Jumaat, 30 Oktober 2009
Lebah dan langau
Lebah dan langau. Sama-sama binatang yang berada dibawah kelas Insekta. Iaitu binatang yang mempunyai "jointed legs" atau kaki yang bersambung-sambung. Mungkin itulah terjemahannya dalam Bahasa Melayu. Maklumlah selepas 7 tahun PPSMI saya tak tau dah orang kata apa untuk "jointed legs". Tapi lepas ini kena tau pula lah sebab PPSMI pun dah nak dihapuskan. Mari kita terus berbicara tentang dua ekor binatang ini yang sama-sama insekta, yang sama-sama kaki bersambung, yang sama-sama boleh terbang tapi perangai tak sama. Berbeza macam langit dengan bumi, kata orang tua-tua.
Tengok gambar di atas pun dah tau dah. Lebah hinggap atas bunga yang wangi dan menarik, tapi langau hinggap atas tiang lampu yang berkarat dan busuk. Lebah suka tempat wangi, langau suka tempat busuk. Itu Allah jadikan untuk kita ambil panduan. Malah dalam Al Quran ada satu surah iatu surah An Nahl yang membicarakan tentang lebah. Allah memberi penghormatan kepada lebah. Hebatnya lebah. Surah tentang langau memang tak ada. Cubalah ambil iktibar.
Kelmarin di kantin ada cikgu dok bincang tentang bidadari. Cantiknya bidadari seperti yang digambarkan oleh kitab. Cuba kita fikir sejenak. Adakah kita ini akan mati dalam Islam. Kalau mati pun belum tentu dalam Islam, toksah dok "pikior" tentang bidadari. Fikirkan mati kita dulu. Mati dalam Islam dulu, baru boleh fikirkan yang lain. Apa dok melalut pulak ini? Itulah kekadang pemikiran kita menerawang ke segenap ruang. Kita berbalik kepada kisah lebah dan langau. I am sorry if you all dissaponted with me. Maaf.
Kalau kita baca tentang lebah dari segi aspek sainsnya, kita akan jumpa betapa hebatnya lebah. Lebah menghasilkan madu yang mempunyai banyak asid amino yang sebahagiannya masih belum diketahui namanya oleh saintis. Saintis belum tahu nama, tetapi telah dihasilkan oleh lebah berkurun lamanya. Madu lebah yang manis dan banyak khasiat. Tak pula kencing manis kalau makan madu lebah. Tak macam makan gula yang tak semanis madu lebah tapi menyebabkan kencing manis. Lebah pula ada macam-macam kategori. Ada lebah betina yang kerjanya berteur, ada lebah jantan yang kerjanya bagi betina bertelur dan ada lebah pekerja yang mandul. Dah mandul nak kerja apa lagi, dia tak fikir tentang mengawan, barulah boleh kerja dengan kuat. Ada pula "royal jelly " yang diberikan khas kepada anak-anak lebah yang akan menjadi jantan. Anak-anak yang akan jadi pekerja tak dapat "royal jelly".
Dari segi komunikasi, lebah memang hebat. Lebah tak payah pakai GPS, telefon bimbit, broadband, internet dan sebagainya, tetapi mereka boleh berkomukasi dalam jangkaan puluhan kilometer. Bila seekor lebah menjumpai tempat yang ada madu, maka dia akan balik ke sarang membuat satu tarian khas yang akan menunjukkan arah ketempat madu tersebut mengikut kedudukan matahari. Bukan itu saja, malah dalam tarian itu terselit isyarat yang menunjukkan berapa lama boleh sampai ketempat tersebut dengan mengambil kira kelajuan angin. Hebatnya lebah tapi tentulah lebih hebat pencipta lebah.
Lebah pula bersemangat waja dan amat berani. Sanggup mati dalam mempertahankan sarangnya. Jangan dok kacau sarang lebah hinggakan ada pepatah " Sarang lebah jangan dijolok" kelak mata bengkak dan "berbaloq". Kalau nak diceritakan tentang lebah amatlah banyak sekali. Dan lebah paling penting dalam pendebungaan dan pembiakan tumbuh-tumbuhan. Lebah merupakan agen pendebungaan yang utama bagi tumbuh-tumbuhan yang menghasilkan bunga yang wangi. Lebah suka tempat wangi.
Mari kita cerita pula tentang langau. langau tiada surahnya dalam Al Quran. Langau tiada apa keistimewaan Satu sayap langau bawa racun dan satu lagi bawa penawar. Sebab itu kalau langau jatuh dalam minuman, selamkan seluruh langau tersebut kedalam air sebelum minum air tersebut. Penawar akan meneutralkan racun. Maka air selamat diminum. Tapi yang paling elok tak payah minum, buang saja air tersebut sebab mana tau kakinya penuh najis. Ini kerana langau amat suka hinggap pada najis dan tempat-tempat yang busuk. Malah langau membiak dalam tempat-tempat yang busuk lagi membusukkan.
Langau tak punya sarang, tiada sistem sosial yang unik, tiada sistem perhubungan yang rumit dan tiada juga keberanian seperti lebah. Pendekata langau " has nothing of interest". Langau hanyalah langau yang menghurung najis. Langau adalah langau yang penakut dan tidak konstruktif dan inovatif seperti lebah. Salah langaukah berperangai demikian? Tidak sesekali. Langau pun Allah jadikan untuk kita buat bandingan. Sesungguhnya tiada satu pun yang Allah jadikan secara kebetulan dan tiada satu pun yang Allah jadikan sia-sia belaka. Allah jadikan lebah dan langau untuk kita ambil pengajaran.
Jadilah lebah yang berani, produktif menghasikan benda-benda yang baik, yang inovatif dari segi sistem perhubungan yang canggih dan yang suka tempat-tempat yang wangi. Jangan jadi langau yang suka tempat busuk, yang dia sendiri pun busuk, yang suka najis dan tiada apa-apa menfaat kepada makhluk lain. Ambil pengajaran dan ambil perhatian. Tanya diri kita ini ... AKU INI ....
LANGAU KE LEBAH ?
Selasa, 27 Oktober 2009
Proting belacang
"Mak cik gak tau, proting-proting. Mak cik tau juai belacang aja." Begitulah kata seorang makcik yang didenda RM600 oleh mahkamah kerana menjual belacan yang kurang kandungan protein. Kurangnya pun tak banyak, cuma 1.25 % sahaja daripada kandungan yang ditetapkan oleh undang-undang. Kesian makcik, jual belacan untungnya tak seberapa, kena denda pula. RM600 bagi makcik penjual belacan adalah banyak. Boleh dibuat belanja dapur sebulan. Tapi itulah undang-undang. Undang-undang tidak mengenal kaya miskin, tua atau pun muda. Tak tau bukan boleh dikatakan tak bersalah.
Sebenarnya inilah pertama kali saya tahu bahawa jual belacan pun kena tau kandungan proteinnya. Sekarang ini kebanyakan kita makan sajalah belacan. Kalau sedap kita kata sedap dan kita beli banyak sikit. Kalau tak sedap kita beli sekali sajalah. Tak tau pulalah berapa kandungan protein belacan tersebut. Nak ukur kandungan protein dalam belacan bukan satu kerja mudah. Saya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam pengkhususan Biologi pun dah lupa macam mana nak selidik kandungan protein dalam makanan. Yang saya tau nak uji tentang kehadiran protein. Kita gunakan Millons reagent. Tapi nak tau banyak mana protein rasanya agak sukar.
Nasib baiklah makcik tu cepat mengaku salah. Kalau makcik tu tak mengaku salah dan minta dibicarakan rasanya susah juga pihak pendakwa. Nak kena terangkan macam mana alat untuk mengukur kandungan protein dalam belacan. Nak kena bagi tau hakim tentang semua perkara tersebut. Rasanya mungkin perbicaraan menjadi lebih menarik. Walaubagaimanapun, dari sekarang semua penjual belacan kenalah berhati-hati dan kenalah mereka ukur berapa kandungan protein dalam belacan yang mereka jual. Lagi senang tak payah jual belacan, tak perlu tau kandungan protein dan taklah kena denda. Selamat.
Apa kena mengena protein dalam belacan dengan guru? Inilah yang saya ingin bicarakan hari ini. Hoi mukadimah punya panjang, baru nak "mai " isi. Semua kita yang bergelar guru tak dapat mengelak daripada memeriksa kertas peperiksaan atau kertas ujian para pelajar. Dalam kita memeriksa kertas pelajar, kekadang kita terlalu "strict". Satu markah pun kita ambil kira. Satu markah pun kalau pelajar tak lulus tetap tak lulus. Kalau markah lulus 41, pelajar yang dapat 40 kita gagalkan. Nak tunjuklah bahawa kita ini "strict" dalam pemarkahan. Adakah ini baik? 40 markah pelajar gagal tetapi 41 markah pelajar lulus. Beza satu markah tetapi itu adalah antara lulus dan gagal. Kalau kertas objektif tak apalah juga tapi kalau kertas subjektif, macam mana? Adakah kita yakin kita memberikan markah yang amat tepat?
Bandingkan situasi ini. Katakan nak pergi haji tambangnya RM10,000. Katakan ada seorang makcik yang hanya ada RM9999. Lagi seringgit dapat pergi haji. Adakah kita terlalu kedekut nak bagi seringgit kepada makcik tersebut. Seringgit sahaja tetapi membolehkan makcik pergi haji. Jauh beza di antara pergi haji dengan tidak. Samalah macam markah. Satu markah sahaja tetapi antara lulus dengan gagal adalah sesuatu yang amat ketara. Oleh itu seruan saya, janganlah kita berkira sangat nak bagi satu markah sekiranya satu markah tersebut membolehkan pelajar tersebut lulus. Semangat pelajar akan berbeza di antara lulus dengan gagal. Satu markah sahaja tapi boleh menambahkan seri di muka.
Saya pernah mengalami perkara seperti ini ketika saya belajar dulu. Dalam Additional Mathematics saya dapat 40 sedangkan markah lulus 41. Cikgu punyalah berkira, satu markah pun saya merayu-rayu tak dapat juga. Akhirnya saya kena rotan dengan pengetua hanya kerana satu markah. Yang dapat 0 pun kena rotan, yang dapat 40 pun kena rotan. Maka samalah yang dapat 40 dengan yang dapat 0 dari segi kena rotan. Kekadang "strict" yang tak bertempat begini merugikan pelajar. Begitulah coretan untik hari ini.
KETEGASAN KEKADANG MERUGIKAN.
Ahad, 25 Oktober 2009
Complete or do not begin
Aur complice noli aur confice. Itulah bahasa latin yang bermaksud " complete or do not begin" ataupun "selesaikan atau jangan mulakan " . Itulah motto bagi Bukit Mertajam High School atau sekarang dipanggil Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam. Itulah sekolah saya dari Tingkatan Peralihan hinggalah Tingkatan Lima. Lama dahhhh.. dah hampir lupa macam mana rupanya. Memang cantik sekolahnya kerana berada di atas bukit yang damai dan tenteram. Tapi kalau nak di bandingkan dengan Ibrahim, tentulah Ibrahim jauh lebih cantik sebab SMK Ibrahim lebih banyak kemudahan yang boleh dimenfaatkan.
Teringat saya di depan tangga inilah kami beratur untuk perhimpunan setiap hari dan para guru akan beratur pula di atas tangga. Apa yang jadi nostalgia, di atas tangga inilah adanya "public canning " saban hari sebab pengetuanya Dr R.D. Naidu merupakan seorang pengetua yang cukup garang. Saya pun biasa kena rotan sebab dapat 40 untuk Additional Mathematics ( 41 markah lulus ). Diatas tangga itulah bunyi rotan menghentam ponggong pelajar. Yang kena rotan dah tak boleh duduk atas kerusi sebab ponggong terasa kebas. Mau tak kebas, 6 rotan ponggong kena libas.
Itulah kenangan yang saya tak boleh lupa hingga sekarang. Saya masih ingat cikgu Cheah Seng Hee yang ajar Mathematik. Dia cukup garang dan jarang senyum. Mungkin cikgu dulu-dulu semua garang mungkin sebab ibu bapa tak pernah saman walapun anak kena pukul sampai berbalur kulit. Mungkin dulu kurang peguam yang banyak masa lapang. Wallahuaklam bissawab. Saya tinggalkan dulu kenangan manis di sekolah lama itu untuk membincangkan tajuk saya hari ini.
"Complete or do not begin ". Cogankata inilah yang patut kita pegang supaya apa juga yang kita rancang dan mulakan, pastikan rancangan tersebut diselesaikan dengan jayanya. Tak guna merancang dengan begitu teliti, memulakannya dengan penuh publisiti tetapi akhirnya sampai sekerat jalan rancangan tak menjadi. Sebab itulah perancangan mestilah betul-betul mengambil kira pelbagai faktor supaya rancangan itu menjadi kenyataan dan berjaya disiapkan. Macam buat bangunan, dalam pelan bagitu cantik, perancangan begitu menarik tapi bangunan tak siap dan tak diselesaikan. Ini amat merugikan.
Samalah dengan perancangan di sekolah. Ada sekolah yang buat laman web yang cukup hebat, bayar yuran beratus-ratus setahun, upah pakar untuk buat laman web yang cukup elok tapi bila pakar sudah pergi, laman web tak pernah dikemaskini. Inilah yang saya amat takuti. Kalau tak boleh kemaskini, tak payahlah buat lama web, buat blog pun dah cukup sebab blog tak kena bayar. Ada laman web yang pengetuanya dah mati tapi masih lagi terpampang sebagai pengetua sekolah tersebut. Kesian , dah mati pun kena tadbir sekolah lagi.
Mengingatkan inilah saya tak menerbitkan laman web untuk PKPKPSM atau Persatuan Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah bagi Kuala Muda Yan kerana saya dah boleh agak tak ada orang nak kemaskinikan nanti. Bila saya pergi ( mungkin mati ) , nama saya masih terpampang dalam laman web tersebut. Tak payahlah buat laman web, buat blog pun dah cukup. Bukan berfikiran negatif, tetapi dah banyak bukti. Malah sesetengah laman web kerajaan pun ada yang masih menyenaraikan nama-nama menteri yang sudah berhenti malah yang dah mati. Mari kita lihat disekolah kita sendiri. Gambar PM kita yang baru mungkin masih belum diletakkan lagi. Masih terpampang gambar PM lama yang telah pun bersara. Mungkin ini perangai orang Malaysia, begitu ghairah nak memulakan sesuatu tetapi sampai di setengah jalan semangat dah menurun. Samalah seperti nak buat surau. Begitu semangat nak buat tetapi bila dah siap nak cari tok imam pun payah. Waktu subuh tok imam lah yang jadi imam dan dia juga yang jadi makmum.
Oleh itu, para pelajar SMK Ibrahim khususnya, apabila nak buat sesuatu rancangan pastikan dibuat perancangan dengan terperinci agar rancangan itu menjadi kenyataan. Jangan jadi macam kata pepatah " Hangat-hangat tahi ayam ".
RANCANG BIAR JADI.
Isnin, 19 Oktober 2009
APC
APC. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Itulah anugerah yang diberikan kepada para pekerja yang menunjukkan kecemerlangan dalam perkhidmatan. Dulu dalam SSB ada istilah melintang dan menegak. Kononnya banyak sangat korupsi dalam pemberian melintang menegak, jadi sekarang ditukarkan pula kepada APC. Dapatlah RM1000. Jadilah untuk belanja menyediakan baju sekolah anak-anak dan untuk bayar cukai jalan. Tu pun kalau kereta 2 biji tak cukup sebab insurans kereta sekarang pun mahal. Sebenarnya dulu dalam SSB pun baik dah tetapi ada yang salah gunakan maka terpaksa tukar.
APC ini perkara sensitif. Banyak yang dok komplen bila tak dapat. Bila dapat depa senyap saja. Biasalah, perangai manusia. Tapi kalau kita ingat balik kepada Allah, kita tak akan komplen sebab yang bagi tu bukan manusia tetapi Allah. Kalau Allah tak bagi, jangan haraplah nak dapat. Kalau Allah nak bagi tak ada siapa boleh menghalang. Itulah hakikat yang kita kena ingat. Kalau kita ingat hakikat ini, kita tak akan marah, tak akan gundah dan darah tak akan naik. Hidup dalam ketenangan dan ketenteraman. Hakikat itulah yang saya pegang dalam apa juga perkara. Mungkin kita tak dapat APC tapi Allah anugerahkan anak-anak yang bijak, harta yang banyak, kesihatan yang baik. Itu semua dah lebih daripada APC. Jadi konsep saya, buat kerja sebaik mungkin, nak dapat ke tak dapat APC , itu kita letak ketepi. Dapat Alhamdulillah, tak dapat pun Alhamdulillah. Yang penting ketenangan jiwa dan itulah APC yang paling hebat.
Tahun ini Pengetua dan kami golongan pentadbir termasuklah semua GKM diajak berunding untuk menentukan siapa yang layak menerima APC bagi tahun 2009. Inilah kali pertama saya diajak berunding. Sebelum ini walaupun telah memegang jawatan GKM, PK Kokurikulum dan PK HEM, saya tak pernah diajak berunding untuk menentukan APC. Nampaknya Pengetua Ibrahim mengambil kira pandangan semua pentadbir dalam menentukan penerima APC. Inilah yang baik dalam menentukan perkara yang penting ini. Jangan buat kerja " one man show " sebab kalau orang marah, semua akan menghala kepada Pengetua seorang saja. Biarlah kerja sebagai satu pasukan, kalau dimarah pun satu pasukan kena marah. Kuranglah sikit beban daripada seorang sahaja kena marah.
Saya sebenarnya suka juga kalau tak dipanggil dalam penilaian APC. Bukan senang nak menentukan siapa yang baik. Semua cikgu Ibrahim baik, semua kerja kuat malah semua layak. Yang tak layak saya seorang sahaja kerana saya kurang baik jika dibandingkan dengan mereka semua. Penilaian APC ini pun akan ditanya Allah. Kenapa kita pilih sipolan dan tidak orang lain. Nak jawab depan Allah bukan senang. nak jawab depan polis pun terketar-ketar, inikan pula depan Allah. Kalau tersilap pilih, kita dapat dosa. Susah ooi, orang yang kita pilih dapat duit, ,kita yang memilih duit tak dapat tapi dapat azab Allah. Nauzubillah.
Dalam pemilihan ni, kena ambil kira macam-macam. Bangsa kena bagi adil, jantina pun kalau boleh nak adil, taraf pendidikan pun mesti adil. Kuota mesti kena ikut. Jadi memilih penerima APC bukan satu kerja yang mudah. Jadi saya "salute" kepada Pengetua yang boleh buat kerja secara "one man show ". Walaubagaimanapun selepas berbincang panjang dan lihat rekod-rekod yang lepas, akhirnya dapatlah satu senarai penerima APC untuk tahun ini. Saya harap semua setuju. Jangan dok komplen lagi noo, sebab kami bincang panjang nak pilih pun. Semua perkara dah diambil kira dan semua ada sebab yang konkrit kenapa mereka dipilih. Tahun depan dapatlah mereka APC. Kita tukang pilih dapatlah tersengih nampak gusi. Puas hati kerana memilih yang betul-betul layak dan berbakti.
APC KEKADANG PUNCA BERKELAHI.
Sabtu, 17 Oktober 2009
Bila IQ berbeza
Ini ialah kisah dari zaman purba. Cerita ini mengisahkan Abu Nawas, seorang gembala kambing yang popular pada zaman itu dengan seorang raja yang adil dan yang baik.
Pada suatu hari raja terdengar tentang kehebatan Abu Nawas yang bijak berkata-kata dan berhujah. Raja pun panggil Abu Nawas ke istana untuk satu ujian pemahaman dan menguji kecerdikan Abu Nawas.
Di pendekkan cerita maka sampailah Abu Nawas ke istana raja yang tersergam indah. Siap dengan dayang dan khadam serta pembesar-pembesar istana yang berpakaian indah-indah belaka.
Tapi amat terkejut Abu Nawas sebab raja tak berkata-kata sebaliknya menggunakan bahasa isyarat sahaja. Kacau bilau strategi Abu Nawas. Maka bermulalah dialog yang tanpa suara itu dengan menggunakan bahasa isyarat.
Raja pun angkat satu jari telunjuk dan dibalas oleh Abu Nawas dengan mengangkat dua jari, satu jari telunjuk dan satu lagi jari hantu. Raja mengangguk menandakan betul. Abu Nawas lega sebab raja tidak murka.
Raja kemudiannya mengeluarkan bawang, Abu Nawas pula keluarkan sebiji telur. Raja angguk juga tanda setuju dan Abu Nawas urut dada.
Raja mengangkat kedua-dua tangan dan membuat satu urutan macam bulatan, Abu Nawas tunjuk penumbuk kepada Raja. Raja angguk lagi dan lapang dada Abu Nawas.
Semasa proses ini berlaku, ramailah penghuni istana yang melihatnya dan mereka tercengang-cengang tak mengetahui apa maksudnya.
Selepas selesai dialog tersebut, maka bertanya Bendahara kepada Raja tentang soalan dan jawapan dalam dialog tersebut. Raja pun menceritakan satu persatu.
" Pertama beta tunjukkan satu menandakan Allah itu satu dan Abu Nawas jawab dua menandakan tak cukup Allah saja, mesti ada Rasulullah, baru mantap agama kita. "Tentulah betul kata Raja.
"Kedua beta keluarkan bawang menandakan dunia ini berlapis-lapis seperti bawang dan Abu Nawas keluarkan telur menandakan Allah mampu buat apa saja. Nak buat bumi yang berlapis pun boleh nak buat bumi yang tak berlapis macam telur pun boleh. "Tentulah betul jawapan Abu Nawas.
"Ketiga beta buat tanda bulatan menunjukkan Allah pemerintah sekelian alam dan Abu Nawas menggenggamkan penumbuknya menandakan semua Alam ini adalah dalam kekuasan Allah. "Sekali lagi betul.
Bijak Abu Nawas dalam pemikiran Raja.
Pergi pula Bendahara kepada Abu Nawas untuk bertanyakan pemahaman Abu Nawas pula.
Ini versi Abu Nawas:
"Pertama Raja tunjuk satu sebab dia nak seekor kambing, maka aku tunjuk dua sebab aku nak bagi dua." Raja suka.
"Kedua raja ajak aku makan bawang, aku keluarkan telur sebab bawang dengan telur lebih sedap." Raja seronok lagi.
"Ketiga Raja tunjukkan isyarat tangan menunjukkan dia nak kan semua kambing aku, apa lagi aku tunjuk penumbuklah. Mana boleh ambil semua kambing aku." Raja pun takut kepada aku.
Itulah bila dua orang yang berbeza IQ berbicara. Begitulah pengalaman para guru bila berbicara dengan sesetengah pelajar yang terlalu jauh taraf kecerdikannya. Oleh itu dalam sesetengah hal, guru perlu menurunkan taraf kecerdikannya agar sama dengan pelajar agar tidak menjadi seperti Abu Nawas dengan Raja.
IQ BERBEZA SUSAH BICARA.
Di pendekkan cerita maka sampailah Abu Nawas ke istana raja yang tersergam indah. Siap dengan dayang dan khadam serta pembesar-pembesar istana yang berpakaian indah-indah belaka.
Tapi amat terkejut Abu Nawas sebab raja tak berkata-kata sebaliknya menggunakan bahasa isyarat sahaja. Kacau bilau strategi Abu Nawas. Maka bermulalah dialog yang tanpa suara itu dengan menggunakan bahasa isyarat.
Raja pun angkat satu jari telunjuk dan dibalas oleh Abu Nawas dengan mengangkat dua jari, satu jari telunjuk dan satu lagi jari hantu. Raja mengangguk menandakan betul. Abu Nawas lega sebab raja tidak murka.
Raja kemudiannya mengeluarkan bawang, Abu Nawas pula keluarkan sebiji telur. Raja angguk juga tanda setuju dan Abu Nawas urut dada.
Raja mengangkat kedua-dua tangan dan membuat satu urutan macam bulatan, Abu Nawas tunjuk penumbuk kepada Raja. Raja angguk lagi dan lapang dada Abu Nawas.
Semasa proses ini berlaku, ramailah penghuni istana yang melihatnya dan mereka tercengang-cengang tak mengetahui apa maksudnya.
Selepas selesai dialog tersebut, maka bertanya Bendahara kepada Raja tentang soalan dan jawapan dalam dialog tersebut. Raja pun menceritakan satu persatu.
" Pertama beta tunjukkan satu menandakan Allah itu satu dan Abu Nawas jawab dua menandakan tak cukup Allah saja, mesti ada Rasulullah, baru mantap agama kita. "Tentulah betul kata Raja.
"Kedua beta keluarkan bawang menandakan dunia ini berlapis-lapis seperti bawang dan Abu Nawas keluarkan telur menandakan Allah mampu buat apa saja. Nak buat bumi yang berlapis pun boleh nak buat bumi yang tak berlapis macam telur pun boleh. "Tentulah betul jawapan Abu Nawas.
"Ketiga beta buat tanda bulatan menunjukkan Allah pemerintah sekelian alam dan Abu Nawas menggenggamkan penumbuknya menandakan semua Alam ini adalah dalam kekuasan Allah. "Sekali lagi betul.
Bijak Abu Nawas dalam pemikiran Raja.
Pergi pula Bendahara kepada Abu Nawas untuk bertanyakan pemahaman Abu Nawas pula.
Ini versi Abu Nawas:
"Pertama Raja tunjuk satu sebab dia nak seekor kambing, maka aku tunjuk dua sebab aku nak bagi dua." Raja suka.
"Kedua raja ajak aku makan bawang, aku keluarkan telur sebab bawang dengan telur lebih sedap." Raja seronok lagi.
"Ketiga Raja tunjukkan isyarat tangan menunjukkan dia nak kan semua kambing aku, apa lagi aku tunjuk penumbuklah. Mana boleh ambil semua kambing aku." Raja pun takut kepada aku.
Itulah bila dua orang yang berbeza IQ berbicara. Begitulah pengalaman para guru bila berbicara dengan sesetengah pelajar yang terlalu jauh taraf kecerdikannya. Oleh itu dalam sesetengah hal, guru perlu menurunkan taraf kecerdikannya agar sama dengan pelajar agar tidak menjadi seperti Abu Nawas dengan Raja.
IQ BERBEZA SUSAH BICARA.
Khamis, 15 Oktober 2009
Mind set
Kelmarin ada satu taklimat oleh Tuan Pengetua kepada para pelajar Tingkatan 5 berkenaan dengan penggredan baru SPM. Tak ada dah 1A, 2A dan sebagainya tetapi ada A+, A, A-, B+ dan sebagainya. Disamping menyampaikan tentang penggredan yang baru itu, beliau memberri sedikit nasihat yang berguna kepada para pelajar yang bakal menduduki SPM akhir tahun ini. Tak lama dah. Lebih kurang sebulan lagi.
Beliau juga menyentuh tentang mind set. Kalaulah kita suruh pelajar melukis cawan , nescaya mereka akan lukis cawan seperti gambar disebelah. Tangkai cawan akan mengikut penggunaan tangan sipelukis. Kalau pelukis kidal, maka tangkai cawan akan berada disebelah kiri. Kalau sipelukis bukan kidal, maka tangkai cawan mesti disebelah kanan. Itulah mind set tentang tangkai cawan. Kalau disuruh lukis pemandangan, mestilah yang dilukis sebuah pondok bertiang empat, dua batang pokok kelapa, dua bukit yang ditengah-tengahnya ada matahari serta dua tiga ekor burung. Itu mind set tentang lukisan pemandangan bagi kebanyakan pelajar.
Waktu saya berada di tingkatan lima, ramailah pelajar yang berjinak-jinak dengan rokok. Kononnya kalau tak merokok bukan lelaki sebenar. Tercabar dengan kenyataan itu, saya pun cuba menghisap rokok. Pening dan termuntah-muntah dibuatnya. Terus saya tak pernah merokok hingga sekarang. Lagi pun saya tengok perangai perokok ni teruk benar terutama yang tiada duit. Sebatang kongsi 3 orang. Air liur yang terlekat diputing rokok bercampur aduk. Naik geli geleman. Itu mind set tentang merokok.
Sewaktu saya di universiti satu lagi mind set iaitu pelajar universiti mesti rambut panjang. Yang ini saya ikut juga sampai mak saya tak kenal bila balik kampung. Mak pun tegur dan saya terus potong rambut. Sekarang rambut panjang saya tak minat langsung, saya suka rambut pendek yang menampakkan kulit kepala. Mandi senang, kepala bersih, syampu pun jimat dan gunting rambut pun murah sebab tukang gunting mudah kerja.
Itulah beberapa contoh tentang mind set. Samalah macam mat dan minah rempit. Bila mat dan minah rempit mesti lumba setengah mati, mesti ada wiley dan lepas semua tu mesti minum arak atau beer. Lebih kuat mabuk, lebih kuat wiley dan lebih cepat mati. Boleh tak ubah mind set sedikit. Lepas merempit pergi ke surau sembahyang tahajud sebab selalunya merempit pada malam hari. Kan baik tu. Kalau nak mati pun, mati lepas sembahyang tahajud. Lebih baik daripada mati selepas minum arak.
Itulah bebarapa mind set yang ada dalam masyarakat kita yang terus menerus diamalkan sebab "dah biasa " dan "dah selesa". Pendekata itulah amalan turun temurun. Bila ada konsert mesti ada penyanyi. Boleh tak di buat konsert tapi penyanyi ditukarkan dengan acara deklamasi sajak ataupun orang mengaji Al Quran. Mula-mula memang nampak pelik tapi bila "dah biasa" hilang kepelikannya. Oleh itu eloklah kita mula mengubah mind set kita agar kita menjadi manusia yang lebih hebat, lebih baik dan lebih bermakna.
MIND SET UPSETS.
Sabtu, 10 Oktober 2009
Insya Allah.
Petang tadi setelah saya baru saja sampai daripada melawat rumah di Bukit Merah, Taiping datanglah seorang kenalan yang menjemput kenduri dirumahnya pada hari Sabtu depan. Memanglah sekarang, semakin dekat dengan cuti penggal semakin banyak kenduri yang dibuat di sana-sini. Ada saja kenduri saban minggu terutama pada hari Ahad ataupun Sabtu. Alhamdulillah, menjeritlah syaitan panjang-panjang apabila melihat sepasang mempelai diijabkabulkan. Begitulah hakikatnya, syaitan akan menjerit kecewa apabila sepasang teruna dara berjaya diijabkabulkan.
Berbalik kepada jemputan tadi, saya macam biasalah akan menjawab " Insya Allah " lalu dia membantah dan berkata,
" Jangan Insya Allah, pergilah kenduri aku tu ". Lagi sekali saya jawab "Insya Allah " dan dia terus membantah meminta saya pergi juga.
Lalu saya jawab , " Insya Allah, kalau umur masih dipanjangkan saya akan pergi ".
Baru dia puas hati. Begitulah kebanyakan orang kita tentang Insya Allah. Bagi kebanyakan orang, mungkin Insya Allah digunakan sebagai satu cara untuk meremehkan sesuatu perkara. Bagi sersetengah orang, Insya Allah akan digunakan jika dia merasai tidak mampu menunaikan sesuatu permintaan. Maknanaya dengan menyebut Insya Allah, dia bebas tidak menunaikan permintaan tersebut.
Insya Allah maknanya "dengan izin Allah". Memang kita kena sebut Insya Allah dalam apa juga pekerjaan kerana semua perkara yang berlaku adalah dengan izin Allah. Tanpa izin Allah, tak mungkin sesuatu perkara itu boleh berlaku. Kalau kita makan panadol selepas demam, kita kena sebut Insya Allah baik. Maknanya dengan izin Allah kita jadi baik. Bukan panadol yang bagi baik tetapi Allah. Panadol itu usaha kita, tetapi yang bagi baik itu ialah Allah. Doktor yang merawat pesakit pun mesti selalu sebut Insya Allah sebab dia hanya merawat tetapi yang bagi baik Allah.
Begitulah juga dalam pelajaran. Selepas kita belajar bersungguh-sungguh dan ambil periksa, kita kena sebut Insya Allah saya akan berjaya. Ini bermaksud kita meletakkan kejayaan kita adalah kerana Allah. Tanpa izin Allah, tak mungkin kita akan berjaya. Begitulah sifat seseorang yang senantiasa mengingati Allah. Dalam setiap pekerjaan kebergantungan kepada Allah jangan sesekali dilupakan. Tetapi, yang jadi masalahnya ialah perkataan Insya Allah disalahgunakan untuk meletakkan alasan kepada Allah apabila tidak mahu melakukan sesuatu pekerjaan. Ini adalah sesuatu yang amat tidak baik dan amat tidak beradab kepada Allah.
Oleh itu rajin-rajinlah menyebut Insya Allah sebagai lambang kita mengakui kekuasaan Allah dan sebagai lambang kita adalah hamba Allah. Apalah yang hamba mampu buat tanpa keizinan daripada tuannya?
INSYA ALLAH PENENTU SEGALA.
Jumaat, 9 Oktober 2009
Tuisyen.
Tuisyen , itulah satu istilah yang tak lekang daripada pelajar SMK Ibrahim. Mereka saban hari tuisyen. Bukan sedikit duit yang dilaburkan untuk tuisyen. Mak bapak pun tak kiralah menghabiskan masa dan wang untuk hantar anak ke pusat tuisyen. Pendek kata tuisyen dah jadi macam wajib. Kalau kita nak buat kelas tambahan pun payah sebab masing-masing terikat dengan tuisyen. Tak cukup siang, malam pun tuisyen lagi. Tak cukup di Sungai Petani, ada yang pergi tuisyen di Bukit Mertajam. Memang depa tuisyen sungguh. Itulah trend yang ada dimana-mana sekarang ini. Ibu bapa rasa tak lengkap kalau tak hantar anak mereka ke tuisyen.
Memang bagus tuisyen ini kalau digunakan dengan baik. Tuisyen sekurang-kurangnya boleh mendisiplinkan pelajar untuk belajar diwaktu yang terluang. Kalau tak dihantar ke kelas tuisyen, mungkin ramai yang melepak di kafe siber untuk main "video games". Masa yang terluang dibuang begitu saja. Dengan adanya tuisyen mereka dapat mendisiplinkan diri untuk belajar.
Itulah untungnya pelajar SMK Ibrahim sebab mereka boleh pergi tuisyen disamping belajar disekolah. Kalau palajar asrama penuh, mereka payah sedikit nak keluar tuisyen sebab terikat dengan undang-undang asrama. Mereka boleh juga pergi tuisyen tetapi agak terbatas. Mungkin ini juga satu sebab kenapa prestasi pelajar-pelajar SMK Ibrahim amat memberangsangkan.
Tuisyen juga ada kesan negatifnya. Saya dulu pun pernah membuka kelas tuisyen di rumah. Kekadang pelajar-pelajar lebih percaya kepada guru tuisyen daripada guru disekolah. Padahal yang ajar tuisyen tu pun guru sekolah juga. Pernah sekali pelajar mengatakan guru sekolahnya salah ketika saya menerangkan sesuatu perkara. Ini kerana guru sekolahnya menerangkan dengan cara yang berbeza. Saya terpaksa membela guru sekolah tersebut dengan mengatakan dia juga betul tetapi pendekatannya berbeza. Setelah selesai tuisyen, mereka rasa seperti cukup puas dengan apa yang diberikan. Malah ada beberapa orang yang datang kerumah saya selepas keputusan STPM untuk mengucap terima kasih kerana mereka mencapai keputusan yang amat baik. Lagi sekali saya kena terangkan yang keputusan yang baik bukan kerana saya mengajar tetapi gabungan daripada guru di sekolah, tuisyen saya dan usaha para pelajar sendiri. Lalu saya sarankan mereka berjumpa guru sekolah dan ucapkan terima kasih banyak-banyak.
Zaman saya dulu tak pula ada kelas tuisyen tetapi kami mencapai keputusan yang baik juga. Anak-anak saya sendiri tak pernah saya hantar ke tuisyen tapi kedua-duanya dah jadi jurutera yang berjaya. Kalau kita boleh mengajar dan mendisiplinkan anak untuk belajar di rumah apa gunanya tuisyen? Kita boleh tuisyen dirumah dengan membeli buku-buku dan mengarahkan mereka untuk membuatnya mengikut jadual tertentu. Hasilnya tuisyen tak perlu tetapi keputusan anak-anak tetap cermerlang. Bagi yang tak mampu nak mengajar anak sendiri, eloklah hantar ke tuisyen. Sekurang-kurangnya masa yang terluang dapat digunakan dengan cara yang lebih bermakna.
Untuk para pelajar, saya sentiasa ingatkan bahawa guru tuisyen yang mengajar adalah juga guru biasa yang mengajar disekolah. Tiada apa kelebihannya jika dibandingkan dengan guru sekolah yang lain. Janganlah hendaknya para pelajar terlalu mengagumi guru tuisyen sehingga memandang sepi peranan guru sekolah. Malah guru sekolah mengajar lebih banyak masa daripada guru tuisyen. Malah saya pernah mencabar para pelajar yang terlalu taksub dengan tuisyen supaya berhenti sekolah dan menumpukan sepenuh masa untuk tuisyen. Lihat sama ada mereka lebih berjaya atau pun tidak. Malah ramai juga yang kita lihat, para pelajar yang pergi tuisyen tapi tetap gagal. Ramai juga yang tak pergi tuisyen tapi berjaya. Maknanya kejayaan bukan bergantung kepada kelas tuisyen.
TUISYEN BUKAN PENENTU KEJAYAAN.
Ahad, 4 Oktober 2009
Hutang
Kelmarin hari Sabtu, 3 Oktober 2009 adalah hari keluarga bagi warga SMKI di Resort Tanjung Dawai. Sebelum itu ada satu kursus berkenaan dengan mengawal tekanan. Penceramahnya cukup bagus. Tiga jam berlalu rasanya sekejap sahaja. Penuh dengan tauladan dan contoh-contoh yang begitu mengesankan. Memang Pn Normah Hussain ( baru bersara sebagai PK SM Teknik SP 2 ) seorang penceramah yang baik. Lepas ni semua guru SMKI tak akan lagi ada "stress" sebab dah pandai mengawal "stress".
Tapi yang saya tertarik dengan Pn Normah ialah dia tak pernah berhutang. Payah tu nak ada orang yang tak pernah berhutang pada zaman moden ini. Memang Pn Normah patuh dengan nasihat arwah ayahnya yang jangan membeli kalau kena berhutang. Salute to you Pn Normah. Jauh sekali jika dibandingkan dengan ramai orang lain yang hutang keliling pinggang. Kekadang bukan hutang keliling pinggang tetapi keliling leher. Sampai nak lemas terjerut dengan hutang. Memang hutang sesuatu yang kalau boleh perlu dielakkan terutama hutang yang melibatkan riba. Dalam Islam riba tu haram. Tapi bank pandai, depa tak kata riba, depa kata "interest" maknanya faedah. Pinjam bank ada faedah. Baguslah sebab ada faedah. Kalau kata pinjam bank ada riba, tentu kurang orang nak pinjam. Begitulah kita kekadang tertipu dengan istilah yang kabur.
Tapi sekarang hutang dah tak ada riba sebab dah ada Bank Islam dan kebanyakan bank perdagangan dah menyediakan perbankan Islam. Alhamdulillah, senang sikit kalau nak berhutang. Tiada riba maknanya hutang jadi halal. Lega sikit semenjak ada perbankan Islam.
Apa yang saya nak bincangkan hari ini ialah hutang itu ada kebaikannya jika digunakan kearah yang baik. Contohnya saya beli rumah pun hutang. Mana nak cari duit ratusan ribu. Waktu saya beli rumah tu berharga RM130,000 ( pada tahun 1986 ). Setelah dicampur dengan keuntungan yang bank kenakan menjadi RM210,000. Saya beli rumah tahun 1986 dan akan habis dibayar pada tahun 2011. Maknanya 25 tahun. Tapi sekarang nilai rumah saya jauh melebihi RM210,000. Kan dah untung tu. Kalau dikira dengan sewa yang kita mesti bayar kalau tak membeli rumah lagi banyak untung. Katakan sewa RM400 sebulan, kalau 25 tahun maknanya sewa yang kena dibayar ialah sebanyak RM120,000. Dah nak sama dengan harga rumah semasa dibeli. Tapi kalau beli kereta memanglah rugi sebab kereta harganya menyusut.
Kawan saya di Bota Kiri Perak, berhutang untuk beli tanah. Dia beli 36 ekar tanah dengan harga RM40,000 sahaja. Kira mahallah sebab masa dia beli kedudukan tanah tu terpencil. Tapi pada tahun 1995, satu lebuhraya dibina dekat tanahnya. Harga tanah melambung menjadi ratusan ribu seekar. Maknanya kalau tanah tu di jual sekarang, nilainya menjadi jutaan ringgit. Sedangkan bayaran yang bank kenakan cuma beberapa puluh ribu sahaja.
Hutang juga boleh dianggap sebagai "forced saving". Kalau tak berhutang, kita berbelanja tanpa sekatan. Tapi bila ada hutang, perbelanjaan terpaksa dirancangkan. Maknannya kita sudah ada satu disiplin dalam perbelanjaan.
Kesimpulannya bukan semua hutang tak baik. Malah Islam pun membenarkan berhutang. Sebab tu ada Bithaman Ajil dan lain-lain lagi. Asalkan hutang cara Islam dan hutang digunakan untuk membeli harta yang nilainya meningkat. Maka hutang begitu menguntungkan. Kalau hutang untuk labur dalam skim cepat kaya, alamat cepat jadi papa. Itulah cerita serba sedikit tentang hutang. Mungkin ramai tak setuju dengan saya, tapi itulah pendapat saya.
HUTANG TANPA RIBA BANYAK LABA.
Langgan:
Catatan (Atom)