Sabtu, 25 Julai 2009

Tak serius.


Pada hari Khamis 23 Julai 2009, SMK Ibrahim mengadakan hari Perjumpaan Waris-Guru. Bukan semua waris yang dipanggil tetapi hanya waris-waris yang anak mereka mendapat markah kurang dari 40 dalam mana-mana subjek. Di SMKI ini kalau markah kurang 40 dah amat menggerunkan bagi Tuan Pengetua dan warga sekolah. Di kantin depa "riuh sakan" kalau ada yang dapat kurang 40. Jemputannya ramai juga, kira-kira 200 orang tetapi yang hadir lebih kurang 50 orang. Mungkin sebab buat hari Khamis, depa tak cuti. Bila buat waktu cuti pula depa kata depa nak rehat pula. Macam-macam alasan. Betullah seperti kata pepatah, Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Bagi saya bukan seribu, mungkin 2 ribu dalih. Mungkin ini sudah jadi penyakit orang bandar yang sedikit kaya daripada orang miskin di kampung. Ketika saya di SMK Yan, mereka cukup prihatin tentang jemputan dari sekolah. Kalau jemput 500 , paling kurang 400 mesti datang. Kata pula kawan saya, dikampung depa tak ada kerja tetap, jadi kurang sibuklah. Lagi pun di kampung depa amat pentingkan sekolah sebab depa tak ada duit nak hantar anak ke kelas tuisyen. Mungkin betul juga alasan tersebut.

Tuan Pengetua macam biasalah, dia banyak idea dan banyak pengetahuan. Dia boleh bercakap dan bagi taklimat yang agak panjang. Dan semua yang hadir khusyuk mendengar. Diselang seli dengan lawak di mana yang perlu dan serius dikebanyakan bahagian taklimat menyebabkan taklimat menjadi begitu menarik. Memang Tuan Pengetua berbakat bagi ceramah. Bertuah SMKI yang mempunyai Pengetua yang berbakat dan banyak pengetahuan. Banyaklah aspek yang beliau sentuh, tapi saya nak ambil satu saja, iaitu bahagian betapa tak seriusnya pelajar-pelajar kita dengan pelajaran. Mungkin fenonema tak serius ini dah menjangkiti ramai orang di Malaysia ini. Bukan takat yang kurang cerdik, tapi yang terlebih cerdik pun kekadang buat kerja semberono tanpa kajian yang terperinci. Itu tak seriuslah namanya.

Saya selalu berkata kepada pelajar-pelajar ungkapan azimat saya iaitu :

" Suruh belajar kamu main, suruh main kamu main-main "

Main-main tu maknanya tak seriuslah. Banyak orang Malaysia buat kerja main-main. Contoh bila kita makan direstoran. Bila nak bayar depa tanya balik kita makan apa? Patutnya depa catitlah kita makan apa dan harganya sekali. Itu menunjukkan depa tak serius nak berniaga. Tu belum kira tukang masak yang dok buat kerja dibelakang. Penuh dengan gelak ketawa sambil buat kerja.

Lagi satu contoh ialah ketika saya membasuh kereta. Yang basuh kereta tu ialah pekerja-pekerja dari Bangladesh. Sambil basuh kereta boleh pula depa melawak? Pancut air kepada kawan-kawan yang lain sambil gelak ketawa. Saya pun panas hati tengok gelagat mereka. Nak main sambil bekerja , boleh ke? "Patutlah hangpa miskin," kata saya dalam hati.

Samalah dengan para pelajar yang main-main ni. Tengok rupa pun dah tau depa tak serius. Pakai tai macam artis, tai tertarik kebawah. Tak kemas. Baju bubuh diluar, kasut "berdanok " , seluar kaki kecil , rambut kusut masai, bau macam orang tak mandi. Itu semua menunjukkan mereka tak serius . Kalau badan sendiri pun depa tak serius nak jaga, macam mana pula mereka nak serius belajar?

Kalau tengok beg depa pula, mengalahkan beg professor. Sebab beg depa hanya ada dua tiga buku saja. Sia-sia kerajaan bagi buku teks percuma, tapi depa tak guna. Bila cikgu nak pakai buku teks, depa pi pinjam rata. Itulah sikap yang tidak serius. Malah ada pelajar yang tak tau bila nak periksa. Bagi depa periksa ke tak periksa sama saja. Tu yang ada jawab 5 minit terus tidur. Sakit hati kita yang lihat pelajar-pelajar begini. Tapi masalah seperti ini tak banyaklah di Ibrahim ni.

Yang buat kerja serius dan saya "salute" ialah di kedai fotostat Rincoh di Taman Petani Jaya. Pergilah tengok nak tau bagaimana mereka buat kerja. Memang depa serius sungguh. Jarang tengok depa dok bersembang, melawak jauh sekali. Semuanya serius dengan kerja masing-masing. Sebab itulah SMKI bagi kontrek fotostat terus kepada depa. Bukan nak iklankan syarikat depa, tapi nak cerita tentang betapa seriusnya mereka dalam pekerjaan.

Oleh itu semua pelajar SMKI khususnya dan semua pelajar amnya, kalau nak berjaya dalam hidup, buatlah kerja apa pun tapi mesti serius. Kalau tak serius buat kerja apa pun tak berjaya.

TAK SERIUS. PENYAKIT SERIUS.



Rabu, 22 Julai 2009

Bila selalu menang.


Hari ini ada Pertandingan Drama B. Inggeris Daerah KMY. Seperti biasa entah kali keberapa berturut-turut johannya ialah SMK Ibrahim. Hup.. Hup.. Hooray, Ibrahim menang lagi. Berturut-turut entah berapa tahun "straight". Hebat guru-guru SMKI terutama Pn Leong yang bertungkus lumus memastikan kemenangan berpihak ke SMKI. Bila menang Pn Leong pun berkata;

"Its five months of hard works, coountless hours, and when we win, its how many months more we have to work hard, really hard to be champion of the state and Malaysia if possible"

"Its possible, Pn Leong and i knew it " Jawab saya dalam hati.

Begitulah tradisi Ibrahim, drama dan bahas dalam B. Inggeris memang kami menang berturut-turut. sampai ada sekolah lain yang dah malaih nak lawan. Tak dak peluang kata depa sebab depa tau dah sapa yang akan menang.

Ada juga yang mengatakan Ibrahim menang kerana namanya Ibrahim. Kalau nama lain mungkin tak menang sebab nama kurang glamer. Itu kata depa, bukan kata saya sebab bagi saya semua sekolah glamer dalam keadaannya yang tersendiri. Memang attitud pelajar-pelajar Ibrahim telah dididik oleh Tuan Pengetua supaya " fly high " , maknanya bercita-cita tinggi. Kalau lawan biar sampai menang satu Malaysia, biar boleh pergi sampai luar negara. Contoh bila diajukan soalan kepada para pelajar yang memasuki pertandingan robotik, depa kata nak menang sampai boleh ke Hong Kong. Hebat tu, cita-cita perlu tinggi. Dapat tak dapat itu tak kisahlah, tapi yang penting semangat tu ada.

Bila sebut menang kerana nama, saya teringat waktu pertandingan Puisidra Sains satu ketika dulu. Saya masih ingat lagi, Puisidra Sains kali pertama diadakan di SMK Sin Min. Juaranya ialah SMS Sultan Mohd Jiwa. Dan rekod itu tak dapat dipecahkan sampailah entah berapa tahun. Lama sangat SMS Sultan Mohd Jiwa pegang rekod. Tapi bagi saya mereka menang bukan kerana nama mereka tetapi kerana usaha mereka. Saya yang terlibat sebagai pengadil tahu depa ada satu kelas tersendiri. Baca puisi depa pun dah tau depa akan menang. Memang kalau kita baca puisi, kita tau itu puisi mereka. Memang lain dari yang lain.

" They have a class of its own. "

Bila datang bahagian persembahan, lagi sekali persembahan mereka hebat. Siap dengan prop dan ICT yang canggih. Tambahan pula pada waktu tu mereka saja yang ada projektor LCD , sekolah lain mana ada sebab PPSMI belum mula.

Tapi bila PPSMI pun dah ada, sekolah lain pun dah belajar sedikit sebanyak teknik persembahan dalam mengarang puisi dan depa pula pakai projektor LCD, maka SMS Sultan Mohd Jiwa kalah kepada SMK Guar Cempedak. Memang patut SMKGC menang. Saya yang jadi pengadil dan kami semua setuju SMKGC patut menang. Jadi perlulah diingat SMKGC tak glamer pada waktu itu tapi mereka tetap menang. Samalah macam SMK Ibrahim, kami menang bukan kerana glamer , bukan kerana nama tapi memang kami patut menang. Memang kami kerja kuat, memang pelajar-pelajar kami berdedikasi dan kami " deserve to win " . Malah ada hakim yang mengatakan markah SMK Ibrahim adalah jauh daripada sekolah-sekolah lain. Maknanya SMKI sudah ada " a class by its own ". Saya yang bukan pengadil pun tau yang SMKI akan menang sebab persembahannya lain dari yang lain, props hebat, muzik latarnya tepat dan skripnya yang terkini. Hebat, memang hebat.

BUKAN KERANA NAMA.

dan pada hari Isnin 3 Ogos, sekali lagi drama BI dari SMKI menjadi johan, bagi peringkat negeri Kedah Darulaman.

kita tunggu peringkat Kebangsaan pula yang akan berlangsung di Pulau Pinang.






Isnin, 20 Julai 2009

Israk Mikraj


Hari ini ialah hari cuti umum bagi negeri-negeri Kedah, Trengganu dan Kelantan. Negeri-negeri yang cuti amnya pada hari Jumaat. Cuti kerana hari ini ialah untuk mengingati peristiwa Israk Mikraj yang berlaku keatas Rasulullah. Israk ialah perjalanan Rasulullah dari Mekah ke Baitulmaqdis manakala Mikraj pula ialah perjalanan Rasulullah dari Baitulmaqdis ke atas langit untuk bertemu Allah.

Inilah cabarannya untuk orang yang Islam sebab ada yang masih ragu-ragu tentang kejadian Israk Mikraj. Kekadang timbul dihati kecil fikiran yang nakal tentang kejadian ini sebab Israk Mikraj hanya berlaku dalam satu malam. Logik ke dari Mekah ke Baitulmaqdis, ratusan kilometer boleh dilawati dan pulang dalam masa satu malam. Itu belum dikira naik kelangit yang jutaan kilometer pula sedangkan pada waktu itu belum ada kenderaan seperti roket yang boleh bergerak laju. Kalau ikut logik memang tak logik tapi itulah iman. Iman bukan boleh ikut logik. Kita diasuh untuk mempercayai sesuatu yang diluar bidang fikiran kita, diluar logik akal. Ajaran tentang syurga, neraka, pahala, dosa, malaikat, siksa kubur dan macam-macam lagilah yang kita tak pernah terfikir tapi kita wajib mempercayai kerana kita Islam. Sedangkan Allah pun kita tak nampak tapi kita mempercayaiNya. Itulah iman.

Kalau nak ceritakan tentang Israk Mikraj ini amatlah panjang. Kalau dulu-dulu , saya masih ingat lagi, kalau cerita tentang Israk Mikraj akan memakan masa satu malam. Lepas isyak sampai ke subuh. Pakat dok mengantuk dan akhirnya yang dok bercakap hanyalah penceramah. Yang lain banyak dah berdengkur. Itu cerita Israk Mikraj zaman dulu. Sekarang kita ambil intipati dan pengajaran daripada Israk Mikraj bukannya ceritanya yang panjang. Apakah pengajaran Israk Mikraj?

Saya kupaskan hasil daripada ceramah-ceramah yang saya ikuti.

1. Kenapa tak Allah terus angkat Rasulullah tanpa menggunakan binatang yang dipanggil boraq dan ditemani pula oleh Jibrail? Tentu Allah boleh buat kan? Tapi itulah pengajaran daripada Allah supaya bila membuat sesuatu perlu ada sesuatu sistem tertentu. Maka bila dalam sesuatu perjalanan mestilah ada kenderaan dan penunjuk jalan. Itulah hakikatnya dan pengajarannya.

2. Kenapa pula perlu ke Masjidil Aqsa dan tidak daripada Masjidilharam? Lagi satu pengajaran supaya bila para mushrikin tanya untuk membuktikan kebenaran, contohnya berapa tiang yang ada dalam Masjidil Aqsa, maka bila Rasulullah jawab betul, maka mereka yakin memang Rasulullah pergi ke Baitulmaqdis. Kalau dari Masjidilharam, memang para mushrikin kata Rasulullah boleh jawab sebab memang Rasulullah berada di Mekah.

3. Kenapa pula Rasulullah diberi arak dan susu untuk membuat pilihan sebagai minuman. Kenapa tak bagi susu terus? Lagi satu pengajarannya untuk menunjukkan kepada kita bahawa kita diberi pilihan. Yang baik atau yang tak baik. Pilihlah sendiri dan tempat tersedia pun dah ada, syurga atau neraka. Tepuk dada tanya iman.

4. Kenapa pula Rasulullah perlu naik ke langit untuk menerima ibadat solat. Kenapa tak diberikan melalui wahyu seperti biasa. Untuk menunjukkan betapa solat itu adalah amat penting. Malah solat adalah tiang agama. Lagi satu pengajarannya ialah kalau nak dapatkan perkara yang baik perlulah berusaha dan menempuh kepayahan untuk mendapatkannya.

Demikianlah serba sedikit pengajaran daripada peristiwa Israk Mikraj. Harap kita semua mendapat pengajaran daripadanya.


ISRAK MIKRAJ. UJIAN IMAN.

Ahad, 19 Julai 2009

Guru diburu.


Pagi ini datanglah seorang bekas pelajar SMKI yang meminta saya menjadi saksi bagi penjamin-penjaminnya untuk memasuki maktab perguruan yang telah dinaikkan tarafnya sesuai dengan pengajian yang berasaskan ijazah. Dia baru saja keluar daripada matrikulasi dan memasuki maktab untuk menjadi guru. Dia bercerita lagi yang begitu ramainya yang minta untuk jadi guru. Katanya jadi guru senang dapat kerja dan gaji guru pun dah cukup lumayan. Saya hanya dengar saja tanpa apa-apa komen tetapi dalam hati terasa bangga kerana profession keguruan telah mendapat pengiktirafan dan diminati.

Tapi perlu diingat, kalau jadi cikgu sebab senang dapat kerja dan gajinya yang agak tinggi, saya rasa kurang elok. Nak jadi guru mestilah ada minat untuk mengajar. Minat hendak mendidik murid-murid yang berbagai karenah, yang kekadang nakal dan ada pula yang kurang bermotivasi. Tak semua pelajar yang nak belajar, ada juga yang datang kesekolah sebab dipaksa keluarga, malah ada yang datang kesekolah kerana nakkan duit belanja agar boleh membeli rokok sebatang dua.

Itulah cabaran yang para guru hadapi. Tapi Alhamdulillah, taraf guru dah meningkat dan dah ramai pelajar memburu untuk menjadi guru. Nampaknya profesion keguruan dah semakin glamer dan tidaklah seperti dulu di mana taraf guru adalah agak rendah. Biasa kita terdengar ungkapan-ungkapan yang menyedihkan seperti;

" Belajar rajin-rajin kalau tak kamu jadi guru ".

Aduh, sedihnya dengar seolah-olah yang paling malas belajar itulah yang jadi guru. Saya rasa tanggapan begitu tak ramai tapi cukup untuk memilukan hati guru. Hakikatnya guru adalah satu pekerjaan yang mulia. Satu hakikat yang tak boleh disangkal. Sebab itulah kita lihat ramai anak guru yang berjaya. Malah di SMKI ini, sebahagian besarnya adalah anak-anak guru. Alhamdulillah, didunia guru diberkati, diakhirat guru dirahmati. InsyaAllah.

Maka kita para guru perlulah memurtabatkan lagi profesion keguruan. Guru adalah guru, dah pencen pun masih dipanggil cikgu. Malah kalau dah mati pun , kuburnya masih dipanggil kubur cikgu sekian-sekian. Bagitulah hebatnya gelaran cikgu yang terpahat kepada seorang guru. Kepada para pelajar SMKI khasnya dan kepada semua pelajar lain amnya, hormatilah guru kerana murid yang tidak menghormati guru tidak akan berjaya.

SELAMAT BERBAKTI CIKGU.

Sabtu, 18 Julai 2009

JSI


Hari ini ada LDP ( Latihan Dalam Perkhidmatan ) tentang pembinaan JPU, JPI, JSU, JSI. Apa kebenda semua tu. Tu lah orang panggil empat dalam satu. JPU ( Jadual Penentuan Ujian), JPI( Jadual Penentuan Item ) , JSU ( Jadual Spesifikasi Ujian ) dan JSI ( Jadual Spesifikasi Ujian ). Entah kenapa kekadang saya terfikir di Malaysia ini kita lebih pentingkan nama daripada benda. Buat apa sebut nama banyak sangat kalau bendanya serupa? Serupa juga dengan Selesema Babi dengan H1N1. Pilih satu yang sesuai sebut, toksah dok bergaduhlah pasai istilah. Samalah macam JSI ( yang terbaru) , sama saja dengan JPU, JPI dan JSU. Itu yang kekadang saya rasa Bahasa Inggeris lebih hebat sebab bahasa depa tak berubah. Nama BM tu sendiri pun berubah-ubah. Zaman saya dulu BM tu Bahasa Melayu, zaman anak saya BM ialah Bahasa Malaysia, kemudian BM bertukar balik jadi Bahasa Melayu dan sekarang bertukar balik jadi Bahasa Malaysia. Apa rasionalnya tak tahulah pula. Tapi mesti ada.

Kita tinggalkan sekejap tentang istilah, mari kita bincangkan tentang JSI ni. JSI ini ialah satu proses yang perlu setiap guru lakukan sebelum buat soalan untuk ujian atau peperiksaan. Ini untuk menentukan soalan-soalan yang dibuat mestilah berkualiti. Bila soalan berkualiti, barulah markah menjadi releven dan soalan yang dibuat benar-benar dapat menguji kepandaian pelajar.

JSI berdasarkan Taksosomi Bloom yang mempunyai 6 peringkat. Peringkat paling senang ialah pengetahuan, kemudian kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan paling susah ialah penilaian.

Memang berbaloi LDP pagi tadi sebab yang bagi ceramah pun cukup hebat. Cik Lina Ooi punya BM , aduh , amat baik . Kalau kita dengar cakap Cik Lina tanpa tengok muka dia, mungkin kita kata yang bercakap tu Melayu tulin. Fasih, sebutannya jelas, tatabahasa tepat dan memang dia hebat. Dia pula bagi ceramah dengan begitu bersunguh-sungguh sampaikan semua orang tak mengantuk dan boleh bagi tumpuan dengan sepenuhnya. Orang beginilah yang patutnya ada untuk menjadi guru supaya murid-murid rasa terpegun dan menimbulkan rasa kagum, barulah pelajar dapat belajar dengan tekun. Penerangannya jelas sampaikan lepas ini rasanya ramai yang dapat buat JSI dengan begitu baik. Mungkin lepas ini soalan adalah yang palig kualiti dan paling baik. InsyaAllah.

Pendekata LDP pagi tadi memang yang terbaik yang pernah saya ikuti. Jelas, padat, mantap dan tepat. Itulah kesimpulannya.

JSI. KUALITI TIDAK TERABAI.

Rabu, 15 Julai 2009

Biasa ke bisa.


Hari ini memang masa amat suntuk. Habis saja mesyuarat Fiesta Kokurikulum yang dipengerusikan oleh Pengetua, kira-kira pukul 4.10 petang, bergegas pula ke Bank Islam masukkan duit ke akaun sekolah. Nasib baik pintu belum tutup kerana saya sampai hampir-hampir pukul 4.30 petang. Bukan nak kata saya sibuk cuma nak kata masa sekarang begitu suntuk. Betullah seperti kata orang tua-tua, di akhir zaman masa berlalu begitu pantas.


Hari ini saya nak ceritakan sedikit tentang biasa dan bisa. Ada pepatah yang kata " Alah bisa tegal biasa " maknanya kalau sesuatu pekerjaan yang susah itu tetapi jika dibuat selalu akan menjadi senang. Maknanya yang bisa dah jadi biasa. tapi hari ni lain sikit. Saya nak ceritakan sedikit tentang soalan biasa yang jadi bisa.

Saya banyak kali mengalaminya dan diharapkan janganlah orang lain membuat kesalahan yang sama. Dulu sekitar tahun 90an, ketika satu kursus "Cintai Sungai Kita " di Kajang, Selangor saya terserempak dengan sahabat baik saya iaitu Radiah dari Johor. Macam biasalah, bila jumpa kawan lama saya akan bertanya khabar. Macam-macam soalan keluar antaranya soalan biasa iaitu,

" You anak dah berapa ? " Soalan biasa yang selalu saya tanya. Bila saya ajukan soalan tersebut, mukanya bertukar merah padam, dia terdiam seketika. Selang beberapa puluh saat baru keluar jawapan yang membuatkan saya malu sendiri. jawapannya ialah,

" I belum kahwin " Itulah jawapan yang bisa dari satu soalan yang biasa.

Mungkin bagi kita soalan seperti yang saya tanyakan itu adalah biasa, tetapi bagi yang terkena itu adalah soalan yang amat bisa. Ada banyak lagi soalan biasa yang bertukar menjadi bisa. Antaranya

" Kamu sekarang pangkat apa? " Bila ditanyakan kepada seseorang yang tak berpangkat.

" Berapa A yang kamu dapat dalam SPM?" Bila ditanyakan kepada seorang pelajar yang tak dapat satu A pun dalam SPM.

Ada banyak lagilah soalan yang biasa bertukar jadi bisa. Itu semua terpulang kepada keadaan. Jadi untuk kita yang tak berapa tau, janganlah tanyakan soalan-soalan yang boleh bertukar menjadi bisa walaupun pada pandangan kita soalan tersebut ialah soalan biasa.

BERFIKIR SEBELUM BERTANYA.

Sabtu, 11 Julai 2009

Resort Telok Batik.

Inilah dia rupanya Resort Telok Batik.
Pemasak air yang tak tau berhenti sendiri. Tulis di luar otomatik tapi bila digunakan langsung tak otomatik.

Pemanas air yang airnya keluar seperti amat perlahan tapi mengaumnya macam harimau marah. Bila di pasangkan bunyinya bising satu bilik, tapi airnya keluar amat sedikit.


Sinki yang tersumbat.






"Bath tub" yang pendek.Mungkin hanya sesuai untuk kanak-kanak ataupun orang terencat tinggi.
RESORT TELOK BATIK . KURANG CANTIK .

Khamis, 9 Julai 2009

Lelaki


Pagi ini semua Penolong Kanan diminta mendengar taklimat daripada PPD dan penolong-penolong PPD di PKG Sungai Limau. Tempat inilah selalunya akan di tetapkan bila PPD nak jumpa PK. Tempat yang elok tapi kurang glamer. Mungkin PPD dah kurang duit nak sewa hotel atau tempat-tempat yang lebih prestij. Teringat cerita anak saya yang dia sepanjang bulan puasa banyak syarikat yang belanja buka puasa. Dia kata kalau hotel koman-koman macam hotel Plaza depa tak pi. Kalau hotel Nikko, Hilton, Merlin baru depa pi. Nasib bapanya, PKG Sg Limau pun jadilah. Alhamdulillah. Kita kena banyak bersyukur.

PPD bagi taklimat yang hebat. beliau boleh berjenaka sambil memberi taklimat. Satu kebolehan yang hebat. Kalau asyik dok taklimat saja, boleh terlelap mata, maklumlah PK ni bukannya orang yang muda. Semuanya dah masuk era senja. Era kena jenguk-jenguk kedai jual keranda. PPD menceritakan tentang kepupusan yang amat memeningkan fikiran. Kepupusan yang menggelapkan masa depan. Kepupusan manusia bernama LELAKI. Itulah tajuk blog saya hari ini.

Ketika saya menghantar kedua-dua anak saya ke Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Elaktrik, ramai yang daftar semuanya perempuan termasuklah kedua-dua anak saya. Saya teringat dalam hati, nanti ramailah wanita jadi jurutera . Hujah saya ini dikuatkan lagi oleh PPD yang mengalami cerita yang sama. Ketika beliau menghantar anaknya ke U, ramai perempuan yang daftar. maka dia berkata:

" Untunglah kamu, boleh buat banyak pilihan" ketanya kepada anak lelakinya.

Ketika menghantar anaknya yang kedua ( perempuan) berkata pula beliau kepada anaknya,

" Nasib kamulah, payahlah nak dapat jodoh " sebab lelaki kurang sekali.

Kenapa ye? Ini yang memeningkan kepala. Ketika saya berkursus kemana-mana saja, yang memenuhkan tempat duduk di hadapan ialah perempuan. Lelaki adalah sekerat dua yang berani kedepan. Begitu juga dalam kelas. Kalau diberikan peluang, ramai pelajar perempuan yang akan duduk didepan. yang lelaki pula suka duduk dibelakang. Tengok yang tu pun dah cukup untuk membuat kesimpulan yang perempuan lebih bermotivasi dalam pekerjaan.

Malah kalau kita lihat, kualiti kerja perempuan jauh lebih hebat daripada lelaki. Pendekata banyak yang negatif dikaitkan dengan lelaki. Saya pun lelaki, tapi saya tetap menyatakan yang saya rasa benar. Itulah yang selalu saya katakan kepada para pelajar. Satu hari nanti kita akan ada ramai "surarumah" iaitu lelaki yang jaga anak dan memasak manakala perempuan pula keluar bekerja. Pelajar pula menjawab,

"Ramai dah cikgu, termasuk bapa saya juga seorang surarumah" kata seorang pelajar yang agak nakal di SMK Aman Jaya. Saya tersenyum sinis.

Itulah lelaki sedangkan dalam Islam lelaki dipilih sebagai pemimpin. Mungkin fenomena ini hanya berlaku di Malaysia, tak taulah pulak saya kerana saya tak pernah pula buat kajian.

Itulah sedikit coretan tentang manusia bernama LELAKI.

LELAKI DAH JADI "ISTERI".