Khamis, 10 September 2009

Kuil vs Surau.



Sekarang orang heboh pasal kuil untuk penganut Hindu. Ada yang bawa kepala lembu, ada pula yang kena boo, ada yang termangu-mangu dan ada pula yang haru biru. Tak taulah saya nak komen sebab saya tidak berada ditempat kejadian tersebut. Tapi apa yang saya nak ceritakan ialah tentang kuil yang ada di Taman Petani Jaya dan surau yang juga berada di taman yang sama. Cerita kuil dengan surau atau masjid yang berdekatan bukanlah perkaru baru. Macam kata Tun Mahathir, lama dahhh.

Di Taman Petani Jaya, kuil dibina dahulu daripada surau dan letaknya tak lebih daripada 100 meter. Amat dekat sekali. Malah kalau kuil bunyikan loceng, nyaring kedengaran hingga ke surau. Kalau azan dilaungkan pula, kedengaran dengan jelas di kuil tersebut. Kuil tetap dengan aktivitinya dan surau terus dengan aktivitinya. Nasib baik belum ada apa-apa perkara yang tak diingini berlaku. Semuanya dalam suasana yang harmoni sebab masing-masing faham peranan kuil dan surau. Tak ada pula orang Islam yang marahkan bunyi loceng dari kuil dan belum pula ada orang Hindu yang membantah apabila azan dilaungkan di pagi hari. Mungkin suasana beginilah yang menyebabkan surau dan kuil dapat berfungsi dengan sempurna sekali.

Di Taman Petani Jaya, penghuni yang majoriti ialah dari bangsa Cina manakala orang India yang beragama Hindu dan orang Melayu yang beragama Islam adalah kaum minoriti. Tapi dari segi tempat ibadat, yang ada ialah kuil untuk orang beragama Hindu dan surau untuk penganut Islam. Tempat ibadat Buddha tidak pula dibina walaupun penduduk Cina merupakan majoriti. Tak taulah saya kenapa tapi itulah hakikat yang nyata.

Sebelum surau dibina, kami penghuni Islam dari taman telah bermesyuarat tentang pembinaan surau di Hotel MS Garden ( sekarang Emerald Puteri ). Memang ada seorang penduduk yang menentang pembinaan disurau disitu kerana terdapat kuil yang berdekatan. Tetapi Setiausaha Pembinaan Surau yang merupakan seorang bekas penganut agama Hindu menerangkan yang dia lebih tahu akan tindak tanduk orang Hindu. Maka pembinaan surau pun diluluskan walaupun berdekatan dengan kuil Hindu. Malah orang yang mendermakan begitu banyak duit iaitu sebanyak 500 ribu ringgit adalah juga seorang Islam bekas penganut agama Hindu. Begitulah istimewanya Surau Abu Bakar As Siddiq di Taman Petani Jaya.

Dalam Islam sendiri telah termaktub peraturan agar tempat ibadat orang lain tak boleh dimusnahkan. Kalau berlaku peperangan , tempat-tempat ibadat penganut agama lain tidak boleh dimusnahkan. Begitulah juga orang tua dan kanak-kanak tidak boleh dicederakan. Itu adalah prinsip Islam yang termaktub dalam kitab. Selagi penganut agama lain tidak mengganggu tempat ibadat Islam, maka orang Islam diminta untuk tidak mengapa-apakan tempat ibadat agama lain. Itulah hakikat, itulah fakta yang dipegang Islam sekian lama.

Di Malaysia, kita seperti duduk dalam satu taman perumahan yang berskala besar. Oleh itu toleransi adalah amat perlu untuk mengelakkan kejadian permusuhan antara kaum tercetus. Untuk mencipta kekacauan amat mudah, tapi nak menyatupadukan semula adalah satu tugas yang amat berat. Penduduk Malaysia yang berbilang kaum telah boleh bersatu padu dan telah merasai pahit maung kekacauan antara kaum. Dalam apa-apa pergaduhan, yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Abu dan arang merupakan bahan yang telah musnah. Umpama orang yang mengalami kemalangan. Ada yang patah leher dan mati. Ada yang hancur tapi mati. Kedua-duanya mati walaupun yang patah leher nampak kurang ngeri. Oleh itu semua pelajar SMK Ibrahim diharapkan akan menjaga keakraban antara kaum kerana anda semua akan mewarisi negara ini satu hari nanti. Jadikanlah Malaysia tempat yang harmoni, tempat yang sunyi dari pertelingkahan dan tempat yang menyenangkan.

Seperti kata Perdana Menteri, kita dalam Satu Malaysia. Malaysia untuk semua bangsa , Malaysia untuk semua penduduknya. Keharmonian Malaysia bergantung kepada keharmonian rakyatnya. Rakyat akan harmoni apabila hubungan antara kaum dapat dipupuk dan dipelihara.

BOM JANGKA USAH DICIPTA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan