Hari ini kira-kira 40,000 orang pelajar lepasan STPM dan matrikulasi telah berjaya menempatkan diri di IPTA yang bertaburan di seluruh Malaysia. Inilah waktu-waktu yang genting dan yang amat penting untuk lepasan sekolah dan pusat-pusat matrikulasi ini. Genting dan penting kerana ini akan menentukan halatuju mereka seterusnya dalam menimba ilmu disamping menentukan profesion yang akan mereka pegang satu hari nanti. Pendekata hari ini menentukan nasib mereka untuk tahun-tahun yang akan datang.
Teringat pada waktu-waktu begini ketika saya tamat daripada alam persekolahan dulu. Orang kampung seperti saya tak ada banyak maklumat untuk pemilihan kursus di IPTA. Saya masih teringat lagi ketika saya ditawarkan ke UPM untuk Diploma Pendidikan. Ini kerana saya masuk universiti selepas MCE. Saya bukan main seronok, tak kiralah kursus apa yang dapat asalkan namanya universiti. Hebat wehhh.. orang kampung waktu tu boleh masuk universiti. Dah ada orang kampung yang bagi tau arwah mak saya, begini bunyi dialognya.
" Rumah hang ni kena bagi tinggi sikit Nab oooi '
" Sebab apa?, " tanya mak saya.
" Hai, anak dah masuk universiti tentulah kena tinggikan rumah sebab nanti boleh bawak masuk kereta dibawah rumah"
Kesitu pulak. Maklumlah ketika tu yang boleh pakai kereta hanyalah yang ada jawatan tetap yang agak tinggi. Sekarang ni mat rempit pun boleh pakai kereta. Kereta dah jadi macam satu benda yang bukan lagi jenama pada satu kejayaan.
Tapi bila anak saya pula dapat tawaran ke IPTA, saya sebagai bapanya sudah pandai menilai apakah jenis kursus yang akan dihadapi. Apakah pula jaminan pekerjaan yang ada. Ini kerana saya yang sedikit berkemampuan untuk berfikir berbanding keluarga saya dulu. Anak pertama saya dulu dapat tawaran Diploma Elektrik Perhubungan ke UTM selepas SPM. Nama kursusnya agak kabur-kabur maka saya suruh anak saya masuk ke UNITEN untuk kursus Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Alhamdulillah, sekarang sudah pun berjaya menjadi seorang jurutera.
Oleh itu, para pelajar janganlah hendaknya terus menerima sebarang kursus yang ditawarkan. Kekadang kursus yang entah apa-apa yang tak tahu hala tuju dan tak tahu pula jenis pekerjaan yang berkaitan dengannya. Anda semua perlulah bijak membuat perhitungan, membuat kajian dan kalau boleh membuat "feasiblity study " tentang kursus yang ditawarkan sebelum menerima kursus tersebut.
Anak kawan saya dulu dapat kursus Ijazah Pengurusan Pelancongan di UITM. Sedangkan dia merupakan pelajar yang bijak. Kimia dan Biologi dapat B semasa STPM. Dia berminat untuk jadi doktor, tapi yang ditawarkan entah kursus apa-apa yang tiada kaitan langsung dengan subjek yang dia pelajari. Bapanya hiba, dan marah membara sehinggakan saya tak berani nak bertanya tentang kursus anaknya. Akhirnya dia ambil keputusan nekad dan memasukkan anaknya ke AIMS di Merbok dalam bidang kedoktoran. Bayarannya mahal sedikit tapi sekarang anaknya sudah menjadi doktor. Satu profesion yang anaknya suka, dia pun suka. Semua bergembira, semua ketawa walaupun kena keluarkan lebih sedikit belanja.
Inilah yang perlu diambil kira. Jangan terima semberono. Ini menentukan masa depan anda semua. Terima tawaran, fikir-fikirkan kesesuaian, fikir-fikirkan pasaran pekerjaan dan banyak-banyak fikir tentang masa depan.
KEPUTUSAN BIJAK HATI TAK SEBAK.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan