Sabtu, 12 September 2009

Anak bertuah.


Setiap kali menjelangnya musim perayaan , saya akan teringat akan sebuah kisah yang menyayat hati. Cerita ibu yang kurang budi pekerti. Ada ke ibu macam tu? Ada, dan banyak sekali.

Inilah cerita di pagi yang hening ini.
Setiap kali selepas sembahyang raya, saya sekeluarga akan melawat kubur arwah bapa mertua saya di Kuala Selangor untuk membaca yasin di atas kuburnya. Ramailah yang datang untuk membaca yasin di atas kubur arwah kesayangan masing-masing. Di antara ramai-ramai yang datang itu, terlihatlah saya akan keganjilan seorang wanita yang meraung-raung di atas kubur yang nampaknya masih baru. Saya tak berani bertanya kepadanya, tetapi saya menghampiri kawan-kawannya untuk bertanya khabar. Dari mulut mereka maka saya tahulah cerita sebenar.

Wanita ini rupanya mempunyai seorang anak lelaki yang cukup nakal. Budak lelaki mana ada yang jahat. Yang nakal tu biasalah. Nama pun lelaki. Pada bulan puasa tahun tersebut, budak nakal ini sentiasa mengganggu ibunya buat kerja dan terpancullah satu ungkapan yang tak sepatutnya keluar daripada mulut seorang ibu.

" Ya tuhan, kau ambillah balik anak aku ini yang aku tak tahan nak menjaganya " Itulah kata-kata "hikmat" daripada seorang ibu yang tak mensyukuri nikmat.

Mungkin dia tak bermaksud sedemikian sebab mana ada ibu yang tak sayangkan anaknya tetapi kata-katanya umpama doa yang amat mustajab di sisi Allah. Dia melahirkan kata-kata tersebut hanyalah sekadar luahan hati yang sedang marah tapi dalam apa keadaan pun doa ibu amat mustajab.


Selepas berkata-kata demikian, dia pun tertidur sebab hujan mencurah-curah. Sedar saja dari tidur dia melihat anak lelakinya sudah tidak bermain-main di kawasan rumah. Dalam keadaan yang panik, dia memanggil jiran-jiran untuk mencari anaknya. Tidak lama mencari, timbullah mayat anaknya dari sebuah kolam buatan sendiri sedalam enam kaki yang dikorek untuk memelihara itik. Satu peringatan, kalau nak buat kolam jangan lebih dari 3 kaki. Sebab itulah dia terasa amat bersalah menyumpah anaknya sedemikian. Walaupun ajal maut di tangan Allah, tapi kekesalan yang amat sangat timbul dari ungkapannya yang menampakkan kelemahan iman. Sebab itulah dia akan melawat dan meraung-raung di atas kubur anaknya setiap hari. Raungannya pada pagi raya itu rupanya bukan pertama kali tetapi sudah berlaku setiap hari selama 2 minggu.

Banyak cerita begini yang saya boleh berikan contoh. Jiran saya di kampung mempunyai seorang anak perempuan yang selalu bantah cakapnya. Dia selalu marah dan ungkapan yang keluar sama saja seperti perempuan dalam cerita tadi. " Hang ambillah anak aku ni , tuhan ooi sebab dia dok bantah sangat cakap aku " Anaknya yang terdengar ungkapan tersebut pucat muka dan tidak membantah lagi. Tapi selang bebarapa hari bantah pula dan timbul lagi ungkapan yang tidak baik itu. Rupanya ibunya menggunakan ungkapan tersebut sebagai alat untuk mendidik anaknya agar tidak membantah cakap ibu. Dan benar seperti doa ibunya, anaknya meninggal akibat penyakit barah otak pada usia yang cukup muda iaitu pada masa mengandungkan anak yang pertama. Ajal maut di tangan Allah, tapi ungkapan adalah dari mulut si ibu. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Ada seorang ibu pula dikampung yang sama yang sentiasa memaki hamun anaknya saban hari. Maka di takdirkan Allah, anak-anaknya semua jadi tak seperti orang lain. Ramai yang gila dan mati pada peringkat yang cukup muda. Bukan anaknya saja yang merana, dia sendiri pun menderita hasil perbuatannya yang tidak kena.

Mengenangkan perkara ini, saya rasa bertuah mempunyai ibu yang ada sedikit pengetahuan agama walaupun miskin.Arwah ibu saya walaupun tidak berkelulusan tinggi tapi rajin mendengar ceramah agama dan rajin mentelaah kitab-kitab agama. Makian dan cacian tidak pernah keluar dari mulutnya. Kalau saya buat salah macam mana pun dia akan berkata " anak bertuah". Bila dia kata anak bertuah, saya taulah bahawa dia cukup marah. Jadi petuanya untuk semua ibu, doakan anak supaya menjadi " anak bertuah " setiap kali menghamburkan kemarahan. Ingat, doa ibu paling mustajab.

Oleh itu para suami , tegurlah isteri anda jika mereka tersasul mulut mengeluarkan perkataan-perkataan yang tak sepatutnya kepada anak-anak. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna. Untuk anak-anak, jagalah hati ibu agar kemarahan ibu tidak memuncak dan mengeluarkan kata-kata yang tidak lunak.

GILIRANKU MENDOAKAN IBU.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan