Sabtu, 23 Januari 2010

Insaf


Hari ini adalah hari saya menjadi benar-benar miskin. Balik dari sembahyang Jumaat tadi, isteri hantar sms suruh makan di luar sebab dia letih nak masak. Itulah pengorbanan isteri, dia tak akan sms itu kalau dia mampu memasak. Tapi hari ini banyak sangat kerja sekolah sampaikan dia tak mampu lagi nak memasak. Maka selepas sembahyang saya pun terus ke kedai makan untuk menjamu selera, nak makan yang hebat-hebat sebab lapar sangat. Saya pun singgahlah di Restoran Nasi Lemak Cinta Sayang. Turun saja kereta, terus menyerbu masuk ke restoran. Perut dah berbunyi kriut-kriut tanda hendakkan makanan, Lapar, sungguh lapar.

Nak makan mesti nak kena bayar, maka saya pun raba-raba poket baju, wah ada 4 ringgit sahaja. Nak makan apa dengan 4 ringgit tu?. Saya cari pula dalam kereta dapatlah lagi 2 ringgit. Adalah semuanya 6 ringgit. Berbekalkan 6 ringgit itulah saya masuk kekedai nak jamu selera. Zaman sekarang zaman payah, zaman semua harga barang naik menujah-nujah. Habis duit kena punggah untuk mencukupkan pembelian di mana-mana kedai kita singgah. Selepas saya masuk kekedai, saya pun ambillah nasi, panas lagi , sedap ooi. Tengok ikan bawal yang baru digoreng, air liur meleleh keluaR, tapi  tak berani nak ambil takut harganya mahal. Ambillah ikan temenung seekor, itupun temenung yang dah kiat sebab kecil dan nipis. Itulah yang padan dengan duit yang ada. Ambil sedikit sambal dan sedikit ulam serta kuah gulai .

Tiba pula giliran memesan minuman. Kalau kebiasaannya saya akan order "fresh orange" yang harganya 2 ringgit atau paling koman pun teh O  ais tetapi hari itu semuanya kena dilupakan sementara. Lupakan keenakan "fresh orange" dan lupakan juga kesedapan teh O ais penghilang dahaga. Apa yang saya mampu? Hanyalah segelas ais kosong yang harganya 20 sen. Itulah makanan saya pada hari itu. Makanan yang agak luar biasa bagi saya tetapi sudah merupakan sesuatu yang mewah bagi si miskin. Barulah saya terasa hakikat kesusahan apabila duit sudah tiada. Barulah saya rasa keperitan apabila nak memilih makanan kena berfikir sekali dua. Inilah masanya kita menginsafi diri.

Kekadang saya rasakan eloklah juga orang kita yang kaya raya merasai apa yang saya rasa.. Biar mereka sedikit berfikir tentang keperitan si miskin. barulah timbul keinsafan supaya mereka kuranglah bermewah-mewahan. Kuranglah mereka membeli beg tangan yang harganya puluhan ribu. Kekadang saya terfikir, beg tangan yang berharga puluhan ribu itu diperbuat daripada apa? mungkin kulit buaya tunggal bertatahkan zamrud dan berlian?. Kalau bawa beg itu tentulah dengan penuh kesombongan dan keriakan. Pujian pun dapat , dosa pun dapat. Berbelanja besar hanyalah untuk mendapatkan dosa. Nauzubillah.

Jadi wahai sikaya termasuk saya ( bukan dalam golongan kaya ) , yang hidup senang linang, yang tak pernah terfikir tentang kesusahan, yang mengkayakan konglomerat yang memang dah kaya, marilah kita berfikir sejenak, marilah kita merenung kebawah melihat rerumput yang hijau, melihat simiskin yang  berkeliaran di atasnya, mencari rezeki dalam kepayahan hanya untuk menyara sebuah kehidupan. Insaflah sikaya, anda semua tidak akan kaya kecuali dengan adanya si miskin yang melata. Itulah hakikat yang kita semua kena renungkan, hakikat yang kita kena tenungkan.

BUDI BAHASA BIAR KAYA

1 ulasan:

  1. nice topic sir and i really like this
    the rich one should take note of this post

    BalasPadam