Selasa, 30 Jun 2009

Semarkah cuma.


Pada hari Ahad lepas, datanglah seorang ibu yang sedih, hatinya lara, anaknya hiba dan saya sendiri terasa sedikit tidak selesa. Ceritanya tentang markah saja. Ini kisah guru tersilap pindah markah ataupun guru tersilap masukkkan markah. Mana yang silap tak tau, tapi yang pasti guru tersilap dimana-mana menyebabkan markah yang dimasukkan kurang daripada markah yang sebenaranya.

Cerita ibu ini lagi, anaknya sekarang di Tingkatan 2. Waktu peperiksaan hujung tahun 2008, anaknya dapat 95 markah untuk Matematik tetapi cikgu kelas masukkan cuma 65 markah. Jauh lari tu, 30 markah. Daripada anaknya patut dapat A dah jadi C. Tu yang mak dia terasa amat kecewa. Maknya dah pun datang pada bukan Januari dulu untuk komplen tentang perkara ini tapi katanya tak diambil peduli. Markah tak bertukar. Tiba datang Hari Anugerah Cemerlang yang akan diadakan pada 2 Julai nanti, anaknya tak dapat menerima hadiah. Hadiahnya cuma sekeping skrol tetapi amat penting bagi pelajar SMKI sebab mereka nak gunakan itu untuk pi oversea. Mereka punya tujuan bukan untuk melanjutkan pelajaran dalam negeri, tetapi luar negara. Teringat saya kepada seorang pelajar yang menolak tawaran JPA untuk ijazah kedoktoran di UM hanya kerana nak melanjutkan bidang kedoktoran diluar ngara. Apalah hebatnya sangat luar negara tu saya pun tak tau.

Saya pun segera ambil tindakan dan mengarahkan guru tingkatan betulkan segera. Nasib baik anaknya beralih tempat dari tempat kelima hanya ke tempat keempat. Maka anaknya tetap tak dapat hadiah di HAC kerana di HAC, hanya tempat pertama hingga ketiga sahaja yang mendapat hadiah. Bayangkan betapa susahnya kalau anaknya dapat tempat ketiga dan dapat hadiah. Kena batalkan yang lama, kena hantar surat buat penerangan kenapa yang nombor 3 kena kenombor empat, kenapa mula-mula dapat hadiah tapi sekarang kena tolak. Tu belum kira kena saman lagi. Kalau emak dia saman sah pihak sekolah kena kerana kecuaian yang nyata. Maknya siap bawa kertas jawapan yang ditanda. Bukti cukup kukuh. Itulah kecuaian yang impaknya besar.

Perkara ini terjadi kepada anak saya yang pertama ketika menuntut di salah sebuah sekolah berasrama penuh dulu ketika Tingkatan 2. Waktu tingkatan 1, anak saya dapat nombor 4 dalam kelas. Tak dapat hadiahlah sebab hadiah cuma untuk tempat pertama hingga ketiga. Maka berkatalah anak saya : ( saya masih ingat lagi kata-katanya ),

"Ayah, akak nak belajar lebih kuat sebab tahun depan akak nak dapatkan nombor satu hingga tiga sebab dapat naik pentas terima hadiah"

Maka di tingkatan dua memang nampak sungguh kesungguhannya untuk belajar. Kalau dulu setiap hujung minggu dia akan fon saya untuk bawakan makanan dan sebagainya tetapi semenjak tekadnya berubah, dia tak mahu lagi kami melawatnya. Dia nak belajar katanya.

Akhirnya bila peperiksaan akhir tahun dia dapat markah Matematik 98 tetapi guru tingkatannya masukkan jumlah 78. 20 markah lari. Dia dapat nombor 4 sedangkan sepatutnya dia dapat nombor 2. Dia menangis dan telefon saya. Saya pun berjumpa dengan guru tingkatannya. Saya terangkan dengan baik, tetapi jawapan amat mengecewakan. Dia kata tak boleh ubah sebab markah dah masuk komputer. Saya kata takpalah , kalau dia tak mau ubah biar saya yang ubah sebab saya pun komputer tahu banyak juga. Dia marah. Bukan setakat saya yang dia marah, dia hebohkan dikelasnya tentang "keburukan" anak saya. Dia kata macam-macam sehingga anak saya tak mau dok asrama dan tak mau kesekolah. Dia malu.

Saya rasa terhina. Maka saya pun berjumpa dengan PK dan saya terangkan duduk perkara. Dia pun setuju. Malah katanya kalau anak dia pun dia akan lakukan perkara yang sama. Satu markah pun baginya tetap markah dan tetap penting. Saya jumpa pula PK HEM dan minta dia cetak markah demerit anak saya. Ternyata tiada cacat celanya. Markah 100 lengkap.

Tetapi guru tingkatanhnya tetap tak mau pinda markah tersebut. Tapi kalau rasanya saya PK sekolah tersebut, saya yang akan pinda sendiri. Tapi mungkin PK tu tak berapa tau komputer, maka dia tak berbuat apa-apa. Akhirnya anak saya dah fed up dan tak mau lagi bersekolah di sekolah tersebut . Saya pindahkan anak saya ke SMK Che Tom dan Alhamdulillah dia dapat 8A dalam PMR. Dia nak jumpa cikgunya dan nak tunjuk slip peperiksaan tersebut, saya larang kerana dikhuatiri akan menambahkan lagi keruhnya suasana.

Oleh itu para pentadbir dan guru, janganlah kerana satu markah kita dianggap tidak cekap. Berhati-hatilah dengan markah walaupun satu.

SEMARKAH PUNCA TELINGKAH.






















Sabtu, 20 Jun 2009

Children of heaven


Dihari-hari cuti begini, adalah sedikit kelapangan untuk menonton video bersama keluarga. Ada banyak koleksi video yang sesuai untuk tontonan sekeluarga berada dalam simpanan saya. Antaranya Gandhi, A Beautiful Mind, Shawshank's Redemption, Escape From Alcatraz, Lion of the Dessert, Slumpdog Millionaire , The Kite Runner dan yang saya tonton semalam ialah Chidren of Heaven. Cerita ini bukannya berasal dari Barat tetapi dari Timur Tengah iaitu dari negara Iran. Negara yang dicopkan pengganas kononnya oleh Amerika. Pengganas kalau tak ikut cakap depa.

Plot ceritanya amat mudah. Cerita tentang berkongsi kasut. Itu saja ceritanya. Walaupun plotnya hanyalah berkongsi kasut dan ceritanya berkitar kepada sepasang kasut, tapi jalan cerita diolah dengan begitu baik dan amat mengesankan. Sehinggakan seuruh keluarga saya menitiskan air mata. Itu baru filem yang hebat. Filem yang boleh dijiwai bukan saja oleh pelakon tetapi penonton pun terikut-ikut sama menjiwai watak-watak tersebut.

Cerita bermula dengan si abang yang terhilang kasut adiknya ketika membaiki kasut tersebut. Disebabkan kasut adiknya telah hilang, maka abangnya yang akan meminjamkan kasut kepada adiknya. Nak bagi tau kepada bapanya takut sebab bapanya garang. Kalau bagi tau kepada bapanya pun tak guna juga sebab bapanya miskin dan tak mampu nak membelikan sepasang kasut lagi. Adiknya perempuan, dia lelaki . Bayangkan budak perempuan pakai kasut lelaki. tentu tak sesuai kan tapi itu sajalah yang ada. sesuai ke tak sesuai ke itu belakang kira. Yang penting kasut ada untuk kesekolah.

Maka setiap hari adiknya akan berlari balik kerumah dengan cepat untuk memberikan kasut tersebut kepada abangnya yang bersekolah pada sessi petang. Abangnya pula terpaksa berlari begitu laju untuk sampai kesekolah sebelum terlambat. Itu pun hampir setiap hari terlambat dan dimarahi oleh Pengetua dan Guru Disiplin. Dalam kesusahan berlari itulah dia belajar, dengan penuh kekurangan , berpelitakan minyak tanah dan dia merupakan pelajar terbaik disekolahnya. Hebat, inilah contoh si miskin yang ada visi yang jelas, yang mahu mengubah taraf hidup keluarganya. Adakah orang begini? Ada, tapi tak ramai.

Akibat selalu berlari, maka si abang menjadi pelari yang cukup pantas. Sehinggalah pada suatu hari ada diiklankan tentang pertandingan lari dalam daerah tersebut. Tempat pertama hadiahnya bercuti ketempat peranginan, hadiah kedua ialah sebuah televisyen dan hadiah ketiga ialah sepasang kasut. Maka abangnya pun berceritalah kepada adiknya tentang kasut yang akan dimilikinya nanti dengan memasuki pertandingan tersebut. Lalu adiknya bertanya,

" Bagaimana abang boleh tentukan untuk mendapat sepasang kasut ? "

" Abang akan berusaha agar mendapat tempat ketiga" jawab abangbnya selamba

Tiba hari pertandingan, rupa-rupanya nak menentukan tempat ketiga amat sukar sekali sebab pelajar berlari berasak-asak dalam jarak yang amat dekat. Akhirnya si abang ini memecut dan menjadi johan. Ketika dianugerahkan trofi, semua orang kampung bergembira kecuali dirinya sendiri yang menangis sebab tak dapat tempat ketiga dan tak dapatlah kasut. Terpaksalah dia terus berlari untuk kesekolah dan adiknya pun terpaksalah terus berkejar kerumah untuk memberikan kasut kepada abangnya..

Kalau ada masa, tengoklah cerita ini untuk menginsafkan kita bahawa kita sebenarnya cukup mewah.

SEPASANG KASUT KEMERCU.


Jumaat, 19 Jun 2009

IPTA menggamit lagi


Hari ini kira-kira 40,000 orang pelajar lepasan STPM dan matrikulasi telah berjaya menempatkan diri di IPTA yang bertaburan di seluruh Malaysia. Inilah waktu-waktu yang genting dan yang amat penting untuk lepasan sekolah dan pusat-pusat matrikulasi ini. Genting dan penting kerana ini akan menentukan halatuju mereka seterusnya dalam menimba ilmu disamping menentukan profesion yang akan mereka pegang satu hari nanti. Pendekata hari ini menentukan nasib mereka untuk tahun-tahun yang akan datang.

Teringat pada waktu-waktu begini ketika saya tamat daripada alam persekolahan dulu. Orang kampung seperti saya tak ada banyak maklumat untuk pemilihan kursus di IPTA. Saya masih teringat lagi ketika saya ditawarkan ke UPM untuk Diploma Pendidikan. Ini kerana saya masuk universiti selepas MCE. Saya bukan main seronok, tak kiralah kursus apa yang dapat asalkan namanya universiti. Hebat wehhh.. orang kampung waktu tu boleh masuk universiti. Dah ada orang kampung yang bagi tau arwah mak saya, begini bunyi dialognya.

" Rumah hang ni kena bagi tinggi sikit Nab oooi '

" Sebab apa?, " tanya mak saya.

" Hai, anak dah masuk universiti tentulah kena tinggikan rumah sebab nanti boleh bawak masuk kereta dibawah rumah"

Kesitu pulak. Maklumlah ketika tu yang boleh pakai kereta hanyalah yang ada jawatan tetap yang agak tinggi. Sekarang ni mat rempit pun boleh pakai kereta. Kereta dah jadi macam satu benda yang bukan lagi jenama pada satu kejayaan.

Tapi bila anak saya pula dapat tawaran ke IPTA, saya sebagai bapanya sudah pandai menilai apakah jenis kursus yang akan dihadapi. Apakah pula jaminan pekerjaan yang ada. Ini kerana saya yang sedikit berkemampuan untuk berfikir berbanding keluarga saya dulu. Anak pertama saya dulu dapat tawaran Diploma Elektrik Perhubungan ke UTM selepas SPM. Nama kursusnya agak kabur-kabur maka saya suruh anak saya masuk ke UNITEN untuk kursus Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Alhamdulillah, sekarang sudah pun berjaya menjadi seorang jurutera.

Oleh itu, para pelajar janganlah hendaknya terus menerima sebarang kursus yang ditawarkan. Kekadang kursus yang entah apa-apa yang tak tahu hala tuju dan tak tahu pula jenis pekerjaan yang berkaitan dengannya. Anda semua perlulah bijak membuat perhitungan, membuat kajian dan kalau boleh membuat "feasiblity study " tentang kursus yang ditawarkan sebelum menerima kursus tersebut.

Anak kawan saya dulu dapat kursus Ijazah Pengurusan Pelancongan di UITM. Sedangkan dia merupakan pelajar yang bijak. Kimia dan Biologi dapat B semasa STPM. Dia berminat untuk jadi doktor, tapi yang ditawarkan entah kursus apa-apa yang tiada kaitan langsung dengan subjek yang dia pelajari. Bapanya hiba, dan marah membara sehinggakan saya tak berani nak bertanya tentang kursus anaknya. Akhirnya dia ambil keputusan nekad dan memasukkan anaknya ke AIMS di Merbok dalam bidang kedoktoran. Bayarannya mahal sedikit tapi sekarang anaknya sudah menjadi doktor. Satu profesion yang anaknya suka, dia pun suka. Semua bergembira, semua ketawa walaupun kena keluarkan lebih sedikit belanja.

Inilah yang perlu diambil kira. Jangan terima semberono. Ini menentukan masa depan anda semua. Terima tawaran, fikir-fikirkan kesesuaian, fikir-fikirkan pasaran pekerjaan dan banyak-banyak fikir tentang masa depan.

KEPUTUSAN BIJAK HATI TAK SEBAK.

Khamis, 18 Jun 2009

Telur





Ketika malam yang sehening ini, terasa ingin saya coretkan sedikit pengalaman buat panduan, buat renungan, jadikan teladan dan yang penting biarlah timbul keinsafan. Malam ini saya akan coretkan sedikit pengalaman berkenaan makanan paling berkhasiat, itulah telur. Bukan telur ikan, telur burung atau telur buaya, tetapi telur ayam. Bukan telur ayam saja yang boleh dimakan, macam-macam telur kita boleh makan termasuklah telur penyu dan telur belangkas tetapi malam ini saya nak coretkan khas berkenaan dengan telur ayam. Telur ayam merupakan satu daripada makanan penting yang mesti ada, tak boleh tiada melainkan ada. Saya pun hairan kenapa anak-anak saya semuanya sukakan telur. Pendekata kalau ada telur goreng sudah cukup untuk seisi keluarga.

Ketika saya masih dibangku sekolah, keluarga saya miskin dan tak mampu nak bagi duit sekolah. Saya bawa 20 sen sehari kesekolah, itu pun tak makan kerana buat kutu untuk beli buku rujukan. Pergi ke sekolah pula naik basikal. Pendekata 20 sen itulah duit tunai yang ada tapi itu pun bukan untuk beli makanan. Dengan sebab itulah maka saya bawa bekal kesekolah. Waktu itu kalau orang tanya dimana kantin, saya tak tau sebab tak pernah pergi kantin. Waktu itu dibenarkan kami makan dekat padang, dibawah rimbunan pohon-pohon menghijau. Mungkin pada waktu itu kami tau dimana adanya tong sampah untuk kami buang sampah. Tak macam pelajar sekarang, kekadang bapanya bawa BMW tapi anaknya tong sampah pun tak tau nak pakai. Bukan semua tapi segelintir yang bertelinga badak.

Saya tekankan kami, maknanya pada waktu itu ramai yang bawa bekal dari rumah. Untung bawa bekal sebab duit boleh simpan dan tak payah berebut-rebut untuk beli makanan. Itu pun nasib baik sebab kekadang terkena pula keracunan makanan. Lagilah teruk. Jadi setiap kali rehat, kami akan berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama-sama dan berkongsi lauk. Saya macam biasalah, telur goreng "special " sebab guna telur ayam kampung. Sebab telur ayam kampung sajalah yang tak payah dibeli. Kawan saya seorang lagi tu hari-hari bawa udang. Dia anak ketua kampung, kayalah sikit. Mampulah beli udang. Setiap hari kami bertukar lauk, dia makan telur , saya makan udang. Itu adalah rutin sampailah kami tamat mengambil peperiksaan MCE.

Kenapa saya kena telur saja? Sebabnya telur mudah dimasak dan hanya telurlah yang ada dirumah. Telur juga tak menjemukan, tapi kalau hari-hari dok kena yang tu saja, naik kembang juga pipi. Tapi itulah realiti kehidupan. Kita hidup dalam kesempitan, tapi dalam pelajaran kami mampu memberi saingan. Kami dalam kemiskinan, tapi kami kaya ilmu pengetahuan. Malah di antara kami yang berkongsi makanan dan merupakan semuanya anak-anak si miskin, tetapi kesemua kami berjaya dalam pelajaran. Sayalah rasanya yang paling koman ( dari segi pendapatan ) sebab jadi cikgu walaupun keputusan saya yang terbaik. Ramai diantara yang lain jadi akauntan malah ada seorang yang dah buka syarikat kewangan. Itulah realiti kehidupan. Berjaya dalam pelajaran belum tentu berjaya dalam mengumpul kekayaan. Tapi saya bersyukur sekurang-kurangnya setiap wang yang saya cari adalah yang halal. Insya Allah.

Mungkin sebab saya selalu dok pekena telur, maka makanan telur dah jadi genetik, dah jadi turun temurun sampaikan anak-anak saya semua sukakan telur. Maka dari segi makanan , tidaklah begitu sukar kerana telur sekarang tidaklah begitu mahal. Walaupun kami makan telur, tapi markah peperiksaan taklah pulak dapat telur. Yang jadi sekarang ni makan sedap-sedap, burger, kentucky, ikan bawal, tapi bila periksa dapat telur. Yang tu telur yang patut kita hindarkan. Demikianlah serba sedikit coretan dari masa silam.

MARKAH JANGAN TELUR.
























Ahad, 14 Jun 2009

Kelemahannya apa?


Ini cerita daripada anak saya yang kerja dengan RNZ Integrated, sebuah syarikat yang menjadi perunding dalam pembinaan pelantar minyak. Syarikat ini dipecahkan kepada beberapa bahagian. Ada bahagian planning, ada bahagian IT, dan banyak lagilah yang saya pun tak tau sebut. Anak saya kerja bahagian instrumen. Iaitu bahagian yang menentukan apakah peralatan yang perlu digunakan dalam pembinaan pelantar minyak tersebut. Dibahagian ini banyaklah vendor yang datang nak jual macam-macam peralatan untuk kegunaan di pelantar minyak. Setiap vendor dah sediakan macam-macam "resume" untuk menaikkan jenama masing-masing. Macam-macam kebaikan diterangkan agar syarikat membeli barangan tersebut.

Tapi ada sesuatu yang pelik di bahagian instrumen ini. Pengurus bahagian instrumen ini ( En Azizi ) selalu tanya soalan yang vendor tak mau dengar dan vendor tak tau nak jawab. Apa soalannya? Begini soalannya,

" I have already know the advantages, but what i want to know is what are the disadvantages of your product ? "

Pening kepala vendor. Dia dilatih untuk terangkan kebaikan dan dia sendiri mungkin tak tau apa keburukan barangan yang hendak dijualnya. Kalau dia tau pun takkan dia nak bagi tau. Kalau orang tau mungkin barangannya tak laku pula. Tapi itulah "kelebihan " pengurus tersebut yang menyebabkan ramai vendor tak mau jumpa dia. Vendor yang berani jumpa dia ialah vendor yang betul-betul buat homework yang bukan saja boleh terangkan kebaikan tapi pada masa yang sama boleh terangkan keburukan produk yang hendak dijual. Hebat pengurus tu.

Rasanya tabiat ini perlu kita ambil bila nak beli barang. Nak beli kereta contohnya, pernahkah kita tanya penjual kereta tu tentang kelemahannya? Disebabkan kita tak tahu kelemahan sesebuah kereta yang kita beli, maka kita sering terperangkap dengan kerosakan yang tidak dijangka. Kawan saya pernah kena sekali ketika baru saja membeli kereta Waja. Ada ke patut, sedang laju dilebuhraya, tiba-tiba enjin kereta mati dan semua lampu padam . Bayangkan ditengah malam gelita, enjin terhenti dan semua lampu padam ditengah-tengah lebuhraya. Kalaulah yang dibelakangnya treler, rasanya dah jadi arwah kawan saya tu. Nasib baik perkara tersebut terjadi sewaktu keretanya berada di lorong paling kiri. Lorong kereta agak perlahan dan mudah untuk masuk ke lorong kecemasan. Lalu dia pun teringat kawannya yang juga baru pakai Waja. Dia pun telefon, maka kawannya pun berkata,

" Hang raba-raba bawah seat dan kerosek sikit, lampu akan menyala semula dan enjin boleh dihidupkan semula "

Betul seperti apa yang dikata, rupanya wayar yang menyambungkan enjin kepada bateri berada dibawah tempat duduk dan selalunya longgar. Masalah selesai. Tapi bagi edisi seterusnya, perkara tersebut tak berlaku lagi. Sebab tu kalau nak beli kereta jangan dok tergila-gila waktu kereta tu baru dikeluarkan. Tunggu sekejap, sabar dulu, tengok orang pakai dulu, analisa masalah, baru beli. InsyaAllah selamat.

Oleh itu kalau nak beli apa pun tanya kelemahan dulu. Dah terang semuanya baru beli.

KENALI KELEMAHAN ITULAH KEKUATAN.




Sabtu, 13 Jun 2009

Cuti ke mimpi?


Dah lama tak updatekan blog. Hari ini adalah sedikit kelapangan untuk updatekan blog. Berblog ni seronok sebab dapat curahkan perasaan dalam bentuk tulisan. Manalah tau, bila dah mati nanti bolehlah anak cucu menatap coretan arwah ayahnya ataupun atuknya semasa hidup. Nak tulis buku takdak pengetahuan. Maka berblog sajalah harapan untuk membuat sedikit sebanyak teguran. Bukan amaran.

Hari ni Sabtu , 13 Jun 2009. hari terakhir cuti bagi pertengahan tahun yang bermula sejak akhir bulan Mei lagi. Dua mingggu, satu masa yang lama kalau kita boleh betul-betul bercuti. Tapi bagi saya, cuti ke tak cuti serupa saja. Hari-hari kena kesekolah untuk habiskan kerja. Tambahan pula sekarang Pengetua tengah sibuk, maka sayalah yang kena selesaikan kerja-kerja pejabat. Tapi saya seronok ke sekolah tak kira siang ataupun malam. Memang SMKI tempat yang paling saya seronok bekerja setakat ini. Kalau malam-malam datang ke pejabat, terasa kesunyian yang sungguh syahdu, terasa buaian angin mandayu, cuma takut sikit kalau di atas saya berbunyi benda-benda yang haru biru. Sebab atas pejabat saya ni muzium, nasib baik Pengetua kata dia walaupun balik lewat, tak pula pernah diganggu. Alhamdulillah. Kalau tak haru.

Cuti ini saya tak kemana-mana. Anak dok gaduh sebab tak pi kemana untuk bercuti. Saya jawab balik,

" Ayah dulu waktu cuti nilah pi motong getah, kutip duit untuk bayar yuran peperiksaan "

Mereka pun senyap. Melihat mereka senyap, terasa hati ini pilu dan terasa kekadang kita nak samakan zaman anak-anak dengan zaman kita. Tentu berbeza. Kita makan lempeng pisang, mereka makan pizza. Walaupun kita makan garam dahulu, tapi garam kita tiada kualiti. Kita kekadang kena ikut jugalah saranan anak-anak. Kesiankan mereka, saya bawalah mereka bercuti ke Penang dua hari. Duduk hotel dan bolehlah mereka berenang. Sebab dirumah tiada kolam renang. Itu sajalah yang mereka nak, berenang dalam air yang penuh klorin.

Disebabkan begitu banyak kerja yang perlu dibereskan, saya rasa cuti ni macam mimpi. Terlalu cepat berlalu. Bagus juga sebab tak terasa jemu. Kalau cuti lama sangat pun jemu aihh. Nak main golf tak reti, nak sembang kedai kopi tak reti, yang ada pun duduk dirumah sambil melayari internet untuk cari idea-idea bernas untuk kepentingan pelajar dan diri sendiri. Sebab tu saya sain pencen sampai umur 58. Kalau kerajaan kata 68 baru pencen, pun saya akan sain sampai 68. Kalau boleh biar mati sebelum pencen. Sebab kalau pencen saya nak buat apa? Takkan hari-hari nak baca akhbar? Tak kan hari-hari nak melengung. Orang kata boleh pi dengar mengaji. Sekarang pun saya boleh dengar mengaji. Tak ganggu sikit pun. Kerja dan mengaji boleh dibuat serentak Cuma letih sikitlah waktu kerja begini. Nak buat ibadat pun takdak masalah. Jadi kalau kata nak pencen baru nak pi mengaji, nak pencen baru nak pi haji, itu kenyataan yang amat tak betul. Ibadat dan kerja harus serentak . Malah kerja itu adalah ibadat jika niatnya betul. Alangkah baiknya, bekerja sambil beribadat. Duit dapat, pahala pun dapat. Alhamdulillah.

KERJA = IBADAT

Ahad, 7 Jun 2009

10%


Hari ni nak cerita sikit tentang 10 %. Ini bukan cerita 3 Abdul yang mana Ahmad Nisfu jadi pak mentua pembelit. Dia belit habis anak Sidek Sigaraga , habis jadi papa kedana kerana mendapat buah fikiran daripada Salleh Kamil yang dok harap 25%. Nasib baik ada P Ramlee yang selamatkan keadaan. Itu cerita lama yang masih diulang tayang entah keberapa ratus kali. Tapi masih lagi popular dan penuh dengan pengajaran. Memang hebat arwah P Ramlee.

Tapi yang saya nak cerita hari ini ialah 10% markah kokurikulum yang diperuntukkan untuk setiap pelajar yang amat bermakna ketika nak melanjutkan pelajaran ke IPTA. Cukup penting 10% tu kerana kalau harapkan akademik saja belum tentu dapat masuk IPTA. Maklumlah yang dapat 10 1A macam durian dimusim sedang jenuh. Berlambak, kata orang Utara. Jadi nak membezakan antara yang pandai-pandai tadi tentulah markah 10% kokurikulum tu. Kalau pandai baca buku saja, tak guna juga. Ada yang pandai tapi kalau disuruh menunjukkan bakat dikhalayak ramai, kaku, kekok malah tersipu-sipu. Orang macam ni tentulah syarikat tak berapa berminat. Nak jadi saintis bolehlah, buat kerja sorang-sorang, tapi takkan semua nak jadi saintis. Sebab tu jangan dok hairan ada yang dapat 15 1A, tapi tak dapat masuk IPTA. Negara memerlukan pelajar yang serba boleh, bak kata pepatah Inggeris,

" Leaders are born in the field"

Sebab itulah para pelajar SMKI begitu prihatin terhadap markah 10% ni. Jangan ambil ringan kerana kekadang markah 10% itulah yang membezakan mereka daripada orang lain. Sayanglah kalau yang 90% dah cukup baik, tiba-tiba yang 10% membantutkan mereka dari pergi ke universiti. Sayang sayang seribu sayang, kerana 10% harapan melayang. Maka di SMKI, para pelajar begitu berminat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai yang terbaik untuk 10% tersebut. Jadi tak hairanlah kalau ada yang buat latihan waktu malam. Contohnya pasukan pancaragam dibawah pimpinan Cik Roslina sanggup buat latihan sampai tengah malam. Tak cukup siang, malam pun 10% dikejari. Itulah betapa pentingnya 10% kepada para pelajar SMKI.

Kalau disesetengah sekolah, sijil penyertaan tak begitu dipentingkan. Pendekata kalau hadiah tu hamper dibandingkan dengan sijil, maka mereka lebih suka ambil hamper sebab sijil bukan boleh makan. Tetapi di SMKI sijil amat dipentingkan sebagai bukti penglibatan mereka dalam kokurikulum. Sebab itulah pencapaian para pelajar dalam kokurikulum amat memberangsangkan. Malah ada bebarapa kategori yang SMKI mencecah peringkat dunia. Peringkat kebangsaan pun banyak sekali. Itulah persepsi 10% bagi para pelajar kami. Sekolah lain juga perlulah menitik beratkan 10% ini terutama untuk para pelajar yang ada harapan untuk masuk ke IPTA. Teruskan usaha agar mereka berjaya.

10% GARIS PEMISAH.

Berkemban.


Dulu saya cerita istilah pincup, yang sekarang dah tak ada sebab semua kenduri dah dikontrekkan. Tak ada lagi tumbuk kerisik. Tiada lagi berebut-rebut pincup dari lesung. Satu budaya telah hilang. Budaya yang saya sayang. Hari ini saya nak cerita satu lagi budaya yang dulunya ramai orang Melayu amalkan. Budaya berkemban. Apa berkemban tu? Lihat gambar perempuan tu. Tu lah namanya berkemban. Berkemban cara moden.

Dulu kalau dikampung ramai yang berpakaian seperti ini. Tak rasa janggal pula. Ramailah perempuan bersebelahan rumah saya yang akan keluar beli ikan semasa sedang membasuh. Mereka pun tinggalkan basuhan dan ketika sedang berkemban pergi pula beli ikan. Selepas beli ikan mereka sambung kembali untuk basuh kain. Tapi sekarang sejak perempuan kampung dah mula menutup aurat, maka budaya berkemban dah tak ada. Alhamdulillah.

Dulu dalam cerita Melayu pun kita akan melihat dengan banyaknya akan artis Melayu yang berkemban. Terutama cerita-cerita Melayu klasik iaitu ketika basuh kain tepi sungai sambil menyanyi. Kemudian ada "crook" dok mengintai terutamanya arwah A Rahim atau arwah Mahmud June yang tak pernah berlakon jadi baik. Kemudian hero pun datang menyelamatkan. Yang datang tu mestilah arwah Nordin Ahmad. Itu cerita dulu dimana berkemban dah jadi budaya ketika membasuh pakaian di telaga ataupun di tepi sungai. Terima kasih kepada orang Jepun kerana mencipta mesin basuh menyebabkan budaya berkemban sudah tiada.

Kini berkemban hanyalah diamalkan dalam majlis perkahwinan terutama perkahwinan orang-orang "moden" seperti artis-artis. Ada juga budaya berkemban ini diamalkan ketika majlis makan malam yang hebat-hebat. Contohnya Majlis Penganugerahan Bintang Popular. Nak popular mesti berkemban. Mungkin itulah agaknya kerana yang berkemban sekarang kebanyakannya orang Barat. Maka bila orang Melayu pun nak tiru orang Barat, nak jadi moden seperti orang Barat, maka pakaian pun mestilah berkemban seperti orang Barat. Moden bila pakaian tak cukup kain. Kata arwah ibu saya.
Untuk penuntut-penuntut SMKI yang beragama Islam, eloklah rasanya jangan berkemban. Sebab kalau muka tu memang comel, pakai pakaian tutup aurat pun comel juga. Mungkin lebih comel daripada berkemban. Dan ingatlah berkemban itu bukan moden, orang zaman Hang Tuah buat dah. Pendek kata.. dah lama dahhhhh. Perkara yang dibuat oleh orang dulu-dulu mana datang modennya?

BERKEMBAN. USAH AMALKAN.












Jumaat, 5 Jun 2009

Islamkah ini?


Pagi tadi lebih kurang pukul 11.00 pagi , saya dan isteri pergilah melawat ke salah satu kompeni insurans yang dibuat cara Islam. Baguslah bagi orang Islam mengunjungi dan melanggan insurans Islam, tapi perlu diingat, yang bagus tu Islam, orang Islam belum tentu bagus. Teringat saya kata-kata penyanyi barat yang popular Cat Steven atau Yusuf Islam ( selepas memeluk Islam ), saya masih ingat petikan kata-katanya.

" I will never be a muslim if i knew muslims before Islam."

Maknanya orang Islam yang dia kenal adalah yang teruk sehinggakan dia tak mau jadi orang Islam. Nasib baiklah dia kenal Islam dahulu daripada orang Islam. Tapi perlu diingat, ramai juga orang Islam yang amat baik yang melambangkan Islam yang dia anuti. Tetapi bak kata pepatah. Seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit.

Berbalik kepada kaunter yang saya kunjungi, dikaunter tu ada seorang perempuan dan seorang lelaki. Dua-dua serupa. Bukan sama menawan atau sama menceriakan, tetapi sama masam dan sama mendukacitakan. Kalaulah isteri saya masih lagi sakit, saya rasa sakitnya tentu bertambah parah. Saya hari ini kira yang terbaik dari segi menahan marah. Sebab saya teringat sabda Rasulullah,

" Orang yang kuat itu ialah yang kuat menahan marahnya "

Kira hari ini saya adalah orang yang kuat, kuat menahan marah. Kalau ikutklan hati, mau mengamuk dan haru-hara jadinya. Tapi sebab diri ini dah tua, rasanya tak cantik mengamuk sedemikian rupa. Kita sebagai pelanggan dilayan seperti banduan. Padahal kalau tak ada manusia marhaen macam saya yang ambil insuran, dari mana depa nak makan gaji. Kekadang saya terfikir, mungkin syarikat insurans ini milik keluarga depa punya kot. Inilah contoh orang Islam yang tak amalkan Islam.

Mula-mula saya dan isteri masuk. Tak ada tegur sapa, tiada ramah mesra, tiada senyum tawa malah kami rasa seperti masuk lokap pula. Mungkin masuk lokap pun lebih baik dari itu. Tidak pula dipelawa untuk duduk. Kalau di bank kita faham sebab orangnya ramai, ini yang ada cuma 2 orang, 4 termasuk kami berdua. Apakah salahnya kalau bermanis muka mempelawa kami duduk? Berat sangatkah mulut tu. Itulah yang timbul dalam benak saya.

Kemudian isteri saya "hemoi" pi duduk di salah satu kerusi kosong dihadapan perempuan yang masam mencuka. Lalu ditegur oleh si muka masam itu.

" Tu tempat dah ada orang "

Lalu isteri saya pun beralihlah duduk dan duduk semula dikerusi panjang. Saya amati, lama juga mungkin 20 minit, takdak sapa pun yang datang duduk di kerusi itu. Darah dah menyirap. Kalau tak sabar punah ranah suasana, tapi memikirkan saya lebih tua dari mereka, maka saya diamlah. Tak guna gaduh dengan orang yang begini.

Kemudian isteri saya pergi pula duduk dikerusi depan si lelaki masam tu, sama juga, tiada disapa, tiada dipelawa. Dia buatlah kerja dia begitu lama. menulis pula terkemut-kemut, pegang mouse macam orang tak pernah tengok komputer. Dalam pada itu si perempuan masam tu tanya pulak kepada si lelaki masam.

" Ni kalau takdak NCB nak bubuh kolum mana? "

Saya terfikir agaknya kerani perempuan ini mungkin tak cukup diberi latihan. Perkara yang kecil macam tu pun tak tau. Selepas semua kerjanya habis, barulah dia tanya isteri saya apa hajat. Sedangkan hajat kami tak lama, 5 minit selesai. Kalau dia maniskan muka, hati kami tak membara, kami tak kecewa dan semua perkara selesai segera. Begitulah cerita serba sedikit tentang "perkhidmatan kaunter yang terburuk didunia".

Mungkin ramai yang macam ni kena di hantar pergi belajar dengan Yahudi. Tengok saja TESCO, milik, Yahudi, tapi seronok kita pergi sebab layanannya, tempat letak kereta berbumbung, ikan depa tolong siangkan, pakai kad kredit tiada had pembelian. Tempatnya lapang, ada tempat makan, ada tempat kanak-kanak main. Pendek kata yang tak ada cuma mak dan bapa saja. Tu baru orang seronok pergi. Mereka Yahudi tapi berperangai seperti ajaran Islam. Tu sebab mereka berjaya.

Setuju tak dengan pendapat saya?

Jadi beringatlah kita semua untuk melayan yang datang tu dulu. Tegurlah, senyumlah, bukan mahal sangat senyum tu. Lagi pun senyum tu sedekah. Takdak duit nak bagi, bagi senyum cukuplah. Saya teringat satu peristiwa pada pagi Isnin beberapa minggu yang lepas. Pagi Isnin SMKI ada perhimpunan umum. Tapi pagi tu ada seorang bapa datang awal. Saya belum lagi bersedia, malah meja masih kurang kemas, jadi saya serba salah. Tapi saya pelawa dia masuk, pelawa duduk, bertanya khabar. Kemudian saya terangkan yang saya tak boleh layan dia lagi sebab terpaksa pergi perhimpunan. Maka dia pun tak kisah dan dia keluar sekejap sementara saya pergi perhimpunan. Dia tak marah sebab layanan kita yang berhemah. Kalau saya buat tak layan dek kerana sibuk, mau dia buat surat layang. Mungkin dia pi mengadu ke PPD dan sebagainya, kan ke susah jadi. Sedangkan apa yang dia nak bukannya besar sangat, cuma layanan yang baik.

SECEBIS SENYUMAN SEJUTA INGATAN.

Khamis, 4 Jun 2009

Mana ikannya.

Kekadang bila melihat karenah anak-anak sekarang, saya terfikir mereka sesungguhnya amat bertuah. Anak-anak kebanyakan kita boleh memilih-milih makanan. Mana yang nak makan dan mana yang nak tolak. Contoh anak saya yang " generasi kedua " sekarang ni, kalau makan ayam mestilah ayam yang ada tulang. Kalau tak pun mestilah paha ataupun kepak. Kalau dada yang penuh dengan isi, alamat sampai ke basi depa tak makan. Tak sedap katanya. Begitulah juga buah-buahan, kalau yang tak serasi dengan depa, yang dok makan mak dan ayah sajalah. Sayang nak buang, makan jugalah sampai habis. Mungkin ramai kanak-kanak sekarang boleh memilih kerana ibu bapa mereka mampu untuk membelikan mereka makanan yang mereka suka. Kalau kueh kuaci, kueh ketayap alamat mak bapa yang perabis. Depa nak pizza, KFC, MCD , donut malah ada yang nakkan sushi yang mentah tu. Sedapke?

Itu adalah sebahagian cerita kanak-kanak sekarang yang bernasib baik kerana ibu bapa mereka mempunyai sedikit kemampuan untuk mengadakan apa yang mereka nak. Teringat saya zaman kecil-kecil dulu, nak makan mee rebus setahun sekali, ketika raya. nak tengok wayang juga setahun sekali, ketika raya. Nak makan daging kena buat muka tak malu pergi membantu di rumah kenduri, dapatlah makan daging. Nak makan air lemonade F&N kena pergi bantu kenduri di rumah Cina. Depa bagilah sebotoi air lemonade F&N, sedap sungguh rasa. Tu pun simpan sampai hampir seminggu takut nak perabih. Sayang .. sebab nak dapat susah. Nak naik kereta, boleh berangan sajalah. Naiklah bas yang tak beraircon, berdebu dan bergoncang sampaikan tahi telinga boleh keluar. Itu cerita dulu.

Ada pula satu cerita tentang keluarga isteri saya. Isteri saya ini 7 beradik. Bapa kerja kampung dan ibu tak kerja. Pendek kata miskinlah, nak makan pun susah. Tapi sekarang semua dah berjaya, Alhamdulillah. Yang senang sekarang "ibu mertuaku" kerana anak-anak pakat dok bagi duit. Inilah yang dikatakan " Susah dahulu senang kemudian". Dengar cerita nak pergi Jepun pulak , tempat yang saya sendiri tak pernah jejak kaki. Dia nak pergi Jepun nak tengok anak dia yang sedang ambil master di sana. Bertuahnya dia, diusia tua, hati senang, hidup penuh keceriaan.

Ada satu cerita yang dia ceritakan kepada saya. Ketika miskin dahulu, ketika anak-anak semua sekolah, pernah dia buat asam pedas cukup dengan halianya, cilinya, kunyitnya, asamnya dan semua peralatan yang diperlukan. Memang dengar sedap sungguh. Dihidangkan pula dengan nasi panas, aiii.. sedap ooi. Tiba waktu makan pakat kelilinglah anak-anak serta arwah bapa mertua saya untuk makan nasi dengan asam pedas. Anak-anak seorang demi seorang mencedok asam pedas tanpa banyak komplen. makan dengan pelahap sekali. Maklumlah orang miskin, selera selalu baik. Semua yang dihidangkan , semuanya sedap. SampailAh giliran bapa mertua saya, dia belek-belek dalam mangkuk seolah-olah mencari sesuatu. Lama juga dia mencedok, kemudian timbul pertanyaan darinya.

" mana ikannya Mun "

Mun ialah singkatan bagi Munah , nama ibu mertua saya. Dia terkejut sebab asam pedas yang begitu sedap takdak ikan. Macam kita masak rendang tak masuk daging. Mak mertua saya buat tak tahu saja. Lama-lama bapak mertua saya tersedar sendiri yang dia dah lama tak belikan ikan. Tak beli ikan nak makan sedap macam mana? Hingga sekarang pun cerita ini jadi bahan ketawa ketika musim raya , ketika semua berhimpun di rumah. Bahan memeriahkan suasana dihari lebaran.

Alfatihah untuk arwah bapa mertuaku.

LAWAK SIMISKIN.

Rabu, 3 Jun 2009

Banyak kerja.


Hari ini hari yang paling bertuah bagi saya kerana dalam ramai-ramai pembantu tadbir (PT) yang datang untuk taklimat pengisian kad pelaporan, terselit dua orang guru. Dan salah seorang dari guru-guru tersebut ialah saya sendiri. PT SMK Aman Jaya, Pn Zarina ingatkan saya nak bagi ceramah, maklumlah pakai dengan begitu smart, siap tai dan tandanama berbanding dengan PT yang lain yang tak pakai tai. Mana ada jumpa PT pakai tai? Jadi saya tak anggap sebagai satu yang merendah murtabat saya, tetapi saya anggap sebagai sesuatu peluang untuk bertukar-betukar fikiran dengan Pt yang jarang sekali saya bergaul secara begitu ramai. Inilah peluang yang Allah berikan. Syukur.

Maka pegawai dari JPN pun bagilah ceramah. Siap dengan mukadimah yang begitu panjang. Mungkin nak bagi masa cukup sebelum masa makan sampai. Dia ceritalah betapa banyaknya kerja di pejabat sehinggakan hari-hari kena balik lewat. Di situ saya tak mau komen banyak tapi memanglah semua orang ada kerja. Sebab tu kita dibayar gaji sebab kita ADA KERJA. Kalau takdak kerja, sapa yang nak bayar gaji kepada kita? Pengalaman saya semasa menjadi pentadbir di SMK Kota Kuala Muda, di SMK Yan, di SMK Aman Jaya, kalau cikgu merungut banyak kerja, maka saya akan nyatakan ayat power saya..

" Baguihlah cikgu banyak kerja, sebab ada orang yang takdak kerja, dan mereka amat hendakkan kerja".

Dengan ayat power itu ramai cikgu terdiam dan muka sedikit masam. Jadi bila dihadapan saya mereka tak akan menggunakan perkataan banyak kerja lagi. Kawan saya yang seorang lagi mempunyai ayat yang lebih berbisa.

" Kalau banyak kerja, berhentilah kerja. Berhenti kerja tentu tak banyak kerja lagi "

Ooi.. bisanya ayat. Tapi itulah hakikat. Kita yang pilih untuk menjadi guru, maka kita kenalah buat kerja walaupun banyak. Merungut pun kita kena buat, tak merungut pun kita kena buat. Marah pun kerja mesti siap, seronok pun kerja mesti kena siap. Jadi eloklah kita seronok dan berfikiran positif agar kita buat kerja tak terasa bebannya. Oleh itu saya sentiasa menekankan agar kita jangan dendangkan lagu banyak kerja kerana banyak ke sedikit, itulah sebahagian daripada kerja kita. Be positive.

Anak saya yang kerja swasta lagilah banyak kerja. Sebab tulah maka dia paling awal balik kerja pukul 10 malam. Bukan nine to five lagi, tapi dah jadi eight to ten. Pernah dia telefon saya tengah malam, saya terkejut takut ada apa-apa malapetaka, rupanya dia dok tengah kerja. Tapi dia tak pernah merungut banyak kerja. Yang penting bagi dia ialah siapkan kerja mengikut jadual. Kalau boleh "beat the time " itulah yang lebih baik. Jadi sesiapa yang selalu dok kata banyak kerja, cuba jenguk-jengukkan pekerja swasta. Mereka sebenarnya lagi banyak kerja. Jadi buatlah kerja tanpa banyak cerewet dan sentiasa memikirkan kepentingan anak didik kita dalam melakukan kerja. Insya Allah, kita akan diberkati Allah.

BANYAK KERJA, ITULAH KERJA.