Hari ini ialah hari cuti umum bagi negeri-negeri Kedah, Trengganu dan Kelantan. Negeri-negeri yang cuti amnya pada hari Jumaat. Cuti kerana hari ini ialah untuk mengingati peristiwa Israk Mikraj yang berlaku keatas Rasulullah. Israk ialah perjalanan Rasulullah dari Mekah ke Baitulmaqdis manakala Mikraj pula ialah perjalanan Rasulullah dari Baitulmaqdis ke atas langit untuk bertemu Allah.
Inilah cabarannya untuk orang yang Islam sebab ada yang masih ragu-ragu tentang kejadian Israk Mikraj. Kekadang timbul dihati kecil fikiran yang nakal tentang kejadian ini sebab Israk Mikraj hanya berlaku dalam satu malam. Logik ke dari Mekah ke Baitulmaqdis, ratusan kilometer boleh dilawati dan pulang dalam masa satu malam. Itu belum dikira naik kelangit yang jutaan kilometer pula sedangkan pada waktu itu belum ada kenderaan seperti roket yang boleh bergerak laju. Kalau ikut logik memang tak logik tapi itulah iman. Iman bukan boleh ikut logik. Kita diasuh untuk mempercayai sesuatu yang diluar bidang fikiran kita, diluar logik akal. Ajaran tentang syurga, neraka, pahala, dosa, malaikat, siksa kubur dan macam-macam lagilah yang kita tak pernah terfikir tapi kita wajib mempercayai kerana kita Islam. Sedangkan Allah pun kita tak nampak tapi kita mempercayaiNya. Itulah iman.
Kalau nak ceritakan tentang Israk Mikraj ini amatlah panjang. Kalau dulu-dulu , saya masih ingat lagi, kalau cerita tentang Israk Mikraj akan memakan masa satu malam. Lepas isyak sampai ke subuh. Pakat dok mengantuk dan akhirnya yang dok bercakap hanyalah penceramah. Yang lain banyak dah berdengkur. Itu cerita Israk Mikraj zaman dulu. Sekarang kita ambil intipati dan pengajaran daripada Israk Mikraj bukannya ceritanya yang panjang. Apakah pengajaran Israk Mikraj?
Saya kupaskan hasil daripada ceramah-ceramah yang saya ikuti.
1. Kenapa tak Allah terus angkat Rasulullah tanpa menggunakan binatang yang dipanggil boraq dan ditemani pula oleh Jibrail? Tentu Allah boleh buat kan? Tapi itulah pengajaran daripada Allah supaya bila membuat sesuatu perlu ada sesuatu sistem tertentu. Maka bila dalam sesuatu perjalanan mestilah ada kenderaan dan penunjuk jalan. Itulah hakikatnya dan pengajarannya.
2. Kenapa pula perlu ke Masjidil Aqsa dan tidak daripada Masjidilharam? Lagi satu pengajaran supaya bila para mushrikin tanya untuk membuktikan kebenaran, contohnya berapa tiang yang ada dalam Masjidil Aqsa, maka bila Rasulullah jawab betul, maka mereka yakin memang Rasulullah pergi ke Baitulmaqdis. Kalau dari Masjidilharam, memang para mushrikin kata Rasulullah boleh jawab sebab memang Rasulullah berada di Mekah.
3. Kenapa pula Rasulullah diberi arak dan susu untuk membuat pilihan sebagai minuman. Kenapa tak bagi susu terus? Lagi satu pengajarannya untuk menunjukkan kepada kita bahawa kita diberi pilihan. Yang baik atau yang tak baik. Pilihlah sendiri dan tempat tersedia pun dah ada, syurga atau neraka. Tepuk dada tanya iman.
4. Kenapa pula Rasulullah perlu naik ke langit untuk menerima ibadat solat. Kenapa tak diberikan melalui wahyu seperti biasa. Untuk menunjukkan betapa solat itu adalah amat penting. Malah solat adalah tiang agama. Lagi satu pengajarannya ialah kalau nak dapatkan perkara yang baik perlulah berusaha dan menempuh kepayahan untuk mendapatkannya.
Demikianlah serba sedikit pengajaran daripada peristiwa Israk Mikraj. Harap kita semua mendapat pengajaran daripadanya.
ISRAK MIKRAJ. UJIAN IMAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan