Isnin, 28 September 2009

PHD


PhD. Semua orang yang otaknya geliga dan rajin akan dapat PhD. PhD adalah singkatan bagi Doctor of Philosophy ataupun Doktor Falsafah dalam Bahasa Melayu. Itu adalah peringkat tertinggi dalam akademik. Nak dapat PhD bukan senang. Kena belajar rajin-rajin, buat tesis yang hebat-hebat dan bila dah dapat gajinya pun lebat. Sebab tu kekadang PhD orang sebut Periksa Habis Darjah. Maknanya tak ada darjah dah lepas PhD. Hebat PhD.

Tapi saya nak cerita kali ini bukan PhD tapi PHD. PHD adalah singkatan bagi Penyakit Hasad Dengki. Inilah penyakit yang menyerang kebanyakan orang yang tak beriman. Orang yang lemah fikiran dan orang yang sudah dirasuk syaitan.

Pada hari Ahad 27 September 2009 saya menghadiri kenduri di rumah kakak saya dekat Guar Perahu. Dalam perjalanan pulang, saya ternampak tunggul durian yang baru. Maknanya pokok durian itu baru saja ditebang. Pokok durian itu memang saya kenal sangat kerana buahnya amat lazat. Kalau nak makan buah durian tersebut kena " booking " dulu. Memang hebat , memang sedap. Apabila dah tinggal tunggul, saya rasa kempunan kerana tak boleh lagi makan durian tersebut.

Saya pun jumpa seorang kenalan saya disitu dan bertanyakan tentang bila pokok tu tumbang. Dia jawab, bukan tumbang, tetapi ditebang. Dia pun menceritakan tentang pokok tersebut ditebang akibat perebutan antara 2 adik beradik. Pendekata bila dah berebut, maka seorang diantaranya ambil gaji dan tebang pokok tu. Baru puas hati, biar dua-dua tak boleh makan termasuklah saya yang begitu berminat nak makan durian tersebut. Itulah satu contoh PHD yang ada dikampung.

Ini samalah dengan cerita dongeng tentang 3 budak hitam. Budak-budak hitam ini telah terjumpa sebuah teko. Bila teko digosok maka keluarlah seekor jembalang. Untuk membayar jasa ketiga-tiga budak hitam itu, maka jembalang pun menawarkan khidmatnya kepada budak-budak hitam tersebut. Mintalah apa saja maka akan diadakan (dengan izin Allah ) oleh jembalang tersebut.

Budak hitam pertama meminta jadi putih. Tup, dalam sekelip mata budak hitam pertama menjadi putih melepak. Budak hitam kedua pun minta jadi putih. Zup, terus budak hitam kedua menjadi putih. Budak hitam ketiga pun minta jadi putih tapi jembalang kata dia hanya boleh buat benda yang sama dua kali saja. Oleh itu dia minta supaya budak hitam ketiga minta perkara lain selain daripada menjadi putih. Lalu budak hitam ketiga amat kecewa kerana tak boleh jadi seputih kawan-kawannya. Maka dia pun minta jembalang menukarkan kawan-kawannya yang putih tadi menjadi hitam semula seperti dirinya. Itulah cerita budak hitam yang ada PHD.

Waktu saya menuntut di universiti dulu, tak kurang juga yang ada PHD. Ketika latihan mengajar selama enam minggu, kami dari aliran siswazah dibayar RM400 manakala dari aliran diploma dibayar RM200. Maka bertempiklah pelajar-pelajar dari aliran diploma nak minta bagi sama rata sebab mereka kata mereka pun mengajar 6 minggu juga. Alasan mereka betul. Mereka mengajar seperti kami juga kenapa bayaran mereka rendah. Ada seorang ketua mereka pergi jumpa pentadbir universiti untuk minta bagi sama rata. Akibatnya memang sama rata. Semuanya dapat RM200. Patutlah depa dapat diploma sebab otak depa kurang geliga. Sepatutnya mintalah bagi semua dapat RM400 tapi tak, depa nak sama rata walaupun semua dapat RM200. Biar puas kata mereka. Pelajar universiti pun rupanya ada PHD.

Peniaga pun banyak PHD. Dulu saya teringat satu kedai murtabak yang amat popular di KL. Sedap sungguh murtabak dia sampai kena "booking" juga. Nak makan kena pesan dulu. Tapi akibat PHD, ada peniaga yang mengupah seseorang untuk memasukkkan racun dalam kuah murtabaknya. Akibatnya ramai yang keracunan. Bila keracunan orang dah kurang makan murtabaknya dan hasilnya dia bankrap. Itulah PHD yang sanggup tengok orang lain bangkrap asalkan hatinya puas.

PHD sebebarnya digalakkan dalam Islam. Betuk ke ni? Memang betul. Kita kena ada PHD dari segi ibadat. Kita tengok dia rajin tahajjud maka kita kena lawan dan lebihkan tahajud daripada dia. Samalah macam ibadat lain. Kita kena dengki tetapi secara positif. Samalah dengan pelajaran. Kita kena dengki kepada orang yang pandai dengan kita sendiri berusaha supaya lebih daripada dia. Pendekata kita dengki dalam keadaan yang positif. Oleh itu para pelajar SMKI, berdengkilah dalam keadaan yang positif supaya lebih ramai yang berjaya. Kalau boleh semua dapat "straight A s " Itulah dengki yang hebat.

PHD positif dapat PhD.

Sabtu, 26 September 2009

Pejabatku syurgaku.


Selalunya kita selalu berkata, rumahku syurgaku. Ramai orang beranggapan yang rumahlah sepatutnya tempat yang paling selesa untuk berehat dan menjadi tempat yang sepatutnya paling harmonis. Batulkah begitu? Memang betul sebab setiap waktu balik, kita lihat berpusu-pusulah guru dan pelajar yang balik tanpa berlengah-lengah lagi. Malah ramai guru yang dah siap beratur untuk "key in" nama dan bersedia untuk balik. Ini berlaku di semua sekolah yang saya biasa mengajar.

Malah ada syarikat orang putih yang tak bagi pekerja buat "overtime" sebab mereka nak pastikan setiap pekerja menghabiskan masa yang terbaik bersama keluarga dirumah. Memang ada kebaikannya sebab kita boleh menghabiskan masa dirumah untuk melihat-lihat prestasi anak sambil memberi sepatah dua nasihat kepada anak-anak agar menjadi manusia berguna. Kalau nak harapkan cikgu saja bagi nasihat, tentulah tak mampu sebab cikgu ada ramai anak murid disamping anak sendiri sedangkan ibu bapa hanya ada seorang dua anak. Jadi janganlah pula ibu bapa hanya menyerahkan hal anak masing-masing kepada tanggungjawab guru semata-mata. Itu tentu tidak betul.

Berbalik kepada tajuk di atas, patutkan pejabat kita jadikan syurga melebihi daripada rumah? Inilah persoalannya yang kita patut fikirkan. Kita fikir sejenak, dari mana kita dapat duit untuk membeli "syurga dunia" ini?. Kita boleh beli rumah yang cantik, kereta yang besar, tv plasma yang hebat dan sebagainya kerana kita mendapat gaji hasil dari kerja kita di pejabat. Jadi rasionalkah kalau kita habiskan masa yang lebih banyak dirumah berbanding pejabat?. Kalau tiada kerja dipejabat, mampukah kita membina rumah yang kita katakan syurga? Kalau kita tiada kerja mampukah kita membeli kereta yang hebat untuk menggembirakan hati keluarga? Tentu kita tidak mampu. Lihat sajalah kepada rumah orang-orang yang tiada berpendapatan lumayan. Adakah mereka mampu seperti kita? Mereka juga bekerja malah lebih teruk daripada kita, tetapi mereka tidak mampu. Malah kekadang mereka kerja jauh lebih lama dari kita tetapi pendapatan mereka masih sedikit. Apa fakta yang ingin saya timbulkan di sini?

Faktanya ialah kita sepatutnya menjadikan pejabat tempat yang paling harmoni melebihi rumah kita kerana kita berupaya membeli rumah dan menselesakan hidup kita kerana kita ada kerja yang kita lakukan dipejabat. Orang berniaga pun ada pejabat, bukan orang makan gaji saja. Hujahnya disini ialah kita sepatutnya janganlah terburu-buru untuk balik kerumah sedangkan kita tak sanggup nak menghabiskan sedikit masa yang lebih di pejabat. Janganlah terlalu berkira kalau kita diminta untuk menyiapkan kerja yang akan memakan lebih sedikit masa kita. Di Ibrahim Alhamdulillah, guru-gurunya sanggup berada lama di sekolah dan jarang yang merungut. Ini kerana mereka memikirkan "pejabatku syurgaku". Syabas para guru SMK Ibrahim. Tak hairanlah kalau kita lihat di SMK Ibrahim, ada guru yang pulang pukul 6 petang malah ada yang malam datang lagi. Inilah suasana yang sepatutnya ada disemua sekolah kerana pejabt tempat kita bekerja yang sepatutnya kita habiskan masa yang lebih panjang.

Janganlah terikut-ikut sangat dengan cara orang putih tentang "quality times" yang hanya berada dirumah. Sebab itulah produktiviti mereka rendah tetapi jenayah paling banyak. "Quality times " yang mereka amalkan nampaknya gagal. Bandingkan di Jepun. Adik ipar saya yang berada di Jepun berkata, kalau boleh dia nak terus berada di Jepun sebab kadar jenayah paling rendah. Sedangkan orang Jepun dikatakan "workaholic" tetapi nampaknya mereka masih boleh mendidik anak-anak walaupun sebahagian besar masa mereka di pejabat. Produktiviti mereka meningkat tetapi jenayah tetap rendah. Itu baru kualiti.

KERJA BERKAT KELUARGA SELAMAT.

Ahad, 13 September 2009

Salah saya.


Salah saya. Itulah ungkapan yang amat sukar diucapkan oleh orang Malaysia. Jarang kita jumpa orang-orang kita mengucapkan perkataan tersebut. Jarang orang mau mengaku salah. Selalunya kalau berlaku sesuatu yang tak dikehendaki, masing-masing salah menyalahkan. Masing-masing mengaku tak bersalah. Hasilnya masalah tak selesai tapi bertambah pula.

Sepatutnya kalau berlaku sesuatu yang tak diingini, masing-masing mengaku salah masing-masing. Hasilnya masalah akan selesai segera dan punca masalah dapat dicari dengan lebih cepat. Semua akan berasa puas dengan mengakui kesilapan dan pada masa yang sama akan terus memperbaiki diri masing-masing.

Teringat saya kata seorang ustaz. Dia kata ;

" Kalau kita lihat orang muda buat dosa, katakan bahawa aku lebih teruk daripada dia kerana aku dah tua tapi masih melakukan dosa ".


" Kalau kita lihat orang tua melakukan dosa, kita katakan bahawa aku lebih teruk dari dia kerana dia tak melakukan dosa pada waktu muda sedangkan aku melakukan dosa dari muda sampai ke tua "


Dengan berniat sedemikian, kita taklah merasai diri kita ini hebat, tak pula kita akan memperlekehkan orang lain. Dari itu kita boleh buangkan sifat riak yang amat berbahaya bagi seorang Islam. Riak banyak membawa manusia ke neraka.


Samalah dengan mengaku kesalahan diri. Dengan cepat mengaku salah menunjukkan kita manusia yang lemah, yang serba kekurangan dan hilang sifat takabur dan riak. Orang yang takabur dan riak sebab dia merasakan dialah yang lebih daripada orang lain. Bila dia merasai lebih daripada orang lain, maka mulalah merasai dirinya hebat. Dia mula kagum dengan dirinya dan itulah mulanya sifat riak yang membawanya keneraka. Oleh itu elakkan sifat takabur dan riak.


Ini banyak berlaku kepada diri saya. Ketika membuat jadual waktu baru-baru ini, saya terlupa menanda butang untuk membahagikan waktu sama rata. Maknanya kalau 25 waktu, sehari dapatlah 5 waktu. Disebabkan kesilapan itu, ada guru yang dapat tujuh waktu sehari dan ada pula hari yang dapat hanya dua. Itu kesalahan saya dan saya akui. Saya juga kurang membuat penyelidikan kerana ada guru yang kena datang lewat sebab mereka mengajar diluar waktu sekolah iaitu pada waktu petang. Saya tak "memblok" jadual mereka pada waktu pagi maka jadilah mereka datang pagi dan balik amat lewat. Ada pula yang dapat masa balik 2.50 petang sehingga 3 kali seminggu. Ini pun masalah juga sebab selalunya waktu 2.50 petang ini, setiap guru dapat sekali sahaja atau paling banyak pun dua kali. Itulah bebarapa kesalahan yang saya lakukan.

Saya sedari kesalahan dan saya tuliskan notis meminta maaf dan berjanji membuat semula semua jadual waktu tersebut agar lebih menyenangkan para guru. Ada guru mengatakan inilah kali pertama dalam hidupnya berjumpa dengan seorang PK yang meminta maaf. Sebenarnya itu memang polisi saya. Sebagai ketua yang di puji jika dapat sesuatu pengiktirafan , dia seharusnya berani mengaku kesalahan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak menyenangkan. Ketika saya jadi PK HEM dan PK Koko saya sentiasa menyatakan bahawa kalau ada kegemilangan dalam kepimpinan saya, itu adalah hasil kerja kita semua tetapi jika ada kelemahan, itu adalah kelemahan saya sendiri dan saya minta maaf.

Dengan cepat-cepat meminta maaf, rasa marah orang lain kepada kita menjadi kurang. Bila kita mengaku salah, orang nak kata apa lagi?
Tak rugi mengaku salah walaupun kesalahan itu mungkin kecil. Kalau semua orang berani mengaku kesalahan sendiri, akan kuranglah pertelingkahan dan kuranglah ketegangan. Yang penting akan kurang rasa marah kerana rasa marah ini boleh menaikkan darah. Bila darah naik, boleh kena sakit jantung. Bahaya tu.

MENGAKU SALAH SELESAI MASALAH.

Sabtu, 12 September 2009

Anak bertuah.


Setiap kali menjelangnya musim perayaan , saya akan teringat akan sebuah kisah yang menyayat hati. Cerita ibu yang kurang budi pekerti. Ada ke ibu macam tu? Ada, dan banyak sekali.

Inilah cerita di pagi yang hening ini.
Setiap kali selepas sembahyang raya, saya sekeluarga akan melawat kubur arwah bapa mertua saya di Kuala Selangor untuk membaca yasin di atas kuburnya. Ramailah yang datang untuk membaca yasin di atas kubur arwah kesayangan masing-masing. Di antara ramai-ramai yang datang itu, terlihatlah saya akan keganjilan seorang wanita yang meraung-raung di atas kubur yang nampaknya masih baru. Saya tak berani bertanya kepadanya, tetapi saya menghampiri kawan-kawannya untuk bertanya khabar. Dari mulut mereka maka saya tahulah cerita sebenar.

Wanita ini rupanya mempunyai seorang anak lelaki yang cukup nakal. Budak lelaki mana ada yang jahat. Yang nakal tu biasalah. Nama pun lelaki. Pada bulan puasa tahun tersebut, budak nakal ini sentiasa mengganggu ibunya buat kerja dan terpancullah satu ungkapan yang tak sepatutnya keluar daripada mulut seorang ibu.

" Ya tuhan, kau ambillah balik anak aku ini yang aku tak tahan nak menjaganya " Itulah kata-kata "hikmat" daripada seorang ibu yang tak mensyukuri nikmat.

Mungkin dia tak bermaksud sedemikian sebab mana ada ibu yang tak sayangkan anaknya tetapi kata-katanya umpama doa yang amat mustajab di sisi Allah. Dia melahirkan kata-kata tersebut hanyalah sekadar luahan hati yang sedang marah tapi dalam apa keadaan pun doa ibu amat mustajab.


Selepas berkata-kata demikian, dia pun tertidur sebab hujan mencurah-curah. Sedar saja dari tidur dia melihat anak lelakinya sudah tidak bermain-main di kawasan rumah. Dalam keadaan yang panik, dia memanggil jiran-jiran untuk mencari anaknya. Tidak lama mencari, timbullah mayat anaknya dari sebuah kolam buatan sendiri sedalam enam kaki yang dikorek untuk memelihara itik. Satu peringatan, kalau nak buat kolam jangan lebih dari 3 kaki. Sebab itulah dia terasa amat bersalah menyumpah anaknya sedemikian. Walaupun ajal maut di tangan Allah, tapi kekesalan yang amat sangat timbul dari ungkapannya yang menampakkan kelemahan iman. Sebab itulah dia akan melawat dan meraung-raung di atas kubur anaknya setiap hari. Raungannya pada pagi raya itu rupanya bukan pertama kali tetapi sudah berlaku setiap hari selama 2 minggu.

Banyak cerita begini yang saya boleh berikan contoh. Jiran saya di kampung mempunyai seorang anak perempuan yang selalu bantah cakapnya. Dia selalu marah dan ungkapan yang keluar sama saja seperti perempuan dalam cerita tadi. " Hang ambillah anak aku ni , tuhan ooi sebab dia dok bantah sangat cakap aku " Anaknya yang terdengar ungkapan tersebut pucat muka dan tidak membantah lagi. Tapi selang bebarapa hari bantah pula dan timbul lagi ungkapan yang tidak baik itu. Rupanya ibunya menggunakan ungkapan tersebut sebagai alat untuk mendidik anaknya agar tidak membantah cakap ibu. Dan benar seperti doa ibunya, anaknya meninggal akibat penyakit barah otak pada usia yang cukup muda iaitu pada masa mengandungkan anak yang pertama. Ajal maut di tangan Allah, tapi ungkapan adalah dari mulut si ibu. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Ada seorang ibu pula dikampung yang sama yang sentiasa memaki hamun anaknya saban hari. Maka di takdirkan Allah, anak-anaknya semua jadi tak seperti orang lain. Ramai yang gila dan mati pada peringkat yang cukup muda. Bukan anaknya saja yang merana, dia sendiri pun menderita hasil perbuatannya yang tidak kena.

Mengenangkan perkara ini, saya rasa bertuah mempunyai ibu yang ada sedikit pengetahuan agama walaupun miskin.Arwah ibu saya walaupun tidak berkelulusan tinggi tapi rajin mendengar ceramah agama dan rajin mentelaah kitab-kitab agama. Makian dan cacian tidak pernah keluar dari mulutnya. Kalau saya buat salah macam mana pun dia akan berkata " anak bertuah". Bila dia kata anak bertuah, saya taulah bahawa dia cukup marah. Jadi petuanya untuk semua ibu, doakan anak supaya menjadi " anak bertuah " setiap kali menghamburkan kemarahan. Ingat, doa ibu paling mustajab.

Oleh itu para suami , tegurlah isteri anda jika mereka tersasul mulut mengeluarkan perkataan-perkataan yang tak sepatutnya kepada anak-anak. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna. Untuk anak-anak, jagalah hati ibu agar kemarahan ibu tidak memuncak dan mengeluarkan kata-kata yang tidak lunak.

GILIRANKU MENDOAKAN IBU.

Khamis, 10 September 2009

Kuil vs Surau.



Sekarang orang heboh pasal kuil untuk penganut Hindu. Ada yang bawa kepala lembu, ada pula yang kena boo, ada yang termangu-mangu dan ada pula yang haru biru. Tak taulah saya nak komen sebab saya tidak berada ditempat kejadian tersebut. Tapi apa yang saya nak ceritakan ialah tentang kuil yang ada di Taman Petani Jaya dan surau yang juga berada di taman yang sama. Cerita kuil dengan surau atau masjid yang berdekatan bukanlah perkaru baru. Macam kata Tun Mahathir, lama dahhh.

Di Taman Petani Jaya, kuil dibina dahulu daripada surau dan letaknya tak lebih daripada 100 meter. Amat dekat sekali. Malah kalau kuil bunyikan loceng, nyaring kedengaran hingga ke surau. Kalau azan dilaungkan pula, kedengaran dengan jelas di kuil tersebut. Kuil tetap dengan aktivitinya dan surau terus dengan aktivitinya. Nasib baik belum ada apa-apa perkara yang tak diingini berlaku. Semuanya dalam suasana yang harmoni sebab masing-masing faham peranan kuil dan surau. Tak ada pula orang Islam yang marahkan bunyi loceng dari kuil dan belum pula ada orang Hindu yang membantah apabila azan dilaungkan di pagi hari. Mungkin suasana beginilah yang menyebabkan surau dan kuil dapat berfungsi dengan sempurna sekali.

Di Taman Petani Jaya, penghuni yang majoriti ialah dari bangsa Cina manakala orang India yang beragama Hindu dan orang Melayu yang beragama Islam adalah kaum minoriti. Tapi dari segi tempat ibadat, yang ada ialah kuil untuk orang beragama Hindu dan surau untuk penganut Islam. Tempat ibadat Buddha tidak pula dibina walaupun penduduk Cina merupakan majoriti. Tak taulah saya kenapa tapi itulah hakikat yang nyata.

Sebelum surau dibina, kami penghuni Islam dari taman telah bermesyuarat tentang pembinaan surau di Hotel MS Garden ( sekarang Emerald Puteri ). Memang ada seorang penduduk yang menentang pembinaan disurau disitu kerana terdapat kuil yang berdekatan. Tetapi Setiausaha Pembinaan Surau yang merupakan seorang bekas penganut agama Hindu menerangkan yang dia lebih tahu akan tindak tanduk orang Hindu. Maka pembinaan surau pun diluluskan walaupun berdekatan dengan kuil Hindu. Malah orang yang mendermakan begitu banyak duit iaitu sebanyak 500 ribu ringgit adalah juga seorang Islam bekas penganut agama Hindu. Begitulah istimewanya Surau Abu Bakar As Siddiq di Taman Petani Jaya.

Dalam Islam sendiri telah termaktub peraturan agar tempat ibadat orang lain tak boleh dimusnahkan. Kalau berlaku peperangan , tempat-tempat ibadat penganut agama lain tidak boleh dimusnahkan. Begitulah juga orang tua dan kanak-kanak tidak boleh dicederakan. Itu adalah prinsip Islam yang termaktub dalam kitab. Selagi penganut agama lain tidak mengganggu tempat ibadat Islam, maka orang Islam diminta untuk tidak mengapa-apakan tempat ibadat agama lain. Itulah hakikat, itulah fakta yang dipegang Islam sekian lama.

Di Malaysia, kita seperti duduk dalam satu taman perumahan yang berskala besar. Oleh itu toleransi adalah amat perlu untuk mengelakkan kejadian permusuhan antara kaum tercetus. Untuk mencipta kekacauan amat mudah, tapi nak menyatupadukan semula adalah satu tugas yang amat berat. Penduduk Malaysia yang berbilang kaum telah boleh bersatu padu dan telah merasai pahit maung kekacauan antara kaum. Dalam apa-apa pergaduhan, yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Abu dan arang merupakan bahan yang telah musnah. Umpama orang yang mengalami kemalangan. Ada yang patah leher dan mati. Ada yang hancur tapi mati. Kedua-duanya mati walaupun yang patah leher nampak kurang ngeri. Oleh itu semua pelajar SMK Ibrahim diharapkan akan menjaga keakraban antara kaum kerana anda semua akan mewarisi negara ini satu hari nanti. Jadikanlah Malaysia tempat yang harmoni, tempat yang sunyi dari pertelingkahan dan tempat yang menyenangkan.

Seperti kata Perdana Menteri, kita dalam Satu Malaysia. Malaysia untuk semua bangsa , Malaysia untuk semua penduduknya. Keharmonian Malaysia bergantung kepada keharmonian rakyatnya. Rakyat akan harmoni apabila hubungan antara kaum dapat dipupuk dan dipelihara.

BOM JANGKA USAH DICIPTA.

Rabu, 9 September 2009

Sama rata.


Sama rata. Itulah selalunya ungkapan yang akan diungkapkan untuk melambangkan keadilan. Kononnya kalau semua yang terlibat mendapat bahagian yang sama, maka itulah yang dikatakan sama rata dan adil. Betulkah begitu?. Ini yang akan saya bincangkan mengikut persepsi saya sendiri. Persepsi saya mungkin tidak tepat tetapi sekurang-kurangnya boleh mencetuskan minda kita untuk berfikir. Idea sama rata ini timbul apabila kelmarin saya edarkan jadual anjal untuk dipraktikkan pada bulan-bulan terakhir menjelang peperiksaan. Begitulah kami di SMK Ibrahim. Akademik menjadi nombor satu memandangkan kami telah berjaya menaikkan prestasi dari segi kualiti dan kuantiti selama 3 tahun berturut-turut. Ini yang pening kerana mengekalkan kecemerlangan adalah jauh lebih sukar daripada mencapai kecemerlangan. Berbalik kepada jadual yang diberikan, maka ada guru yang dapat banyak kerana subjek seperti Additional Maths , Physics, Science adalah merupakan bidang-bidang yang tertera kelemahan yang nyata di kalangan para pelajar. Maka subjek-subjek ini kita tambahkan masa pembelajaran. Maka guru-guru yang mengajar subjek kritikal ini perlulah mengajar lebih sedikit daripada orang lain. Mereka dapat mungkin 28 waktu manakala subjek yang kurang kritikal cuma 24 waktu. Malah ada yang dapat lebih kurang daripada PK sendiri. Jadi, kalau tengok dari sama rata maka nampaknya pembahagian seperti tidak sama rata dan tidak adil. Betulkan begitu? Inilah yang perlu kita berfikir dengan lebih mendalam.

Contoh lain ialah seorang ayah yang memberikan duit saku yang sama kepada semua anak-anaknya. Dia mungkin sama rata tapi adakah dia adil? Anak yang sulung, yang besar , yang makan lebih kuat tentulah terasa kurang manakala anak yang kecil, yang makan sedikit, tentulah mempunyai duit lebihan. Adakah si bapa ini bertindak adil? Dia sama rata tetapi dia tidak adil. Sepatutnya keadilan di sini ialah apabila semua anak-anaknya mendapat wang saku yang cukup untuk berbelanja. Itulah keadilan.


Kalau kita bincangkan lagi tentang sama rata ini, saya rasa tuhan lagi tak sama rata. Mungkin ramai yang terkejut apabila saya berkata demikian. Kalau tuhan sama rata maka kita susah pula. Saya contohnya, dah lebih 50 tahun, jarang sakit. Sepatutnya kalau tuhan sama rata, mungkin dia kena bagi kita sihat 25 tahun dan sakit pula 25 tahun. Adakah itu yang kita mahu? Adakah itu melambangkan keadilan tuhan. Tentu tidak kan? Jadi janganlah kita asyik dok pertahankan konsep sama rata sama rasa ini sebab kekadang konsep ini bukan melambangkan keadilan.

Keadilan ialah apabila kita meletakkan sesuatu ditempat yang betul Letakkan kasut dikaki adil walaupun kaki adalah tempat yang kurang elok. Topi pula letak dikepala, baru adil. Kalau kasut diletakkan di kepala tentulah tidak adil. Orang yang berusaha lebih mendapat keputusan yang lebih baik daripada yang kurang berusaha. Baru adil. Guru yang mengajar subjek kritikal perlulah berusaha lebih daripada guru yang mengajar subjek yang lebih mudah. Itu barulah adil kepada semua para pelajar. Para pelajar pula perlulah memberi tumpuan yang lebih kepada subjek yang sukar berbanding dengan subjek yang lebih senang. Itu barulah adil walaupun tidak sama rata. Jadi kesimpulannya, adil tidak mestinya sama rata.

SAMA RATA TIDAK ADIL.

Jumaat, 4 September 2009

I can't


I can't. Itulah perkataan yang cukup serasi bagi sesiapa sahaja yang tak mau buat sesuatu kerja yang diberikan. Perkataan "keramat" inilah yang akan digunakan oleh sesiapa sahaja untuk mengelakkan diri daripada sesuatu pekerjaan yang diberikan.

Teringat kisah seorang guru yang baru bertukar ke satu sekolah di Sungai Petani. Bila Pengetua panggil dia masuk pejabat dan Pengetua mula memberikan tugas-tugas di sekolah tersebut terus keluar perkataan " I can't" lalu Pengetua ini menjawab balik.

" I give you a bowl of soup to eat, you dont have to finish it today, you can eat a spoon a day until the bowl of soup completely finish".

Itulah maksudnya bila kita diberikan sesuatu tugas. Katakanlah " I'll try " ataupun " InsyaAllah saya akan buat " bukannya terus mengatakan "I cant" . Kalau semua orang mengelak dengan mengatakan " I can't " maka " Who can ? ". Kekadang bila kita berada bukan dalam golongan pentadbir, maka bermacam-macam yang kita komplen. Itu tak betul, ini tak kena. Pendekata semuanya tak elok di mata kita. Bila dah jadi pentadbir, barulah kita tahu betapa perit dan susahnya untuk mengatasi karenah orang-orang di bawah kelolaan kita. Samalah seperti pembangkang yang asyik terus menerus mengutuk apa yang kerajaan buat. Mungkin ada yang tak betul, tetapi takkan semua tak betul?. " Be rational". Yang betul katakan betul, yang tak betul katakan tak betul.

Samalah dengan para pelajar yang dah menyerah kalah sebelum berjuang. Berapa ramai yang masuk aliran Sains untuk STPM tetapi ramai yang tukar ke aliran Kemanusiaan. Bila ditanya kenapa tukar aliran terus dia jawab " I can't ". Dia dah tau dia tak boleh ke atau dia tak mau usaha lebih sedikit untuk menjadikannya boleh. Ingatlah kata-kata seorang ahli falsafah yang buta, pekak dan bisu. Dia boleh menjadi ahli falsafah walaupun serba kekurangan sebab dia tidak mempunyai falsafah " I can't". Dia berkata;


" We can do almost anything we want if we try hard enough".

Lihat, dia kata almost bukan all. Memanglah ada benda yang kita tak boleh buat dan kita tahu secara terus. Contohnya kalau disuruh kita mengangkat sebuah kapal terbang dengan tangan kosong, tentulah tak boleh. Tapi kalau kita disuruh untuk mengangkat kapal terbang, mungkin kita boleh kalau kita berusaha mencari peralatan yang perlu . Maknanya kita boleh buat hampir semua benda " if we try hard enough". Dia sendiri yang bisu, pekak dan buta, tetapi masih boleh menulis . Bayangkan jika orang yang sentiasa mangatakan " I can't" itu berada ditempatnya. Mungkin dia selamanya akan terus menjadi orang yang tak boleh buat apa. Terus bisu, pekak dan buta dalam erti kata yang sebenarnya.

Saya masih ingat lagi ketika saya di High School Bukit Mertajam. Ada seorang pelajar yang ingin menjadi doktor tetapi dia berada dalam aliran kemanusiaan. Lalu dia minta tukar ke aliran Sains di Tingkatan Enam. Memanglah payah sekolah nak bagi sebab nak tukar dari Sains ke Kemanusiaan boleh, tapi sebaliknya dari Kemanusiaan ke Sains payahlah sikit. Kebetulan bapanya seorang guru, maka dia usahakan sehinggalah pertukaran itu dibenarkan. Bayangkan betapa susahnya dia belajar dari aliran Kemanusiaan kepada aliran Sains. Akhirnya dia berjaya malah sudah pun menjadi doktor. Itulah orang yang mempunyai semangat " I can " dan bukannya " I can't". Di SMK Ibrahim pun ada seorang pelajar demikian dan saya berdoa agar dia berjaya menjadi seorang doktor yang baik.


Kesimpulannya kalau kita diberikan tugas, jangan terus sebut " I can't" sebab selalunya orang tak akan memberi tugas yang kita tak mampu buat. Kita mungkin tak mahu tapi bukannya tak mampu. Oleh itu semua palajar SMK Ibrahim khasnya, " dont ever say I can't " kecualilah kalau orang suruh kita merompak bank. Itupun bukan "I can't" tetapi " I dont want". Perkataan dan ungkapan-ungkapan yang negatif hendaklah kita hindarkan. Jadilah kita sentiasa positif dan sedia menanggung apa juga cabaran mendatang. Buat kata Tuan Pengetua;


" A ship is safe when its in the port, but that is not what the ship is built for".

Maknanya kapal paling selamat di pelabuhan, tapi adakah itu tujuan kapal itu dibuat?. Samalah seperti kita. Adakah kita dilahirkan didunia untuk selalu menyebut perkataan " I can't" ?

I CAN.