Sabtu, 10 Julai 2010

Quality

Kelmarin hari Jumaat, ada kesempatan bersarapan dengan  isteri di warung tepi jalan. Banyak restoran dan warung yang ditutup pada hari Jumaat, tapi adalah satu dua warung yang dibuka. Antaranya satu warung yang jual nasi dengan rendang tok. Warung ni dah saya kunjungi mungkin dah ratusan kali kerana mulai dari tahun 1987 hinggalah sekarang. Memang sedap rendang toknya, "original recipe", sentiasa sedap, sentiasa puas kalau makan. Tapi kelmarin entah macam mana, nasinya yang berwarna kuning keras, tiada rasa apa-apa, macam nasi air saja. Langsung putus selera. Balik kena cari biskut gula untuk makan sebab tak puas. Teh yang dihidangkan pula pahit sebab kurang susu. Dah kita komplen depa bubuh gula pula, mana nak sedap teh susu bubuh gula... Tu yang saya nak cerita tentang kualiti. Kualiti yang perlu dijaga pada setiap masa terutama orang meniaga. Kita sebagai guru pun perlu sentiasa menjaga kualiti. Pendekata in everything we do, we must have QA. Quality Assurance.

Quality is fitness for purpose, definisi oleh Juran. Maknanya kalau kapak dibuat untuk tebang pokok, maka kapak yang berkualiti mestilah berjaya menebang pokok dengan begitu berkesan sekali. Kalau kapak tumpul atau besinya daripada besi lembut dan mudah patah, itu bukan kapak yang berkualiti. Kalau kita sebagai guru yang dikehendaki mengajar para pelajar tentang matematik, kita tak dapat membuatkan para pelajar faham, atau kita ajar sebahagian sahaja yang faham, maka kita adalah guru yang kurang berkualiti. Orang tanya pula bolehkah bagi semua faham sedangkan yang datang adalah para pelajar yang tiada kualiti?. Saya ingatkan sekali lagi, disebabkan para pelajar tiada kualiti, maka kita mestilah amat berkualiti untuk memberikan kefahaman kepada pelajar. Sebab itulah Kementerian Pelajaran mencadangkan agar guru-guru yang hebat, yang berkualiti tinggi mengajar kelas-kelas yang tiada kualiti. Kalau guru yang berkualiti tinggi, mengajar pula para pelajar yang berkualiti dan dapat kejayaan, apa nak diherankan? 

Banyak orang akan marahkan saya, depa akan kata, "Hang dok kat Ibrahim boleh lah sebab Ibrahim semua pelajar pandai-pandai. " Memang betul , tetapi kalau diteliti masa guru-guru Ibrahim curahkan untuk pengajaran adalah jauh lebih banyak daripada guru-guru dikebanyakan sekolah. Kita tak memandang ringan konsep kualiti apatah lagi kami mendapat pelajar yang memang berkualiti. Saya selalu menyediakan contoh-contoh bila saya berbincang atas apa-apa topik sekalipun. Contoh saya ambil daripada sekolah yang pernah saya mengajar dan dapat "first hand experience" dengan palajar. Saya bukan bercakap kosong tanpa bukti, tanpa data yang nyata.

Guru yang berkualiti bukan mesti guru yang berkelulusan tinggi. Saya masih ingat lagi cikgu Cheah Seng Hee yang mengajar saya matematik di High School Bukit Mertajam. Cikgu lulusan maktab yang tiada master, tiada PhD dan tiada ijazah tapi saya amat suka cara beliau mengajar, ketekunannya mengajar, keperihatinannya kepada para pelajar sehingga membuatkan kami semua lulus dengan cemerlang dalam matematik . Beliau bukan juga guru yang suka buat lawak tetapi seorang guru yang garang, yang bengis tetapi beliau mementingkan kami semua membuat kerja dengan berkualiti sekali. Orang yang berkualiti menghendakkan kerja yang berkualiti daripada murid-muridnya. Hanya berlian yang kenal manikam.

Kita lihat pula jenama kereta tertentu. Saya ambil contoh saya sendiri yang ada dua jenis kereta. Satu kereta Honda Accord yang saya beli second hand dan satu lagi kereta Wira yang saya beli baru. Kereta Honda tahun 1997 tetapi kereta Wira tahun 2007. Lebih kurang sepuluh tahun beza umur kereta-kereta tersebut. Kereta Honda tiada banyak masalah terutama bahagian tingkap otomatik yang "smooth" pergerakannya hingga sekarang. Kereta Wira tingkap otomatiknya dah tak boleh berfungsi. Cuba lihat di tempat tol, drebar mana yang kena buka pintu untuk bayar tol, kalau sepuluh mungkin 5 daripada kereta jenis Wira. Dah berpuluh tahun Wira berada di jalanraya tetapi masalahnya serupa. Kualiti dari segi tingkap otomatik tak pernah dipertingkatkan ke sehinggakan penyakit ini berjangkit pula ke jenama Proton yang lain. Apa jadi kepada bahagian QA dikilang? Lihat pula satu lagi jenama kereta Malaysia daripada Perodua, kualiti mereka memang hebat mungkin setanding dengan kualiti kereta-kereta import. Tak hairanlah jualan mereka lebih hebat daripada jenama-jenama lain. 

Kalau kita boleh memuaskan hati pelanggan kita iaitu para ibu bapa dan para pelajar, maka kita adalah guru yang berkualiti. Mungkin para ibubapa sedar anak-anak mereka tidak begitu cerdas, tetapi mereka mempunyai " a certain degree of expectation" dan jika "expectation" mereka dapat kita penuhi maka kitalah guru yang berkualiti. Jadi tepuk dada tanya pemikiran kita..

AM I QUALITY?



Tiada ulasan:

Catat Ulasan