Rabu, 9 September 2009
Sama rata.
Sama rata. Itulah selalunya ungkapan yang akan diungkapkan untuk melambangkan keadilan. Kononnya kalau semua yang terlibat mendapat bahagian yang sama, maka itulah yang dikatakan sama rata dan adil. Betulkah begitu?. Ini yang akan saya bincangkan mengikut persepsi saya sendiri. Persepsi saya mungkin tidak tepat tetapi sekurang-kurangnya boleh mencetuskan minda kita untuk berfikir. Idea sama rata ini timbul apabila kelmarin saya edarkan jadual anjal untuk dipraktikkan pada bulan-bulan terakhir menjelang peperiksaan. Begitulah kami di SMK Ibrahim. Akademik menjadi nombor satu memandangkan kami telah berjaya menaikkan prestasi dari segi kualiti dan kuantiti selama 3 tahun berturut-turut. Ini yang pening kerana mengekalkan kecemerlangan adalah jauh lebih sukar daripada mencapai kecemerlangan. Berbalik kepada jadual yang diberikan, maka ada guru yang dapat banyak kerana subjek seperti Additional Maths , Physics, Science adalah merupakan bidang-bidang yang tertera kelemahan yang nyata di kalangan para pelajar. Maka subjek-subjek ini kita tambahkan masa pembelajaran. Maka guru-guru yang mengajar subjek kritikal ini perlulah mengajar lebih sedikit daripada orang lain. Mereka dapat mungkin 28 waktu manakala subjek yang kurang kritikal cuma 24 waktu. Malah ada yang dapat lebih kurang daripada PK sendiri. Jadi, kalau tengok dari sama rata maka nampaknya pembahagian seperti tidak sama rata dan tidak adil. Betulkan begitu? Inilah yang perlu kita berfikir dengan lebih mendalam.
Contoh lain ialah seorang ayah yang memberikan duit saku yang sama kepada semua anak-anaknya. Dia mungkin sama rata tapi adakah dia adil? Anak yang sulung, yang besar , yang makan lebih kuat tentulah terasa kurang manakala anak yang kecil, yang makan sedikit, tentulah mempunyai duit lebihan. Adakah si bapa ini bertindak adil? Dia sama rata tetapi dia tidak adil. Sepatutnya keadilan di sini ialah apabila semua anak-anaknya mendapat wang saku yang cukup untuk berbelanja. Itulah keadilan.
Kalau kita bincangkan lagi tentang sama rata ini, saya rasa tuhan lagi tak sama rata. Mungkin ramai yang terkejut apabila saya berkata demikian. Kalau tuhan sama rata maka kita susah pula. Saya contohnya, dah lebih 50 tahun, jarang sakit. Sepatutnya kalau tuhan sama rata, mungkin dia kena bagi kita sihat 25 tahun dan sakit pula 25 tahun. Adakah itu yang kita mahu? Adakah itu melambangkan keadilan tuhan. Tentu tidak kan? Jadi janganlah kita asyik dok pertahankan konsep sama rata sama rasa ini sebab kekadang konsep ini bukan melambangkan keadilan.
Keadilan ialah apabila kita meletakkan sesuatu ditempat yang betul Letakkan kasut dikaki adil walaupun kaki adalah tempat yang kurang elok. Topi pula letak dikepala, baru adil. Kalau kasut diletakkan di kepala tentulah tidak adil. Orang yang berusaha lebih mendapat keputusan yang lebih baik daripada yang kurang berusaha. Baru adil. Guru yang mengajar subjek kritikal perlulah berusaha lebih daripada guru yang mengajar subjek yang lebih mudah. Itu barulah adil kepada semua para pelajar. Para pelajar pula perlulah memberi tumpuan yang lebih kepada subjek yang sukar berbanding dengan subjek yang lebih senang. Itu barulah adil walaupun tidak sama rata. Jadi kesimpulannya, adil tidak mestinya sama rata.
SAMA RATA TIDAK ADIL.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan