarkan tentang kematian. Satu misteri yang kita akan jumpa diakhir penghidupan. Sesungguhnya kematian itu adalah akhir penghidupan didunia tetapi permulaan penghidupan diakhirat.

Kematian adalah apabila peluang untuk kita beribadat telah tertutup rapat kecuali beberapa ibadat yang boleh sambung di akhirat. Antaranya ialah

1. Anak yang soleh. Itulah pentingnya mempunyai anak yang soleh yang masih boleh menyumbangkan pahala kepada ibu bapa di alam baqa. Jadi nasihat saya kepada semua pelajar SMKI khasnya, jadilah anak yang soleh agar ibu bapa mendapat rahmat.

2. Sedekah jariah iatu sedekah yang pahala berlanjutan hingga keakhirat. Kalau kita buat kenduri saja, pahalanya hanyalah ketika kita di dunia. Tapi kalau kita derma buat masjid, maka selagi maskjid tu ada, selagi itulah pahalanya datang berganda-ganda. Itulah sedekah jariah.

3. Ilmu yang bermenafaat. Ini penting untuk semua guru. Ajarlah murid kita ilmu yang boleh menjadikan mereka manusia yang soleh. Bukan setakat mengajar sains atau matematik, tapi kaitkan bagaimana matematik dan sains itu boleh memantapkan kepercayaan mereka kepada Allah. Kalau mereka selalu ingat Allah, maka mereka akan menjadi manusia yang soleh. Ilmu yang kita ajarkan ini akan memberikan menfaat kepada kita walaupun kita telah tiada.

Selain daripada yang di atas semuanya akan ditinggalkan. Harta yang banyak, banglo yang besar, isteri yang cantik, anak-anak yang berpangkat besar, kereta yang hebat semuanya tidak menemani kita. Yang menemani kita hanyalah bebebrapa keping kain putih yang murah. Itu pun sekejap sahaja sebelum dimamah tanah. Naizubillah.

Mengikut kitab, sehari semalam malaikat maut sentiasa datang menziarahi kita untuk melihat sama ada kita sudah sampai masa untuk dicabut nyawa. Nyawa akan dicabut tanpa menangguh sesaat jua. Oleh itu ingatlah sentiasa kepada kematian agar kita sentiasa terpandu kearah kebaikan. Orang yang mengingati mati akan sentiasa mengingati Allah. Orang yang sentiasa mengingati Allah tidak akan melakukan kejahatan. InsyaAllah.

KEMATIAN PASTI.




Jumaat, 14 Ogos 2009

Soft skills.


Baru-baru ini ketika satu kursus PK di Taiping Golf Resort, adalah satu slot tentang soft skills. Nak terjemah ke BM tak elok pula nampaknya. Takkan nak kata "kemahiran lembut". Tak sedap dengarlah. Nanti lain pula dimaksudkan.

Soft skills secara definisinya ialah " A set of skills that influence how we interact with each other. It includes such abilities as effective communication, creativity, analytical thinking, diplomacy, flexibility, change-readiness, and problem solving, leadership, team building, and listening skills.

Inilah yang perlu ada kepada semua individu terutama sekali dalam bidang korporat. Sebab tu bila kita masuk ke gedung-gedung perniagaan atau ke pejabat swasta, kebanyakannya akan layan kita dengan begitu baik. Sampaikan kekadang kita naik rimas pula sebab terlalu baiknya layanan. Itulah soft skills yang ada pada mereka. Soft skills sebagai satu alat untuk menarik pelanggan ke tempat mereka dan sebagai satu alat yang amat penting untuk bersaing dengan syarikat yang lain.

Disekolah kita perlu ke soft skills ini? Bagi saya amat penting sekali sebab kita sebagai guru mempunyai pelanggan yang amat penting iaitu para pelajar kita. Teringat saya kata-kata seorang professor dari Thailand, dia kata " A school can be without teachers but a school cannot be without student. " Betul tu. Sekolah tanpa guru boleh berlaku terutama dizaman ini yang kemajuan ITnya cukup tinggi. Boleh ada sekolah jarak jauh. Tak perlu guru tapi sekolah apa namanya kalau tak ada pelajar? Jadi kerana ada pelajarlah maka ada sekolah, dan kerana ada pelajarlah kita boleh cari makan dan jadi guru. Kalau semua pelajar berhenti sekolah alamat kita miss soru.

Oleh itulah maka kita kena ada soft skills untuk melayan karenah para pelajar yang seribu satu karekter ini. Setiap pelajar adalah unik dan kita kenalah layan keunikan yang ada pada mereka. Jangan nak marah saja apabila pelajar buat kesalahan. Mungkin ada perkara tersirat yang kita tidak tahu. KIta kena ada kemahiran mendengar. Dengar masalah mereka dan barulah kita boleh tentukan punca mereka bermasalah. Kebanyakannya yang buat kesalahan disiplin adalah kerana keluarga bermasalah. Ada pelajar yang kena jual ayam untuk bayar yuran. Ibu dah kahwin lain, bapa dah lari, tinggal dengan nenek yang dah uzur. Ini cerita benar yang berlaku ketika saya di Yan. Jadi janganlah terus marah kalau pelajar lambat bayar yuran. Dengarlah rintihan mereka yang kurang bernasib baik.

Ketika saya jadi PK HEM, saya garang. Banyak pelajar yang saya rotan. Pendekata setiap bulan ada saja rotan yang hancur. Tapi sepanjang saya bertugas, tiada ada sedikit pun contengan nama saya yang jijik dan tiada sedikit pun kereta saya yang dicalarkan. Ini kerana saya mengamalkan soft skills. Sebelum merotan pelajar, saya terangkan bahawa saya merotan bukan kerana benci, bukan kerana meluat tetapi kerana sayangkan mereka. Saya rotan kerana nak memperbaiki kelakuan mereka. Ibarat doktor yang bagi ubat, pahit ubatnya, sakit suntikannya tapi semua itu dibuat oleh doktor untuk mengubati penyakit. Selepas saya rotan pula, saya akan terus gosok-gosok belakang mereka dan berbual dengan mereka seketika. Jadi akhirnya yang kena rotan itulah yang menjadi akrab dengan saya dan mereka menjadi amat baik dengan saya. Malah mereka pula jadi "reporter" kalau ada pelajar lain yang melanggar disiplin sekolah. Malah ketika saya berpindah dari sekolah tersebut, mereka masih akrab dan kalau berjumpa di pekan, mereka akan tegur saya dengan begitu tertib. Itulah sebahagian kenangan manis ketika menjadi PK HEM.

Oleh itu semua guru disiplin. Rotan pelajar itu perlu tapi soft skills lebih perlu supaya kita tidak menghukum pelajar secara melulu. Hukumlah kerana sayang dan jangan sesekali hukum kerana benci. Pandai-pandailah ambil hati pelajar supaya mereka hormat kepada kita . Bila kita dihormati, maka arahan kita akan dipatuhi. Insya Allah.

GURU PENYAYANG MURID SAYANG.

Rabu, 12 Ogos 2009

Lintah darat


Lintah darat? Ada ke lintah atas darat? Itu yang saya mushkil. Lintah selalunya hidup dalam tempat berair tapi tak taulah pula ada lintah atas darat. Tapi lintah yang ada dalam air pun boleh hidup lama atas darat. Kalau nak tau cuba ambil lintah dan letakkan di atas darat. Dia hidup lama ooi. Malah kalau lintah yang di air tu hinggap dibetis kita, lagi tak kenyang dia takkan berhenti hisap darah. Bila dah kenyang, tak payah disuruh, dia akan jatuh sendiri. Liat nyawa lintah ini seliat badannya yang tak bertulang. Dari segi sains, lintah dikelaskan sebagai organisma yang mempunyai rangka hidro. Saiz badannya bergantung kepada cecair yang ada dalam badannya.

Apa kena mengena pula dengan cerita saya kali ini? Takkan nak cerita tentang lintah. Memang betul, bukan tentang lintah yang saya nak cerita, tetapi saya nak cerita tentang manusia yang kuat hisap darah. Malah dia lebih jahat daripada lintah darat. Siapa tu? Siapa lagi kalau bukan peniaga yang tak bertanggungjawab. Ada ke peniaga lintah darat ini? banyak aih.. Di Jalan Ibrahim saja pun berlambak.

Sekarang semua orang tahu iaitu wabak HINI sedang rancak. Kematian pun dah lebih 50. Bagi standard Malaysia, ini merupakan cukup banyak dan amat membimbangkan. Berapa lagi nak mati tak taulah. Tapi di SMKI masih selamat sebab masih belum yang ada positif HINI. Dan salah satu langkah berjaga-jaga yang disyorkan ialah pakai topeng muka. Maka ramailah yang dah mula pakai topeng muka. Alhamdulillah.

Saya pun tak ketinggalan. Saya pun nak pakai topeng muka juga. Saya pun pergilah ke satu kedai farmasi di Jalan Ibrahim. Nak beli 10. Saya ingatkan 3 riggit saja tapi rupanya dah naik harga. Sepuluh ringgit untuk sepuluh topeng muka. Maknanya satu seringgit. Logik ke? Kenaikan melebih 300%. Yahudi pun tak berniaga seteruk macam ini. Saya bayar jugalah tapi dalam hati menyampah sungguh peniaga lintah darat macam ini. Kalau orang yang miskin macam mana, tak kesian ke? Awat ambil untung banyak sangat. Kalau jual satu 30 sen pun dah untung dah. Tapi ini sampai seringgit, memang lintah darat jenis yang tak boleh diharap. Itulah satu spesis daripada peniaga lintah darat yang ada di Malaysia.

Mereka ambil kesempatan diatas keperitan orang lain. Tak macam orang di Jepun. Saya teringat lagi ketika gempa bumi yang besar berlaku di Kobe, adalah satu dua kedai yang terselamat. Maka yang terkejutnya saya ialah kedai yang terselamat itu mendermakan semua barangan dalam kedainya kepada mangsa gempa bumi yang lain. Bila orang tanya kenapa bagi semua barangan percuma? Dia jawab mengatakan dia dah untung sebab bangunannya tak roboh, jadi apalah salahnya dia derma semua barangannya sebab dia lebih bernasib baik daripada orang lain yang kehilangan bangunan malah nyawa yang sangat berharga. Mulia sungguh hati peniaga Jepun ini. Dia tak Islam, tapi dia hebat. Rasanya kalau dia Islam, dia masuk syurga lebih awal daripada kita semua yang Islam. Kalau di Malaysia berlaku gempa bumi macam ini, rasanya ikan tamban pun naik harga 20 ringgit sekilo. Alasan depa ialah barang takdak, maka harga mesti naik. Depa peka sungguh tentang ekonomi bila duit masuk poket depa.

Itulah serba sedikit cerita tentang manusia hisap darah yang lebih jahat daripada lintah darat.

LINTAH DARAT PENGKHIANAT.

Selasa, 11 Ogos 2009

Pareto


Apa ke benda pulak Pareto ni?. Sebenarnya saya dah lama dengar nama Pareto ini. Pareto ini nama orang yang mengeluarkan Teori Pareto yang pada pendapat saya sangat releven untuk digunakan dikebanyakan tempat dan situasi.

Teori Pareto menyatakan bahawa 20% sebab yang akan menghasilkan 80% kesan kepada sesuatu pertubuhan, sekolah ataupun institusi. Kawan saya yang merupakan seorang Pengetua merangkap tokey dobi di Langkawi telah membuktikan teori Pareto ini memang benar. Beliau ada satu kilang dobi yang mengambil kontrak daripada 40 hotel yang ada di Langkawi. Disebabkan begitu banyaknya kontrak, maka telefon sentiasa berdering dengan seribu satu persoalan. Ada yang tanya , ada yang komplen, ada yang nak buat pesanan, pendekata macam-macam ada. Kalau nak layan semua , alamat takdak kerja lain melainkan jawab telefon.

Lalu beliau mengarahkan anaknya mencari 8 hotel ( 20% ) yang menyumbang kepada pendapatan terbanyak. Hasilnya beliau dapat 8 hotel yang menyumbangkan 80% daripada keuntungannya. Maka dia tubuhkan satu jabatan khas siap dengan kerani untuk melayan apa-apa rungutan daripada hanya 8 hotel ini. Pendekata dia jaga sungguh lapan hotel ini dan kurang ambil perhatian kepada 32 hotel lain yang hanya menyumbangkan 20% daripada pendapatan syarikatnya. Dia sekarang lebih tenang sebab dia dapat fokus kepada pelanggan yang menyumbangkan kepada keuntungan yang paling banyak.

Begitulah juga kita disekolah. kalau dalam kes disiplin misalnya, teori Pareto memang boleh dipakai. Yang buat masalah, bukan ramai. Mungkin tak sampai 20% tetapi mereka inilah yang menghasilkan 80% atau mungkin lebih masalah disiplin disekolah. Orang yang sama juga yang buat kesalahan berulang-ulang. Pendekata takdak muka lain dah. Dialah yang ponteng kelas, dia juga yang mencuri, dia juga yang biadap, malah semuanya kerana dia. Dan "dia-dia ' ini tak ramai. Kalau boleh kepung kumpulan 20% ini , 80% masalah disiplin akan dapat diselesaikan. Yang tinggal 80% tu tak banyak mengahasilkan masalah disiplin.

Sama juga untuk kecemerlangan sekolah. Hanya 20% daripada pelajar yang akan melonjakkan 80% nama sekolah. Depa ini kumpulan yang pandai, yang score "straight A's, depa juga yang menjadi johan dalam pelbagai pertandingan, depa juga yang baik, pendekata " semuanya kerana depa." Oleh itu kalau kita boleh jaga dan pupuk 20% kumpulan terbaik dan kepung 20% kumpulan paling bermasalah, nama sekolah akan harum dan disiplin akan dapat dikawal. Pendekata kita buat kerja 20% tapi dapat hasil 80%. Tu baru nama untung.

Jadi bolehlah kita cuba disekolah masing-masing agar sekolah menjadi tempat harmoni, selesa dan ceria untuk pembelajaran generasi masa hadapan kita. Selamat mencuba.

PARETO TEORI BERMUTU.


Sabtu, 8 Ogos 2009

Siapa pelik?


Baru-baru ini datanglah seorang jurujual berjumpa saya . Dia ingin menjual makanan untuk minda. Dia pun terangkan yang makanan mindanya telah pun terjual diserata Malaysia. Saya pun mendengarnya dengan penuh minat maklumlah nak bagi anak pandai, sapa tak mau. Kemudian dia minta kebenaran untuk pergi kebilik guru untuk memperkenalkan jualannya kepada guru-guru. Lalu dengan penuh sopan dan tertib, saya tidak membenarkannya dan mengatakan itu adalah polisi sekolah untuk tidak membenarkan sebarang pelawat kebilik guru sama ada untuk menjual barangan atau pun untuk meminta derma. Maka dia pun faham dan dia pun balik dengan senyum tanda setuju.

Kemudian datang pula seorang wanita dengan tujuan yang sama. Kali ini dia nak mempromosikan kelas aerrobiknya. Dia pun nak jumpa guru. Saya tetap melarang dengan mengatakan itu polisi sekolah. Dia nak jumpa Pengetua, maka saya minta dia datang pada masa yang lain untuk minta kebenaran daripada Pengetua.

Selang beberapa hari datang lagi seorang jurujual untuk menjual peralatan dapur. Tentulah dia minta nak jumpa guru perempuan sebab di SMK Ibrahim, ramai sekali guru perempuan. Macam biasa saya tak benarkan dengan mengatakan itu adalah polisi sekolah. Tapi penjual ini lain sikit, dia naik angin dan berdialog pula dengan saya.

Dia kata " Sekolah lain boleh saya masuk jumpa guru tapi kenapa sekolah ini tak boleh ? "

Lalu saya terangkan lagi sekali mengatakan itu polisi sekolah yang semua anggota sekolah telah faham.

Dia merungut pagi " Sekolah ini peliklah, mana ada undang-undang melarang jurujual berjumpa guru ? "

Wah, dia main undang-undang pula. Lalu saya mengatakan yang memang tiada undang-undang, tapi memang sekolah bukan tempat untuk meminta derma ataupun untuk menjual barangan. Sekolah untuk belajar dan kalau guru sibuk dengar penerangan tentang barangan yang hendak dibeli, maka tugas guru sudah berubah daripada menjadi guru kepada pembeli. Maka sebab tu sekolah tak benarkan sebarang jurujual ke bilik guru untuk menjual.

Dia bertegas lagi, " Kenapa pelik sangat sekolah ini, sekolah lain saya masuk banyak dah ?"

" Maaf encik, saya rasa bukan sekolah kami yang pelik, sekolah lainlah yang pelik sebab depa benarkan jurujual menjual disekolah sedangkan fungsi sekolah bukan tempat untuk menjual barangan " jawab saya.

Dia nak merungut lagi tapi saya katakan bahawa saya sibuk dan minta diri dulu. Dia pun balik dengan muka sedikit masam.

Lalu saya terfikir, inilah kekadang kita pelik dengan orang yang berperangai pelik. Sepatutnya kalau tak dibenarkan, tak payahlah dok paksa-paksa tapi mungkin itulah sifat jurujual. Mereka kalau boleh nak menjual juga barangan mereka walaupun kekadang dimarahi. Patutlah barangan mereka laku sebab mereka ini memang "hemoi".

Dan terfikir pula saya kekadang bila kita nak buat perkara yang betul, kita di anggap pelik. Sepatutnya yang buat tak betul itulah yang pelik. Contohnya dulu bila ramai perempuan yang tak menutup aurat, maka yang tutup aurat dianggap pelik. Malahan bila perempuan pakai tudung orang gelar mereka "perempuan dakwah ". Amboi senangnya nak jadi pendakwah. Ini berlaku sekitar 70 an. Tapi sekarang yang tak pakai tudung pula yang pelik.

Teringat saya ketika saya di universiti dahulu. Dalam ratusan pelajar perempuan adalah tiga orang yang memakai tudung. Walaupun mereka belum menutup aurat ( sebab pakai tudung bukan mesti tutup aurat ), tapi mereka disisihkan oleh para pelajar lain. Jadilah mereka bertiga kemana-mana sahaja. Malah ada seorang pensyarah yang memanggil mereka dan memarahi mereka kerana pakai tudung. Ada seorang daripadanya menangis dan bertanya kepada saya,

"Apa salah kami ?" kata mereka.

" Mungkin sebab kamu tidak mengembek bila masuk kandang kambing, " jawab saya.

Satu lagi peribahasa yang saya rasa tak berapa betul. Takkanlah kalau kita masuk tempat orang minum arak, maka kita kena minum arak juga? Tentu tak betul.

Jadi biarlah kita tidak mengikut sesuatu kelaziman jika kelaziman itu menyanggah peraturan yang benar. Yang benar tetap benar walaupun sedikit. Jangan ikut majoriti jika yang majoriti itu ternyata salah.

MAJORITI BUKAN MESTI BETUL.



Selasa, 4 Ogos 2009

Muflis.


Muflis bermaksud bankrap. Bankrap maknanya dah tak ada duit. Tetapi kekadang istilah ini pun tak boleh digunakan kerana ramai juga orang diistiharkan bankrap tetapi masih kaya raya, masih bawa kereta besar, masih duduk dalam rumah seindah istana.

Orang yang gambarnya disebelah ini bukan bankrap. Dia memang miskin, dia tiada wang, jauh sekali berkereta dan dia tak banyak harta. Dia miskin dan dah masuk ke taraf papa kedana. Itulah dia, seorang rakyat Kemboja dikampung halamannya bergambar dihadapan "mahligainya" yang setaraf pondok penunggu durian di kampung kita. Adakah saya menghina? Tidak sekali. Bukan itu tujuannya saya berblog pada malam yang hening ini.

Tujuan saya ialah untuk mengingatkan kita betapa bertuahnya kita berada di Malaysia. Negeri yang kaya raya menyebabkan kita mampu mengumpul sedikit sebanyak harta. Kita mampu berkereta, menduduki rumah tersergam indah, mampu menikmati kehidupan dengan cukup selesa. Alhamdulillah kerana menjadi rakyat Malaysia.

Bandingkan kita dengan orang dalam gambar tersebut. Tentu kita kata kita amat bertuah berbanding dengannya. Tapi adakah betul begitu? Dia pula mungkin mengatakan dia lebih bertuah daripada kita dan dia punya hujah yang nyata. Hujahnya ialah , dia tiada harta, maka soalannya ketika di akhirat adalah lebih mudah. Umpama orang yang tak membawa sebarang barangan, maka tak banyak soalan daripada kastam, tetapi bagi yang kaya, yang banyak membeli barang, tentulah soalan daripada kastam lebih panjang. Lebih lambat kena berbaris dibandingkan dengan orang yang tiada barangan. Itu baru soalan di dunia, di akhirat tentulah lebih susah lagi soalannya. Takutnya untuk menghadapi saat itu. Nauzubillah.

Simiskin tiada diwajibkan zakat, tak perlu kerjakan haji. Dua rukun Islam dah gugur daripadanya. Amalannya nampak lebih mudah daripada kita. Itulah kelebihan simiskin berbanding kita yang sedikit kaya. Tetapi si kaya juga untung malah lebih baik dari si miskin kalau dia banyak berbuat kebajikan dari hartanya. Dia boleh menderma dengan banyaknya, tapi mestilah dengan ikhlas. Kalau menderma kerana hendakkan sesuatu ganjaran, maka dermanya menjadi sia-sia. Oleh itu, kalau banyak harta, dermalah dengan ikhlas tanpa mengharap apa-apa balasan.

Rasulullah pernah bersabda, " Tahukah kamu semua , siapakah yang muflis di akhirat ? "

Sahabat menjawab, " Tentulah orang yang datang tanpa sebarang amalan kebaikan ".

" Salah" jawab Rasulullah. " Orang yang muflis ialah orang yang banyak kebajikan, solatnya sempurna, zakatnya sempurna, hajinya sempurna tapi dia banyak menganiayai orang lain"

"Masa di akhirat, orang yang dianiayainya akan menuntut pahalanya sehingga habis dan setelah pahalanya habis, masih lagi ada tuntutan dari orang yang dianiayainya. Oleh itu dosa orang yang dianiayainya pula yang di pindahkan kepadanya , dan itulah orang yang muflis." sabda Rasulullah.

Ini hanyalah sebagai peringatan bagi kita di kalangan guru yang banyak terlibat dengan para pelajar. Oleh itu berhati-hatilah agar kita jangan menjadi orang yang suka menganiayai para pelajar kita. Bagaimanakah kita menganiayai para pelajar kita? Ada beberapa contoh yang boleh difikirkan.

a. Memberikan taraf kelakuan yang tidak menepati sahsiah pelajar.

b. Tidak memeriksa dan memberi markah yang tepat kepada pelajar terutama jika kita menjadi pemeriksa kertas.

c. Mendenda pelajar secara keterlaluan berbanding dengan kesalahan yang dilakukan.

d. "Branding" para pelajar dengan tanggapan yang tidak baik.

e. Pengagihan bantuan seperti biasiswa yang tidak dibuat dengan adil. Teringat kata Tuan PPD dulu, " biarlah tersalah memberi tapi jangan tersalah tidak memberi" . Jadi berhati-hatilah bila terlibat dengan bantuan ini.

dan banyak lagi. Oleh itu diharap semua tenaga pengajar SMKI dapat memanifestasikan sedikit peringatan ini agar kita tidak menjadi manusia yang muflis di akhirat nanti. Selamat bertugas cikgu.

MENGINSAFI DIRI .