Jumaat, 26 Februari 2010

Perfect package

Beberapa hari yang lalu, saya dan isteri pergilah mengisi minyak di Taman Sejati. Biasalah, saya dan isteri kenalah ke Kedah Medical Centre setiap 3 bulan untuk buat "mamogram" sebab isteri saya pernah mendapat "breast cancer". Alhamdulillah , setakat ini "breast cancer" isteri saya tidak berulang. Saya sentiasa mendoakan agar isteri saya tidak lagi dihidapi mana-mana penyakit yang berbahaya seperti "breast cancer". Kalau kena cancer, macam kena hukuman mati yang ditangguhkan sementara. Sebenarnya semua kita dah dikenakan hukuman mati oleh Allah,hukuman mati madatori,cuma masanya tak taulah. Mungkin esok, lusa ataupun beberapa tahun lagi. Yang pasti semua dah kena hukuman mati. Tetapi bezanya hukuman mati disebabkan  cancer lebih memilukan dan lebih menggerunkan. Alhamdulillah, isteri saya sihat dan tiada lagi kesan-kesan cancer dalam badannya. 

Apa pula melalut ni? Susah, kalau dah mula menaip, nak kawal jari-jari payah. Apa yang keluar dari otak terus pergi kejari-jari dan mulalah mengetuk kekunci pada komputer. Sebenarnya cerita ini bukan cerita cancer. Ceritanya isi minyak di Taman Sejati. Bila saya dan isteri sampai saja di stesen minyak itu, datanglah seorang gadis yang saya sangka atendan pam minyak . Begitu berbudi bahasa dia menegur isteri saya sambil menolong kami untuk mengisikan minyak. Dengan muka yang manis, dengan suara yang diatur lembut, dia datang bersalaman serta mencium tangan isteri saya. Kemudian dia berborak dengan isteri saya sambil mengepam minyak kedalam tangki. Bila habis minyak dipam dan duit dibayar, dia melambai-lambaikan tangan sewaktu kami keluar dari stesen minyak tersebut. Suspen ke? Tak aih, cerita orang pam minyak saja.

Dalam kereta , saya tanyalah isteri saya, siapa atendan yang sangat berbudi bahasa tu. Isteri saya menjawab , itu bukan atendan tetapi anak kepada pemilik petrol pam tersebut. Maknanya dia anak orang kayalah. Lalu isteri saya menyambungkan cerita mengatakan dia adalah anak muridnya di SMK Pengkalan Lebai Man. Sekolah tempat isteri saya mengajar. Tambah isteri saya, perempuan itu dahlah cantik, baik, berbudi bahasa, kaya dan rajin pula. Pandai merendah diri sebab sebelum ini isteri saya tak sangka bahawa dia adalah anak pemilik pam minyak. Itulah ciri-ciri "the perfect package" yang saya ingin ceritakan disini. OLeh itu sesiapa yang nak cari menantu bolehlah pergi merisik sebab itulah "the perfect package" yang saya jumpa. Tapi perlu ingat, yang nak dijodohkan dengannya tu adakah "perfect package"? Renung-renungkanlah.

Malah isteri saya mengatakan yang dia sangat rajin membantu tanpa mengira penat lelah. Kalau ada jamuan kelas, dia sentiasa bertungkus lumus menyediakan macam-macam peralatan untuk jamuan tersebut. Pendekata ringan tulang. Satu lagi yang hebatnya ialah dia sentiasa mengucapkan terima kasih kepada sebarang pemberian, Pernah isteri saya menjamu sedikit makanan dan dia mengucapkan terima kasih dengan begitu bersemangat . Pada hal dia anak tokey pam minyak, makanan yang sedikit itu rasanya dia boleh dapat hari-hari. Itulah "appreciation" yang ditunjukkanm kepada setiap pemberian

Itulah yang saya nak tekankan kepada para pelajar. Always appreciate your teachers in  the best way possible. Jangan berfikir yang guru-guru mungkin tidak sekaya bapa kamu, maka kamu memandang rendah kepada guru-guru. Maklumlah bapa kamu bawa merc, cikgu hanya bawa carnival buruk. Itu adalah satu sifat yang tak sepatutnya ada kepada semua pelajar. Ketika di Kolej Tun Datu Patinggi Haji Bujang Miri, saya terjumpa "the perfect package " ini. Pelajar ini bernama Lucy Mary Johnson. Mungkin dah jadi doktor sekarang. Cukup cantik, cukup baik, berbudi bahasa dan dia merupakan anak seorang jurutera Shell yang gajinya cukup lumayan. Saya masih teringat lagi, sampai sekarang satu peristiwa yang mengharukan. Ketika saya keluar daripada mengajarnya pada suatu hari, selepas semua bangun dan mengucapkan " Thank You Sir ", dia datang berjumpa saya di pintu kelas dan mengucapkan lagi sekali "Thank you teacher for teaching me". Saya tanya kenapa mengucapkan sekali lagi. Dia kata itu adalah ucapannya secara peribadi untuk menghargai ajaran saya. Saya amat terharu dan di bilik guru saya ceritakan kepada semua guru. Mereka kata itu perkara biasa bagi seorang pelajar pintar yang cantik, kaya yang bernama Lucy Mary Johnson. Semenjak itu setiap kali saya di pintu kelas, dia akan datang mengucapkan " Thank you sir for teaching me". Itulah "the perfect package" yang saya jumpai.

ARE WE THE PERFECT PACKAGE?

Khamis, 18 Februari 2010

Betulke?

Sekarang ini heboh pasal sambutan Maulidul Rasul. Orang ini kata dia betui, yang seorang lagi kata dia betui. Biasalah, bila bergaduh macam tulah bunyi dia. Yang penting tentu ada satu yang betul dan satu yang tak betul ataupun dua-dua betul. Betulke? Ikut sukalah nak bertekak macam mana pun, tapi bertekak tu bagus juga, menunjukkan publisiti yang begitu meluas telah diberikan kepada sambutan Maulidul Rasul. Teruskan bertekak untuk mengingati kalahiran Junjungan kita Rasulullah yang kita amat sanjungi. Kata orang bertekak macam tu ialah positif, untuk mengingati kelahiran Rasulullah, memanglah hebat.

Pagi ini saya melayari internet, jumpa satu artikel yang pelik lagi tak bersuluh. Mana punya hujah dia ambil saya pun tak tau. Saya amat terkilan bila dia mengatakan yang bulan kelahiran Rasulullah iaitu Rabiul Awal lebih mulia daripada Ramadhan. Selalunya saya tak mau masuk campur hal-hal sensitif begini, tetapi sekarang dah lebih. Untuk peringatan, bulan Ramadhan disebut dalam Al Quran, tapi bulan Rabiul Awal tak disebut dalam mana-mana ayat Al Quran, malah hanya bulan Ramadhan sajalah yang disebut dalam Al Quran. Kalau dah bulan Ramadhan disebut dalam Al Quran, buat apa nak pertikai lagi. Malah kalau nak dikupaskan tentang kelebihan bulan Ramadhan , rasanya tak cukup kalau saya buat 10 perenggan lagi. Enough is enough.Cukuplah dok bertekak jangan sampai lari akidah. Bertengkar biar membina bukan untuk meruntuhkan iman. Takkan kita nak pertikai apa yang Allah tetapkan. Allah dah tetapkan bulan Ramadhan paling mulia, yang hang dok kata Rabiul Awal lebih mulia pasai apa?

Antara kelebihan Ramadahan ialah 1. bulan Al Quran diturunkan, 2.bulan yang ada Lailatul Qadar, 3.bulan yang ada paling banyak rahmat, 4. bulan yang syaitan ditambat, 5. Bulan yang diwajibkan kita berpuasa , malah kalau berperang pun orang Islam menang sentiasa. Bulan Rabiul Awal hanyalah mencatatkan kelahiran Rasulullah. Bukan bermakna bulan kelahiran Rasululah tak penting, tapi yang saya tekankan disini bulan Ramadhan yang terbukti lebih penting. Bukan saya yang kata tetapi Allah yang berfirman melalui Al Quran. Tak kanlah itu pun masih tak faham.

Pengajarannya ialah sebelum bertengkar atau berbincang atau bertekak, sediakan dulu garis panduan. Ini untuk menentukan yang bertengkar itu tidak melebih sempadan. Takut kerana bertekak, iman gugur. Rugi yang teramat sangat. Orang boxing pun ada pagar sebab boxing hanya dalam gelanggang. Diluar gelanggang depa sama-sama minum kopi dan balik rumah naik kereta sekali. Macam tulah kita pun, kita rakyat Malaysia, jagalah keharmonian negara. Jangan dok bertengkar sampai iman kita sendiri yang gugur. Kata orang nak menegakkan rumput sehelai jangan sampai satu bendang kerja terbengkalai ( peribahasa saya cipta sendiri ).Buat bendang tu bagi beres dulu, kemudian bila dah kerja semua dah beres, masa banyak lagi, tak tau nak buat apa dah barulah pi menegakkan rumput yang sehelai tu. Rasanya semua pihak kena fahamlah perkara ini... Banyak lagi perkara lain yang kita kena buat, yang dok bergaduh pasai bulan tu sebab apa? Kerja yang lain semua dah selesai ke?

PERJUANGAN BELUM SELESAI.





Selasa, 16 Februari 2010

Figures

Baru balik daripada menghadiri kenduri di rumah adik ipar di Kuala Selangor. Letih juga sebab kena jugalah meringankan tulang sebab dulu waktu kenduri saya depa pula meringankan tulang  membantu saya dengan begitu tekun sekali. Letih tetapi berbaloi kerana membantu keluarga yang terdekat. Itulah "berderau" tenaga yang kita amat perlukan ketika kita menghadapi kecemasan serta kesibukan yang amat sangat. Alhamdulillah, kenduri berjalan dengan lancar dan tanpa apa-apa kejadian yang memilukan. Syukur padamu Allah.

Sampai dirumah bukalah tv dan terbukalah pula program "business news". Lalu diceritakanlah tentang orang- orang kaya di Malaysia. Diceritakan yang terkaya di Malaysia mempunyai harta puluhan billion. Yang kelima terkaya pun mempunyai harta melabihi 10 billion.Berapa satu billion tu? bersamaan dengan 1,000,000,000 atau pun lebih mudah lagi 1000 juta. Banyak ooiiiiiihhhh. Kalau ada duit satu bilion ringit, maknanya ada  RM1000 juta. Maknanya kalau kita himpunkan selonggok sejuta, maka kita ada 1000 longgok. Seribu longgok duit sejuta. Banyak tu. Kata orang belanja sampai mati pun tak habis. Malah kalau dia dimatikan 5 kali dan dibangunkan lima kali lagi, tu pun belanja tak habis. Buat apa duit banyak sangat tu?

Orang miskin dikampung mungkin tak tau nak congak banyak mana satu  billion itu. Istilah orang kampung ialah ribu, juta , laksa. Mai mana laksa saya pun tak tau mungkin dah terlalu banyak mereka teringatkan laksa yang banyak urat tu. Lepas laksa kalau ditanya lagi tentu depa kata bihun pula sebab bihun lagi banyak urat-uratnya daripada laksa. Lagi pun adakah mereka perlu membilangnya, untuk apa? Samalah seperti kita yang tak kaya, perlukah kita tahu nilai duit satu billion itu. Kita sebagai guru hanyalah perlu tahu untuk matematik sahaja. Tak lebih dari itu. Oleh itu saya sikit pun tak terasa apa-apa kalau dikatakan si anu kaya berbillion ringgit dan si nun pula kaya bertrilllion rupiah. Untuk apa? sebab bukan kita dapat menfaat apa-apa. Tauke tu kaya, tapi barangan yang dikeluarkannya mahal juga. Lainlah kalau dia kata sebab dia terlalu kaya, maka produk keluarannya turun harga. Adalah juga menfaat. Kita dengar cerita mereka kaya samalah seperti kita mendengar cerita Bill Gate kaya. Dia kaya, tapi kita untung apa?

Orang miskin tak mau dengar siapa kaya berbillion ringgit, tapi depa nak dengar depa dapat apa daripada kekayaan itu. Kekayaan yang begitu hebat tanpa agihan yang saksama tidak mendatangkan apa-apa makna. Cuma yang kita akan dengar lepas ini ialah si kaya membelikan jet-jet peribadi yang serba canggih, sikaya membelikan beg-beg tangan yang berharga ratusan ribu, sedangkan si papa terus melata, simiskin dok teruk kena "pekin" dan yang makan gaji dok kena berjimat hari-hari. Inilah yang dikatakan kekayan yang tidak mendatangkan keberkatan. Apa guna kaya kalau tak berkat. Lebih baik miskin tetapi Allah berkati. Di akhirat kita tak disoal tentang kekayaan harta tetapi kekayaan amal ibadat. Jadi jangan dok megah berlebihan kalau kita lihat orang kaya-kaya kerana mereka dengan kita kekadang jauh beza. Kita ada ketenangan jiwa yang kekadang mereka tak pernah rasa.

Bantal emas belum tentu menjadikan tidur nyenyak. Pinggan emas belum tentu menjadikan selera makan. Kereta hebat belum tentu menjadikan perjalanan berkat. Pendekata semuanya terpulang kepada Allah. Keberkatan Allah itulah yang kita kejari. Harta dunia hanyalah sementara kita masih bernyawa, masih boleh menggunakan pancaindera. Ketika kita sakit, nak makan tak boleh, wang berjuta hanyalah figures yang tiada makna apa-apa. Bukan tak boleh kaya, tapi yang tak boleh ialah menjadikan harta benda itu sebagai matlamat hidup. Itu yang merosakkan kita. Kata orang " harta hanyalah setakat ditangan, jangan bawa masuk ke hati.

FIGURES JUST NUMBERS.

Jumaat, 12 Februari 2010

Log Out

Log Out, satu bahasa komputer yang bermaksud tutup. Macam kita buka pintu dan kemudian tutup. Laman web kita boleh diaumpamakan seperti sebuah pejabat tempat kita bekerja. Selepas kita habis kerja. eloklah pejabat itu ditutup. Kalau boleh, dikunci rapat-rapat agar tiada berlaku kecurian. Samalah seperti laman web kita yang kita perlu tutup selepas kita melayarinya. Ini kerana kalau kita tidak "log out" maka penggodam komputer mudah masuk. Kalau ada password pun depa boleh godam, apatah lagi kalau kita tak "log out", tak dikunci. Kalau boleh kita letakkan password untuk fail-fail kita agar lebih selamat. Nak letakkan password bagi setiap file bukan payah, berlambak perisian yang percuma . Saya boleh bagi satu iaitu Free Hide Folder. Boleh download dan guna percuma, tak payah bayar. Tapi kalau baik hati dermalah sikit. Jangan dok kedekut sangat, semua nak percuma. Ingatlah sama , bukan senang nak buat program tu.

Sebenarnya saya nak cerita ini bukan "log out" komputer tetapi "log out" yang kita kena amalkan dalam hidup kita. Kita kekadang kena tutup sesuatu perkara untuk membuka satu perkara yang lain. Kalau kita ada peristiwa-peristiwa sedih yang berlaku lama dahulu, kita perlu "log out" atau lupakan untuk kita menikmati kebahagiaan yang baru. Kalau kesedihan itu tidak kita "log out" maknanya kita sampai bila pun tak akan menikmati kegembiraaan yang sebenar. Nak lupakan perkara-perkara begitu bukan senang, tetapi kita kenalah mencuba sebab yang rosak adalah diri kita juga.

Guru contohnya, selepas habis sahaja kerja sekolah, maka kena "log out" segala kerja-kerja disekolah. Rumah adalah satu laman web baru yang perlu dibuka. Kalau laman web sekolah pun kita tak "log out" dan buka pula laman web rumah, komputer boleh jadi perlahan dan kekadang "jammed "terus. Tu yang ada sampai kena serangan jantung sebab buka banyak sangat laman web dan satu pun tak di "log out" Saya sentiasa amalkan "log out" dalam kehidupan. Bila saya disekolah, saya "log out" hal-hal dirumah dan bila dirumah saya "log out" hal-hal disekolah. Jangan dok buka semua laman web, takut nanti komputer rosak.

Orang tua-tua dahulu dah lama dok amalkan "log out " ini. Masa makan misalnya kita dilarang untuk bersembang., Bila makan dengan bersembang sekali, kita kekadang tersedak. Kalau tersedak air teh takpalah , tetapi kalau tersedak cabai melaka dengan nasi panas, alamat bengkak biji mata sebab peritnya tak terkira. Oleh itu, bila makan jangan dok sembang. Kalau tersedak dua hari mengerang. Nak amalkan yang ini memanglah payah sikit. Bukan apa, sembang sambil makan ini dah jadi budaya, dah seronok pula. Lagi pun untuk guru, nak sembang dimana lagi, di kantin sajalah tempat yang sesuai. Oleh itu nasihat saya kepada para guru, bila buka laman web makan dan buka pula "chat room, " gunalah baik-baik supaya selamat. Jangan sampai komputer "jammed".

Orang Cina misalnya, masa mereka makan jangan dok pi nak beli barang atau nak tegur depa. Saya dah kena banyak kali. Mula-mula nak marah juga tetapi lama kelamaan baru saya tau. Maka kalau saya nak beli apa-apa, saya akan tunggu sampai depa habis makan . Bijak mereka mengamalkan sistem "log out " dalam hidup mereka. Oleh itu para guru semua, mulai hari ini "log out " sekejap hal-hal kerja kerana kita akan bercuti sembilan hari. Pergilah mana-mana , bukalah pula laman web Hawaii ke, laman web Phuket ke, ataupun kalau nak murah, buka laman web Bukit Merah. Tenangkan fikiran supaya bila balik dari bercuti, kita buka semula laman web sekolah dan boleh melayarinya dengan hebat sekali. 

BLOG DI LOG Out TIGA HARI.

Khamis, 11 Februari 2010

Saman

Saman , bukan Saman bin Said yang dulunya menjadi jiran saya dikampung. Namanya jadi lawak kerana dipermain-mainkan oleh kawan-kawan seusia dengannya. Depa kata Saman tak takut kena saman sebab dia memang saman.Saman yang saya nak bincangkan disini ialah "summon" yang bermaksud (klik). Saman maknanya satu arahan untuk hadir dimahkamah untuk dibicarakan dalam sesuatu pertikaian yang melibatkan dua pihak. Awat pula hang dok cerita tentang saman nih? Nantilah , saya akan ceritakan kemudian.

Sekarang ini zaman saman. Sana saman, sini saman, nasib baik Pak Saman tak kena saman. Kalau tak Pak Saman kena tahan reman. Mula-mula dulu ibubapa saman lebih 100 juta, kemudian ada guru saman 1.5 juta.Hebat saman sekarang, semuanya main juta-juta. Ribu-ribu tak ada lagi. Zaman sekarang zaman juta, zaman orang berkejar-kejar mencari harta. Kita berbalik semula kepada kes-kes saman ini. Bukanlah saya nak bincangkan kes mahkamah tetapi hanya nak mengulas sedikit tentang implikasi yang menyaman dan yang kena saman. 

Saman untuk menentukan siapa yang bersalah dan siapa yang benar. Dalam setiap pertelingkahan mesti ada satu pihak yang salah ataupun lebih kerap lagi dua-dua salah. Tak mungkin dua-dua pihak benar sebab kalau dua-dua pihak tak bersalah, tak mungkin timbul saman menyaman. Saya bukan mempersoalkan siapa salah siapa menang tapi yang penting dua-dua payah. Yang kena saman payah nak mempertahankan kebenaran, yang menyaman payah nak membetulkan pendirian. Dua-dua payah, dua-dua susah. Saya pun pernah disaman kerana terlanggar seorang pelajar sehingga cedera. Nasib baik pihak insurans menyediakan seorang peguam untuk saya. Kalau tak, tentu tergagap-gagap bila diherdik oleh peguam pihak lawan. Satu soalan yang saya masih ingat sampai hari ini ialah;

"Pihak kami memang mengakui kecuaian pelajar tersebut, tapi adakah akan berlaku kemalangan ini kalau pemandunya (sayalah tu ) tidak cuai? "

Peguam saya pun nak jawab susah juga. Akhirnya mengaku kalah dan salah. Pihak insurans setuju untuk bayar RM150,000. Kaya peguam tu sebab dapat 30%. RM50,000 masuk dalam poket.Oleh itu kalau boleh kita kenalah elakkan daripada disaman. Oleh sebab itu saya sentiasa terangkan kepada para guru tentang prosedur yang perlu diikuti bila mendenda atau membuang pelajar dari sekolah. Bukan tak boleh denda tapi biarlah ikut peraturan. Depa kata pula susah kalau semua nak kena ikut peraturan. Tapi saya kata, kalau kena saman lagi susah. Lebih baik susah sebelum kena saman daripada susah apabila kena saman. Seboleh-bolehnya hendaklah kita bertindak mengikut peraturan asalkan kita tak disaman. 

ADA PELAJAR TAK MAKAN SAMAN.


Rabu, 10 Februari 2010

Sombong

Dulu saya pernah dengar satu cerita tentang orang Inggeris yang cuba untuk berucap dalam Bahasa Melayu. Beginilah kata-katanya lebih kurang;

"Saya merasa sungguh sombong kerana diminta untuk berkata-kata disini". 

Orang semua terpinga-pinga sebab dia kata dia sombong. Rupanya dia tak tau terjemahkan perkataan "proud" . Cari-cari dalam kamus dia jumpa sombong. Itulah kamus pun kekadang tak betul. Dulu saya jumpa perkataan "bacon" , kamus kata daging bakar. Barulah saya tau sekarang bacon ialah daging khinzir dibakar. Nasib baik saya tak makan "bacon". Jadi kalau nak cari kamus, beli yang diiktiraf oleh DBP. Jangan dok cari yang murah takut nanti bahasa kita parah.

Tapi sombong yang saya nak cerita ni bukan maksudnya "proud" tapi memang sombong sunguh. Yang sombong tu pula ialah orang kita yang cakapnya macam kita, yang kulitnya serupa kulit saya, yang pandapatannya mungkin kurang dari saya, yang cerdiknya mungkin setaraf saya, dan banyak lagilah yang, yang , yang .. serupa dengan saya. Cuma satu sahaja yang dia lebih, iaitu dia lebih sombong dari saya. Itu pun kalau saya boleh dikategorikan sebagai yang sombong.

Malam tadi isteri saya suruh isikan minyak dalam kereta kerana keretanya sudah habis minyak. Lepas isi minyak saya pun singgahlah di satu restoran yang bertajuk " Makanan setaraf hotel tapi harga setaraf warung". Makanannya memang sedap tapi harganya pun sedikit mahal, tapi taklah mahal macam hotel. Padanlah dengan manusia miskin seperti saya ini. Sedang menunggu makanan tiba, berhentilah sebuah kereta dan turunlah tiga orang. Yang seorang terus menerpa kepada saya dan bersalaman. Terharu juga saya bila dia mencium tangan saya. Saya bukanlah ulamak untuk dicium tangan. Itulah yang saya bangga kerana para pelajar SMK Ibrahim memang amat tertib dan bersopan santun. 
Tapi satu yang pelik, saya lihat bapanya? (atau abangnya?) langsung tak bersalaman dengan saya. Malah tak ditegur pun. Saya bukanlah marah sangat dilayan sebegitu sebab saya pernah dimaki di sekolah terdahulu malah di SMKI pun ada perempuan muda maki saya dengan perkataan yang tak sedap didengar. Saya dah "mangli" dengan makian dan kekadang saya balas balik sampai dia terkedu dan minta maaf. Kenapalah orang kita ini sombong sangat? Kalaulah kita jutawan, atau korporat besar, takpalah juga. Mungkin saya yang bertaraf guru ni tak setara dengannya. Tapi ramai jutawan yang saya kenal baik-baik belaka. Neighbour saya pun jutawan. Setiap kali raya Cina dia beli 2 biji mercedes baru. Kayalah tu tapi dia cukup baik. Neighbour saya satu lagi pun cukup hartawan. Dia ada estet getah sebanyak 15000 ekar, Ada 10 ekar pun kaya apatah lagi 15000 ekar. Memang amat kaya dan dia pun baik. Malah dia selalu memberi pelbagai sayuran yang ditanam diladangnya.

Pelik juga saya memikirkan, kekadang manusia dia semakin sombong bila dia kaya "sedikit" tetapi menjadi semakin baik bila mereka "kaya " banyak. Tapi saya taklah sombong walaupun tak kaya. Saya tak sombong kan? Anak saya pernah mengalami perkara yang sama ketika dia jadi "cashier " di The Store Central Square. Ketika dia sedang membungkus barangan pelanggan, dia dibantu oleh seorang kanak-kanak, lalu kanak-kanak tersebut ditegur oleh ibunya dengan nada begini.

"Buat apa hang tolong dia, dia tak  palah sebab tak belajar macam hang" 

Itulah kata emaknya, sedangkan anaknya yang belajar tu pun baru nak ambil UPSR. 5A belum tentu dapat. Anak saya panas telinga dan dia pun kata dengan lembut,

"Mak Cik, saya ini ambil kursus kejuruteraan kimia di Universiti Teknologi Petronas, Saya kerja ini sebagai menghabiskan cuti sahaja. "

Lalu dia keluarkan kad matrik UTP dan tunjukkan kepada mak cik tu. Barulah makcik tu slow sedikit dan tersipu-sipu malu. Anak baru nak ambil UPSR dah rasa besar sangat. Apalah....Itulah sekelumit cerita manusia yang sombong. Ingatlah, manusia tak layak sombong. Sombong hanya layak pada Allah sahaja sebab Allah maha pencipta segala.


SOMBONG TAK KEMANA.


Selasa, 2 Februari 2010

Husnul Qatimah


Husnul Qatimah yang bermaksud pengakhiran yang baik. Pengakhiran bagi kita manusia ini ialah kematian. Kematian adalah pengakhiran bagi satu kehidupan tetapi satu permulaan bagi satu kehidupan yang tiada pengakhiran. Setiap kali lepas sembahyang , kita akan berdoa supaya kematian kita adalah dalam kebaikan. Sekurang-kurangnya biarlah kita sempat mengucap 2 kalimah syahadah untuk mempastikan sekurang-kurang kita tidak berkekalan di neraka. Sejahat mana pun kita, biarlah kita boleh mengucap 2 kalimah syahadah.

Laillahaillallaah, Muhammadurrasulullaah. Aku naik saksi tiada tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi Muhammad itu pesuruh Allah...

Itulah kata-kata keramat yang akan membebaskan kita daripada selama-lamanya didalam jurang-jurang api neraka. Senang , cukup senang. Senang untuk diucapkan ketika kita masih sihat bugar. Nak mengucap payah apa, kata sesetengah orang yang tak terfikir nak mati. Bagi orang yang nak meninggal dunia, nak sebut yang tu pun sesuatu yang amat payah. Bayangkan ketika sakratul maut, ketika kita hendak belayar ke akhirat, meninggalkan dunia yang telah lama kita huni, tentulah amat sukar sekali. Oleh itu kita berdoalah sentiasa agar kita menemui ajal dalam keadaan husnul qatimah. Pengakhiran yang baik. Pengakhiran dalam kebaikan.

Sebenarnya Allah telah memberikan tanda-tanda sama ada seseorang itu telah menemui husnul qatimah. Antara tanda-tanda yang telah direkodkan dalam kitab adalah seperti berikut:

1. Mayat kelihatan berpeluh dengan manik-manik seperti air terdapat terutama pada dahinya. 
2. Mayatnya berwarna kekuningan dan bersih.
3. Kematian pada hari Jumaat dan dikebumikan pada hari Jumaat.

Itulah tanda-tanda kematian husnul qatimah yang saya baca dari kitab. Banyak lagilah tanda yang diterangkan tapi cukuplah untuk kita ingatkan tiga itu sahaja. Sebenarnya banyak alamat-alamat yang kita dapat lihat. 

Kawan saya yang meninggal baru-baru ini meninggal pada hari Jumaat dan dikebumikan pada hari Jumaat. Memang dia manusia yang sangat baik. Sentiasa merendah diri, tak pernah menyakitkan hati kawan-kawan dan jarang sekali bercakap kecuali untuk perkara-perkara yang perlu. Betullah seperti pepatah Inggeris yang berbunyi SILENCE IS GOLDEN. Kurang bercakap tetapi lebih banyak berzikir. Alhamdulilah, kematiannya dalam husnul qatimah.

Ayah kepada kawan saya yang meninggal di Kota Kuala Muda adalah orang pertama yang saya lihat mayatnya seperti berpeluh dengan titis air yang kecil yang ada didahinya. Memang dia juga terkenal dengan orang yang amat baik. Disayangi oleh semua penduduk kampung dan para pelajarnya. Dia sentiasa bermurah hati untuk menolong orang lain. Arwah emak saya juga meninggal dalam keadaan yang cukup baik kerana badannya berwarna kekuningan pucat dan bersih sekali walaupun semasa hidupnya ada bahagian-bahagian kulitnya yang mengelupas. Semoga mereka semua menemui husnul qatimah.
Arwah nenek isteri saya juga meninggal dalam keadaan yang amat baik. Dia meninggal selepas sahaja sembahyang dhuha dan sempat berpesan kepada anak cucunya menyatakan ajalnya telah tiba. kata-kata akhirnya ialah "Mbah (datuk/nenek ) nak tidur dulu yaa". Itulah kata-kata akhir seorang yang menemui husnul qatimah. 

Mengingatkan semua ini , terasa gementar saya dengan kematian. Tak lama dahhhh. Berapalah lamanya lagi bagi seseorang yang sudah setengah abad boleh hidup. Kalau boleh tambah lagi 30 tahun sudah amat panjang rasanya.Adakah saya akan menemui husnul qatimah ? Inilah persoalan yang  memang tiada jawapan sehinggalah pada masa nyawa kita dicabut. Semoga kita semua menemui husnul qatimah . InsyaAllah.

IDAMANKU HUSNUL QATIMAH.