Ahad, 18 April 2010

My scholarship.

Scholarship atau biasiswa kata orang Melayu. Orang India dan Cina kata apa tak taulah pula saya. Ramai pelajar SMK Ibrahim yang datang berjumpa saya minta disahkan pendapatan keluarga untuk memohon biasiswa JPA ke luar negara. Ramai yang minta kerana ramai yang layak. Saya doakan mereka semua berjaya, biar semua dapat ke luar negara dan seterusnya memegang jawatan yang tinggi-tinggi. Kita sebagai guru sekurang-kurangnya berpuas hati mendidik mereka ke mercu kejayaan. InsyaAllah. Sekarang nak dapat biasiswa payah sedikit kerana ramai yang layak berbanding bilangan biasiswa yang ditawarkan. Dulu semua yang masuk universiti diberikan biasiswa. Paling kurang pun biasiswa daripada JPA.

Saya pun tak terkecuali. Anak miskin dari kampung yang serba serbi kekurangan, kalau tak dapat biasiswa harus tak dapat melanjutkan pelajaran. Terima kasih kerajaan kerana mengurniakan saya satu biasiswa yang memungkinkan saya menamatkan pengajian sehingga dapat menggenggam segolong ijazah. Terima kasih, terima kasih. Saya dapat biasiswa daripada Kementerian Pelajaran kerana saya melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan.Dapat jadi cikgu, tak perlu bayar pinjaman. Itu pun dah sesuatu yang amat menguntungkan. Dulu biasiswa tidaklah sebanyak sekarang sebab dulu yuran pengajian taklah setinggi yuran sekarang. Harga barangan pada waktu dulu tidaklah juga semahal harga sekarang. Maka berpatutanlah biasiswa tidak setinggi sekarang.

Ketika di tahun pertama universiti saya menerima RM480 sebagai wang saku atau wang lebihan bagi biasiswa setahun. Sedikit sangat kalau dikira bandingan untuk masa sekarang. Saya masih ingat jumlah wang itu kerana itulah kali pertama saya dapat memegang wang sebanyak itu. Terketar-ketar tangan mengambilnya kerana ketika itu biasiswa diberikan secara tunai bukannya masuk ke dalam akaun seperti sekarang. Nak mengambilnya pula kena beratur di pejabat Bendahari. Beratur panjang baru dapat duit. Susah nak ambil duit biasiswa pada waktu itu. Dapat RM480 saya rasakan seperti sayalah manusia terkaya didunia. Terasa banyaknya duit dalam genggaman. Semalaman tak tidur sebab dok memikirkan nak beli apa keesokan harinya di Kuala Lumpur.  Keesokan harinya saya terus ke Kuala lumpur bersama kawan-kawan menaiki bas yang amat sederhana, tiada hawa dingin yang tertulis didindingnya "Tong Foong". Tambangnya saya lupa dah. Sampai di Kuala Lumpur terus ke Ampang Park kerana itu sajalah yang kami tahu kalau nak membeli belah. Terus pilih baju dan seluar. Saya ambil sehelai baju berwarna biru tua dan sehelai seluar berwarna hitam dari jenama Orlando. Hebat kalau boleh pakai Orlando pada waktu itu. Saya pun hantar ke "cashier" dan terus bayar RM60 untuk kedua-dua helai pakaian tersebut. Bila balik di universiti baru saya cuba kedua-dua pakaian tersebut. Kedua-duanya bukan saiz saya, malah terlalu besar. Maklumlah, pertama kali beli baju dan seluar di pasaraya, mana tau nak cuba dulu dalam bilik persalinan yang disediakan. Baju dan seluar tu saya simpan sebab tak boleh dipakai hinggalah saya keluar universiti dan akhirnya saya balik kampung dan sedekahkan kepada kawan saya yang saiznya agak besar. 

Selebihnya kira-kira RM400 saya terus hantar kekampung, untuk emak saya buatkan sebuah kedai. Mungkin itulah kedai yang termurah didunia. Boleh buat kedai, masukkan barang sedikit sebanyak bermodal RM400. Kedai itulah yang dapat membiayai saya sehingga saya keluar universiti. Itulah kenangan tentang wang biasiswa pertama yang saya ingati hingga ke mati. Jimat cermat tangga kejayaan.

BIASISWA PENUH MAKNA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan