Ketika malam yang sehening ini, terasa ingin saya coretkan sedikit pengalaman buat panduan, buat renungan, jadikan teladan dan yang penting biarlah timbul keinsafan. Malam ini saya akan coretkan sedikit pengalaman berkenaan makanan paling berkhasiat, itulah telur. Bukan telur ikan, telur burung atau telur buaya, tetapi telur ayam. Bukan telur ayam saja yang boleh dimakan, macam-macam telur kita boleh makan termasuklah telur penyu dan telur belangkas tetapi malam ini saya nak coretkan khas berkenaan dengan telur ayam. Telur ayam merupakan satu daripada makanan penting yang mesti ada, tak boleh tiada melainkan ada. Saya pun hairan kenapa anak-anak saya semuanya sukakan telur. Pendekata kalau ada telur goreng sudah cukup untuk seisi keluarga.
Ketika saya masih dibangku sekolah, keluarga saya miskin dan tak mampu nak bagi duit sekolah. Saya bawa 20 sen sehari kesekolah, itu pun tak makan kerana buat kutu untuk beli buku rujukan. Pergi ke sekolah pula naik basikal. Pendekata 20 sen itulah duit tunai yang ada tapi itu pun bukan untuk beli makanan. Dengan sebab itulah maka saya bawa bekal kesekolah. Waktu itu kalau orang tanya dimana kantin, saya tak tau sebab tak pernah pergi kantin. Waktu itu dibenarkan kami makan dekat padang, dibawah rimbunan pohon-pohon menghijau. Mungkin pada waktu itu kami tau dimana adanya tong sampah untuk kami buang sampah. Tak macam pelajar sekarang, kekadang bapanya bawa BMW tapi anaknya tong sampah pun tak tau nak pakai. Bukan semua tapi segelintir yang bertelinga badak.
Saya tekankan kami, maknanya pada waktu itu ramai yang bawa bekal dari rumah. Untung bawa bekal sebab duit boleh simpan dan tak payah berebut-rebut untuk beli makanan. Itu pun nasib baik sebab kekadang terkena pula keracunan makanan. Lagilah teruk. Jadi setiap kali rehat, kami akan berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama-sama dan berkongsi lauk. Saya macam biasalah, telur goreng "special " sebab guna telur ayam kampung. Sebab telur ayam kampung sajalah yang tak payah dibeli. Kawan saya seorang lagi tu hari-hari bawa udang. Dia anak ketua kampung, kayalah sikit. Mampulah beli udang. Setiap hari kami bertukar lauk, dia makan telur , saya makan udang. Itu adalah rutin sampailah kami tamat mengambil peperiksaan MCE.
Kenapa saya kena telur saja? Sebabnya telur mudah dimasak dan hanya telurlah yang ada dirumah. Telur juga tak menjemukan, tapi kalau hari-hari dok kena yang tu saja, naik kembang juga pipi. Tapi itulah realiti kehidupan. Kita hidup dalam kesempitan, tapi dalam pelajaran kami mampu memberi saingan. Kami dalam kemiskinan, tapi kami kaya ilmu pengetahuan. Malah di antara kami yang berkongsi makanan dan merupakan semuanya anak-anak si miskin, tetapi kesemua kami berjaya dalam pelajaran. Sayalah rasanya yang paling koman ( dari segi pendapatan ) sebab jadi cikgu walaupun keputusan saya yang terbaik. Ramai diantara yang lain jadi akauntan malah ada seorang yang dah buka syarikat kewangan. Itulah realiti kehidupan. Berjaya dalam pelajaran belum tentu berjaya dalam mengumpul kekayaan. Tapi saya bersyukur sekurang-kurangnya setiap wang yang saya cari adalah yang halal. Insya Allah.
Mungkin sebab saya selalu dok pekena telur, maka makanan telur dah jadi genetik, dah jadi turun temurun sampaikan anak-anak saya semua sukakan telur. Maka dari segi makanan , tidaklah begitu sukar kerana telur sekarang tidaklah begitu mahal. Walaupun kami makan telur, tapi markah peperiksaan taklah pulak dapat telur. Yang jadi sekarang ni makan sedap-sedap, burger, kentucky, ikan bawal, tapi bila periksa dapat telur. Yang tu telur yang patut kita hindarkan. Demikianlah serba sedikit coretan dari masa silam.
MARKAH JANGAN TELUR.
awesome!
BalasPadam