Sabtu, 10 Oktober 2009
Insya Allah.
Petang tadi setelah saya baru saja sampai daripada melawat rumah di Bukit Merah, Taiping datanglah seorang kenalan yang menjemput kenduri dirumahnya pada hari Sabtu depan. Memanglah sekarang, semakin dekat dengan cuti penggal semakin banyak kenduri yang dibuat di sana-sini. Ada saja kenduri saban minggu terutama pada hari Ahad ataupun Sabtu. Alhamdulillah, menjeritlah syaitan panjang-panjang apabila melihat sepasang mempelai diijabkabulkan. Begitulah hakikatnya, syaitan akan menjerit kecewa apabila sepasang teruna dara berjaya diijabkabulkan.
Berbalik kepada jemputan tadi, saya macam biasalah akan menjawab " Insya Allah " lalu dia membantah dan berkata,
" Jangan Insya Allah, pergilah kenduri aku tu ". Lagi sekali saya jawab "Insya Allah " dan dia terus membantah meminta saya pergi juga.
Lalu saya jawab , " Insya Allah, kalau umur masih dipanjangkan saya akan pergi ".
Baru dia puas hati. Begitulah kebanyakan orang kita tentang Insya Allah. Bagi kebanyakan orang, mungkin Insya Allah digunakan sebagai satu cara untuk meremehkan sesuatu perkara. Bagi sersetengah orang, Insya Allah akan digunakan jika dia merasai tidak mampu menunaikan sesuatu permintaan. Maknanaya dengan menyebut Insya Allah, dia bebas tidak menunaikan permintaan tersebut.
Insya Allah maknanya "dengan izin Allah". Memang kita kena sebut Insya Allah dalam apa juga pekerjaan kerana semua perkara yang berlaku adalah dengan izin Allah. Tanpa izin Allah, tak mungkin sesuatu perkara itu boleh berlaku. Kalau kita makan panadol selepas demam, kita kena sebut Insya Allah baik. Maknanya dengan izin Allah kita jadi baik. Bukan panadol yang bagi baik tetapi Allah. Panadol itu usaha kita, tetapi yang bagi baik itu ialah Allah. Doktor yang merawat pesakit pun mesti selalu sebut Insya Allah sebab dia hanya merawat tetapi yang bagi baik Allah.
Begitulah juga dalam pelajaran. Selepas kita belajar bersungguh-sungguh dan ambil periksa, kita kena sebut Insya Allah saya akan berjaya. Ini bermaksud kita meletakkan kejayaan kita adalah kerana Allah. Tanpa izin Allah, tak mungkin kita akan berjaya. Begitulah sifat seseorang yang senantiasa mengingati Allah. Dalam setiap pekerjaan kebergantungan kepada Allah jangan sesekali dilupakan. Tetapi, yang jadi masalahnya ialah perkataan Insya Allah disalahgunakan untuk meletakkan alasan kepada Allah apabila tidak mahu melakukan sesuatu pekerjaan. Ini adalah sesuatu yang amat tidak baik dan amat tidak beradab kepada Allah.
Oleh itu rajin-rajinlah menyebut Insya Allah sebagai lambang kita mengakui kekuasaan Allah dan sebagai lambang kita adalah hamba Allah. Apalah yang hamba mampu buat tanpa keizinan daripada tuannya?
INSYA ALLAH PENENTU SEGALA.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan