Ahad, 31 Januari 2010

Library kubur..

Pagi tadi saya melawat ke perpustakaan, librarylah dalam bahasa Inggeris. Library SMKI memang hebat , siap aircond lagi. Sejuk, nyaman, tenang dan senyap. Ada pula muzik yang  sentimental hasil dendangan Kitaro yang meyebabkan tidak terasa masa berlalu. Patutlah para pelajar SMKI berpusu-pusu ke library sebab suasana yang amat menyenangkan dan tenteram. Bila dah tenteram, barulah ilmu dapat dihadam. Barulah baca buku cepat faham. Tapi anak saya dulu, lain pula cerita. Baca buku sambil dengar walkman lagu rock. Itupun PMR 8A juga. Mula-mula saya khuatir juga takut tak score, tapi dalam dok dengar walkman pun bolehlah juga belajar. Pelik memang pelik, seperti gergasi dikalahkan si pendek.

Awat hang dok cerita tentang library pula ni? Library memang tempat belajar, tempat membaca buku. Tempat simpan dan pinjam buku. Adalah ceritanya. Cerita kali ini bukan pasal library  yang ada aircond tetapi library yang lebih sunyi daripada library biasa.  Mana tempat yang paling sunyi? KUBUR lah. Mana ada kubur yang bising ? terutama waktu malam. Sunyi sepi, dan orang yang nak lalu dikawasan kubur pun kecut perut. Dalam kubur tak taulah sunyi ke tak, tapi kalau dari penerangan dalam kitab, dalam kubur ada penyiksaan, ada ganjaran. Kubur boleh jadi taman-taman dari taman syurga ataupun jurang-jurang dari jurang api neraka. Maknanya kubur adalah gambaran apa yang akan kita lalui diakhirat kelak. Serammmmm bila teringatkan kubur, tempat yang semua orang akan pergi, tak ada yang terkecuali termasuk Michael Jackson yang kaya tak terperi. Ya Allah, kau jadikanlah kuburku sebagai taman-taman dari taman syurga dan janganlah kau jadikan kuburku sebagai jurang -jurang daripada jurang api neraka. Itulah doa yang kita kena sebut selalu. Nauzubillah.

Awat dok melalut nih..? dah tua beginilah. melalut merata. Ini cerita isteri saya lagi. Isteri saya ini rumahnya dihadapan kubur. Tanahnya bersebelahan dengan tanah kubur. Bila waktu malam, nak belajar dirumah tak boleh sebab sempit dan bising pula.  Maklumlah satu keluarga 9 orang bersesak-sesak dalam rumah yang kekurangan ruang. Nak pergi library, mana ada library buka waktu malam? Lagipun kalau ada yang buka pun, tak boleh pergi sebab jauh dari rumah. Jadi dimana isteri saya belajar? Nak cari tempat sunyi, tenang, nyaman mestilah dikubur. Maka setiap malam dia akan bawa pelita minyak tanah sorang-sorang pergi kekubur untuk membaca buku. Pukul 11.30 baru dia balik dengan pelita minyak tanah yang macam kelip-kelip. Berani sunguih isteri saya,dan sampai sekarang pun dia cukup berani. Di mana pula dia baca buku? Nak cari kerusi meja di kubur mana ada? Mau tak mau dia akan duduk ditempat orang baca talkin di atas kubur yang baru digali. Tanahnya merah lagi dan disitulah tempat yang cukup sunyi dan baik untuk mentelaah pelajaran. Ada ke orang yang seberani itu sekarang? Saya dari awal lagi dah "surrender", angkat bendera putih tanda kalah.

Begitulah sekelumit kisah kehidupan yang boleh dijadikan pengajaran. Nak berjaya , kemiskinan, kepayahan bukanlah penghalang. Jadikan kemiskinan dan kepayahan itu sebagai batu loncatan untuk kejayaan.

KEJAYAAN DALAM KEPAYAHAN.

Jumaat, 29 Januari 2010

Lempeng

Kelmarin sewaktu hari sukantara, ada cikgu dok cerita tentang makanan. Begitulah di SMKI, yang perempuan asyik dok cerita tentang makan .. tu yang saiz besar sakan, yang lelaki facebook jadi pilihan. Yalah , kekadang di kantin itulah tempat luahkan perasaan. Takkan nak cerita tentang pelajaran 24 jam, sesekali kenalah "release tension" yang menekan. Itulah SMKI yang saya sayangi, SMKI yang saya sanjungi. Hebat , memang hebat seperti gula dengan air sarbat. 

Cikgu ini kata kalau nak makan lempeng sedap, pergilah ke kedai dekat dengan Swiss Inn. Katanya pukul 8.00 lempeng dah habis. Kalau nak makan, pergilah awal-awal. Kalau tak yang tinggal hanyalah kuah ikan bawal yang dijadikan pencicah bagi lempeng tersebut. Lempengnya lembut, ranggup dan kalau makan tak teringat handai taulan. Begitulah asyiknya kalau makan lempeng dengan kari bawal. Hebat cerita kawan saya sampaikan saya terasa keluar air liur. Dok menulis ni pun air liur keluar bila teringat lempeng kari ikan bawal. Sedappppppp.

Cerita tentang lempeng teringat cerita isteri yang hari-hari bawa bekal lempeng kesekolah. Isteri saya ada 7 adik beradik , 5 daripadanya bersekolah. Mereka orang miskin, maka duit tak ada. Untuk menampung makan di sekolah , ibu mertua saya membekalkan setiap seorang dengan sekeping lempeng berbalutkan surat khabar lama. Bayangkan, setiap hari makan lempeng. Kalau kita makan di hotel yang begitu sedap pun jemu juga, apatah lagi makan lempeng hari-hari. Mau kembang pipi. Lempeng hanyalah sedap kalau makan sesekali.

 Disebabkan dah kembang pipi , asyik dok makan lempeng hari-hari, maka isteri saya yang mengayuh basikal kesekolah akan membuang lempeng tersebut setiap kali sampai ke simpang yang menghala kesekolahnya. Tapi kertas surat khabar mesti dipulangkan sebab esok nak pakai lagi. Begitulah hari-hari sampailah isteri saya masuk sekolah menengah. Waktu sekolah menengah dia dapat biasiswa , maka ringanlah sedikit untuk belanja. Peristiwa yang berlaku bertahun-tahun ini tidak diketahui oleh sesiapa sehinggalah dia sudah berumah tangga. Barulah dia ceritakan kepada ibunya tentang lempeng yang dilemparkan disimpang jalan. Itulah cerita kemiskinan yang tak menghalang kita untuk berjaya. Walapun tak makan di sekolah ( sebab lempeng dibuang di simpang jalan ), bila periksa tetap dapat nombor satu. Tak makan pun dapat nombor satu, kalau makan tentu lagi baik kan?

Demikianlah sedikit cerita tentang lempeng. Lepas ni rasanya nak suruh isteri buat lempeng, sedap pula rasanya, makan dengan kari ikan bawal. Sedapppppp.... ooooiiiihhh.

SEKEPING LEMPENG SEBUAH KEJAYAAN.

Ahad, 24 Januari 2010

Tak halal


Mula-mula malas nak letak gambar yang geli geleman ini, tetapi terfikir juga, takut nanti orang silap tafsir. Manalah tau nanti ramai yang terlihat gambar ini kata pula khinzir ini halal.

Gambar kedua pun patut dipaparkan juga kerana tertulis 50 % halal. Untuk orang yang kurang pengetahuan Islam, nanti depa makan pula sebab ada tertulis 50% halal.

Mana ada 50 % halal. Sama ada 100% halal atau 0% halal. Tiada setengah halal.

Sekali lagi diingatkan bahawa perkara sebegini jangan diambil mudah. Ini perkara sensitif bagi orang-orang Islam. Hal-hal sensitif jangan dipermain-mainkan.

HALAL BUKAN MAINAN

Sabtu, 23 Januari 2010

Insaf


Hari ini adalah hari saya menjadi benar-benar miskin. Balik dari sembahyang Jumaat tadi, isteri hantar sms suruh makan di luar sebab dia letih nak masak. Itulah pengorbanan isteri, dia tak akan sms itu kalau dia mampu memasak. Tapi hari ini banyak sangat kerja sekolah sampaikan dia tak mampu lagi nak memasak. Maka selepas sembahyang saya pun terus ke kedai makan untuk menjamu selera, nak makan yang hebat-hebat sebab lapar sangat. Saya pun singgahlah di Restoran Nasi Lemak Cinta Sayang. Turun saja kereta, terus menyerbu masuk ke restoran. Perut dah berbunyi kriut-kriut tanda hendakkan makanan, Lapar, sungguh lapar.

Nak makan mesti nak kena bayar, maka saya pun raba-raba poket baju, wah ada 4 ringgit sahaja. Nak makan apa dengan 4 ringgit tu?. Saya cari pula dalam kereta dapatlah lagi 2 ringgit. Adalah semuanya 6 ringgit. Berbekalkan 6 ringgit itulah saya masuk kekedai nak jamu selera. Zaman sekarang zaman payah, zaman semua harga barang naik menujah-nujah. Habis duit kena punggah untuk mencukupkan pembelian di mana-mana kedai kita singgah. Selepas saya masuk kekedai, saya pun ambillah nasi, panas lagi , sedap ooi. Tengok ikan bawal yang baru digoreng, air liur meleleh keluaR, tapi  tak berani nak ambil takut harganya mahal. Ambillah ikan temenung seekor, itupun temenung yang dah kiat sebab kecil dan nipis. Itulah yang padan dengan duit yang ada. Ambil sedikit sambal dan sedikit ulam serta kuah gulai .

Tiba pula giliran memesan minuman. Kalau kebiasaannya saya akan order "fresh orange" yang harganya 2 ringgit atau paling koman pun teh O  ais tetapi hari itu semuanya kena dilupakan sementara. Lupakan keenakan "fresh orange" dan lupakan juga kesedapan teh O ais penghilang dahaga. Apa yang saya mampu? Hanyalah segelas ais kosong yang harganya 20 sen. Itulah makanan saya pada hari itu. Makanan yang agak luar biasa bagi saya tetapi sudah merupakan sesuatu yang mewah bagi si miskin. Barulah saya terasa hakikat kesusahan apabila duit sudah tiada. Barulah saya rasa keperitan apabila nak memilih makanan kena berfikir sekali dua. Inilah masanya kita menginsafi diri.

Kekadang saya rasakan eloklah juga orang kita yang kaya raya merasai apa yang saya rasa.. Biar mereka sedikit berfikir tentang keperitan si miskin. barulah timbul keinsafan supaya mereka kuranglah bermewah-mewahan. Kuranglah mereka membeli beg tangan yang harganya puluhan ribu. Kekadang saya terfikir, beg tangan yang berharga puluhan ribu itu diperbuat daripada apa? mungkin kulit buaya tunggal bertatahkan zamrud dan berlian?. Kalau bawa beg itu tentulah dengan penuh kesombongan dan keriakan. Pujian pun dapat , dosa pun dapat. Berbelanja besar hanyalah untuk mendapatkan dosa. Nauzubillah.

Jadi wahai sikaya termasuk saya ( bukan dalam golongan kaya ) , yang hidup senang linang, yang tak pernah terfikir tentang kesusahan, yang mengkayakan konglomerat yang memang dah kaya, marilah kita berfikir sejenak, marilah kita merenung kebawah melihat rerumput yang hijau, melihat simiskin yang  berkeliaran di atasnya, mencari rezeki dalam kepayahan hanya untuk menyara sebuah kehidupan. Insaflah sikaya, anda semua tidak akan kaya kecuali dengan adanya si miskin yang melata. Itulah hakikat yang kita semua kena renungkan, hakikat yang kita kena tenungkan.

BUDI BAHASA BIAR KAYA

Khamis, 21 Januari 2010

Lobi


Lobi. Ada dua makna. Satu lobi hotel , iaitu tempat mendaftarkan diri untuk menginap dihotel. Satu lagi lobi ialah mengampu atau memujuk untuk mendapatkan sesuatu. Itu bukan maksud daripada mana-mana kamus tetapi itulah maksud mengikut tafsiran saya. Mungkin tidak begitu tepat tetapi tak jauh maknanya. Lobi kedua inilah yang sedikit bahaya kerana boleh menyebabkan orang lain teraniaya.. Kenapa saya dok cerita tentang lobi pula ini?

Cerita ini saya cerita semula kerana terbaca satu artikel yang melarang guru-guru daripada melobi untuk naik pangkat. Saya tak tau pula lah rupanya nak naik pangkat pun kena lobi. Ingatkan lobi nak pujuk pengundi saja, rupanya nak naik pangkat pun kena lobi? Hairan, hairan , seperti lubang telinga dimasuki tebuan. Kalau tak keluar surat itu, saya tak akan tahu bahawa betapa seriusnya lobi melobi untuk naik pangkat ini berlaku. Lalu kawan tanya saya,

"Hang tak mau lobi ke untuk naik pangkat? "

Saya kata pangkat tu bukan manusia yang bagi, tapi Allah yang bagi. Kalau Allah tak bagi jangan haraplah nak dapat dan kalau Allah nak bagi, jangan haraplah manusia nak sekat. Tak perlu melobi melobi, tak perlu dok pi juai muka sana sini hanya untuk mendapatkan pangkat yang tinggi. Kita tinggalkan kisah sipelobi ini. Sekarang saya terfikir pula...


Adakah orang nak melobi jika tak ada orang yang boleh dilobi. Orang yang boleh dilobi tentulah yang ada kuasa untuk naikkan pangkat orang. Kalau orang yang tak ada pangkat macam saya, orang nak lobi apa? Maka saya rasa elokah juga surat dikeluarkan kepada semua pegawai yang ada kuasa supaya tidak boleh dilobi. Kalau tak ada orang yang boleh dilobi tentulah tak ada orang yang nak melobi. Rasanya yang penting ialah melarang orang yang dilobi daripada melarang pelobi. Inilah penyakitnya bila manusia tiada integriti. Ramai sangat yang nak naikkan pangkat kawan-kawan, sanak saudara dan anak cucu. Kalau kita tu Islam , ingat sikitlah tentang dosa pahala. Ingat kalau kita menganiayai orang lain, doa mereka mustajab. takut nanti kita kena azab. Nauzubillah.

Pendekata adanya orang yang melobi kerana adanya orang yang

BOLEH DILOBI.

Jumaat, 15 Januari 2010

Prioriti.


Priority, itulah perkataan Bahasa inggeris yang di Bahasa Melayukan kepada prioriti. Prioriti maknanya keutamaan. DAlam kehidupan ini kita mesti ada perkara-perkara yang kita kena beri keutamaan samada paling utama, utama, kurang utama ataupun tak perlu. Contoh saya beri satu senarai begini: kereta, motosikal, alat bina badan, yuran anak dan rokok. Lain orang lain yang diutamakan. Ahli bina badan mestilah pilih alat bina badan sebagai yang paling utama. Perokok tegar mestilah pilih rokok walaupun yuran anak belum berbayar. Bagi yang inginkan keselesaan anaknya agar tidak dimarahi kerana lambat bayar yuran, tentulah memilih bayar yuran walaupun dia tak makan.

Itulah ayah dan ibu yang amat saya banggai. Ayah saya orang miskin, menoreh getah dan buat bendang. Tak banyak pendapatan. Kalau dapat sebulan seratus itu sudah cukup mewah. Tapi yang saya bangga ialah saya senitiasa bayar yuran terawal samada yuran sekolah ataupun yuran periksa. Yuran sekolah hanyalah RM7.50 sebulan . Dengarnya sedikit bagi masa sekarang , tetapi nak dapat banyak itu pada masa dahulu , kata orang jenuh mengerang. Dapat saja duit sebanyak itu, bapa terus berikan kepada saya. Dia tak akan minum kedai kopi, tak merokok ( merokok daun adalah ) dan tak akan beli ikan walaupun ikan dah habis. Memang saya jarang makan ikan pun pada waktu itu. Pendekata semuanya dibantutkan dan yang dipentingkan adalah yuran sekolah. Dia cukup takut kalau saya dibuang sekolah kerana tak mampu membayar yuran. Konsepnya mudah, biarlah dia hidup miskin asalkan anak-anak terbela pelajarannya dan terbela masa depannya. Alfatihah untukmu ayah dan ibuku yang sangat kurindu. Terasa syahdu bila mengingatkan pengorbananmu.


Berbeza dengan sesetengah orang sekarang. kalau pasal yuran ( atau bayaran tambahan ) amat liat nak bayar, tapi dirumah ada astro, ada hi fi, ada tv 32 inci LCD dan macam-macam lagi . Bila sebut yuran anak, dia mula buat nak serigai gigi. Anak takut cabut lari dan disekolah dimarahi kerana sampai lima bulan, yuran tak bayar lagi. Itulah sesetengah ibubapa yang masih belum sedar lagi. Pendapatan beribu-ribu sebulan, tapi bila disoal guru depa kata pendapatan tujuh ratus sebulan dan nakkan duit KWAPM. Tahun ini duit KWAPM pun tak ada dah. Ada yang bawa BMW pun dok mai ambil duit KWAPM. Malulah sikit aiihhh. Ketika anak saya di UTP, dia telefon saya mengatakan yang kawan-kawan dia anak orang kaya-kaya dapat duit zakat tapi dia tak dapat sebab saya bubuh pendapatan yang betul. Saya katakan depa bukan dapat duit zakat, tapi dapat duit tak berkat. Duit hasil menipu mana nak berkat?

Ketika di SMK Yan dahulu, saya dapat tawaran untuk memilih seorang palajar miskin sebab BSN nak bagi bantuan. Saya pun tanyalah kawan-kawan tentang sesiapa yang mereka fikirkan miskin. Dapatlah nama seorang pelajar perempuan yang dikatakan miskin. Depa kata dia miskin sebab baju pun sehelai saja, yuran tak bayar, duit sekolah jarang bawa dan pakaiannya pun comot. Maka saya bubuhlah nama dia sebagai penerima bantuan. Tiba hari bantuan nak diberikan, saya menjemput pelajar tersebut untuk dia tunjuk jalan kerumahnya. Saya dan wakil dari BSN pun pergilah. Terkejut saya dan hampir tak percaya kerana bila tiba dirumahnya, saya lihat peti sejuk 2 pintu ( saya baru pakai yang satu pintu ). tv 29 indi, ada pemain video dan ada hi fi yang berdentum dentam macam rumah orang kenduri. Tanpa bertanya lanjut, kami pun balik dan tak berikan bantuan tersebut.

Rupa-rupanya bapanya bukan miskin. Depa tak miskin tapi depa tak pentingkan pelajaran anak-anak. Depa lebih pentingkan hiburan daripada memberi pelajaran kepada anak-anak. Hasilnya apa saja yang berkaitan dengan pelajaran depa tak hiraukan. Siang malam bekerja hanya nak mencukupkan alat-alat hiburan dirumah. Hasilnya pelajaran anak-anak terabai dan nasib mereka tak terbela. Nasib baiklah ibu bapa ini bukan ibu bapa saya. Syukur. Itulah prioriti. Bila kita silap letakkan prioriti, maka anak-anak tak menjadi dan nasib tidak berubah walaupun berdekad lagi.

Kesimpulannya pandai-pandailah kita meletakkan prioriti agar yang penting diutamakan dan yang tak penting dibuang. Tapi yang paling tak penting ialah merokok. Bukan tak penting malah membahayakan. Berhentilah merokok tu. Tak ada guna langsung.

KENALI PRIORITI .

Khamis, 14 Januari 2010

Berani.


"Dunhill 20". Itulah satu ungkapan yang saya dengar semalam bila singgah di 7 Eleven untuk beli roti. Ada orang "order" rokok Dunhill 20 batang. Mahal juga harganya tetapi bagi penggemar rokok, harga bukan perkara penting. Yang penting dapat menikmati  "kesedapan" merokok yang entah dimana sedapnya.

"Hang tak taulah sedap hisap rokok ni sebab hang tak hisap rokok" Begitulah kata kawan saya dulu bila saya tanya tentang kesedapan hisap rokok. "Anyway" hisap rokok ni sedapke?

Di kotak rokok itu terpapar dengan begitu mengerikan tentang bayi yang gugur, paru-paru yang hitam legam, mulut yang kena kanser dan macam-macam lagi. Tengok gambar pun dah cukup menggerunkan. Saya hairan macam mana ada lagi orang yang begitu "berani" untuk terus menikmati rokok. Harga rokok pula bukannya murah. Kalau tak beli rokok rasanya cukup untuk bayar yuran anak-anak. Ini kekadang yuran tak boleh bayar tapi hisap rokok boleh. Itulah prioriti yang silap. Patutnya bayar yuran dulu kemudian baru hisap rokok kalau ada berbaki. Lagi baik jangan hisap terus.

Dulu ketika saya di Miri ada kawan saya orang Melaka yang hisap rokok. Sehari 3 kotak maknanya 60 batang habis dihisap. Selalu batuk-batuk. Saya nasihatkan dia supaya kalau tak boleh berhenti pun, kurangkanlah sedikit sebab dia tunjuk xray paru-parunya yang dah hitam Dia marah pula kepada saya.

" Tak kisahlah kalau aku nak mati pun. Lagi pun kalau dah ajal mana boleh ditahan"

Begitulah katanya kepada saya. Betul juga, kalau dah ajal tiba mati pasti terjadi. Roh pasti diangkat pergi. Saya pun tak kata apa lagi selepas itu dan betul , kira-kira 5 bulan kemudian dia pun mati. Innahi wainna ilaihi rajiun.Masih muda, belum berumahtangga dan masih cerah peluang kerjaya. Itukah cerita kawan saya, orang Melaka.

Begitulah secebis kisah keberanian orang kita untuk merokok. Depa tau merokok tu bahaya tapi dok hisap juga. Keberanian yang tak kena pada tempat. Kalaulah mereka berani bangun malam bertahajud, hebat mereka. Kalau mereka berani datang kesekolah, mengajar anak murid secara percuma, dan dengan tekun sekali, memang hebat. Tapi mereka hanya berani membakar paru-paru disamping mengkayakan Yahudi yang dah memang kaya. Duit itu jugalah yang digunakan Yahudi untuk membunuh orang-orang Palestin. Nampaknya golongan perokok membantu membunuh rakyat Palestin disamping membantu untuk membakar paru-paru sendiri disamping membantu untuk melahirkan anak-anak yang cacat. Tabiat yang perlu dielakkan.

Oleh itu wahai para pelajar, buanglah tabiat merokok tu. Kekadang saya pelik tengok pelajar merokok. Beli sebatang pun cukuplah asalkan lepas gian. Di mana-mana sekolah pun ada saja pelajar-pelajar yang merokok. Lepas kena rotan, mereka merokok lagi. Apalah yang ada dalam rokok yang menyebabkannya begitu "sedap".Itulah serba sedikit cerita tentang manusia yang berani memusnahkan diri dan masa depan hanya kerana hendak memberi peluru agar Yahudi boleh terus membunuh rakyat Palestin. Haru memang haru, pelik memang pelik, tapi itulah yang terjadi.


BERANI MATI.

Ahad, 10 Januari 2010

Bertuahnya!


Sudah lama saya tak updatekan blog ini kerana terlalu banyak kerja yang nak disiapkan. Terlalu banyak tenaga perlu digembelingkan untuk menyediakan kemudahan kepada para pelajar dan guru. Kena pula isi Laporan Penilaian Prestasi untuk tahun 2009. Bayangkan 130 orang punya LPC, kena isi markah, kena buat komen, kena key in markah, kena isi borang dan macam-macam lagi. Bukan nak kata saya sibuk sangat tetapi itulah kerja saya. Pendekata memang banyak kerja tapi itulah kerja. Banyak kerja itulah kerja ( lihat ini)

Kalau nak ikutkan hati, tak mau dah buat blog ini sebab susah juga nak cari idea tentang apa yang nak ditulis. Apatah lagi blog ini ada link dengan sekolah. Kalau blog tiada link kemana-mana senang, hentam sajalah labu. Ni nak kena pertimbangkan juga apa yang releven dan apa yang tak. Maklumlah saya Penolong Kanan, kalau tak betul nanti orang kata PK tak betul. Susah juga tu.

Sebenarnya saya nak ceritakan sedikit tentang betapa beruntungnya kita berada di Malaysia. Ini kenyataan yang tulus ikhlas, bukan nak ampu sesiapa tetapi sekadar menerangkan yang fakta. Saya baru  terima sms dari seorang kawan di negara jiran. Begini bunyi smsnya " Assalamualaikum cikgu, Maaf la saya lambat reply. Baru keluar dari hospital dan dapat 4 bulan mc tanpa gaji. Biasalah kerja dengan kerajaan (sensor), kalau nama ada (b**) dan (b****) benefitnya kurang. Begitulah cerita tentang sms dari kawan saya En Rahim yang bekerja sebagai pemandu kereta bomba.

Baru-baru ini kereta bombanya kemalangan dan dia patah bahu. Dia cedera, masuk hospital dapat mc tapi tanpa gaji. Dia cerita lagi, bukan setakat tak dapat gaji tapi kena ganti puluhan ribu sebab bagi rosak kereta bomba. Inilah yang dikatakan, sudah jatuh ditimpa tangga dan pasu bunga pula kena kepala. Malang bertimpa-timpa. Yang saya nak sentuh satu saja, kalau perkara ini berlaku kepada pekerja swasta, bolehlah tahan.. Ini pekerja awam dari sebuah negara jiran. Kalau kerajaan Malaysia, kalau ada mc maknanya cuti bergaji . Kalau kena kanser misalnya, cuti sampai 2 tahun "full pay". Malah ada yang gila masih dapat terus bekerja dan diberikan gaji penuh.

Itulah yang membuat saya cukup marah apabila ada seorang kawan saya yang berkata

"Aku bencilah tengok anak-anak murid aku ni, "  lalu dengan cepat saya pintas,

"Yang hang pi bank ambil gaji setiap bulan hang tak pula benci"

Begitulah segelintir manusia yang tak bersyukur atas nikmat yang kita dapat. Jadi bersyukurlah kita boleh mencari rezeki di negara tercinta yang namanya Malaysia. Kalau di negara jiran, belum tentu kita boleh hidup selesa. Jadi jangan asyik don mengata kat  kerajaan kita. Yang tak betul kita tegur, yang betul kita akur dan banyak-banyaklah kita bersyukur.

ALHAMDULILLAH.

Jumaat, 1 Januari 2010

Skema



Inilah hippi, satu budaya yang entah datang dari mana yang memporak-perandakan dunia. Ketika itu saya masih ingat lagi ramai kawan-kawan pun nak ikut hippies ini. Seluar yang cantik mereka tebuk lubang, lelaki pakai subang, perempuan pula pakai seluar tapi amat ketat dan amat singkat, nak berjalan kenalah teringkat-ringkat. Itu dari segi pakaian, dari segi mandi pula mereka ini umpama kambing yang takut air. Dahlah pakaian berserabut, bau busuk dan hidup macam binatang.


Alhamdulillah kerana kerajaan telah proaktif dan menghalau keluar semua hippies dari Malaysia. Terima kasih Malaysia. Walaupun hippies dah tak ada, tapi budayanya masih ada di mana-mana. Ketika zaman saya dulu depa kata "rugged". Rugged kalau seluar carik, berlobang sini sana, baju yang tangan pendek sebelah, perempuan pula rugged kalau pakai kain banyak belah dan rambut mesti panjang bagi lelaki dan perempuan pula rambut amat pendek. Identiti lelaki dan perempuan dah bertukar. Haru biru jadinya. Alhamdulillah, budaya rugged pun mati begitu saja. Itulah kalau tidak ORI. Lama kelamaan akan mati tanpa disedari. Begitulah nasib benda-benda yang pelik.


Sekarang timbul pula istilah skema. Skema ini ialah "scheme" seperti skema pemarkahan. Maknanya ada peraturan-peraturan dalam pemarkahan yang mesti diikuti untuk pemberian markah. Saya pernah jadi ketua pasukan pemeriksaan Biologi. Nak buat skema bukan mudah. Kena bincang berhari-hari, kena fikir semua "possiblities", kena buat andaian tentang semua jawapan dan kemungkinan. Bertekak lagi antara kami, bila siap bawa balik ada lagi cikgu komplain. Itulah skema. Hidup pun ada skema iatu bagi orang Islam skema dah disiapkan , itulah Quran. Dalam negara ada skema iaitu undang-undang. Dalam sekolah pun ada undang-undang sebagai skema. Kena ikut, kena patuh kalau nak selamat dan cemerlang.


Untuk pelajar yang mengikut peraturan, yang rambut pendek, yang pakai pakaian kemas, yang tertib, depa kata skema. Tak seronok, kata depa kalau jadi skema. Depa mesti buat sesuatu supaya tak dianggap skema.. Mereka akan simpan rambut macam trojan, bubuh gel berbotol-botol nak bagi rambut tegak, baju bubuh diluar dan menggerebang, tali pinggang besar yang berkepala naga, bawa beg yang sangat kecil dan selalu membantah cakap guru. Inilah pelajar-pelajar yang kumpulan songsang ini anggap hebat. Hebat kerana tak skema. Bila tak skema, keputusan mereka pun tak skema. Orang lain dapat straight A's , depa dapat straight E's. Orang lain boleh pegang jawatan besar-besar, mereka merempat sampai ke tua. Sebabnya mereka tak mau skema. Lihat pula sijil berhenti sekolah pun kekadang tak skema juga. Orang lain kelakuan ditulis " sangat baik", "cemerlang" , mereka di tulis "sederhana". Kalau kelakuan sederhana, nak minta kerja apa pun tak dapat. Sebabnya mereka memilih untuk menjadi tidak baik, tidak skema, maka seluruh hidup mereka akan merana. Itulah sebahagian pilihan pelajar yang selalu ingin menjagi jaguh.


BIAR SKEMA JANGAN MERANA.