Isnin, 15 Mac 2010

Kaya lagi berkat.

Sepanjang saya didedahkan dengan kecanggihan Facebook, banyak manfaat yang saya dapat. Mula-mula isteri menempelak juga, dah tua-tua pun nak main FB juga. Saya kata balik, ramai orang tua main FB termasuk pemimpin-pemimpin negara yang jauh lebih tua daripada saya. Kita boleh bersosial dalam FB tetapi asalkan niatnya baik. Apa juga amalan mestilah bermula dengan niat. Kalau niat kita baik, kita boleh bersosial dalam apa juga website asalkan tak mengandungi bahan-bahan terlarang. Jangan bersosial dalam web gambar lucah sudahlah. Memanglah FB ini dulunya untuk orang-orang tua, orang-orang separuh umur. Orang muda-muda lebih suka bersosial dalam Friendster. Entah macam mana, bila FB di"upgrade"kan , ramai pula orang muda mendaftar dalam FB. Saya juga addkan sebanyak mungkin kenalan sebab kata pepatah, kalau ramai kenalan, senang berjalan. ( Pepatah saya lah tu )

Dalam ramai-ramai kenalan saya terjumpa seorang hartawan Melayu yang bermastautin di Amerika. Dia memang hebat, Mendapat gelaran Tan Sri dari Malaysia, gelaran Sir dari United Kingdom dan mendapat pingat kelas pertama daripada kerajaan Arab Saudi. Beliau juga merupakan penasihat OIC. Beliau juga amat pintar kerana boleh bertutur 9 bahasa, mendapat PhD ketika usia masih muda dan mengetuai satu konlomerat yang asetnya melebihi 200 billion USD.Dia rakyat Amerika tetapi isterinya seorang Melayu rakyat Malaysia yang hanya bekerja sebagai seorang guru. Daripada pengawal peribadinya ( yang juga saya kenal melalui FB), beliau menunaikan haji setiap tahun sejak umur 30an dan beliau tidak pernah menjamah arak. Malah ramai rakyat Amerika yang tidak menyangka beliau adalah seorang Melayu. Cukuplah setakat itu tentang kenalan saya yang saya amat kagumi itu. Hebat kuasamu Allah, menciptakan manusia yang sebegitu genius dan yang begitu tahan dugaan dunia. Kalau saya kaya sepertinya, belum tentu saya dapat menahan godaan dunia seperti dia yang telah terbukti begitu merendah diri dan warak. Alhamdulillah, masih ada ramai orang Islam setaraf Abdul Rahman Al Aus.

Memang itulah yang dituntut oleh Islam. Tak salah menjadi kaya, tak salah membuat harta, tetapi biarlah harta itu membawa kita kesyurga. Hebat orang begini. Di dunia dia kaya, diakhirat dia kaya. Didunia dia mendapat syurga, diakhirat pun mendapat ganjaran syurga.InsyaAllah.Samalah seperti ramai sahabat-sahabat Rasulullah yang kaya raya tetapi mereka dijamin syurga. Harta yang ada pada mereka digunakan untuk jalan Allah. Harta mereka hanya ditangan, tidak sampai menusuk ke hati. Harta bukan digunakan untuk membangga-banggakan diri, tetapi lebih kepada menolong orang-orang yang memerlukan , dengan ikhlas, tanpa mengharap apa-apa balasan. Begitulah si kaya yang diberkati.

Berbalik kepada kisah Abdul Rahman Al Aus yang kaya raya di kota Mekah tetapi disebabkan tuntutan Allah untuk berhijrah, beliau meninggalkan kota Mekah sehelai sepinggang. Tiba di Madinah beliau menolak semua pertolongan yang ditawarkan oleh orang-orang Ansar. Beliau hanya meminta ditunjukkan pasar , tempat untuk dia berniaga. Bila dia mula berniaga, dia tunjukkan nilai-nilai Islam yang sebenar. Tidak menipu, ikhlas, telus menyebabkan orang Yahudi pun membeli kepadanya. Sekarang berbeza sedikit sebab sekarang terbalik. Ramai pula orang Islam yang membeli daripada Yahudi sebab orang Yahudi dah mengambil sifat-sifat Islam yang ditinggalkan oleh orang-orang Islam sendiri. Akhirnya Abdul Rhman Al Aus menjadi hartawan semula dan dalam satu peperangan dia mendermakan seratus ekor kuda yang terbaik. Itulah kehebatan hartawan Islam. Itu pun Abdul Rahman Al Aus berasa sedih apabila dikhabarkan oleh Rasulullah yang dia memasuki syurga lewat 500 tahun daripada orang lain kerana hartanya perlu dihisab sebelum dia boleh masuk syurga. Memikirkan ini, terasa bahagia kalau menjadi orang miskin yang tak punya apa-apa harta. Harta banyak yang dimiliki secara halal, yang didermakan ke jalan Allah, pun masuk syurga lambat, apatah lagi kalau harta banyak yang didapati secara haram dan digunakan kejalan yang haram, mungkin langsung tak berjumpa syurga. Nauzubillah.

Oleh itu kawan-kawan, rakan taulan, kaum keluarga, beringatlah selalu, harta yang kita miliki mungkin membawa kita keneraka. Ingat mengingati itu adalah satu kefardhuan. Nyatakan kebenaran walapun dengan satu ayat. Wallahuaklam.

KAYA SEJATI SYURGA DIHUNI.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan