Selasa, 2 Februari 2010

Husnul Qatimah


Husnul Qatimah yang bermaksud pengakhiran yang baik. Pengakhiran bagi kita manusia ini ialah kematian. Kematian adalah pengakhiran bagi satu kehidupan tetapi satu permulaan bagi satu kehidupan yang tiada pengakhiran. Setiap kali lepas sembahyang , kita akan berdoa supaya kematian kita adalah dalam kebaikan. Sekurang-kurangnya biarlah kita sempat mengucap 2 kalimah syahadah untuk mempastikan sekurang-kurang kita tidak berkekalan di neraka. Sejahat mana pun kita, biarlah kita boleh mengucap 2 kalimah syahadah.

Laillahaillallaah, Muhammadurrasulullaah. Aku naik saksi tiada tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi Muhammad itu pesuruh Allah...

Itulah kata-kata keramat yang akan membebaskan kita daripada selama-lamanya didalam jurang-jurang api neraka. Senang , cukup senang. Senang untuk diucapkan ketika kita masih sihat bugar. Nak mengucap payah apa, kata sesetengah orang yang tak terfikir nak mati. Bagi orang yang nak meninggal dunia, nak sebut yang tu pun sesuatu yang amat payah. Bayangkan ketika sakratul maut, ketika kita hendak belayar ke akhirat, meninggalkan dunia yang telah lama kita huni, tentulah amat sukar sekali. Oleh itu kita berdoalah sentiasa agar kita menemui ajal dalam keadaan husnul qatimah. Pengakhiran yang baik. Pengakhiran dalam kebaikan.

Sebenarnya Allah telah memberikan tanda-tanda sama ada seseorang itu telah menemui husnul qatimah. Antara tanda-tanda yang telah direkodkan dalam kitab adalah seperti berikut:

1. Mayat kelihatan berpeluh dengan manik-manik seperti air terdapat terutama pada dahinya. 
2. Mayatnya berwarna kekuningan dan bersih.
3. Kematian pada hari Jumaat dan dikebumikan pada hari Jumaat.

Itulah tanda-tanda kematian husnul qatimah yang saya baca dari kitab. Banyak lagilah tanda yang diterangkan tapi cukuplah untuk kita ingatkan tiga itu sahaja. Sebenarnya banyak alamat-alamat yang kita dapat lihat. 

Kawan saya yang meninggal baru-baru ini meninggal pada hari Jumaat dan dikebumikan pada hari Jumaat. Memang dia manusia yang sangat baik. Sentiasa merendah diri, tak pernah menyakitkan hati kawan-kawan dan jarang sekali bercakap kecuali untuk perkara-perkara yang perlu. Betullah seperti pepatah Inggeris yang berbunyi SILENCE IS GOLDEN. Kurang bercakap tetapi lebih banyak berzikir. Alhamdulilah, kematiannya dalam husnul qatimah.

Ayah kepada kawan saya yang meninggal di Kota Kuala Muda adalah orang pertama yang saya lihat mayatnya seperti berpeluh dengan titis air yang kecil yang ada didahinya. Memang dia juga terkenal dengan orang yang amat baik. Disayangi oleh semua penduduk kampung dan para pelajarnya. Dia sentiasa bermurah hati untuk menolong orang lain. Arwah emak saya juga meninggal dalam keadaan yang cukup baik kerana badannya berwarna kekuningan pucat dan bersih sekali walaupun semasa hidupnya ada bahagian-bahagian kulitnya yang mengelupas. Semoga mereka semua menemui husnul qatimah.
Arwah nenek isteri saya juga meninggal dalam keadaan yang amat baik. Dia meninggal selepas sahaja sembahyang dhuha dan sempat berpesan kepada anak cucunya menyatakan ajalnya telah tiba. kata-kata akhirnya ialah "Mbah (datuk/nenek ) nak tidur dulu yaa". Itulah kata-kata akhir seorang yang menemui husnul qatimah. 

Mengingatkan semua ini , terasa gementar saya dengan kematian. Tak lama dahhhh. Berapalah lamanya lagi bagi seseorang yang sudah setengah abad boleh hidup. Kalau boleh tambah lagi 30 tahun sudah amat panjang rasanya.Adakah saya akan menemui husnul qatimah ? Inilah persoalan yang  memang tiada jawapan sehinggalah pada masa nyawa kita dicabut. Semoga kita semua menemui husnul qatimah . InsyaAllah.

IDAMANKU HUSNUL QATIMAH.




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan