Rabu, 21 April 2010

Pondok telefon.. Macam-macam ada.


Laku lagi ke pondok telefon sekarang ini sebab budak kecil pun dah ada handphone?

Ahad, 18 April 2010

My scholarship.

Scholarship atau biasiswa kata orang Melayu. Orang India dan Cina kata apa tak taulah pula saya. Ramai pelajar SMK Ibrahim yang datang berjumpa saya minta disahkan pendapatan keluarga untuk memohon biasiswa JPA ke luar negara. Ramai yang minta kerana ramai yang layak. Saya doakan mereka semua berjaya, biar semua dapat ke luar negara dan seterusnya memegang jawatan yang tinggi-tinggi. Kita sebagai guru sekurang-kurangnya berpuas hati mendidik mereka ke mercu kejayaan. InsyaAllah. Sekarang nak dapat biasiswa payah sedikit kerana ramai yang layak berbanding bilangan biasiswa yang ditawarkan. Dulu semua yang masuk universiti diberikan biasiswa. Paling kurang pun biasiswa daripada JPA.

Saya pun tak terkecuali. Anak miskin dari kampung yang serba serbi kekurangan, kalau tak dapat biasiswa harus tak dapat melanjutkan pelajaran. Terima kasih kerajaan kerana mengurniakan saya satu biasiswa yang memungkinkan saya menamatkan pengajian sehingga dapat menggenggam segolong ijazah. Terima kasih, terima kasih. Saya dapat biasiswa daripada Kementerian Pelajaran kerana saya melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan.Dapat jadi cikgu, tak perlu bayar pinjaman. Itu pun dah sesuatu yang amat menguntungkan. Dulu biasiswa tidaklah sebanyak sekarang sebab dulu yuran pengajian taklah setinggi yuran sekarang. Harga barangan pada waktu dulu tidaklah juga semahal harga sekarang. Maka berpatutanlah biasiswa tidak setinggi sekarang.

Ketika di tahun pertama universiti saya menerima RM480 sebagai wang saku atau wang lebihan bagi biasiswa setahun. Sedikit sangat kalau dikira bandingan untuk masa sekarang. Saya masih ingat jumlah wang itu kerana itulah kali pertama saya dapat memegang wang sebanyak itu. Terketar-ketar tangan mengambilnya kerana ketika itu biasiswa diberikan secara tunai bukannya masuk ke dalam akaun seperti sekarang. Nak mengambilnya pula kena beratur di pejabat Bendahari. Beratur panjang baru dapat duit. Susah nak ambil duit biasiswa pada waktu itu. Dapat RM480 saya rasakan seperti sayalah manusia terkaya didunia. Terasa banyaknya duit dalam genggaman. Semalaman tak tidur sebab dok memikirkan nak beli apa keesokan harinya di Kuala Lumpur.  Keesokan harinya saya terus ke Kuala lumpur bersama kawan-kawan menaiki bas yang amat sederhana, tiada hawa dingin yang tertulis didindingnya "Tong Foong". Tambangnya saya lupa dah. Sampai di Kuala Lumpur terus ke Ampang Park kerana itu sajalah yang kami tahu kalau nak membeli belah. Terus pilih baju dan seluar. Saya ambil sehelai baju berwarna biru tua dan sehelai seluar berwarna hitam dari jenama Orlando. Hebat kalau boleh pakai Orlando pada waktu itu. Saya pun hantar ke "cashier" dan terus bayar RM60 untuk kedua-dua helai pakaian tersebut. Bila balik di universiti baru saya cuba kedua-dua pakaian tersebut. Kedua-duanya bukan saiz saya, malah terlalu besar. Maklumlah, pertama kali beli baju dan seluar di pasaraya, mana tau nak cuba dulu dalam bilik persalinan yang disediakan. Baju dan seluar tu saya simpan sebab tak boleh dipakai hinggalah saya keluar universiti dan akhirnya saya balik kampung dan sedekahkan kepada kawan saya yang saiznya agak besar. 

Selebihnya kira-kira RM400 saya terus hantar kekampung, untuk emak saya buatkan sebuah kedai. Mungkin itulah kedai yang termurah didunia. Boleh buat kedai, masukkan barang sedikit sebanyak bermodal RM400. Kedai itulah yang dapat membiayai saya sehingga saya keluar universiti. Itulah kenangan tentang wang biasiswa pertama yang saya ingati hingga ke mati. Jimat cermat tangga kejayaan.

BIASISWA PENUH MAKNA.

Rabu, 7 April 2010

High taste

High taste dirujuk kepada mereka yang berselera tinggi. Tinggi disini pun sesuatu yang relatif. Kalau pendapatan 1000 sebulan, tapi dia gunakan kereta Proton Wira,. itu "high taste" . Maknanya kereta itu tidak layak digunakan olehnya yang bergaji kecil. Kalau dia berpendapatan 300 juta sebulan, dan menggunakan jet peribadi Boeing 767, itu adalah normal, bukannya high taste sebab dia berkemampuan dan pengunaan jet itu tidaklah merosakkan imbangan kewangannya. Cuma dia agak membazir dan membazir itu kerja syaitan. Bukankah Rasulullah pernah berpesan agar kita berjimat cermat hatta dalam mengambil wuduk?.

Itulah bezanya "high taste " dengan membazir. High taste ialah selera yang terlalu tinggi melebihi kemampuan tetapi membazir ialah apa saja yang dibuat yang melebihi keperluan. Saya ambil beberapa contoh manusia yang high taste. Ketika saya di U dulu, ada seorang kawan dari Ampang . Dia memang high taste. Bila dapat biasiswa, dibelikannya baju yang mahal-mahal. Kasut ratusan ringgit. Ketika kita menjadi pelajar, ini adalah sesuatu yang boleh diangap high aste kerana duit biasiswa bukan dapat selalu. Setahun dua kali saja. Bila dah duit dibelanjakan begitu banyak, maka jadilah dia tak pernah cukup duit. Selalunya sayalah tempat dia meminta wang. Saya pun bukan banyak duit, tapi berilah juga kerana kasihankan kawan yang kesempitan. Dia ceritalah lagi tentang bapanya seorang kontraktor, ada caterpillar, ada pekerja dan sebagainya. Entah macam mana pada suatu hari saya pergi kerumahnya dan saya lihat rumahnya itu rumah setinggan yang amat kecil dengan penghuni yang begitu ramai. Takkanlah kontraktor rumah begitu kecil. Tak taulah pula mungkin kontraktor ini terlalu "LOW TASTE".

Diceritakan pula oleh seorang kawan saya tentang adiknya yang menuntut di luar negara. Ini satu lagi cerita orang yang high taste. Adiknya ini menuntut 3 tahun di luar negara. Maka dapatlah satu AP untuk membawa balik kereta. Dengan pendapatannya yang agak sederhana dengan suami yang tiada kerja, maka eloklah dibelikan kereta yang sederhana sebab cukainya agak rendah. Tapi, disebabkan suaminya begitu high taste walaupun tak ada kerja, dipaksanya isterinya membeli kereta setaraf Herrier. Wow, hebat tu. Kalau di Malaysia Herrier tu untuk orang kaya sahaja. Saya memang tak mampu. Its out of my taste. Bila kereta besar, maka cukainya mahal. Kereta akan datang 2 minggu lagi di pelabuhan, Nak ambil kereta kena pula bayar 20 ribu lebih, mana nak cari duit?

Anak saya yang sulung memang saya puji dari segi low taste nya. Sewaktu di U lagi pun, pakaiannya cukup sederhana. Baju kurung hanya ada beberapa helai. Itulah yang diulang-ulang pakai sehingga 5 tahun di U. Semua kawan-kawannya dah boleh agak apa pakaiannya hari-hari sebab sedikit sangat. Ramai yang menganggap dia anak orang yang cukup miskin. Ketika dia kahwin, ramailah kawan-kawannya bertandang kerumah saya dan mereka terkejut melihat keadaan rumah saya yang agak selesa.Mereka terkejut kerana sangkaan mereka meleset. Malah selepas kerja dan kahwin  pun, dia masih mengekalkan kehidupan yang cukup sederhana, pakaian yang cukup murah dan kereta yang cukup kecil. That's low taste. Anak kedua saya pun sangat low taste dari segi pakaian pula. Dia belikan pakaiannnya daripada kedai "bundle" ditepi jalan. Alhamdulillah, saya dikurniakan anak-anak yang LOW TASTE.

Untungnya low taste ini ialah kita terhindar daripada dosa riak, sombong yang Islam larang. Lagi satu duit pun boleh simpan sebab belanja kurang. Satu lagi contoh manusia yang low taste ialah pengerusi CNN , News Week dan Warner Brothers. Tiga syarikat gergasi yang cukup hebat daripada segi pendapatannya. Pengerusi ketiga-tiga syarikat ini ialah seorang yang bernama Ted Turner. Orang yang cukup sederhana, menggunakan kereta Ford Mustang yang cukup lama, tinggal di rumah yang cukup kecil ( berbanding pendapatannya ).Pendekata dia amat low taste tetapi mampu menderma US satu billion setahun kepada PBB. Itulah hebatnya Ted Turner, seorang yang bukan Islam tetapi mengamalkan tuntutan Islam. Kalaulah Ted Turner seorang Islam, dia akan menjadi manusia yang lebih baik daripada kita semua.

Sebenarnya kalau kita lihat kediaman billionaire dunia, ada beberapa orang yang cukup low taste. Rumah mereka cukup sederhana berbanding pendapatan yang cukup besar. Inilah yang sepatutnya kita contohi. Oleh itu semua pelajar SMK Ibrahiim yang pandai, yang hebat, yang satu hari nanti bekerja dengan gaji yang cukup banyak, amalkan low taste ini. Dua keuntungan kita akan dapat. Tidak riak dan tidak kesempitan wang. 

HIGH TASTE LETIH.