Jumaat, 15 Januari 2010

Prioriti.


Priority, itulah perkataan Bahasa inggeris yang di Bahasa Melayukan kepada prioriti. Prioriti maknanya keutamaan. DAlam kehidupan ini kita mesti ada perkara-perkara yang kita kena beri keutamaan samada paling utama, utama, kurang utama ataupun tak perlu. Contoh saya beri satu senarai begini: kereta, motosikal, alat bina badan, yuran anak dan rokok. Lain orang lain yang diutamakan. Ahli bina badan mestilah pilih alat bina badan sebagai yang paling utama. Perokok tegar mestilah pilih rokok walaupun yuran anak belum berbayar. Bagi yang inginkan keselesaan anaknya agar tidak dimarahi kerana lambat bayar yuran, tentulah memilih bayar yuran walaupun dia tak makan.

Itulah ayah dan ibu yang amat saya banggai. Ayah saya orang miskin, menoreh getah dan buat bendang. Tak banyak pendapatan. Kalau dapat sebulan seratus itu sudah cukup mewah. Tapi yang saya bangga ialah saya senitiasa bayar yuran terawal samada yuran sekolah ataupun yuran periksa. Yuran sekolah hanyalah RM7.50 sebulan . Dengarnya sedikit bagi masa sekarang , tetapi nak dapat banyak itu pada masa dahulu , kata orang jenuh mengerang. Dapat saja duit sebanyak itu, bapa terus berikan kepada saya. Dia tak akan minum kedai kopi, tak merokok ( merokok daun adalah ) dan tak akan beli ikan walaupun ikan dah habis. Memang saya jarang makan ikan pun pada waktu itu. Pendekata semuanya dibantutkan dan yang dipentingkan adalah yuran sekolah. Dia cukup takut kalau saya dibuang sekolah kerana tak mampu membayar yuran. Konsepnya mudah, biarlah dia hidup miskin asalkan anak-anak terbela pelajarannya dan terbela masa depannya. Alfatihah untukmu ayah dan ibuku yang sangat kurindu. Terasa syahdu bila mengingatkan pengorbananmu.


Berbeza dengan sesetengah orang sekarang. kalau pasal yuran ( atau bayaran tambahan ) amat liat nak bayar, tapi dirumah ada astro, ada hi fi, ada tv 32 inci LCD dan macam-macam lagi . Bila sebut yuran anak, dia mula buat nak serigai gigi. Anak takut cabut lari dan disekolah dimarahi kerana sampai lima bulan, yuran tak bayar lagi. Itulah sesetengah ibubapa yang masih belum sedar lagi. Pendapatan beribu-ribu sebulan, tapi bila disoal guru depa kata pendapatan tujuh ratus sebulan dan nakkan duit KWAPM. Tahun ini duit KWAPM pun tak ada dah. Ada yang bawa BMW pun dok mai ambil duit KWAPM. Malulah sikit aiihhh. Ketika anak saya di UTP, dia telefon saya mengatakan yang kawan-kawan dia anak orang kaya-kaya dapat duit zakat tapi dia tak dapat sebab saya bubuh pendapatan yang betul. Saya katakan depa bukan dapat duit zakat, tapi dapat duit tak berkat. Duit hasil menipu mana nak berkat?

Ketika di SMK Yan dahulu, saya dapat tawaran untuk memilih seorang palajar miskin sebab BSN nak bagi bantuan. Saya pun tanyalah kawan-kawan tentang sesiapa yang mereka fikirkan miskin. Dapatlah nama seorang pelajar perempuan yang dikatakan miskin. Depa kata dia miskin sebab baju pun sehelai saja, yuran tak bayar, duit sekolah jarang bawa dan pakaiannya pun comot. Maka saya bubuhlah nama dia sebagai penerima bantuan. Tiba hari bantuan nak diberikan, saya menjemput pelajar tersebut untuk dia tunjuk jalan kerumahnya. Saya dan wakil dari BSN pun pergilah. Terkejut saya dan hampir tak percaya kerana bila tiba dirumahnya, saya lihat peti sejuk 2 pintu ( saya baru pakai yang satu pintu ). tv 29 indi, ada pemain video dan ada hi fi yang berdentum dentam macam rumah orang kenduri. Tanpa bertanya lanjut, kami pun balik dan tak berikan bantuan tersebut.

Rupa-rupanya bapanya bukan miskin. Depa tak miskin tapi depa tak pentingkan pelajaran anak-anak. Depa lebih pentingkan hiburan daripada memberi pelajaran kepada anak-anak. Hasilnya apa saja yang berkaitan dengan pelajaran depa tak hiraukan. Siang malam bekerja hanya nak mencukupkan alat-alat hiburan dirumah. Hasilnya pelajaran anak-anak terabai dan nasib mereka tak terbela. Nasib baiklah ibu bapa ini bukan ibu bapa saya. Syukur. Itulah prioriti. Bila kita silap letakkan prioriti, maka anak-anak tak menjadi dan nasib tidak berubah walaupun berdekad lagi.

Kesimpulannya pandai-pandailah kita meletakkan prioriti agar yang penting diutamakan dan yang tak penting dibuang. Tapi yang paling tak penting ialah merokok. Bukan tak penting malah membahayakan. Berhentilah merokok tu. Tak ada guna langsung.

KENALI PRIORITI .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan