Jumaat, 9 Oktober 2009

Tuisyen.


Tuisyen , itulah satu istilah yang tak lekang daripada pelajar SMK Ibrahim. Mereka saban hari tuisyen. Bukan sedikit duit yang dilaburkan untuk tuisyen. Mak bapak pun tak kiralah menghabiskan masa dan wang untuk hantar anak ke pusat tuisyen. Pendek kata tuisyen dah jadi macam wajib. Kalau kita nak buat kelas tambahan pun payah sebab masing-masing terikat dengan tuisyen. Tak cukup siang, malam pun tuisyen lagi. Tak cukup di Sungai Petani, ada yang pergi tuisyen di Bukit Mertajam. Memang depa tuisyen sungguh. Itulah trend yang ada dimana-mana sekarang ini. Ibu bapa rasa tak lengkap kalau tak hantar anak mereka ke tuisyen.

Memang bagus tuisyen ini kalau digunakan dengan baik. Tuisyen sekurang-kurangnya boleh mendisiplinkan pelajar untuk belajar diwaktu yang terluang. Kalau tak dihantar ke kelas tuisyen, mungkin ramai yang melepak di kafe siber untuk main "video games". Masa yang terluang dibuang begitu saja. Dengan adanya tuisyen mereka dapat mendisiplinkan diri untuk belajar.

Itulah untungnya pelajar SMK Ibrahim sebab mereka boleh pergi tuisyen disamping belajar disekolah. Kalau palajar asrama penuh, mereka payah sedikit nak keluar tuisyen sebab terikat dengan undang-undang asrama. Mereka boleh juga pergi tuisyen tetapi agak terbatas. Mungkin ini juga satu sebab kenapa prestasi pelajar-pelajar SMK Ibrahim amat memberangsangkan.

Tuisyen juga ada kesan negatifnya. Saya dulu pun pernah membuka kelas tuisyen di rumah. Kekadang pelajar-pelajar lebih percaya kepada guru tuisyen daripada guru disekolah. Padahal yang ajar tuisyen tu pun guru sekolah juga. Pernah sekali pelajar mengatakan guru sekolahnya salah ketika saya menerangkan sesuatu perkara. Ini kerana guru sekolahnya menerangkan dengan cara yang berbeza. Saya terpaksa membela guru sekolah tersebut dengan mengatakan dia juga betul tetapi pendekatannya berbeza. Setelah selesai tuisyen, mereka rasa seperti cukup puas dengan apa yang diberikan. Malah ada beberapa orang yang datang kerumah saya selepas keputusan STPM untuk mengucap terima kasih kerana mereka mencapai keputusan yang amat baik. Lagi sekali saya kena terangkan yang keputusan yang baik bukan kerana saya mengajar tetapi gabungan daripada guru di sekolah, tuisyen saya dan usaha para pelajar sendiri. Lalu saya sarankan mereka berjumpa guru sekolah dan ucapkan terima kasih banyak-banyak.

Zaman saya dulu tak pula ada kelas tuisyen tetapi kami mencapai keputusan yang baik juga. Anak-anak saya sendiri tak pernah saya hantar ke tuisyen tapi kedua-duanya dah jadi jurutera yang berjaya. Kalau kita boleh mengajar dan mendisiplinkan anak untuk belajar di rumah apa gunanya tuisyen? Kita boleh tuisyen dirumah dengan membeli buku-buku dan mengarahkan mereka untuk membuatnya mengikut jadual tertentu. Hasilnya tuisyen tak perlu tetapi keputusan anak-anak tetap cermerlang. Bagi yang tak mampu nak mengajar anak sendiri, eloklah hantar ke tuisyen. Sekurang-kurangnya masa yang terluang dapat digunakan dengan cara yang lebih bermakna.

Untuk para pelajar, saya sentiasa ingatkan bahawa guru tuisyen yang mengajar adalah juga guru biasa yang mengajar disekolah. Tiada apa kelebihannya jika dibandingkan dengan guru sekolah yang lain. Janganlah hendaknya para pelajar terlalu mengagumi guru tuisyen sehingga memandang sepi peranan guru sekolah. Malah guru sekolah mengajar lebih banyak masa daripada guru tuisyen. Malah saya pernah mencabar para pelajar yang terlalu taksub dengan tuisyen supaya berhenti sekolah dan menumpukan sepenuh masa untuk tuisyen. Lihat sama ada mereka lebih berjaya atau pun tidak. Malah ramai juga yang kita lihat, para pelajar yang pergi tuisyen tapi tetap gagal. Ramai juga yang tak pergi tuisyen tapi berjaya. Maknanya kejayaan bukan bergantung kepada kelas tuisyen.

TUISYEN BUKAN PENENTU KEJAYAAN.

2 ulasan:

  1. Betul tu... tuisyen bukan penentu segalanya! Kalau diri tiada kemahuan, maka jalan pun seakan mati selangkah di hadapan....

    BalasPadam
  2. kalau tuisyen penentu kejayaan, mungkin dah ramai cikgu berhenti kerja dan buka tuisyen sepenuh masa.

    BalasPadam